Al-Quran and Modern Science -

Segala puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam dan salam ke atas penghulu yang diutuskan, dank e atas keluarga dan sahabatnya dengan keelokan pengarang buku amalan dengan tangan kanan dan begitulah seterusnya

Apabila kita mengatakan fikrah Islam sentiasa mengiringi dan mengikuti perkembangan tamadun manusia, ini bermakna ia mengandungi keistimewaan berkekalan yang memungkinkannya untuk memberikan sesuatu yang berterusan tanpa henti. Kata-kata ini bukanlah semata-mata dating daripada naluri seorang muslim yang dijadikan untuk mencintai agamanya, bahkan ia adalah suatu kenyataan yang sebenarnya, yang diambil akar umbi daripada kitab Allah SWT yang tidak didatangkan kebatilan samada di hadapan mahupun di belakangnya.

Agama yang benar telah diturunkan bersamanya kebenaran, menjamin serta memeliharanya dari campur tangan manusia dan pentafsiran lemah yang berbau sangkaan, serta kesilapan catatan masa. Dan tidak pula diturunkan ayat-ayatnya kecuali untuk merealisasikan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.

Pengetahuan ini membuktikan Al-Quran yang mulia dan suci daripada kesilapan. Ia bukan sahaja mengikuti perkembangan lampau, bahkan mencipta dan membenarkan tamadun lampau, serta juga dapat menerangkan keajaiban dan kejadian alam di sekeliling kita.

Apabila tersebarnya ayat-ayat dari Al-Quran, sesetengah ilmuan Barat yang tidak menghiraukan taksub agama akan menjadi takjub. Mereka berusaha merealisasikan hubungan antara ayat-ayat Al-Quran dan pengetahuan moden berkaitan kejadian. Bahkan, mereka turut mengaitkannya dengan kitab-kitab suci yang lain. Antara yang dilakukan ialah usaha seorang penyelidik Perancis yang bernama Mourice Bucaille dalam bukunya ‘Pengajian Kitab-kitab Suci Dalam Cahaya Pengetahuan Terkini. ’ Telah didapati ia memberikan gambaran tentang hubungan ayat-ayat kejadian dalam Al-Quran yang melampaui pengetahuan manusia tentang hakikat cakerawala. Dalam masa yang sama, telah gagal untuk menghubungkaitkan kitab suci yang lain dengan hakikat kejadian ini.

Buku bertajuk Al-Quran dan Sains Moden ini tidak lain dan tidak bukan melainkan suatu percubaan dari seorang mukmin, bernama Ali Abdul Hamid Abu al-Khair yang merupakan seorang pelajar, pengkhusus dan penyelidik ilmu angkasa, bumi dan manusia. Ia juga merupakan satu percubaan untuk membuka rahsia hubungan di antara tanda-tanda kejadian alam semesta dan ayat-ayat Al-Quran. Saya hangat menghargai usahanya ini, khususnya kerana ia telah mengambil masa yang lama dalam hidupnya dan memohon agar Allah SWT mencucuri rahmat yang tinggi kepadanya.

Rumusan Buku Al-Quran dan Sains Moden

Dalam zaman ini mulalah terzahir dengan bentuk yang jelas, mukjizat keilmuan Al-Quran. Inilah yang dilihat dari hakikat-hakikat kejadian dan ilmu pengetahuan yang terhasil darinya berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh ilmu moden secara sedikit demi sedikit.

Benarlah bahawa Al-Quran adalah sebuah kitab yang mempunyai manhaj dan syariat yang sesuai untuk setiap zaman dan tempat. Namun, ilmuan pada zaman ini mempunyai kemampuan akal yang hebat, mestilah mengetahui bahawa punca utama pemikiran mereka adalah dari pemikiran yang paling tinggi yang wujud sejak azali lagi iaitu Allah, Pencipta segala sesuatu dan Penyusun langit dan bumi. Sebelum kurun ke-15, telah diturunkan kepada para nabi yang ummi, nabi Muhammad SAW, sebuah kitab bernama Al-Quran yang mulia. Terangkum di dalamnya sebuah manhaj dan syariat yang mengandungi berita-berita yang ditemui para ilmuan dari pelbagai pengetahuan yang membuktikan kebesaran Pencipta dan kelemahan makhluk.

Oleh itu buku ini telah mempersembahkannya dengan membentangkan kebenaran dan syarat-syarat secara ilmiah, menerangkannya dan menjelaskan dengan pendekatan baru.

Dalam bab pertama, ianya menerangkan subjek persekitaran, pemeliharaan Al-Quran, kekuatan Al-Quran dari segi bahasa, kedudukan Al-Quran dari sisi ilmu dan ulama’ serta peranan menyebarkan Islam dahulu dan sekarang.

Dalam bab kedua pula ianya menerangkan cakerawala yang luas dan rahsianya serta apa yang disebut di dalam Al-Quran. tentang kejadiannya. Keterangan bagaimana bermula kelahiran alam cakerawala, bagaimana terbentuknya galaksi, mengenali bintang-bintang dan cerita mengenai kelahiran dan kematiannya dan juga bagaimana planet terbentuk.

Dalam bab ketiga pula ianya mengaitkan bumi dan geografinya serta apa yang disebutkan di dalam Al-Quran mengenai rahsianya. Ia adalah tempat menginap bagi manusia seperti ayat 10 Surah ar-Rahman yang bermaksud”Dan bumi pula dijadikan rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhluknya yang lain. ”

Bab keempat pula menceritakan mengenai manusia yang merupakan sebesar-besar kejadian Allah dan yang paling mulia sekali. Kejadian-kejadian lain diciptakan kerananya dan untuknya.

Bab kelima pula membentangkan kekuatan Al-Quran dari segi sejarah Islam yang lampau mahupun akan datang serta juga menceritakan perihal yakjuj dan makjuj.

Mukjizat Al-Quran adalah berbeza dengan mukjizat rasul-rasul terdahulu. Setiap rasul mempunyai mukjizat yang melanggar peraturan semulajadi alam da manhajnya diterangkan oleh kitabya. Sebagaimana mukjizat Nabi Musa (seperti yang telah disebut) adalah kehebatan tongkatnya dan manhajnya ada di dalam Taurat. Mukjizat Nabi Isa adalah kemampuannya dalam perubatan dan manhajnya ada di dalam Injil. Berbeza dengan Nabi Muhammad kerana mukjizatnya adalah manhaj itu sendiri, manhaj sentiasa dijaga oleh mukjizat dan mukjizat dijaga oleh manhaj. Kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al-Quran terikat dengan amanah pemeliharaannya. Ia bermakna Allah SWT menyerahkan tanggungjawab memelihara kitab-Nya itu kepada hamba-Nya. Namun, apa yang berlaku ialah manusia yang dipertanggungjawabkan itu telah memasukkan keinginan hawa nafsu mereka ke dalamnya. Mereka lupa sebahagian dari peringatan yang diberikan kepada mereka tentangnya. Malah ada yang cuba memesongkan dan menokok-tabahkan sesuatu yang datang dari diri mereka sendiri.

Kemudian Allah menegaskan bahawa kitab-Nya yang mulia ini adalah sesuatu yang berada di luar kemampuan manusia dan jin, sebagaimana firman-Nya (surah al-Isra : 88) yang bermaksud”Katakanlah (Wahai Muhammad) ”Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya walaupun mereka saling bantu-membantu sesame mereka. ”

Ilmu sebagaimana yang diketahui merupakan asas perkembangan dan pembangunan, anak kunci tamadun dan kemakmuran. Manakala kejadian adalah yang membawa kepada kemunduran dan pintu kepada kemiskinan dan penyakit.

Keajaiban ilmu moden (yang diisyaratkan oleh Al-Quran) memainkan peranan yang besar mengikat para muslimin yang bijak pandai supaya berpegang teguh dengan agama mereka selepas hampir musnahnya ketamadunan Barat kerana membuang jauh agama mereka. Itu semua membawa kepada tersebarnya Islam di kalangan tokoh ilmuan bukan Islam yang banyak mendalami Islam, membaca Al-Quran dalam bahasa Arab atau menterjemahkannya kepada bahasa mereka.

Hakikatnya, hidup kita di akhir zaman ini adalah saling berkaitan. Sebuah Negara atau seseorang manusia itu tidak akan mampu hidup terasing dari negara atau bangsa lain, apatahlagi perkembangan, kekayaan dan kebaikannya yang banyak. Semua usaha-usaha untuk membangunkan keajaiban Al-Quran boleh dilakukan seperti mengarang dan menyusun buku, menterjemahkan Al-Quran kepada semua bahasa untuk memudahkan bangsa-bangsa lain mendalaminya serta memperkenalkan ajaran agama Islam yang toleran.

Kejadian cakerawala ini tidak mempunyai penghujung, berenang di dalamnya galaksi-galaksi yang besar dan banyak dan tidak diketahui bilangan sebenar mereka kecuali Allah SWT Pencipta alam ini. Contohnya, Surah Ali Imran, ayat 190 sehingga 191 yang bermaksud, ”Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang berakal; (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah SWT semasa mereka berdiri atau duduk, dan (semasa) mereka berbaring dan mereka memikirkan pula tentang kejadia langit dan bumi (sambil berkata) ”Wahai Tuhan kami! Tidakkah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. ”

Berkenaan dalam alam galaksi pula, ia merupakan kesatuan asas alam bintang yang besar. Graviti pula ialah satu kekuatan yang tersembunyi, dijadikan oleh Allah SWT di lam yang besar ini. Sebagaimana dikatakan dalam Surah az-Zariyat, ayat 47 yang bermaksud :”Dan langit itu Kami dirikan ia dengan tangan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi) dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga. ”Serta Surah ar-Ra’du ayat 2 yang bermaksud, ”Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu lihat”

Semua ayat-ayat tersebut menggambarkan tentang peranan gravity dalam meneguhkan langit dan memegangnya. Bagi setiap material, masing-masing mempunyai orbit yang khusus, mereka beredar di atasnya tanpa tergelincir sedikit pun. Firman Allah SWT. dalam Surah Yasin yang bermaksud, ” (Dengan ketentuan yang demikian) matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya berapung-apng di tempat edaran masing-masing.

Lebar galaksi adalah berbeza-beza, ada yang besar dan ada yang kecil. Masing-masing beredar mengelilingi pusatnya dan lengan-lengannya yang menakjubkan itu berenang bersama-samanya.

Dalam galaksi-galaksi inilah lengkapnya satu pusingan hidup bagi bintang-bintang. Bermula dari kelahirannya sehinggalah kematiannya. Di dalamnya kita akan dapati peringkat kelahiran dan pembesaran, kemuncak keremajaan dan penghujung kehidupannya iaitu kematian. Kematian ini berlaku dalam keadaan yang sunyi atau gegaran dengan letupan yang kecil iaitu”Nova”atau letupan yang sangat besar iaitu”Super Nova”. Bangkai-bangkainya akan bersepah di angkasa raya dengan membentuk bahagian-bahagian seperti kabus, debu kosmik, bintang, dan planet baru. Tepat sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 104 yang bermaksud, ”Sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, kami ulangi wujudnya lagi, sebagai satu janji yang ditanggung oleh kami, sesungguhnya kami tetap melaksanakannya. ”

Surah Yunus ayat keempat juga yang bermaksud, ”Sesungguhnya Dialah yang memulakan kejadian sekalaian makhluk kemudian ia mengembalikan (hidup semula sesudah matinya) . Juga terdapat kaitan di dalam Surah al-Buruj ayat 13 sehingga 16 yang bermaksud, ”Sesungguhnya Dialah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya, dan yang mengembalikan (hidup semula sesudah mati) dan Dialah yang amat Pengampun, lagi amat Pengasih; Tuhan Yang Mempunyai ‘arasy yang tinggi kemuliannya; Yang Berkuasa melakukan segala yang dikehendakiNya.

Kemudian buku ini menceritakan berkenaan kejadian lubang hitam. Tidak ada seorangpun yang mengetahui susunan material di dalam Lubang Hitam kerana apa saja yang termasuk ke dalamnya akan lenyap begitu sahaja. Namun, hasil daripada tekanan yang sangat kuat kepada material serta kehilangan ruang di antara nitroennya dan bertambahnya ketebalan dalam bentuk yang luar biasa, menjadikan susunan material di dalam bintang yang ganjil ini berbeza dengan mana-mana susunan material yang dikenali. Dipercayai bahawa sesuatu yang masuk ke dalam Lubang Hitam ini akan hiang asal-usul dan identitinya.. Mereka tidak mungkin dapat dibezakan atau dipisahkan apabila electron pecah disebabkan daya gravity yang amat kuat.

Ramai di kalangan ilmuan-ilmuan moden mempercayai bahawa pusat galaksi-galaksi (termasuk galaksi kita Bima Sakti) apabila ia menjadi Lubang Hitam, mampu menelan bintang-bintang lain sekaligus. Ia musnah di dalamnya dan tidak diketahui apa yang telah berlaku. Mereka juga mempercayai bahawa hampir 90% daripada sebahagian besar ketulan cakerawala mungkin terlindung daripada pandangan kita oleh tubuh Lubang Hitam ini. Ahli fizik Amerika yang bernama Herbert Gorosky telah mengemukakan pendapatnya bahawa pada suatu masa nanti angkasa ini keseluruhannya akan bertukan menjadi satu Lubang Hitam dan akan menelan material angkasa yang lain tanpa pengecualian. Material ini akan kembali pada asalnya, iaitu sewaktu atau sebelum kelahiran angkasa ini dengan ‘Letupan Agung’ sebagaimana yang bertetapan dengan firman Allah SWT Surah al-Anbiya’ ayat 104 yang bermaksud” (Ingatlah!) Hari kami menggulungkan langit seperti menggulung lembaran surat catitan, sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, kami ulangi wujudnya lagi sebagai satu janji yang ditanggung oleh kami sesungguhnya kami tetap melaksanakannya. ”

Fenomena Lubang Putih juga telah dibincangkan di dalam buku ini berkenaan akan fungsinya yang bertentangan dengan Lubang Hitam di mana sekiranya Lubang Hitam menelan material ke dalamnya, Lubang Putih pula menyebarkan dan memuntahkannya ke angkasa. Telah banyak dikatakan mengenai fenomena angkasa ini seperti Surah ar-Rum, ayat 19 yang bermaksud

”Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan sesuatu yang mati dari benda yang hidup. ”

Bumi merupakan alam kita yang kecil, diciptakan oleh Allah SWT untuk manusia seperti dalam Surah ar-Rahman, ayat 10 yang bermaksud”Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhluknya yang lain”. Kemudian Allah SWT menjadikannya daripada tanah (Surah Nuh ayat 17) yang bermaksud”Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi dengan pertumbuhan yang sungguh sempurna. ”

Bumi merupakan sebuah planet daripada planet-planet dalam system solar. Sistem solar kita terdiri daripada matahari dan sembilan buah planet, bulan adalah salah satu di antara planet-planet ini. Matahari pula bertugas dengan menerangi system kita ini dengan kepanasan dan cahaya seperti dalam Surah Yunus ayat 69 yang bermaksud”Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya. ”Selain itu, seperti Surah az-Zumar ayat 69 yang bermaksud”Dan akan bersinar dengan terang benderanglah bumi dengan cahaya Tuhannya. ”

Manusia merupakan makhluk Allah yang paling ajaib. Ia disebut dengan banyak dalam Kitab-Nya dan merupakan kejadian yang dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran ini. Manusia adalah makhluk yang diperintahkan malaikat supaya sujud kepadanya (sujud sebagai tanda hormat dan alu-aluan) . Firman Allah SWT Surah al-A’raf ayat 11 yang bermaksud, ”Kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat:”sujudlah kamu kepada Adam. ”Surah al-Isra ayat 70 yang bermaksud, ”Dan sesungguhnya Kami telah muliakan anak-anak Adam; dan Kami telah berikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

Manusia juga dianugerahkan sifat yang ada pada hidupan yang lain, iaitu kemampuan untuk membiak, dianugerahkan dengan sifat yang ada pada haiwan iaitu kemampuan untuk merasa dan berperasaan serta disulami dengan naluri dan keingininan, dianugerahkan sifat yang ada pada malaikat iaitu mengenali Pencipta, tunduk dan beribadah kepada-Nya.

Makhluk yang menakjubkan ini adalah dijadikan oleh Allah SWT yang disempurnakan penciptaannya seperti dalam Surah al-Infitar ayat 6 sehingga 8 yang bermaksud, ”Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang amat pemurah?; Tuhan yang telah mengaturkan kejadianmu lalu menjadikan anggotamu sesuai serta menjadikannya sama padan dengan kekuatanmu; Dan dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki; Dia susunkan kejadianmu.

Allah SWT memberikan manusia penglihatan dan pendengaran. Dengan kedua-dua pancaindera ini, mereka mampu unutk mengenali apa yang ada di dalam alam yang besar ini.

Seterusnya buku ini membincangkan tentang menyingkap hijab perkara yang lampau dan akan datang. Sesungguhnya Al’Quran memberitahu kita apa yang telah berlaku kepada umat-umat yang lalu, kisah rasul-rasul yang lepas dan sesuaty yang tidak diketahui oleh sesiapapun. Semuanya itu disampaikan kepada kita melalui lidah nabi yang tidak dapat membaca dan menulis.

Bukti yang memadai untuk perkara ini ialah apabila kita membaca Al-Quran, kita menemui banyak kalimah-kalimah yang menunjukkan betapa banyak perkhabaran ghaib yang telah dikhabarkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya. Antaranya ialah seperti di dalam Surah Ali Imran ayat 44 yang bermaksud, ”Sedang engkau tidak bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan kalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. ”Surah al-Qasas ayat 45 pula menerangkan, ”Dan engkau pula tidak pernah tinggal bersama-sama penduduk negeri Madyan membaca dan mempelajari daripada mereka ayat-ayat keterangan Kami. ”

Selepas itu buku ini membincangkan mengenai Yakjuj dan Makjuj. Seperti dalam Surah Al-Kahfi ayat 97 sehingga 98 yang bermaksud, ”Maka mereka tidak akan dapat memanjatnya dan mereka tidak dapat juga menebuknyal (Setelah itu) berkatalah dia:”Ini adalah satu rahmat daripada Tuhanku, dalam pada itu apabila sampai janji Tuhanku, ia akan menjadi hancur lebr dan adalah janji Tuhanku itu adalah benar. ”

Natijahnya, syariat Islam merupakan syariat terbesar yang paling teliti dan yang paling suci. Di dalamnya terdapat setiap perkara yang memperbaiki individu dan masyarakat, serta membantu individu untuk melaksanakannya – apa yang diciptakan untuknya – daripada beribadat kepada Allah dan memakmurkan bumi ini. Oleh itu, setelah habis membaca dan merumuskan buku ini, saya berharap segala ilmu yang telah saya dapati dapat digunakan untuk pembelajaran saya yang akan datang agar dapat saya tempuhi cabaran-cabaran yang mendatang mahupun duniawi ataupun akhirat. Begitu juga saya memohon kepada Allah agar diberikan sebaik-baik balasan seperti di dalam Surah Al-Baqarah ayat 255 yang bermaksud, ”Sedang meraka tidak mengetahui sesuatupun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki. ”

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com