Ekonomi Dan Perniagaan Secara Islam -

Islam menggalakkan umatnya untuk bekerja demi mencari rezeki tidak kira apa pekerjaan sekali pun. Malah dalam Islam bekerja adalah diwajibkan untuk mengisi keperluan diri sendiri, untuk keluarga dan orang yang di bawah tanggungan. Bahkan Islam amat membenci pengangguran dan hidup meminta-minta.

Terdapat sebuah hadis riwayat Imam Bukhari bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang lelaki yang meminta sedekah. Baginda SAW meminta lelaki terbabit untuk menunggu diluar dan Baginda SAW kembali dengan membawa sebilah kapak lalu menyerahkan pada lelaki tersebut. Baginda SAW menyuruh lelaki tersebut ke pasar dan pergi bekerja mencari kayu dan menjualnya di pasar untuk mendapat hasil jualan. Sebelum lelaki itu pergi, Baginda memesan kepadanya agar dua tiga hari lagi datang bertemunya semula. Setelah selang beberapa hari lelaki tersebut kembali dan menyatakan pada Baginda SAW bahawa motivasi dan semangat yang diberikan oleh Rasulullah sangat berkesan dan membantu lelaki tersebut untuk berdikari menjadi seorang usahawan kayu kayan.

Ini membuktikan betapa Islam menegaskan umatnya untuk bekerja untuk menyara hidup tanpa meminta dan bergantung pada orang lain. Bagi mereka yang mempunyai tanggungan seperti seorang ayah adalah bertanggungjwab untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Islam juga tidak menggariskan apa-apa syarat untuk mencari pekerjaan, tidak kira pekerjaan tersebut tinggi pangakatnya atau rendah, umat Islam diwajibkan untuk mencari pekerjaan yang halal. Pekerjaan yang halal akan mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT. Maka hidup kita akan menjadi lebih bermakna. Terdapat sebuah hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“mengemis adalah aib (tercela) …” (abu daud, an-nasai dan at-tirmizi)

Hukum seseorang itu bekerja mencari nafkah yang halal untuk mengisi nafkah hidup diri dan keluarga serta orang yang dibawah tanggungannya adalah”wajib”.

TUJUAN BEKERJA

1. Melaksanakan dan menunaikan perintah ALLAH.

Kita sebagai umat Islam, seharusnya bekerja dengan niat kerana ALLAH SWT. Apabila kita bekerja atas dasar perintah ALLAH SWT, maka jadilah kerja itu sebagai ibadah dan diberi pahala.

Niat bekerja kerana ALLAH SWT itu adalah bermaksud mencari rezeki yang halal, mencari nafkah untuk keluarga, mencari wang bagi membantu fakir miskin dan anak yatim yang memerlukan pertolongan, membayai untuk megerjakan haji dan lain-lain.

Riwayat At Tabrani, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya

“Sesungguhya ALLAH SWT menwajibkan kepada kamu berusaha (bekerja) , maka oleh sebab itu hendaklah kamu bersifat rajin berusaha”

2. Untuk keperluan diri, keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungan.

Secara umum kita sudah memahami bahawa kita bekerja untuk mencari nafkah dan niat kerana ALLAH SWT dan atas dasar ibadah. ALLAH SWT telah meamanahkan kita dengan tanggungjawab. Pada mereka yang sudah bekeluarga (suami atau bapa) tugasnya adalah untuk menyediakan tempat tinggal, makan minum dan pakaian secukupnya kepada keluarga, anak-anak, isteri dan orang-orang yang di bawah tanggungjawabnya, hukumnya adalah wajib. Tugas seorang isteri adalah untuk mengurus rumahtangga termasuk menjaga dan mendidik anak-anak. Seorang isteri tidak wajibkan untuk mencari nafkah keluarganya di luar tapi menjaga hal-hal rumahtangga.

Manakala, anak-anak yang masih menuntut adalah tidak diwajibkan untuk mencari nafkah. Mereka adalah diatas tanggungjawab ibu bapa. Maka, mana-mana keluarga yang tidak menyediakan semua keperluan secara baik dan tidak mencukupi mengikut atas kemampuannya adalah dianggap dosa. Terdapat firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Tempatkanlah mereka (isteri-isteri kamu) di mana tempat yamg kamu tinggal menurut kemampuan dan jangan kamu menyusahkan mereka dengan kehidupan.. ”

3. Untuk menyempurnakan agama.

Di dalam Islam menegaskan bahawa wang adalah penting namun Islam tidak mengatakan bahawa wang adalah segala-segalanya. Islam sebuah agama yang mengamalkan keseimbangan antara material dan ruhaniah serta jasmani. Sekiranya kita meneliti rukun Islam sudah cukup untuk membuktikan bahawa kita perlu bekerja untuk melaksanakan rukun Islam.

Di antara perintah adalah berpuasa, walaupun menahan lapar dan dahaga pada siang hari namun kita memerlukan makanan untuk berbuka. Jika kita lihat kembali, pada hari raya kita membeli baju baru untuk meraikan hari kemenangan dan menyembelihkan qurban. Ini semua memerlukan wang dan harta. Zakat juga perlu kepada harta. Lebih-lebih lagi untuk mengenai kerjakan haji, lagi memerlukan wang yang banyak. Jadi adalah wajib kita bekerja untuk mencari wang bagi menunaikan rukun Islam dan menjalaninya dengan sebaik mungkin.

4. Untuk membantu membangun agama Allah.

Sebagai Muslim yang sejati hendaklah kita tahu bahawa adalah wajib bagi kita mengembangkan agama ALLAH SWT. Kewajipan tersebut terletak di bahu umat Islam. Oleh itu, jika seseorang itu mampu dan layak dari segi kewangan dan fizikal adalah wajib untuk baginya mengembangkan agama ALLAH SWT. Jika muslim tersebut itu tidak melaksanakannya dianggap berdosa.

Apa yang dimaksudkan membantu agama ialah sekiranya di dalam sesebuah masyarakat memerlukan sekolah agama untuk mendidik anak-anak tempatan berkenaan, jika ia tidak diadakan maka dosanya ditanggung oleh kelompok masyarakat di tempat berkenaan. Maka, adalah wajib bagi masyarakat tersebut membina sekolah agama bagi memudahkan anak-anak untuk menuntut ilmu agama. Untuk melaksanakannya dengan berjaya, masyarakat haruslah bekerjasama.

5. Untuk membantu masyarakat.

Golongan-golongan masyarakat susah seperti fakir miskin, janda dan anak yatim adalah wajib bagi kita yang mampu untuk membantu. Sekiranya yang mampu tidak membantu mereka, maka berdosalah mereka. Perkara yang ingin disampaikan disini adalah untuk membantu mereka kita memerlukan wang. Harta dan wang tidak datang dengan begitu sahaja bahkan kita perlu bekerja keras untuk mendapatkan wang.

Nabi SAW bersabda, maksudnya :”Siapa yang setiap pagi tidak memerhatikan dan berusaha menyelesaikan urusan dan masalah orang Muslim, maka ia bukanlah tergolong do dalam golongan mereka” (Riwayat Al-Baihaqi, At- Tabrani dan Abu Naim)

Demekian di antara tujuan bekerja di dalam Islam. Islam bukan agama individualistic dan bukan agama membolot harta untuk peribadi dan keluarga sendiri sahaja, tetapi Islam adalah agama masyarakat.

Harta yang kita miliki datangnya dari ALLAH SWT dan itu tidak bermakna bahawa harta tersebut dalah hak milik kita 100%. ALLAH SWT memberi kita harta untuk berkongsi dengan orang lain. Kita diamanahkan oleh ALLAH SWT untuk mengurus dan mentadbirnya. Hakikat harta adalah milik ALLAH SWT.

Oleh sebab itu jika kita mempunyai harta, kita kena agih-agihkan kepada golongan yang mempunyai hak di dalam harta kita. Kita kena keluarkan zakat dan sedekah serta derma untuk mereka yang tidak berkemampuan dan ke jalan ALLAH SWT. Sesungguhnya ALLAH SWT benci pada mereka yang bersikap bakhil dan dianggap musuh-NYA. Jadi, bekerja dengan tujuan tersebut di atas dinilai sebagai jihad oleh ALLAH SWT dan diberi pahala serta mendapat syurga di akhirat.

JENIS DAN BIDANG PEKERJAAN DALAM ISLAM

Pada zaman yang moden ini terlalu banyak jenis dan bidang perusahaan, termasuk beberapa pekerjaan yang ditulis dalam Al-Quran dan hadis. Seperti yang telah diterang sebelum ini Islam tidak pernah memandang dan memilih jenis perusahaan dan pekerjaan, tetapi menentukan bidang berkenaan itu menjadi satu ibadah dan memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh ALLAH SWT.

1. Sektor pertanian.

Bidang pertanian sepertimana disebut dalam Al-Quran adalah bidang amat digalakkan untuk kita ceburi. Malah, pada zaman nabi dan rasul dahulu terlibat dengan sector pertanian. Ini menunjukkan bahawa bidang ini merupakan sektor yang penting, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan dalam pengeluaran makanan dan pakaian.

Bidang pertanian juga, di samping kita mengambil manfaat dengan pelbagai jenis tumbuhan untuk makanan dan pakaian, ia juga ada hubungan rapat dengan keimanan dan ketaqwaan. Kerana aktiviti orang bertani amat digalakkan, kerana ia lebih praktikal kearah membina sifat taqwa dan bergantung tawakkalnya kepada ALLAH SWT dan lebih mendapat pahala sedekah.

2. Sektor perikanan, penternakan dan pakaian.

Ketiga-tiga sektor ini adalah sangat penting dalam Islam kerana ia memenuhi keperluan hidup manusia. Sektor perikanan dan penternakan memenuhi keperluan asas makanan. Manakala sektor pakaian adalah lebih penting daripada kedua-dua sektor tersebut kerana adalah wajib bagi umat Islam untuk menutup aurat.

Terdapat firman ALLAH SWT bermakud :”Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan atas kamu pakaian yang digunakan untuk menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan, dan pakaian takwa adalah lebih baik bagi kamu, kerana yang demekian itu sebahagian daripada tanda-tanda (kurnian) ALLAH SWT, mudah-mudahan mereka selalu ingat (ALLAH SWT) .. ” (Al-‘Araf:26)

3. Sektor perubatan dan farmasi.

Sektor ini juga sangat penting dalam hidup kita. Dalam Islam, untuk menangani masalah penyakit adalah dengan cara”pencegahan”. Iaitu mengawal penyakit sebelum menyerang. Islam sarankan agar umatnya menjaga kesihatan dengan mengamalkan makan makanan yang seimbang dan berkhasiat disamping ia adalah halal, mengatur masa tidur, sembahyang lima waktu sehari semalam ia diambang sebagai senaman, berpuasa dan lain-lain.

Namun sebagai manusia kita tidak boleh menolak takdir apabila kita diuji dengan mendapat penyakit. Islam menggalakkan umatnya untuk berubat yang mengikut panduan yang betul dan bertawakkal pada ALLAH SWT. Setiap penyakit mempunyai ubatnya, namun hanya dengan keizinan ALLAH SWT kita dapat menemui penawar untuk sesuatu penyakit.

4. Sektor perniagaan dan perusahaan.

Bidang perniagaan adalah bidang yang selalu diperkatakan dalam Islam. Bidang ini juga semakin meluas dan ramai umat Islam menceburinya. Namun begitu, untuk menjalani sesebuah perniagaan ia memerlukan adab-adab yang betul agar perniagaan tersebut mendapat keberkatan dari ALLAH SWT. Sektor ini juga memberi banyak peluang pekerjaan pada mereka yang menganggur. Ini sedikit sebanyak membuka ruang untuk mereka berusaha untuk mencari nafkah bagi menampung hidup mereka.

Terdapat banyak lagi jenis dan pekerjaan dalam Islam seperti sektor senibina, kulitkraf, landscaping, galian, perkapalan dan pengangkutan. Sektor-sektor ini sangat penting bagi kita untuk mencari nafkah dalam masa yang sama menaik taraf hidup sebuah masyarakat.

ADAB-ADAB PENGUSAHA PENIAGA ISLAM

1. Syarat berniaga jadi ibadah dan berpahala.

Setiap orang muslim adalah diwajibkan mencari pekerjaan yang halal untuk menanggung diri dan keluarga. Penilaian sebuah pekerjaan dalam Islam bukanlah diukur kepada jenis atau pangkat tetapi diukur sejauh mana pekerjaan itu menjadi ibdah dan di akhirat dibalas dengan syurga.

Untuk menjadikan setiap pekerjaan dinilai sebagai ibadah, tidak kira sebagai seorang petani, buruh mahupun seorang pegawai hendaklah memenuhi sekurang-kurangnya lima syarat:

i. Niat mesti betul iaitu kerana ALLAH SWT, untuk mendapat keberkatan daripadaNYA dan atas dasar mengikut perintahNYA. Bekerja mencari nafkah atau melaksanakan perintah fardhu kifayah adalah dituntut oleh ALLAH SWT. Orang Islam adalah dilarang sama sekali untuk meminta-minta pada orang lain untuk menampung hidup. Mereka diwajib untuk berusaha kuat untuk mendapat sesuap nasi. Pada mereka yang mampu adalah diwajibkan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

ii. Perkara atau jenis pekerjaan hendaklah yang tidak dilarang oleh Islam. Contohnya seperti bertani, berniaga, mengambil upah dan lain-lian lagi yang telah disebut dalam tajuk”Jenis dan pekerjaan dalam Islam”.

iii. Pelaksanaan pekerjaan hendaklah tidak melanggar perintah ALLAH SWT. Pelaksanaan yang betul juga termasuk tidak bekerja dalam suasana maksiat, percampuran lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, berlaku pendedahan aurat, berlaku rahsuah, menipu dan sebagainya.

iv. Tidak meninggalkan tuntutan wajib yang fardhu ain. Contohnya, walaupun sibuk bekerja tetapi tidak pernah mangabaikan sembahyang lima waktu, bersedekah, mendidik anak-anak, membayar zakat. Sekiranya kita bekerja dan mampu untuk melakukan perkara seperti diatas adalah boleh kita katakan bahawa pekerjaan yang dilakukan itu adalah suatu ibadah.

2. Adab-adab ahli perniagaan.

Dalam kitab”Al Adab Fiddin”oleh Imam Al Ghazali telah menggariskan beberapa adab yang harus pada para peniaga dan ahli koperat Islam.

i. Janganlah membolot dan menindas perniagaan orang.

ii. Hendaklah jujur ketika menyukat. Janganlah mengurangkan sukatan atau timbangan.

iii. Ketika menimbang adalah digalakkan untuk melebihkan sedikit ataupun sukat secukupnya.

iv. Hendaklah menyukat degan cermat dan berhati-hati.

v. Layanilah pembeli mengikut keadaan masing-masing. Jika pembeli seorang bangsawan, dimuliakan. Jika seorang miskin dan lemah dikasihi. Jika pembeli jiran, hendaklah dilebihkan.

vi. Harga jualan hendaklah berpatutan. Diingatkan bahawa pembeli akan bertambah sekiranya harga barang adalah berpatutan.

vii. Jangan sesekali membebankan orang bawahan sekiranya anda seorang pengarah.

viii. Jangan menolak permintaan dan tempahan seorang peminta dan jangan mengahalang orang lain daripada mendapat perkhidmatan.

ix. Tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan tempahan.

x. Selalu berusaha memperbaiki mutu barangan.

xi. Jika pembeli atau pelanggan berhutang dan ia tidak mampu membayar, lupuskan dengan menghalalkan kepadanya. Jika ia berhutang dan meninta tangguh untuk membayar keran kesuntukan wang, berikanlah ia masa. Jangan terlalu mendesak meminta hutang.

xii. Membeli alatan menyukat dengan orang yang jujur dan memastikan penyukat tersebut tidak rosak.

xiii. Janganlah terlalu memuji-muji secara berlebihan barangan yang dijual sehingga mengelirukan pembeli dan berkata benarlah tentang barangan yang dijual.

xiv. Jika ada kecacatan terhadap barangan. Beritahu kepada pembeli secara jujur dan jangan menyembunyikan kecacatan itu.

xv. Elakkan perasaan dengki ketika menaikkan harga barangan. Jangan naikkan harga barangan dengan terlalu tinggi lalu membebankan pembeli.

xvi. Jauhilah bebbohong ketika bercakap.

xvii. Biarkan pembeli membuat keputusan untuk membeli barang, Jangan memaksa dan mempengaruhi pembeli.

xviii. Kurangkan bergurau senda yang kurang baik dengan pembeli.

xix. Elakkan daripada bertengkar dengan pelanggan.

xx. Tunduklah pandangan daripada perkara yang haram.

Disediakan oleh: Nurul Syahirah Bt Omar

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com