80 Sebab Manusia Masuk Neraka -

Berdasarkan tajuk ’80 Sebab Manusia Masuk Neraka’, secara keseluruhannya ia dapat dirumuskan sepertimana berikut. Ianya menceritakan mengenai manusia-manusia kutukan Allah, Rasul dan Para Mala’ikat serta orang-orang yang tidak dapat memasuki syurga atau bakal menghuni neraka. Antara mereka yang mendapat kutukan Allah, Rasul, dan Para Mala’ikat ialah orang yang melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan keluarga. Dimana mereka ini melakukan dosa-dosa besar serta perbuatan keji tanpa punyai perasaan kesal serta malu kepada allah. Seterusnya, penggambar. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud ‘Sesungguhnya manusia yang paling pedih mendapat seksaan Allah di hari kiamat ialah kalangan penggambar-penggambar (pelukis makhluk hidup) ’. Selain itu, mereka yang menuduh wanita-wanita mukmin yang berkeadaan terpelihara dan tiada berniat curang. Sebagai contoh, seseorang itu melemparkan tuduhan ke atas perempuan yang tidak melakukan perbuatan terkutuk seperti melakukan zina walhal berita ini tidak benar dan wanita ini tidak pernah langsung melakukan perbuatan ini. Mereka yang menuduh perempuan ini akan mendapat balasan neraka. Sepertimana firman Allah yang bermaksud ‘Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (terpelihara) yang tidak terlintas (dalam hati untuk curang) , lagi beriman (maka dituduh berzina) , mereka dikutukkan di Dunia dan di Akhirat mereka mendapat seksaan yang besar’. Disamping itu, wanita yang memakai cemara (rambut palsu) dan wanita yang diminta memakai cemara adalah dimurkai oleh Allah. Mereka yang menyembunyikan keterangan dan petunjuk yang diturunkan Allah. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud ‘Siapa yang ditanyakan mengenai sesuatu ilmu, maka dia menyembunyikannya, nescaya Allah akan mengekangnya pada hari Kiamat dengan kekang daripada api’. Kemudian, orang yang menjadikan kubur para Nabi mereka menjadi masjid iaitu bermakna mereka menyembah akan kubur para Nabi. Perbuatan ini adalah dilaknat oleh Allah. Orang yang membinkan kepada bukan bapanya. Contohnya, seseorang itu menamakan anak mereka akan tetapi telah menukar nama bapa kandung si anak kepada nama lelaki yang bukan bapa kandung si anak tadi. Perbuatan ini adalah terkutuk disisi Allah. Begitu juga yang mengakukan kepada bukan bapanya atau seorang hamba yang menghubungkan kepada bukan tuannya, maka dia akan mendapat kutukan Allah yang berterusan sehingga Hari Kiamat. Orang yang menyebabkan halal kahwin serta orang yang diperhalalkan kahwin. Seperti sabda Nabi yang bermaksud ‘Allah telah mengutuk penghalal kahwin (cina buta) dan orang yang diperhalalkan kahwin’. Sebagai contoh, hal seperti ini mungkin terjadi pada seorang suami yang menceraikan isterinya dengan talak tiga maka si suami ini tidak dapat ruju’ kembali bekas isterinya melainkan bekas isterinya itu telah berkahwin dengan seseorang islam yang lain, kemudian suami baru ini menceraikannya dengan cara Syara’ dengan kemahuannya sendiri maka barulah suami lama itu berkahwin kembali bekas isterinya itu dengan aqad yang baru. Perkara seperti ini pernah terjadi akan tetapi si suami baru itu tidak mahu menceraikan si isteri maka perkahwinan mereka adalah kekal selamanya dan si bekas suami tidak boleh melakukan apa-apa. Dia hendaklah menerima keputusan itu. Mereka yang mencaci Para Sahabat Nabi SAW. turut akan dikutuk oleh Allah serta mendapat balasan di Akhirat kelak. Mereka yang mengutuk bapanya. Hal ini sepatutnya tidak terjadi kerana sekiranya tiada bapa, maka kita juga tidak akan wujud di muka bumi ini. Bapa kita telah bersusah payah untuk mencari wang bagi membesarkan kita. Sangat besar pengorbanan mereka ini. Jadi elakkanlah daripada kita mengutuknya kepada orang lain. Orang yang menyembelih bukan kerana Allah. Contohnya, mereka hanya melakukan untuk menunjuk serta bermegah-megah semata-mata. Hal seperti ini biasanya dilakukan oleh mereka yang berpangkat tinggi. Orang yang melindungi mereka yang membuat bid’ah serta mereka yang mengubahkan panduan jalan. Selain itu, para pemimpin yang zalim atau tidak adil dan yang memungkiri janji mereka terhadap mereka yang berpangkat rendah atau mereka yang digelar golongan bawahan. Mereka ini selalunya akan ditindas dan sukar bagi mereka untuk menentang kembali. Orang yang mengubah hukuman selain Qisaas (Hudud) . Begitu juga dengan lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. Hal seperti ini sepatutnya tidak terjadi. Ini kerana Allah telah menciptakan setiap manusia itu cukup sempurna tidak kira lelaki mahupun perempuan. Oleh itu, apakah yang menyebabkan mereka ingin berkelakuan seperti itu?Perbuatan ini sangatlah dibenci oleh Allah. Kita sepatutnya bersyukur dengan apa yang telah ada pada diri kita ini. Wanita yang berpakaian tetapi seolah-olah dilihat seperti tidak berpakaian. Hal ini dapat dilihat pada masa kini. Turut termasuk isteri yang lari meninggalkan hamparan tidur suaminya. Nabi bersabda yang bermaksud ‘Apabila seseorang isteri tidur dengan meninggalkan hamparan tidur suaminya, adalah dia akan dikutukkan oleh para Mala’ikat sehinggalah dia kembali kepadanya’. Selain itu, orang yang berserunai dikala memperoleh ni’mat dan mereka yang meratap dan sebagainya apabila terkena musibah (Bala’) . Sabda Nabi yang bermaksud ‘Dua suara di mana-mana kedua-duanya dikutukkan di dunia dan di Akhirat iaitu suara seruni dikala memperoleh ni’mat dan suara merungut dikala terkena bala’. Ini bermaksud apabila kita mendapat sesuatu yang istimewa kita akan bersuka ria dengan menyanyi dan apabila kita mendapat bala, kita akan meratapi serta meraung untuk menunjukkan kesukaran diri ini serta kadangkala kita akan menyalahkan tuhan yang esa. Sepatutnya kita berusaha untuk mengatasi masalah itu. Orang yang mencukur kepala, orang yang membuang bulu dan orang yang mengoyak (mencarikkan pakaian) dikala berlaku bala. Hadith Nabi bermaksud ‘Rasulullah SAW. telah mengutukkan orang yang mencukur, membuang (bulu) atau mengoyak pakaian (bila didatangi bala) ’. Disamping itu juga, orang yang mencakar muka, orang yang mengoyakkan saku, orang yang melaungkan kata-kata celaka dan binasa bila mendapat bala’. Sabda Nabi bermaksud ‘Allah telah mengutuk orang yang mencakar muka, mengoyakkan saku dan orang yang melaungkan kata-kata malang dan binasa’. Turut termasuk wanita yang mencacah, wanita yang mencabut rambut dan wanita yang mengasah gigi agar cantik. Hal seperti ini adalah dimurkai oleh Allah kerana mereka ini telah mengubah ciptaan semulajadi yang telah diberikan oleh Allah. Apa yang disampaikan oleh Nabi mestilah kita amalkan dan apa yang dilarang atau tidak dilakukan oleh baginda, kita hendaklah tinggalkan. Jadi perkara-perkara ini tidak pernah langsung dilakukan oleh Nabi kita. Seterusnya, pemakan riba, pemberi makan riba, penulisnya, saksi pemakan dan pemberi riba, orang yang tidak mengeluarkan zakat serta orang arab desa yang murtad sesudah hijrah. Semuanya ini adalah dikutuk oleh Allah. Sabda Nabi yang bermaksud ‘Pemakan riba dan yang memberi makannya, juga saksi-saksi keduanya, apabila keduanya mengetahui (keburukannya) , orang yang mencacah dan orang yang meminta dicacah, orang yang tidak mengeluarkan zakat dan orang-orang Arab desa (Badawi) yang murtad sesudah hijrah, mereka adalah dikutuk menerusi lidah Junjungan Nabi Muhammad SAW. di Hari Kiamat’. Pencuri-pencuri barang dalam kubur. Contohnya, pencuri yang menggali kembali kubur itu semata-mata untuk mendapatkan atau mengambil sesuatu daripada si mati dengan tujuan yang tidak baik. Hal seperti ini selalunya terjadi sekiranya mereka mempunyai niat jahat atau ingin menyakiti seseorang lain, maka mereka sanggup lakukan apa saja bagi memenuhi impian mereka itu. Seterusnya, Suami yang menduburi isteri, orang yang mengacukan senjata kepada saudaranya iaitu berperang sesama sendiri akan dimasukkan mereka ini ke dalam neraka bagi mendapat balasan yang sepatutnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ‘Siapa yang mengacukan besi (senjata ) kepada saudaranya, maka sesungguhnya para Mala’ikat akan mengutukinya sehinggalah dia menghentikannya sekalipun terhadap saudara seibu sebapanya (sendiri ) ’. Juga Nabi ada bersabda yang bermaksud ‘Janganlah seseorang kamu mengacukan senjata kepada saudaranya, kerana sesungguhnya seseorang kamu tidaklah sedar kemungkinan syaitan akan mencabutkan senjata itu daripada tangannya, maka dia akan menjatuhkannya ke dalam sebuah lubang daripada api (neraka dengan sebab pembunuhan itu ) ’. Kemudian, orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah. Rasulullah amatlah memurkai mereka ini. Seterusnya, orang yang menyeksa tubuh haiwan. Orang yang menggunakan hidupan menjadi sasaran panah. Iaitu mereka menggunakan sesuatu hidupan (makhluk hidup) sebagai sasaran panah (dalam latihan memanah atau menembak) . Orang yang membuat tanda pada muka haiwan serta memukul pada muka haiwan itu. Hal ini adalah untuk menunjukkan bahawa tanda itu adalah kepunyaan dirinya dan sesiapa tidak boleh menukarnya dan memukul haiwan itu sekiranya tidak menuruti kehendaknya. Kemudian, terdapat sepuluh golongan yang dilaknat oleh Allah dalam hal yang berkaitan dengan arak. Iaitu minuman arak, peminum arak, penuang arak, penjual arak, pembeli arak, pemerah arak, pengupah membuat arak, pengedar arak, penerima arak dan pemakan harga arak. Di sini, mereka yang menghelah dalam hukum syara’ juga tidak disukai oleh Allah. Sebagai contoh, seorang penjual itu telah menjual barangnya dengan si A, kemudian membeli balik barang itu dengan harga yang lebih rendah dan murah. Selain itu juga, dunia dan perhiasannya. Hal ini boleh menyebabkan manusia lalai dan leka dengan kemewahan didunia dan akan lupa apabila memilikinya. Maka mereka akan berpoya-poya dan lupa bahawa kesenangan ini hanyalah sementara sahaja. Seperti sabda Nabi yang bermaksud ‘Dunia (yang menyeleweng ) itu terkutuk, isinya dikutuk, melainkan menyebut (mengingat) Allah dan yang mendorongnya, orang alim atau orang yang menuntut ilmu’. Selanjutnya adalah rumusan mengenai orang-orang yang tidak dapat masuk Syurga atau bakal penghuni neraka. Pertamanya, orang yang menahan hak seseorang Islam. Sabda Nabi yang bermaksud ‘siapa yang menahan (merosakkan) hak seseorang islam dengan tangannya, maka sesungguhnya Allah akan memasukkan mereka ke dalam Neraka dan Dia akan menahannya dari memasuki Syurga’. Walaupun mereka merosakkan hanya sedikit sahaja sekalipun sekerat kayu sugi. Mereka yang membunuh seseorang Mu’min dengan sengaja juga tidak akan dapat untuk menghidu bau Syurga akan tetapi lebih cenderung untuk memasuki ke Neraka. Firman Allah Ta’aala yang bermaksud ‘Dan sesiapa yang membunuh seseorang yang beriman secara sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, dia akan kekal di dalamnya sedang Allah memurkainya, mengutuknya dan menyediakannya seksaan yang besar’. Orang yang mengganggui jirannya juga akan memasuki neraka. Hal ini bermaksud, seseorang jiran itu mempunyai hasad dengki terhadap kesenangan hidup jirannya serta iri hati dan mempunyai pelbagai niat untuk mengacau ketenteraman jirannya itu. Contohnya, menggunakan cara kotor supaya jirannya sentiasa tidak hidup tenteram, seperti menyihir jirannya itu. Seterusnya, isteri yang meminta cerai. Sabda Nabi yang bermaksud ‘Mana-mana isteri yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebarang kesalahan Syar’i, maka ditahan dia dari mencium bau Syurga’. Mereka yang memutuskan hubungan dengan keluarga turut akan ditempatkan di dalam neraka. Seperti sabda Nabi yang bermaksud ‘Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan keluarga’. Selain itu, sabda Nabi bermaksud ‘Siapa suka agar dilimpahkan rezekinya atau dilanjutkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan keluarganya’. Berikutnya orang yang mengumpat, dan orang yang sombong. Seperti sabda Nabi yang bermaksud ‘Tidaklah akan dapat masuk Syurga orang yang dalam hatinya tersemat seberat habuk rasa sombong’. Seterusnya, orang yang membangkit-bangkitkan pemberian (budi) . Hal ini seperti mana seseorng itu mengungkit-ungkit kembali akan apa yang telah diberikan kepadanya oleh orang lain. Orang yang menderhaka kepada kedua ibubapa serta orang yang berterusan meminum arak akan ditempatkan di neraka kelak. Sepertimana yang telah diketahui bahawa Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu. Kemudian, orang yang berdusta dan berbuat jahat Sabda Nabi bermaksud ‘Neraka Wail-lah bagi orang yang menceritakan sesuatu agar menimbulkan ketawa suatu kumpulan, kemudian dia sendiri mendustainya. Neraka Wail-lah baginya’. Lebih berat lagi mereka yang membunuh diri. Janganlah sesekali kita beranggapan bahawa dengan membunuh diri kita akan ditempatkan di dalam Syurga. Sabda Nabi yang bermaksud ‘Adalah dikalangan orang-orang sebelum kamu seorang lelaki yang terluka, maka dia tidak sabar, lantas dia mengambil sebilah pisau lalu dia menyembelih dengan tangannya, maka tidaklah berhenti darah sehingga dia mati’. Maka Allah Ta’aala berfirman: ‘HambaKu telah bersegera dengan dirinya menemuiKu, maka Aku haramkan dia memperoleh Syurga (Ku) ’. Selain itu juga, Nabi bersabda yang bermaksud bahawa ‘Siapa membunuh dirinya dengan sebatang besi, maka besinya akan berada di tangannya kelak, di mana dia akan menusuk-nusukkan besi itu pada perutnya dalam Neraka kelak. Dia akan kekal di dalamnya selamanya-lamanya. Siapa yang minum racun, maka dia adalah membunuh dirinya sendiri (dengan sengaja ) , maka dia akan menghirupnya dalam Neraka Jahannam, dia akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan siapa yang terjun dari sebuah bukit, maka bererti dia membunuh dirinya, maka dia akan terjun ke dalam Neraka. Dia akan kekal dan dikekalkan di dalamnya selama-lamanya’. Seterusnya pemimpin yang menipu atau menghampakan rakyatnya. Ini bermaksud seseorang pemimpin yang menaburkan janji-janji manis beliau sekiranya rakyat menyokong dirinya untuk mendapatkan jawatan itu, maka mereka akan mendapat habuan. Akan tetapi ia adalah bohong semata-mata. Ini akan menyebabkan rakyat merana. Sabda Nabi yang bermaksud ‘Tiadalah seorang hamba yang dipertugaskan Allah menjaga (memimpin) rakyat, maka Allah akan menahannya dari memasuki Syurga, bila dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya’. Tidak akan mendapat Syurga juga mereka yang tubuhnya dibesarkan daripada sumber yang haram. Ini dapat dijelaskan sebagaimana mereka yang meneruskan kehidupan dengan sumber-sumber haram seperti mencari rezeki dengan menjual tubuh badan tidak kira lelaki mahupun wanita. Mereka ini berpendapat bahawa kerja ini mudah serta mendapat pendapatan yang cukup lumayan dalam sebulan sahaja mereka bekerja. Sebenarnya, wang yang mereka terima ini adalah haram dan makanan yang mengalir di dalam tubuh badan mereka dengan menggunakan wang tersebut adalah tidak berkat sama sekali. Selain itu, orang yang sombong di kala mereka berjalan dan orang yang sombong berkasar. Nabi bersabda yang bermaksud ‘Tidaklah akan masuk Syurga orang yang sombong menentang (orang yang berlagak sombong ketika berjalan ) dan tiada juga orang yang sombong lagi bersifat kasar’. Kemudian, wanita gagak hitam. Selain itu, orang yang mengatakan perkara yang bukan milik peribadi seorang Mu’min. Nabi bersabda yang bermaksud ‘Siapa yang dengan perantaraannya yang mengubahkan suatu had daripada had-had (hukuman) Allah, maka sesungguhnya dia adalah seorang yang menentang Allah dalam urusanNya. Dan siapa yang mati, sedangkan menanggung hutang, maka tiadalah dinar dan dirham (pembayarnya) akan tetapi (akan dibayarkan) dengan segala kebajikan (yang berhutang) dan segala kejahatan (pemiutang akan dipikulnya) . Dan siapa membela dalam perkara palsu, sedang dia mengetahuinya maka sentiasalah dia dalam kemurkaan Allah sehinggalah dia meninggalkanny. Dan siapa yang mengatakan terhadap seorang Mu’min apa yang tiada padanya, pastilah Allah akan menempatkannya (di Neraka) dengan diberi minum hampas perahan (berupa lumpur pekat yang mengalir daripada kulit ahli Neraka) sehinggalah dia keluar daripada apa yang dia katakan (menarik) balik tuduhan melulu) sedangkan dia bukanlah yang berada di luar. Seterusnya, Allah berfirman yang bermaksud ‘Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang Mu’min lelaki dan Mu’min perempuan tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah menanggung kedustaan dan dosa yang besar. Akhirnya, lelaki yang memukul manusia dan perempuan yang membogel. Ini sepertimana perempuan itu seolah-olah berbogel ketika berjalan dengan lenggok badan mereka itu. Seperti sabda Nabi yang bermaksud ‘Ada dua golongan yang bakal menjadi penghuni neraka iaitu pertama golongan penguasa yang mempunyai cemati-cemati bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Ini bermaksud, penguasa yang zalim. Kedua, perempuan yang hanya berpakaiaan tetapi sebenarnya dianggap bertelanjang iaitu membogel, berlenggang-lenggok sewaktu berjalan dengan menghayun bahu. Kepala (sanggul) mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidaklah akan masuk Syurga dan tidaklah akan cium bau wanginya dan sesungguhnya kesemerbakan bau Syurga itu sudah tercium dari perjalanan sekian dan sekian (amat jauh terhidunya) ’. Oleh itu, dapatlah kita ketahui hendaknya bahawa terdapat beberapa riwayat Hadith menyatakan mengenai jarak tercium kesemerbakan bau Syurga itu. Ada yang menyatakan sejarak empat puluh tahun, juga tujuh puluh tahun dan ada pula menyatakan lima ratus tahun. Oleh yang demikian itu, kita perlulah perbanyakkan amal ibadat kita dengan melakukan sedekah jariah dan sebagainya bagi persediaan diri kita juga di Padang Mahsyar kelak. Sebagai penutupnya, sebagai manusia yang beragama Islam, elakkanlah diri kita daripada perbuatan-perbuatan seperti yang telah dirumuskan dan ingatlah bahawasanya kehidupan kita di dunia ini adalah sementara dan singkat sahaja.

Disediakan Oleh: Halimatun Saadah Binti Hasan

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com