Jangan Bersedih Hati -

Di sini ingin saya nukilkan tentang buku yang telah saya baca yang bertajuk La Tahzan atau dalam bahasa melayunya bermaksud jangan bersedih. Buku ini ditulis oleh Dr ‘Aidh bin ‘Abdullah Al-Qarni dan diterjemahkan oleh Noraine Abu. Buku ini telah dijilidkan kepada 3 bahagian dan saya hanya akan membuat rumusan tentang jilid yang 1. Buku ini membicarakan tentang perkara-perkara yang membuatkan seseorang itu bersedih dan ditujukan kepada mereka yang kehidupannya sering dikelilingi oleh musibah dan sentiasa berada dalam kegelisahan. Buku ini menjadikan islam sebagai garis panduan untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau untuk mengatasi kekecewaan yang dialami dan disinilah terletaknya keistimewaan buku ini. Dalam jilid yang pertama ini terdapat sebanyak 108 sebab mengapa seorang yang digelar insan tidak perlu bersedih atas kesulitan yang dialami kerana”setelah kesulitan pasti ada kemudahan”, tetapi saya hanya akan membuat rumusan sebanyak 11 sebab sahaja. 

Sebab pertama jangan bersedih kerana Tuhan Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat Seperti dalam firman Allah (SWT) yang bermaksud katakanlah:”Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Dalam ayat ini Allah menyapa oramg yang melampaui batas dengan panggilan wahai hamba-hambaKu adalah untuk menyatukan hati mereka dan menyentuh hati mereka untuk mendengarkan ayat ini dengan baik. Dalam ayat ini juga Allah melarang hambaNya daripada berputus asa dalam memohon ampun daripada Allah dan Allah juga mengatakan bahawa Dia akan mengampuni semua dosa siapa saja yang bertaubat kepadaNya, samaada dosa yang dilakukan mereka secara samar-samar atau yang terang- terangan. Dalam riwayat shahih Rasullullah (SAW) bersabda:”Sesungguhnya Allah Ta’ala membuka tanganNya pada waktu malam untuk menerima taubat orang pada siang hari dan menbuka tanganNya pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada malam hari, hingga matahari terbit dari sebelah barat”. Inilah bukti bahawa sesungguhnya Allah itu sangat menyayangi dan mengasihani hambaNya yang bertaubat setelah melakukan dosa inikan pula rasa cinta Allah terhadap hambaNya yang bertaqwa dan hidup berpegang teguh dengan tali Allah. 


Sebab yang kedua adalah segala yang terjadi dan akan terjadi sesuai dengan Qadha dan Qadarnya adalah merupakan keyakinan orang –orang islam. Tiada sesuatu pun yang terjadi di dalam alam ini, kecuali dengan pengetahuan Allah, izinNya dan ketentuanNya. Bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 22 yang bermaksud”Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (lauh mahfudz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”. Rasulullah (SAW) juga bersabda:”Bila kamu hendak meminta, mintalah kepada Allah. Bila kamu hendak meminta tolong, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, sekiranya seluruh manusia berkumpul untuk mendatangkan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukannya, dan sekiranya mereka berkumpul untuk mendatangkan suatu mudarat kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukannya, kecuali jika Allah telah menetapkan untukmu pena telah diangkat dan lembaran telah mongering”. Maka kita sebagai seorang muslim wajib berpegang teguh dengan qadha dan qadar kerana ia merupakan salah satu rukun iman yang wajib diimani oleh setiap insan yang bergelar muslim. 

Yang ketiga adalah jangan bersedih kerana dunia ini tidak selayaknya untuk ditangisi. Kebahagiaan seseorang akan bertambah apabila dia mampu untuk mengabaikan semua perkara yang remeh dan tidak berguna. Kerana setiap muslim patut lebih menginginkan kepada kebahagiaan di akhirat. Setiap mukmin patut menjadikan surah Al-Haqqah ayat 18 sebagai pedoman yang bermaksud:”Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Rabbmu) tiada sesuatu pun daripada keadaanmu yang tersembunyi bagi Allah”. Dunia adalah tempat persinggahan sementara bagi manusia sebelum menuju ke alam yang kekal abadi di akhirat, oleh itu manusia seharusnya tidak hanya mengejar kebahagiaan hidup di dunia tetapi mengimbanginya dengan amalan-amalan berupa ibadat dan amal soleh untuk dijadikan bekalan menuju alam akhirat. Namun manusia juga harus mengetahui bahawa untuk berjaya di akhirat juga manusia harus menggunakan landasan dunia, iaitu untuk dijadikan tempat menuntut ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah dan memakmurkan muka bumi Allah. 


Yang keempat adalah jangan bersedih, dengan tingkah-laku manusia terhadap kita, tetapi perhatikanlah tingkah-laku mereka terhadap Allah. Kita seharusnya tidak perlu bersedih dengan tingkah-laku orang lain terhadap kita, kerana mereka adalah orang yang tidak mengetahui bagaimana seharusnya bersikap kepada sesama makhluk Allah dan kita seharusnya menjadikan perkara itu sebagai pengajaran dalam kehidupan dan liku-liku hidup yang terpaksa kita tempuhi. Orang yang tidak tahu menghormati dan menghargai sesama manusia sebenarnya juga bersikap sedemikian kepada tuhannya. Menurut Imam Ahmad, dalam bukunya Az-Zuhud, Allah (SWT) telah berfirman:”Wahai anak adam, sungguh hairan kulihat dirimu!Aku telah menciptakanmu tetapi kamu malah menyembah selain Aku. Aku telah memberikanmu rezeki, tetapi kamu malah bersyukur kepada selain Aku. TelahKu tunjukkan kasihKu dengan memberimu berbagai nikmat, sedang Aku sama sekali tidak memerlukanmu, tetapi kamu malah memperlihatkan kebencian kepadaKu dengan berbuat maksiat. KebaikanKu selalu Ku limpahkan kepadamu, tetapi kebodohanmu selalu kamu pamerkan kepadaKu”. Ini menunjukkan kepada kita bahawa sudah menjadi lumrah manusia tidak tahu mengucapkan syukur atas setiap rahmat yang dilimpahi Allah kepada kita, Allah telah mengangkat darjat kita dengan menciptakan kita sebagai manusia dan diberikan lagi nikmat islam dan iman yang tak ternilai harganya, sebagai penunjuk jalan di dunia. Maka adakah seseorang yang memperoleh nikmat sedemikian tidak patut untuk mengucapkan syukur kepada tuhan pemberi rahmat baginya. 

Sebab yang kelima jangan bersedih, adalah kerana kesedihan itu merosak badan. Dr Alexis Carlyle, pemenang hadiah nobel dalam bidang kedoktoran mengatakan:”Para pekerja yang tidak tahu bagaimana menghadapi kesedihan akan mati lebih cepat”namun setiap muslim patut mempercayai bahawa segala sesuatu itu berlaku atas Qadha dan Qadar dari Allah, walau begitu pernyataan ini boleh diertikan sebagai:”Salah satu sebab yang menghancurkan tubuh dan membinasakan diri adalah keraguan, dan ini benar”. Selain itu Dr Russel Cecil dari fakulti kedoktoran Universiti Cornell menyebut ada 4 sebab utama yang membuat goyahnya perasaan adalah:
1. Rumah tangga yang binasa
2. Bencana yang bersifat material dan kesedihan
3. Kesunyian dan kecemasan
4. Perasaan terhina dan dendam kesumat

Selain itu Al-Mutanabbi berkata:
. Kecemasan
. Hanya akan mengakibatkan tubuh menjadi kurus
. Dan rambut akan beruban
. Dan menjadi amat tua

Selain itu ketenangan hati, keteduhan perasaan, kelapangan dada dan kebahagiaan adalah satu manfaat terbesar dari firman Allah yang bermaksud”….. dan orang-orang yang memaafkan (kesalahan) orang….. (Ali ‘Imran 13) . Setiap manusia harus berusaha untuk memelihara kurniaan Allah iaitu nikmat kesihatan tubuh badan, makanya perkara-perkara yang dapat mendatangkan mudarat kepada diri dan kesihatan seperti bersedih secara berterus-terusan adalah wajib untuk dijauhi. 

Sebab yang keenam adalah jangan bersedih dengan bencana, anda masih belum mengetahui rahsia dan hikmahnya. Seorang sejarawan dan sasterawan Mesir, Ahmad bin Yusuf menyebut dalam bukunya Al-Mukafa’ah wa Husnul ‘Uqba bahawa”Manusia sebenarnya telah mengetahui bahawa penggantian keadaan (lenyap kesedihan dan kesulitan) dengan sesuatu yang sebaliknya adalah sesuatu hal yang pasti sebagaimana lenyapnya malam menandakan munculnya siang, namun kelemahan tabiat manusia selalu sahaja mengiringi jiwa pada saat terjadinya bencana. Jika tidak diubah maka akan bertambahlah penyakitnya, dan akan semakin besar cubaannya. Jiwa harus diberi kekuatan baru pada saat berada dalam kesulitan, kerana apabila jiwa tidak disuntik dengan kekuatan baru, jiwa akan dipenuhi sifat putus asa, yang seterusnya akan menghancurkan dirinya sendiri”. Ada 2 sikap yang boleh dijadikan sebagai kekuatan agar seseorang mampu meraih manfaat dari kesulitan yang menimpanya, pertamanya adalah sikap yang paling ringan iaitu memiliki kekuatan hati untuk menerima setiap kesulitan yang menimpanya dengan dada yang lapang. Yang kedua adalah sikap yang sangat berat iaitu mampu menyerahkan sepenuhnya kesulitan yang dihadapi kepada Yang Maha Menguasai dirinya dan Yang Maha memberi rezeki kepadanya iaitu Allah. Plato ada mengatakan :“kesulitan itu akan membaiki jiwa sebanding dengan kehidupan yang dirosaknya, sedangkan kesenangan akan merosak jiwa sebanding dengan kehidupan yang diperbaikinya”dan ayat lainnya”Kesenangan itu laksana malam, kerana tiada yang boleh meramalkan apa yang akan diperoleh darinya. Sebaliknya, kesulitan itu laksana siang, kerana anda melihat dengan jelas apa yang anda usahakan dan apa yang diusahakan oleh orang lain”

Sebab yang ketujuh jangan bersedih kerana, Allah akan mengganti yang lebih baik, Allah tidak pernah mencabut sesuatu dari anda kecuali Dia menggantikannya dengan yang lebih baik, apabila kita bersabar dan tetap redha dengan segala ketentuanNya. Seperti firman Allah dalam surah Al-Hadith yang bermaksud:”Barangsiapa yang Aku butakan kedua matanya, lalu ia bersabar, nescaya akan Aku ganti dengan syurga”. Maka kita tidak perlu terlalu bersedih dengan musibah yang menimpa kita, sebab semua itu memiliki syurga, balasan, pengganti, dan ganjaran yang besar pada hari akhirat kelak. Firman Allah yang lain dalam surah Ar-Rad ayat 24 yang bermaksud:”Kesejahteraan dan kebahagiaan bagi kalian kerana kalian telah bersabar dalam mentaati Allah dan menerima cubaanNya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahan”. Orang-orang yang ditimpa musibah, sebenarnya tidak ada sesuatu pun yang hilang dari mereka, mereka sebenarnya beruntung, kerana Allah selalu menurunkan sesuatu kepada para hambaNya dengan”surat ketetapan”yang hurufnya terdapat suatu kelembutan, kasih-sayang, pahala, dan juga pilihan. Maka, sesiapa yang ditimpa musibah yang hebat, dia harus menghadapinya dengan sabar, mata yang jernih dan pemikiran yang panjang, dengan itu dia akan dapat melihat bahawa hikmah dari musibah itu adalah:
……lalu dirikanlah di antara mereka (orang-orang mukmin dan orang munafiq) dinding yang mempunyai pintu, yang di sebelah dalamnya ada rahmat (syurga) dan di sebelah luarnya ada seksa (neraka) ……. (Al-Hadid:13) 

Sebab yang kelapan adalah jangan bersedih dengan kehidupan kerana, iman adalah kehidupan yang sebenarnya. Orang-orang yang sesungguhnya paling sengsara adalah mereka yang miskin iman dan mengalami krisis keyakinan, mereka ini akan selamanya berada dalam kesengsaraan, kepedihan, kemurkaan dan kehinaan merujuk kepada firman Allah dalam surah Thaha ayat 124 yang bermaksud:”Dan, barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit……”. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang dapat membahagiakan jiwa, membersihkannya, menyucikannya, membuatnya bahagia dan mengusir kegundahan darinya selain keimanan yang benar kepada Allah. Firman Allah dalam surah Al-Nahl ayat ke 97 pula bermaksud:”Barangsiapa mengerjakan amal soleh baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”. Maksud kehidupan yang baik dalam ayat tersebut adalah ketenangan jiwa kerana berpegang dengan janji Allah, keteguhan hati dalam mencintai Allah yang menciptakan kita, kesucian nurani kita, ketenangan kita dalam menghadapi kehidupan, kerelaan hati kita diatas Qadha dan Qadar Allah dan keikhlasan kita dalam menerima takdir. Ini semua hanya dapat dicapai oleh setiap muslim apabila mereka benar-benar yakin dan tulus menerima bahawa Allah adalah tuhan mereka, islam agama mereka dan Muhammad (SAW) adalah nabi dan rasul yang diutus Allah untuk mereka. 

Yang kesembilan jangan bersedih kerana, solat itu adalah ubat yang paling mujarab untuk menghilangkan kesedihan. Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 153 yang membawa maksud:”….. Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat….. ”Bagi seorang muslim apabila mereka berada dalam ketakutan, kesedihan dan kerisauan maka hendaklah dia segera menunaikan solat, insyaAllah jiwanya akan kembali tenang dan tenteram kerana sesungguhnya solat itu atas izin Allah boleh menjaga kita dengan menghilangkan kesedihan dan kerisauan yang menghimpit diri. Rasulullah (SWT) juga apabila dilanda masalah, baginda telah bersabda kepada Bilal b. Rabbah (r. a) bahawa:”Wahai Bilal, aku dapat merasa tenang dengan solat”. Sebaik-baik penenang jiwa dan ketenteraman hati adalah solat yang khusyuk. Suruhan solat fardhu lima waktu sehari semalam yang merupakan sebagai penghapus dosa dan mengangkat darjat kita di sisi tuhan sebenarnya berfungsi sebagai ubat yang mujarab untuk mengubati pelbagai kesedihan dan pelbagai penyakit yang dihadapi jika dilaksanakan dengan penuh khusyuk dan diiringi dengan sifat ikhlas. 

Kesepuluh jangan bersedih kerana, sabar itu indah. Menghiasi diri dengan sifat sabar merupakan akhlak orang-orang mulia yang menghadapi kesulitan hidup dengan lapang dada, tidak mudah menyerah, serta percaya kepada diri. Kita hendaklah memohon pertolongan dan taufiq dari Allah supaya diberikan sikap sabar dalam menghadapi dugaan hidup di dunia. Bersabarlah sebagaimana kesabaran orang yang yakin akan pertolongan daripada Allah, orang yang tahu sebaik-baik tempat kembali, orang yang mengharapkan pahala dan orang yang mengharapkan terhapusnya dosa mereka. Sesungguhnya pertolongan akan datang setelah kesabaran, kelapangan akan datang setelah kesusahan dan kemudahan akan datang setelah kesulitan, kerana sesungguhnya sabar itu adalah separuh dari iman. 

Kesebelas jangan bersedih tetapi senyumlah. Ketawa boleh menjadi ubat dan menghilangkan kesedihan, dalam senyuman terdapat kekuatan yang menakjubkan untuk membuat jiwa bergembira dan menyenangkan hati. Abu Darda (r. a) pernah berkata”sesungguhnya aku akan tertawa untuk membahagiakan hatiku”. Dalam Faidhul Khathir, Ahmad Amin berkata:”Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan sahaja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan berbagai urusan, lebih bertanggungjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih profesional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat untuk diri dan masyarakat”. Walaubagaimanapun ketawa itu hendaklah tidak berlebih-lebihan dan tidak dimaksudkan mencemuh atau mengejek seperti dalam pepatah:”Janganlah terlalu banyak tertawa, kerana terlalu banyak ketawa akan mematikan hati”. Janganlah tertawa sinis dan sombong seperti orang kafir, sehingga Allah berfirman dalam surah Az-Zukhruf ayat 47 yang bermaksud”Tatkala dia datang kepada mereka dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami, dengan serta-merta mereka mentertawakannya”. Disebutkan juga salah satu nikmat Allah yang diberikan kepada penghuni syurga adalah tertawa, seperti dalam firman Allah dalam surah Al-Muthaffifin ayat yang ke 34, yang bermaksud”Maka pada hari ini orang-orang yang beriman mentertawakan orang-orang kafir”. Sesungguhnya manusia sangat memerlukan kepada senyuman, wajah yang ceria, hati yang lapang, akhlak yang menawan, jiwa yang lembut dan keramahan. Satu hadis telah meriwayatkan”Sesunguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku (Muhammad) agar kalian bersikap tawadhu’ hingga tiada seorang pun yang berbuat zalim terhadap orang lain dan tidak ada seorang pun yang berlaku angkuh terhadap orang lain”. 

Kesimpulannya, mengapa kita harus bersedih jika kita masih diberi peluang dan kesempatan untuk bernafas, menghirup udara ciptaan tuhan, berpijak di bumi tuhan dan menerima rezeki tuhan, mengapa kita perlu menangisi perkara-perkara yang telah berlalu sedangkan hidup perlu diteruskan dan terlalu banyak perkara yang boleh dan perlu kita capai dalam hidup ini. Manusia yang maju adalah manusia yang terus memandang ke hadapan dan membuat perancangan untuk masa depannya, dia tidak akan sekali-kali memandang masa lepas yang talah berlalu pergi, tetapi akan menjadikan masa lalu itu sebagai pengajaran dan iktibar untuk memempuhi kehidupan yang akan datang. Diharap coretan ini memberi sedikit sebanyak inspirasi dan harapan di dalam kehidupan kita sehari-hari. 

Disediakan oleh: Zulaika bt Nordin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com