Kesengsaraan Penghuni Neraka -

Di Sediakan Untuk : Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Di Sediakan Oleh : Azira Binti Mehat

Di dalam ayat Al-Quran telah dinyatakan tentang perihal neraka. Dalam surah Al-Baqarah ayat 39 yang ertinya :”Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya, ”jelas dalam ayat ini menunjukkan kewujudan neraka. Neraka yang dalam bahasa arabnya membawa maksud iaitu suatu tempat di akhirat, yang mana diwujudkan dengan api yang bergelojak dan berkobar-kobar dengan dahsyatnya hingga dapat mengelupaskan kepala dan dapat menusuk ke hati, disediakan oleh Allah SWT dan diancamkan oleh-Nya untuk seluruh orang-orang kafir. Begitulah dasyatnya perihal neraka betapa ngeri keadaan di dalamnya. Sesungguhnya neraka itu dicipta semata-mata untuk menjadi tempat seksaan bagi golongan orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, orang-orang musyrik, orang-orang yang selalu berbuat dosa, orang-orang munafik, orang-orang yang buruk amal perbuatannya, derhaka dan tidak mentaati serta tidak mahu berbakti kepada Allah SWT dan tidak melaksanakan perintah Allah, bahkan sentiasa melakukan segala larangan Allah. Bagi golongan orang seperti itu, mereka adalah calon-calon untuk merasa kedasyatan seksaan dan Allah SWT akan mengencam dengan azab dan seksa yang sangat mengerikan. 

Al-Quran telah menjelaskan akan nama-nama neraka serta tingkatannya. Terdapat lapan jenis neraka yang telah diciptakan oleh Allah SWT daripada api yang sangat panas. Neraka itu adalah :-
1. Neraka Jahanam
2. Neraka Jahiim
3. Neraka Hawiyah
4. Neraka Wail
5. Neraka Sa`iir
6. Neraka Ladhaa
7. Neraka Saqar
8. Neraka Huthamah

Terdapat tingkat-tingkat dalam neraka, dalam surah An-Nisa` ayat 145 yang ertinya :”Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan ) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka, ”Maka berdasarkan ayat inilah bahawa neraka itu mempunyai tingkatan yang setiap tingkatan akan ditempati ahli neraka sesuai dengan klasifikasi status mereka masing-masing. Tingkatan yang pertama Neraka Jahanam diperuntukkan orang-orang mukmin yang berterusan melakukan maksiat. Tingkatan kedua pula Neraka Ladha diperuntukan orang Majusi. Tingkatan yang ketiga. Neraka Huthamah diperuntukkan untuk orang-orang Yahudi. Seterusnya untuk orang-orang Nasrani disediakan Neraka Sa`iir iaitu di tingkatan yang keempat. Tingkatan yang kelima Neraka Saqar diperuntukan orang-orang yang menyembah berhala. Tingkatan yang ketujuh Neraka Hawiyah diperuntukkan bagi orang-orang munafik. 

KEADAAN DI DALAM NERAKA
Di dalam neraka terdapat pintu-pintu masuk para ahli neraka. Al-Quran menyatakan bahawa terdapat tujuh pintu masuk ke neraka. Keadaan pintu-pintu neraka telah dijelaskan dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW.. Sesungguhnya baginda bertanya kepada Malaikat Jibrail AS :”Apakah pintu-pintu neraka itu sama seperti pintu kami ini?”Maka Malaikat Jibrail menjawab:”Tidak, bahawa pintu neraka itu terbuka ke bawah. Oleh kerana itu, sebahagian lebih ke bawah dari sebahagian yang lain, yang jarak dari satu pintu ke pintu yang lain adalah perjalanan selama 700 tahun. Dan setiap pintu neraka panasnya lebih sangat bila dibandingkan dengan pintu yang ada di sebelahnya dengan selisih 70 kali lipat panasnya, ”

Di dalam Al-quran tidak ada ayat yang menjelaskan tentang adanya jambatan (sirath) tersebut. Sesungguhnya Allah SWT. menciptakan jambatan itu berada di atas neraka iaitu sirath, yang terletak di tengah-tengah neraka jahanam, yang sangat licin dan boleh mengelincirkan. Bentuknya lebih lembut daripada rambut yang tajamnya lebih dari mata pedang dan lebih gelap daripada malam. Bagi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah sudah tentu dapat selamat dan tiada halangan apapun dalam melalui jambatan tersebut. Tetapi sebaliknya bagi orang yang celaka pasti akan terjerumus ke dalam api neraka. Cara-cara para makhluk semasa melalui jambatan itu adalah berbeza-beza :-
1. Golongan yang pertama seperti kilat yang menyambar. 
2. Golongan kedua seperti angin kencang. 
3. Golongan ketiga seperti burung yang terbang. 
4. Golongan keempat seperti larinya kuda pacuan. 
5. Golongan yang kelima seperti seorang yang berjalan cepat. 
6. Golongan yang keenam seperti larinya binatang ternakan. 
7. Golongan ketujuh seperti lari selama sehari semalam. 

Cara manusia berjalan melalui sirath itu ada bermacam-macam jenis bergantung pada amalannya semasa di dunia sama ada dia menjalankan perintah Allah ataupun meninggalkannya. Diriwayatkan, ”Sesungguhnya manusia ketika melalui jambatan tersebut dikepung api neraka. Di bawah kaki mereka, di atas kepalanya. Sebelah kanan dan kirinya, di depan dan di belakang juga dikepung dengan api neraka yang sangat panas dan menyala-nyala. Firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 71-72 bermaksud :
“Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi mereka itu. Perkara itu bagi Tuhan-Mu adalah suatu kepastian yang sudah ditetapkan. Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalamnya dalam keadaan berlutut. ”

Dalam surah Ash-Shafat ayat 63-65 telah diterangkan mengenai pepohonan yang ada di dalam neraka. Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai cubaan bagi orang-orang yang zalim. Sesungguhnya dia adalah sebatang pokok yang keluar dari dasar neraka yang menyala. Buahnya seperti kepala-kepala syaitan. ”

Begitulah sebagaimana keadaan di dalam neraka yang telah dicipta di dalamnya pepohonan zaqqum sebagai makanan penghuni neraka. Di dalam hadis nabi SAW. diterangkan ; Bahawa semiskin-miskinnya penghuni neraka adalah ketika mereka meminta pertolongan dengan makanan, lalu didatangi kepada mereka makanan kayu Zaqqum, ketika sudah datang kepada makanan kayu zaqqum itu, mereka terus memakannya, maka mendidihlah apa yang ada di dalam perutnya dan otaknya, serta gigi geraham mereka. Kemudian keluarlah dari mulut mereka api yang menjilat-jilat dan jasad mereka hancur diantara tapak kaki mereka. 

Di dalam neraka juga terdapat api-api yang bergelojak, teramat panas dan berkobar-kobar. Panasnya melebihi panas api di dunia. Ia merupakan lautan api yang tidak kunjung reda dan tidak kunjung padam. Api inilah yang akan menghancurkan penghuni neraka. Dan sesungguhnya bahan bakar di neraka adalah manusia-manusia yang masuk di dalamnya dan batu-batu. Di dalam neraka juga terdapat peralatan untuk menyeksa penghuninya, alat-alat itu adalah seperti rantai besi, cambuk dan belengu. Yang mana panjang rantai-rantai itu adalah 70 hasta. Bukan itu sahaja, di dalam neraka terdapat benda lain untuk digunakan bagi menyeksa orang-orang yang berdosa, terdapat juga tujuh puluh ribu bukit yang mana setipa bukit itu mempunyai tujuh puluh ribu jurang. Pada setipa jurang terdapat tujuh puluh ribu nyalaan api dan setiap nyalaan api itu terdapat tujuh puluh ribu kampung yang man setiap kampung itu ada tujuh puluh ribu mahligai. Pada tiap-tiap mahligai terbina tujuh puluh ribu rumah dari api. Pada tiap-tiap rumah itu terdapat tujuh puluh ribu ular dan tujuh puluh ribu kala jengking dan pada setiap ekor kala jengking itu mempunyai tujuh puluh ribu ekor sebagai penyengat. 

Inilah ancaman Allah SWT. kepada calon-calon penghuni neraka. Kesemuanya telah dijelaskan di dalam firman-firman Allah dan juga hadis-hadis rasulullah sebagai peringatan buat manusia di dunia yang masih lagi belum beriman dan juga buat sesiapa yang tidak mahu beriman agar segera bertaubat dan kembali ke jalan agama Allah dan sentiasa mempertingkatkan ilmu dan amalannya dalam mencari keberkatan Illahi. 

MENGAPA MANUSIA BOLEH TERJERUMUS KE NERAKA

Terdapat banyak factor yang boleh menyebabkan manusia terjerumus ke neraka. Diterangkan dalam surah An-Nisa` ayat 29-31 yang bermaksud;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan cara perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu. Dan barang siapa berbuat demikian dengan melanggar haq dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. Yang demikian itulah mudah bagi Allah. Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang di larang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga) . ”

Dalam ayat di atas telah dinyatakan akan jenis-jenis kesalahan yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi calon ahli syurga. Antara kesalahan yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi ahli neraka adalah dengan melakukan dosa besar seperti syirik yakni menduakan Allah dengan kuasa lain, memakan harta anak yatim, membunuh diri, mengambil riba, berzina dan derhaka pada ibu dan bapa. Selain itu, bagi orang yang sentiasa melakukan dosa-dosa kecil berulang kali ianya juga boleh menyebabkan dirinya termasuk dalam senarai ahli neraka. 

KEADAAN CALON AHLI NERAKA

Ketika di dunia :-

Calon ahli neraka ketiak di dunia sentiasa mencari kesenangan dunia sehingga lupa akan bekalan untuk akhirat. Mereka ini ketika hidup sering melakukan dosa walaupung mereka sedar akan perbuatan mereka itu berdosa. Mereka sentiasa terikut-ikut dengan hasutan syaitan dan juga pujukan nafsu. Sifat mereka ini diumpamakan bagaikan binatang yang hanya mengenal makan, minum dan syahwatnya sahaja, malah di dalam al-Quran sendiri dijelaskan oleh Allah SWT. bahawa mereka itu sangat hina lebih dari binatang. Ini kerana mereka itu mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, mempunyai mata tapi tidak digunakan untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah dan mereka juga mempunyai telinga tetapi tidak pernah digunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. 

Di alam kubur :-

Sesungguhnya kubur merupakan tempat seksaan di dunia. Ianya boleh diibaratkan seperti”neraka mini”dunia. Semua hidupan di muka bumi kan merasa mati dan tidak ada yang kekal di dunia ini melainkan allah SWT.. Pada waktu mayat itu dibawa ke kubur, maka mayat itu tidak akan berdiam diri, melainkan mayat itu berkata-kata. Perkataan yang diucapkan oleh mayat itu hanya boleh didengari oleh semua makhluk kecuali manusia dan jin. Orang yang mati dalam keadaan kufur akan menerima seksaan di alam kubur. Antara seksaannya ialah disempitkan liang lahadnya hingga hancur luluh tulang rusuknya, mereka akan berasa sengsara sehingga datangnya hari kiamat, pada hari kiamat akan dibutakan mata mereka, dan kubur mereka dalam keadaan gelap gelita. 

Di hari kiamat dan di neraka :-

Rupa ahli neraka ketika di padang Masyar adalah dalam keadan hitam pekat seperti arang dan tunduk terhina. Ini telah dijelaskan didalam Al-Quran. Dan apabila mereka dimasukkan ke dalam neraka, maka mereka akan berada dalam keadaan yang teramat sengsara dan kepedihan. Mereka juga diselubungi perasaan takut, khuatir, rasa sedih, penyesalan, dahaga, lapar yang tidak kunjung kenyang, mereka juga dalam keadaan miskin dan terhina. Malah mereka juga menjerit-jerit ingin mati dan mahu kembali ke dunia untuk melakukan amal soleh. Selain itu, keadaan diri mereka kurus dan badan penuh dengan luka-luka akibat daripada sentuhan api yang bergejolakdan menyala-nyala. Mereka pada masa itu tidak hidup dan tidak mati

KESENGSARAAN AHLI NERAKA
Apabila mereka yang menjadi calon ahli neraka tiba di pintu-pintu neraka, mereka disambut oleh para Malaikat Zabaniyah. Malaikat-malaikat ini akan membelengu mereka dengan rantai-rantai seta cambuk-cambuk lalu diseret muka mereka dan dilemparkan ke dalam api neraka yang bergelojak. Para malaikat juga turut memukul mereka dengan dengan palu besi. Bagi orang yang tidak berpegang pada amanatnya pula, akan diseret wajah mereka ke neraka dan ketika mereka jatuh ke dalam neraka Jahanam, maka setiap anggota badan mereka akan hancur dalam satu tempat, setiap otot akan hancur dalam suatu tempat dan hatinya akan hancur dalam satu tempat. Seksaan di neraka adalah berbeza-beza bagi setiap tingkat kesalahan yang di lakukan. 

Penghuni neraka adalah mereka yang sentiasa lapar dan dahaga, mereka sentiasa merintih-rintih dan menjerit-jerit merasakan letih dan dahaga. Bagi penghuni neraka tidak disediakan makanan ataupun minuman yang lazat dan enak. Yang ada hanyalah pohon zaqqum dan juga pohon yang berduri. Selain daripada pepohonan sebagai makanan, makanan bagi mereka adalah dari nanah dan darah yang terpaksa harus dimakan mereka. Jika mereka berasa haus dan dahaga minuman yang ada bagi mereka adalah dari mata air yang mendidih yang boleh menggentarkan hati mereka. 

Nasib yang di alami oleh penghuni neraka amat malang dan sengsara kerana sekejap pun mereka tidak pernah berasa bahagia, mereka sentiasa dalam keadaan miskin dan hina-dina. Mereka tiada pakaian melainkan pakaian yang diperbuat dari api neraka, tembaga yang dibakar api neraka sebagai baju dan pakaian dari pelangkin yang mendidih. 

Begitulah seksaan dari Allah buat orang-orang yang tidak melakukan suruhannya, sungguh dasyat sedangkan seringgan-ringgan seksaan di neraka adalah diletakkan di bawah tumit mereka bara api yang boleh mendidihkan otak. Penghuni neraka adalah kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Orang-orang kafir abadi di dalam neraka mereka akan menerima seksaan untuk selama-lamanya. Mereka tidak dapat menyelamatkan diri melainkan menerima seksaan di dalam neraka. Orang-orang yang murtad juga kekal di dalam neraka. Walaubagaimanapun bagi orang mukmin mereka tidak kekal di dalam neraka. Allah akan memerintahkan kepada Malaikat Zabaniyah untuk mengeluarkan hamba-hambanya yang di dalam hati mereka terdapat butir-butir dari keimanan, iaitu mempercayai adanya Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa, atau mentauhidkan-Nya namun mereka mencampuradukan antara barang yang hak dengan kebatilan, antara amal kebaikan dengan amal kemaksiatan. Oleh kerana itu di dalam sebuah hadis sahih dijelaskan bahawa orang mukmin tidak akan kekal oleh Allah di dalam neraka setelah mereka dimasukkan ke dalam neraka akibat dari dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Setelah bersih barulah mereka akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. 

KESIMPULAN
Sesungguhnya neraka merupakan tempat yang paling dasyat untuk menghukum orang-orang yang melanggar perintah Allah SWT. kesengsaraan yang akan menjadi santapan penghuninya harus di jadikan teladan dan kita seharusnya memfaatkan kehidupan di dunia untuk mencari keberkatan yang Esa agar kita tidak termasuk dalam golong penghuni neraka. Amin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com