Monday, September 13, 2010

Cabaran Mendidik Generasi Umat Islam -

Generasi muda adalah aset ummah dan ia merupakan satu institusi utama untuk menggerakkan ummah. Kekuatan tenaga, kecerdasan minda dan ketinggian semangat meletakkan generasi muda di saf hadapan. Generasi Muda seharusnya peka terhadap persekitaran dan isu yang timbul justeru di bahu merekalah terletaknya masa depan ummah. Mereka adalah tiang dan harapan ummah. (Fakta ini adalah jelas kerana antara elemen pembentukan ummah ialah menganalisis suasana semasa dan suasana semasa seringkali dipengaruhi oleh isu semasa. ) Generasi Muda tidak seharusnya alpa dibuai mimpi dan impian palsu, sebaliknya menginsafi diri dan berusaha menangani realiti yang mencabar dengan daya sensitiviti tinggi terhadap isu yang berlaku. Pada masa kini, untuk membentuk generasi yang berkualiti amat sukar kerana merupakan cabaran serius dalam mendidik generasi manusia di zaman kini. Biarpun ianya adalah tanggungjawab kepada kita untuk untuk membentuk akhlak mulia, namun dalam usaha untuk mendidik generasi pelbagai rintangan dan cabaran terpaksa dilalui. Ada yang bersifat dalaman dan ada pula yang bersifat luaran. Iblis, syaitan, manusia kafir, munafiq, dan golongan taghut yang berkepentingan sentiasa menjadi batu penghalang untuk kita mendidik generasi masa kini supaya mempunyai akhlak jati diri yang cemerlang. Cabarannya meliputi cabaran dalaman dan cabaran luaran, dimana Firman Allah dalam Surah Aali Imran ayat 104 yang bermaksud”Dan hendaklah ada dikalangan kamu yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) , dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang segala perbuatan yang salah (buruk dan keji) . Mereka yang bersifat demikian itulah orang-orang yang berjaya”. Antara cabaran dalaman yang ketara adalah Serangan Pemikiran, Serangan pemikiran pada hari ini sering kali menggugat generasi Islam hari ini dan seluruh Dunia Islam. Dalam hal pentadbiran, barat kian melaungkan slogan sekular yang kini telah sering membataskan agama di tembat-tempat ibadat dan menafikan sebarang peranan yang boleh dilakukan oleh agama di dalam usaha meperbaiki, merubah, membawa kemajuan kepada kearah pembentukan tamadun yang utuh dan berkualiti. Sebahagian besar serangan pemikiran ini berpusat di Barat. Sebagaimana diketahui umum, barat bertanggungjawab mengibar panji sekularisme yang memenjara agama dengan dinding rumah-rumah ibadat. Dalam fokus ekonomi pula, barat sering kali mengecam dengan melaungkan dasar- dasar kapitalisme dan melalui bidang sosial barat kini melaksanakan dasar-dasar kebebasan yang hampir menimbulkan suasana yang tidak berperaturan dan ianya telah menjadi dasar pengharusan terhadap semua perkara. Bahkan ianya juga telah menjadi senjata untuk menyerang nilai-nilai murni, aklah dan agama. Urusan politik pula, Barat menaja prinsip demokrasi dengan menganggap suara ramai adalah suara Tuhan. Begitu juga dijauhkan agama dari pemerintahan. Melalui kesan serangan pemikiran ini juga telah menyebabkan manusia kini bebas melakukan penindasan, penipuan, dan perkara yang boleh meruntuhkan akhlak kerana mereka tidak sesekali terikat dengan akidah ketuhanan. Seterusnya ialah Lemah Jiwa, cabaran ini adalah antara cabaran yang paling hebat dan ketara yang harus kita kikis kerana seseorang individu itu akan dilanda kelemahan iman dan ianya akan terdedah kepada dosa, kesalahan dan penyelewengan akhlak. Ianya lebih ketara lagi jika mereka tewas dan terpaksa mengikut hawa nafsu jahat dan seringkali didampingi dengan suasana sekeliling yang dipenuhi dengan lautan bergelora hasad dan dengki. Di dalam Ihya Ulumuddin dimana Imam Ghazali telah menegaskan tentang penerimaan jiwa manusia terhadap kebaikan dan juga kejahatan serta persediaanya untuk beristiqamah di atas jalan yang lurus atau pun menyeleweng untuk ke jalan yang sesat dan ketika itu beliau berkata:”Kanak-kanak adalah amanah kepada kedua ibubapa nya dam jayomua Nerada di dalam keadaan bersih. Sekiranya kanak-kanak tersebut diajar dengan kebaikan, maka dia akan membesar dalam kebaikan dan akan berbahagia di dunia dan akhirat. Dan sekiranya dia disediakan dan diajar dengan kejahatan serta dibiarkan seperti binatang ternakan, dia akan menderita dan binasa. Untuk menjaganya hendaklah ia dididik dan diajar dengan akhlak yang mulia. ”

Cabaran yang bersifat dalaman seperti ammarah yang menyeru manusia kepada kejahatan dan keinginan nafsu yang hina. Disamping itu, ugutan syaitan juga tidak kurang hebatnya untuk menyesatkan manusia, seperti surah al-A’raf 14-17 dan surah Fathir: 6, menjelaskan bahawa syaitan itu adalah musuh kepada manusia. Manakala, apabila berbicara tentang nafsu, kita harus tahu bahawa nafsu terbahagi kepada tiga iaitu; nafsu Ammarah, nafsu Lawwamah, dan nafsu Mutmainnah. Nafsu ammarah ialah nafsu yang tidak dihiasi dengan keimanan, ketaqwaan dan ianya tidak beriltizam dengan agama rabbani. Kebanyakannya ianya akan mendorong manusia untuk melakukan pelbagai kezaliman, kemungkaran, dan apa saja yang negatif kerana ianya didorong oleh dorongan syahwat dan adanya penerimaan kejahatan yang telah dibekalkan kepadanya untuk mendapatkan kelazatan. Dan begitu juga dengan berbagai-bagai dorongan. (Surah Yusuf: 53) . Nafsu Lawwamah pula menurut Mujahid adalah nafsu yang mengeji dirinya sendiri di atas apa yang telah berlaku dan menyesali perbuatan jahat yang telah dilakukan serta menyesali terhadap kebaikan, kenapa dia tidak memperbanyakkannya. Dia sentiasa mengingatkan dirinya walaupun dia telah bersungguh-sungguh melakukan ketaatan. Nafsu Mutmainnah pula adalah nafsu yang berada di atas keimanan, ketaqwaan, dan Islam. Dalam Surah al-Fajr: 27-30, nafsu ini merupakan nafsu yang paling mulia dan tinggi darjatnya kerana nafsu ini jauh berbeza dari nafsu-nafsu lain kerana ianya memiliki keistimewaan dengan ketepatan iman, keteguhan dalam keyakinan, ketaatan yang berterusan dan istiqamah di atas manhaj Islam. Didalam Al-quran juga, Allah telah menggesa hambanya (manusia) supaya menjadi orang yang benar-benar beriman, bertawakal dan berlindung dengan Allah daripada Syaitan. (Surah al-nahl: 98- 100) . Selain itu manusia yang lalai dari mengingati Allah, beribadat dan mentaatinya maka, syaitan akan menjadi teman yang akan menyesatkan dan memperdayakannya. (Al-Zuhruf: 36-37) . Oleh itu, Umat Islam haruslah sentiasa berada dalam keadaan yang berjaga-jaga dan sedar selepas ditimpa kealpaan dan segera bertaubat serta meninggalkan perkara-perkara kemaksiatan. Cabaran seterusnya adalah kristianisasi. Kristianisasi yang telah lama berlaku bukan merupakan perkara baru yang tidak diketahui oleh umat Islam. Namun, strategi yang dirancang terlalu halus dan memerangkap umat Islam yang leka dan lalai serta tidak mengikut ajaran Islam mengikut landasan yang betul. Sebab itu terdapat beberapa golngan yang berjaya disesatkan sehigga mendewa-mendewakan ajaran kristian dan seterusnya masuk menjadi penganut agama itu samada kerana ingin berkahwin, atau ingin mendapat habuan kebendaan atau lari menjadi rakyat di negara berkenaan. Golongan pendita dan muballigh Kristian terus memainkan peranan mereka dengan dana kewangan yang besar dan prasrana diayah yang hebat dan canggih. Namun berkat kegigihan pendakwah kita, dan kewaspadaan umat telah dapat sedikit sebanyak membendung dan memelihara Umat Islam umumnya dari gejala Kristianisasi. Oleh itu, langkah-langkah untuk kita mengatasinya kita haruslah mengukuhkan jentera dan agenda dakwah Islam menentang diayah. Seruan dan diayah mereka sebenarnya adalah seruan ke arah kesesatan dan penyimpangan. Mereka boleh menambahkan pengikut dalam keadaan jentera dakwah Islam lemah dan tertekan. Oleh sebab itu usaha hendaklah digandakan untuk meningkatkan kefahaman Islam dan penghayatan ibadah dan nilai-nilai agama dalam masyarakat agar tidak ada di antara anak-anak orang Islam yang boleh terjerumus dalam kemurtadan dan bertukar agama menjadi pengikut faham kekufuran. Selain dari kejahilan kemiskinan juga antara penyebab mengapa segelintir umat Islam bertukar agama. Oleh itu usaha untuk membenteras kemiskinan dan kefakiran mesti ditingkatkan. Dana-dana membantu orang miskin perlu dimanfaatkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan yang semakin meningkat hasil dari kaadaan ekonomi yang merudum. Pengaruh budaya Barat dikatakan ikut menyebabkan orang Melayu menukar nama dan masuk agama Kristian, terikut-ikut menjadi pengamal budaya kufr. Pihak yang bertanggungjawab menjaga kepentingan agama perlu peka dan melonjakkan usaha dakwah agar kekebalan dalaman di kalagan umat Islam dapat menjadi benteng akidah Islam yang ampuh menghadapi serangan Kristian dan Judaism. 

Selain itu, terdapat juga cabaran luaran selain daripada cabaran dalaman. Antaranya ialah cabaran Islamophobia iaitu Media massa tempatan dan di luar negara sama ada elektronik atau media cetak mempunyai peranan yang penting dalam penyebaran ilmu. Walau bagaimanapun jika disalahgunakan ianya akan mengakibatkan beberapa kesan negatif seperti perlakuan jenayah, kegoncangan akidah, kehancuran akhakdan mampu memusnahkan nilai-nilai mulia. Ini disebabkan media massa mampu berbicara kepada berjuta-juta orang melalui program dan rancangannya menyebabkan masyarakat mudah terpengaruh dengan apa jua yang dilihat dan dibaca dan media massa ini tidak henti-henti menyiarkan rencana, pemberitaan dan komen-komen yang memburukkan Islam dan para penatarnya. Mereka menggunapakai istilah-istilah yang sengaja memalitkan Islam dengan perbuatan jenayah, ganas, bermuslihat dan sebagainya untuk menutup mata terhadap perlakuan ganas regim penjajah, Israel dan negara kuasa besar yang sering melakukan keganasan terhadap negara-negara kecil di dunia. Mereka mencipta musuh dan nama-nama baru tertentu untuk memungkin secara tersirat mereka mengganyang negara dan gerakan Islam yang kini sedang memulihkan kehadiran mereka dipentas politik dunia. Dalam masa yang sama mereka memperguna prasarana undang-undang antarabangsa dan insititusi antarabangsa untuk mengekang kebangkitan negara-negara Islam, negara-negara berkecuali dan negara-negara ketiga untuk bangun menyaingi mereka sebagai kuasa ekonomi, politik, teknologi dan ketenteraan. Seterusnya ialah factor Komunis dan Aliran Kebendaan, factor factor ini membiarkan umat Islam dengan hiburan yang melailaikan dan penghayatan akidah Uluhiyah. Apabila ditanya kepada Karl Marx”Apakah ganti kepada akidah Uluhiyah?”Beliau menjawab:”Gantinya hiburan dan pementasan. Alihkan mereka daripada menghayati akidah Uluhiyah dengan hiburan dan pementasan”. Pendekatan yang digunakan ialah melalui penggunan bahan bacaan seperti novel, majalah, akhbar, karangan-karangan yang menyebarkan fahaman tidak bertuhan, menghina dan memperolokkan pejuang agama dan menyeru ke arah sains semata-mata serta mmenjadikanya sebagai tuhan. 

Secara kesimpulannya, sebenarnya banyak sekali ayat al-Qur’an dan hadith Nabi yang mengajar manusia dan orang Islam supaya menghayati dan mencontohi nilai-nilai akhlak yang mulia dan menjauhi sifat-sifat yang buruk dan keji seperti bohong, khianat, menipu, zalim, dengki, tamak, angkuh, suka berkelahi, suka mengumpat, suka mencela dan memfitnah, gila kuasa, gila pangkat dan lain-lain penyakit moral yang dikupas secara mendalam oleh ulamak silam yang terkenal seperti Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Oleh itu umat Islam perlu memberi perhatian yang lebih mendalam kepada aspek kesucian moral dalam pengajaran, kefahaman dan penghayatan agamanya dan dalam membina keperibadiannya, supaya ia dapat menepati kehendak Allah (SWT. ) , iaitu”Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia; kamu menyeru kepada kebaikan dan kamu mencegah kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah. ” (Al-Qur’an 3:110) . Berhadapan dengan cabaran-cabaran yang besar dan pengaruh budaya bebas yang berkembang dalam negara masa kini, tidak syak lagi bahawa usaha yang berterusan dan komitmen yang ikhlas daripada pihak kerajaan dan rakyat amat diperlukan untuk meningkatkan mutu integriti moral masyarakat Malaysia supaya matlamat negara maju mengikut”acuan kita sendiri”dapat dicapai. Pendekatan Islam Hadhari bertujuan membawa masyarakat Malaysia ke arah itu – suatu model kemajuan dan pembangunan yang holistik, dalam mana terdapat gabungan dan perimbangan yang wajar antara kemajuan kebendaan dan kemajuan moral, agar tercapai”kebaikan (hasanah) di dunia dan kebaikan (hasanah) di akhirat. ”. Sekiranya kita membiarkan kelonggaran-kelonggaran budaya dan penyakit-penyakit moral ini menjadi lebih tenat, negara kita mungkin akan menerima nasib malang yang pernah menimpa tamadun-tamadun besar zaman dahulu seperti tamadun Romawi dan tamadun Islam di Andalusia. Runtuhnya kedua-dua tamadun yang terkenal hebat dari segi pencapaian ilmu, teknologi dan kebendaan itu didahului oleh proses kelunturan nilai-nilai moral yang berleluasa dalam masyarakat. Apabila kekuatan moral dan rohani yang menunjang integriti dan maruah bangsa dan negara lumpuh, musuh-musuh dari luar pun mengambil kesempatan untuk menyerang dan akhirnya berjaya menakluki negara-negara yang sebelum itu terkenal maju dan kuat. Seorang penyair Arab zaman moden yang termasyhur, Ahmad Shauqi Bey (1868-1932) telah mengingatkan umat Islam tentang kenyataan ini dalam sebuah rangkap syairnya yang bermaksud:”Sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh, Jika akhlak mereka sudah lumpuh mereka pun akan lenyap. ”

Disediakan untuk: Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Mohamad Faizol B. Che Ismail

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment