Kesilapan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak -

Dalam meniti abad ke-21 yang penuh dengan kecanggihan multimedia dan teknologi, sikap dan tingkahlaku manusia juga bergerak seiring dengan arus pemodenan yang ada sekarang. Jika dilihat secara kasar, terlalu ramai antara kita yang sudah lari dari landasan kehidupan manusia yang sebenar. Kini, kes-kes seperti lari dari rumah, pelacuran, najis dadah, lesbian, gay, pengkid, mak nyah, pornografi dan sebagainya merupakan perkara biasa yang selalu kita dengar dari media massa. 

Pelbagai tindakan telah diambil untuk membendung masalah-masalah sosial ini namun tiada satu pun yang betul-betul efektif. Bagaimana kalau saya katakan di sini bahawa rata-ratanya semua permasalahan ini dibawa dari rumah dan dari segi pendidikan yang diberikan ibubapa terhadap anak-anak mereka? Ya, kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak merupakan faktor utama berlakunya masalah-masalah sosial ini. 

Apabila seorang anak sudah berlaku kurang sopan terhadap ibunya dan membenci bapanya, maka dia akan melakukan seperti itu juga terhadap orang lain. Oleh yang demikian, mereka akan mencari ikutan yang mereka anggap sesuai, yang terkadang mereka mendapatkan yang baik dan terkadang tidak. Maka lemahlah agama mereka dan buruk pula akhlaknya. Adakah harapan anda untuk melihat anak anda berkelakuan seperti itu untuk memberikan kebaikan kepada umat?

Perkara seperti ini terjadi akibat kurangnya kasih sayang dan bimbingan dari kedua orang tua mereka. Golongan suami khususnya, seringkali menyerahkan tanggungjawab untuk menjaga dan mendidik anak kepada isteri dengan alasan mereka sibuk mencari rezeki di luar. Kepimpinan di dalam rumah yang diserahkan bulat-bulat ke dalam tangan isteri akan membuatkan anak-anak menghina bapanya disebabkan kelemahannya dan menyebabkan mereka hilang kesempatan untuk mengikut jejak ayahnya, kerana mereka menganggap bapanya tidak boleh dijadikan pemimpin. 

Kesan buruk dari kepimpinan yang terbalik ini adalah anak-anak perempuan akan bertingkah laku seperti lelaki dan anak lelaki akan bersikap seperti perempuan. Jika terdapat anak perempuan yang bersikap seperti seadanya seorang perempuan tetapi berhias dengan terlampau sehingga melebihi batasannya, akan menjadikan anak itu lupa diri. Begitu juga jika terdapat anak lelaki yang bersikap seperti adanya seorang lelaki tetapi terlalu mementingkan kehidupan duniawi, juga akan menyebabkan anak itu lupa kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki. Dalam keadaan keluarga seperti itu, biasanya anak akan menceritakan siapa yang paling lemah antara kedua orang tuanya, padahal yang paling lemah itu adalah bapanya. 

Justeru, di sini saya ingin berkongsi beberapa perkara yang dirasakan menjadi punca kepada berlakunya masalah seperti ini di dalam masyarakat kita, khususnya umat Islam. Kita akan melihat melalui sudut pandangan Islam, sejauh mana tanggungjawab ibubapa dalam mendidik anak-anak untuk membentuk akhlak yang mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat serta sejauh mana kesilapan yang telah dilakukan oleh ibubapa sehingga kehidupan akhirat anaknya berada di hujung tanduk. 
TIDAK ADA CONTOH TELADAN
Pada keadaan ini, orang tua lalai dalam mendidik anaknya sejak kecil, akhirnya pendidikannya terbiar, sehingga adegan-adegan filem dan perilaku artislah yang menjadi ikutan. Kalaupun dia mendapatkan orang lain untuk mendidiknya, namun didikan itu akan mendatangkan hasil yang tidak bermanfaat sama sekali. Oleh itu, seorang anak akan mencontohi dan meniru segala tingkah laku dan ucapan para artis yang selalu dilihatnya. Padahal sudah jelas mereka adalah orang-orang yang telah rosak moralnya. Mereka adalah orang-orang yang tidak boleh ditiru atau diikut, baik perbuatan, mahupun perkataannya. 

Terdapat juga situasi yang mana si bapa tanpa disedari menggalakkan kecenderungan anak dengan artis-artis. Itu boleh kita lihat ketika mempraktikkan perilaku artis atau meniru kata-kata artis tersebut sehingga si bapa membiarkan dan memuji tingkah laku si anak yang menyerupai artis itu. Si anak pun akan menjadi semakin berani dan mantap untuk menonjolkan diri dengan penampilan sedemikian. Sikap endah tak endah si bapa akan memupuk rasa kecintaan si anak untuk meniru dan mencontohi para artis. Si bapa juga telah membuat mereka cenderung kepada artis itu dalam perkara yang zahir, yang pada akhirnya akan menimbulkan rasa suka dalam perkara batin. 

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata, ”Sesungguhnya kesamaan dalam perkara zahir akan menimbulkan rasa suka dan cintaserta simpati di dalam hati. Sebaliknya rasa kecintaan di dalam hati akan menimbulkan rasa ingin sama dalam perkara zahir. Ini adalah perkara yang boleh dibuktikan dengan perasaan dan pengalaman. 

Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani pemimpin-pemimpinmu. Sebahagian dari mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka sebagai pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk dalam golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak member petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka, kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya (maksudnya, orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (iaitu Yahudi dan Nasrani) , seraya berkata: ‘ Kami takut akan mendapat bencana’. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya) atau keputusan dari sisi-Nya. Oleh kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka. Dan orang-orang beriman akan mengatakan: ‘Inikah orang-orang yang telah bersumpah sungguh-sungguh dengan nama Allah, bahawasanya mereka benar-benar berserta kamu?’ Rosak binasalah segala amal mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang rugi. ” (Al-Maidah: 51-53) 

Bagi orang yang ingin mendidik anak-anaknya dengan didikan yang baik, yang menjaganya dari kekeliruan, yang menyelamatkan dari tanggungan dosa, dan menanamkan dalam diri anak tauladan agung yang sentiasa berkiblatkan perilaku Islam. 

Allah SWT berfirman:”Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, telah Aku cukupkan nikmat-Ku untukmu dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagimu. ” (Al-Maidah:3) 

Maka, bentuklah mereka dengan peribadi Nabi Muhammad SAW untuk menjadikan mereka seorang yang mulia dan berakhlak sempurna. 

TIDAK SALING PERCAYA ANTARA ORANG TUA DAN ANAK

Ramai orang tua dan anaknya menderita penyakit saling tidak percaya. Orang tua tidak percaya kepada anaknya kerana dia selalu beranggapan bahawa anaknya masih kecil. Sikap orang tua semacam itu tentu menimbulkan jauhnya hubungan, pudarnya pautan hati, dan menambah pertentangan di antara keduanya. Si anak tidak mempercayai orang tuanya kerana janjinya yang tidak kunjung ditepati dan ancamannya yang tidak pernah dilaksanakan. Akhirnya, timbullah ketidakterbukaan antara keduanya. Si anak melakukan kepatuhan dan ketaatan palsu, manakala di situasi yang lain, si bapa lalai dengan amanahnya untuk memperlakukan anak-anaknya dengan baik. 

Terdapat kesan negatif akan wujud melalui hubungan saling tidak percaya ini. Antaranya:

i. Bila si anak sudah tidak mahu mendengar perkataan orang tuanya lantaran tiada kejujuran dan ingkar janji, maka ketika orang tua mengingatkan perilaku buruk anaknya, si anak tidak akan mahu mendengarnya. 

ii. Bila si anak sudah hilang rasa percaya kepada orang tua, maka si anak akan mula mempercayai orang lain seperti guru dan rakan-rakannya. Jika guru atau rakan-rakannya orang yang baik, maka tiada kekhuatiran yang akan timbul. Tetapi, jika perkara yang berlaku adalah yang sebaliknya, maka ini akan merosakkan akhlak anak. 

iii. Bila si anak sudah hilang kepercayaan kepada orang tuanya, maka hatinya akan menjadi tertekan dan hal ini akan mendorong si anak untuk mengurung diri serta tidak mampu untuk mangharungi kehidupan. Perkara ini akan menjadikannya sebagai beban kepada masyarakat kerana tidak mampu lagi untuk membela agamanya. 

Untuk membina kepercayaan antara orang tua dan anak serta membentuk keluarga yang harmoni, kita perlu mengambil perhatian terhadap perkara-perkara tersebut:

i. Wujudkan hubungan kekeluargaan yang berasaskan kasih sayang dan cinta kasih, bukannya hubungan seperti majikan dengan buruh atau orang atasan dengan orang bawahan. 

ii. Sentiasalah mengambil sikap di tengah-tengah supaya anak-anak menghormati kita. Elakkan bersikap tidak ambil peduli kerana itu akan membuatkan anak-anak rasa dipinggirkan. 

iii. Kita juga hendaklah sentiasa mendengar pendapat anak dan mempertimbangkannya. Sekali-sekala berilah anak anda peluang untuk mengelola keperluan dan aktiviti keluarga. Contohnya, gotong-royong membersih rumah. 

iv. Apabila kita sudah berjanji dengan anak, hendaklah kita menepati janji itu. Jika secara tidak sengaja atau sengaja kita telah mengingkari janji itu, kita hendaklah menerangkan sebabnya kepada anak supaya mereka tahu. Elakkan daripada member terlalu banyak ancaman kepada anak kerana ini akan membuat mereka berasa tertekan. 

v. Tanamkan dalam diri anak-anak supaya berkata benar dan tidak berbohong. Didiklah anak agar si anak tahu perbezaan antara seorang mukmin dengan orang-orang munafik, iaitu bersikap jujur, menepati janji dan menjauhkan diri dari pembohongan dan tipu-menipu. 

MEMENTINGKAN URUSAN DUNIA DARIPADA AKHIRAT

Kini, ramai para bapa lebih mementingkan urusan dunia anaknya berbanding urusan akhirat. Ini kerana mereka ingin melihat anak-anak mereka dikagumi masyarakat umum dalam mengikuti perkembangan dunia teknologi. Ibubapa menekankan kepada anak-anak betapa pentingnya kehidupan berjawatan tinggi, kereta mewah, rumah besar dan sebagainya sehingga terlupa akan hal-hal akhirat. 

Sebagai contoh, seorang bapa begitu mengambil berat hal pelajaran anaknya sehingga memaksa anak untuk menghadap buku hampir 12 jam dalam sehari. Oleh itu, si anak pun akan mengerah tenaganya untuk belajar dan memajukan diri dalam pelajaran sedangkan jika ditanya apakah ibadat seorang anak itu sudah sesuai dengan syariat Allah atau belum? Sudahkah seorang bapa itu mengusahakan agar anaknya melaksanakan syariat Allah? Atau, adakah terdapat sedikit penyesalan dalam diri seorang bapa kerana melalaikan urusan akhirat anaknya berbanding urusan persekolahan? Apakah seorang bapa ada menanamkan sifat cinta akan Allah dan rasul serta menunjukkan cara-cara merealisasikannya? Akhir sekali, adakah terdapat semangat di dalam hatinya untuk mengagungkan Allah serta syiar-syiar-Nya seperti solat, puasa, benci kepada orang-orang kafir, cinta sesama muslim serta mencintai kebaikan?

Ibubapa pada zaman sekarang lebih menggalakkan anak-anak untuk bersekolah di sekolah-sekolah formal. Mereka tidak lagi mahu mendaftarkan anak-anaknya di tempat-tempat menghafal Al-Quran yang biasa diadakan di masjid-masjid. Bagi mereka, memegang segulung ijazah itu lebih tinggi nilainya berbanding penghafalan Al-Quran kerana dengan ijazah yang dimiliki mereka mampu untuk memegang jawatan tinggi dalam jabatan, membina rumah sebesar istana dan memiliki pelbagai jenis kereta. Seluruh tenaga digunakan untuk mencapai kenikmatan dunia sedangkan keimanannya lemah. 

Allah berfirman:”Dan berapa banyak binatang yang tidak boleh mengurus rezekinya sendiri. Allahlah yang member rezeki kepadanya dan kepada kamu. Dia Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ” (Al-Ankabut:60) 

Allah juga berfirman:”Katakanlah:Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi siapa yang dikehendaki-Nya pula) . Akan tetapi kebanyakannya manusia tidak mengetahui. ” (Saba’:36) 

Allah berfirman:”Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu dan terdapat pula apa-apa yang dijanjikan kepada kamu. ” (Adz-Dzariyat:22) 

Renungkanlah firman Allah yang berbunyi:
“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu, dan takutlah terhadap suatu hari di mana pada hari itu orang tua tidak boleh menolong anaknya dan seorang anak tidak boleh menolong orang tuanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Maka, janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakankanmu, dan jangan pula kamu diperdaya oleh para penipu dalam mentaati Allah. ” (Luqman:33) 

MENDIDIK ANAK PEREMPUAN MEMENTINGKAN PENAMPILAN

Kebanyakan bapa akan menyerahkan urusan pendidikan anak perempuan kepada isteri. Memang sudah menjadi lumrah kehidupan, seorang ibu akan mendidik anak perempuan sebagaimana ibunya (nenek kepada anak) mendidiknya suatu ketika dahulu. Jika baik didikan seorang ibu, maka baiklah perilaku anaknya tetapi jika terjadi hal yang sebaliknya, maka apa yang berlaku juga adalah sebaliknya. 

Peranan ibu memberi kesan yang sangat mendalam dalam diri anak perempuannya. Penampilan anak kadang-kadang melampaui batasan seorang muslimah sejati. Seoarang wanita ada kalanya mampu menghabiskan masa berjam-jam menghiaskan diri di depan cermin melebihi waktu yang sepatutnya digunakan untuk beribadah kepada Allah. 

Kita perlu tahu beberapa sebab yang menggalakkan anak perempuan berperilaku sedemikian. Antaranya adalah:

i. Terdapatnya begitu banyak kedai yang menjual alat solek, aksesori, pakaian dan salun-salun kecantikan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. 

ii. Jumlah wanita berilmu yang mengajar tauhid kepada masyarakat juga sangat sedikit berbanding lelaki kerana mereka lebih memilih untuk menjadi suri rumahtangga. 

iii. Wanita muslimah sudah terpengaruh dengan cara berpakaian bagi golongan kafir kerana terlalu asyik dan leka menatap majalah-majalah dan filem-filem yang merosakkan aqidah dan akhlak. 

Rasullah SAW mengingatkan dalam sabdanya:”Masing-masing dari kamu adalah pemimpin, dan akan diminta tanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang imam adalah pemimpin, dan dia akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang bapa adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan diminta bertanggungjawab atas kepimpnannya. Seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya, dan dia akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang pembantu adalah kpemimpin dalam menjaga harta majikannya, dan dia juga akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya. ” (Hadis Riwayat Bukhari) 

Jika ibubapa member didikan yang baik kepada anak-anak perempuannya, maka mereka telah memperoleh dua kebahagiaan, iaitu kebahagiaan dunai dan akhirat. Untuk mencapai kebaikan besar seperti ini, ibubapa perlu memerhatikan perkara-perkara berikut:

i. Didiklah anak perempuan supaya beriman dan takut kepada Si Pencipta agar mereka sentiasa berasa diawasi oleh Allah dalam apa jua keadaan. 

ii. Mewajibkan anak perempuan untuk mendalami ilmu agama dam memelihara syiar Islam serta beramal soleh sesuai dengan aturan Islam. 

iii. Menegur anak perempuan jika penampilan mereka melebihi batasan seorang muslimah. Berikan nasihat kepada mereka untuk menseimbangkan penampilan dan hidup berteladankan para isteri Nabi Muhammad SAW dan wanita-wanita solehah sebagai ikutan. 

 KEKHUATIRAN BERLEBIHAN TERHADAP ANAK

Kebanyakan ibubapa selalunya mempunyai perasaan yang begitu kuat untuk melindungi anak-anaknya hingga terkadang mereka terlupa untuk memberi sedikit kebebasan kepada anak-anak untuk berfikir dan menguruskan hidup sendiri. Kekhuatiran seperti inilah yang akan membunuh keberanian pada diri anak dan menumbuhkan ketakutan-ketakutan yang tidak logik yakni takut kepada apa saja dan takut melakukan apa sahaja. 

Pendidikan seperti ini akan mempengaruhi ketenangan jiwa, menumpulkan kemampuan anak, dan menjadikan dia selalu cemas dan bimbang terhadap apa yang dibuatnya. Si anak akan menjadi seorang yang”takut jatuh”ketika naik ke”tempat tinggi”dan takut gagal ketika mengerjakan sesuatu pekerjaan. Kekhuatiran yang berlebihan ini akan membawa kesan buruk terhadap anak. Antaranya adalah:

i. Anak akan hilang tawakal atau dalam erti kata lain keyakinan sedangkan jika seseorang anak itu betul belajar untuk bertawakal. Ibubapa sepatutnya menasihati anak dengan berkata seperti ini, ”Wahai anakku, sebutlah Allah dan bertawakallah kepadaNya. ”Ini secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan anak dan kepercayaannya terhadap Allah SWT. 

ii. Daya kreativiti anak akan hilang, begitu juga kemampuannya untuk melakukan pembaharuan. Disebabkan orang seperti ini takut dan gentar melakukan perubahan, maka agak sukar untuk kita menaruh harapan terhadapnya. 

Oleh yang demikian, ibubapa haruslah member pendidikan yang betul terhadap anak supaya mereka mampu berdikari dan teguh dalam menguruskan hidup dan melakukan sesuatu. 

Firman Allah bermaksud:”Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ” (Al-Hadid:22) 

Allah juga berfirman:”Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selau menjaganya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya itu atas perintah Allah. ” (Al-Ra’d:11) 

Para bapa harus sedar bahawa terikatnya hubungan dengan umat Islam yang berjihad, menegakkan syariat Islam dan menyiapkan kekuatan fizik mahupun mental yang mana kamu perintahkan untuk turut serta. 

Firman Allah:”Berjihadlah dengan bersungguh-sungguh di jalan Allah. Dia telah memilih kamu. Tidaklah Dia menjadikan kesulitan di dalam agama ini. ” (Al-Haji:78) 

Oleh itu, ibubapa haruslah mendidik anak-anak sebagaimana cara didikan yang diberikan oleh para sahabat Nabi kepada anak-anak mereka sebagai teladan dalam mendidik anak-anak. 

MENDIDIK ANAK SUKA MENGEJEK

Setiap yang hidup haruslah menyedari bahawa semua kenikmatan, kemiskinan, kekayaan dan kemuliaan datangnya dari Allah. Maka, selayaknya pujilah Allah dan bersyukurlah kepada-Nya tatkala mendapatkan kenikmatan. Disebabkan kenikmatan seperti inilah kadang-kadang manusia lupa dan lalai sehingga mereka menjadi seseorang yang suka mengejek dan mencela. Mereka mencela orang lain kerana agamanya, mengejek kerana infaknya, merendahkan orang kerana kefakirannya, dan dia remehkan orang kerana tidak suka dengannya. 

Perkara ini tidak hanya merangkumi urusan keduniaan sahaja bahkan kita juga akan mendapati bahawa orang-orang seperti ini suka mengejek Allah, Rasul-Nya, Kitab-Kitab-Nya, dan Hari Akhirat. Dia juga suka mengejek wali-wali Allah, orang-orang soleh, para ulama, para da’i dan para mubaligh. 

Allah berfirman:”Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan kepada mereka suatu surah yang menerangkan apa-apa yang tersembunyi di dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka: ‘Teruskanlah ejekan-ejekanmu (terhadap Allah dan rasul-Nya) !’ Sesungguhnya Allah akan menjadikan kenyataan apa yang mereka takutkan itu. Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu) , tentulah mereka akan menjawab: ‘Sesungguhnya kami hanyalah bergurau-senda dan main-main sahaja. ’ Katakanlah: ‘Apakah terhadap Allah, ayat-ayat-Nya, dan rasul-Nya kamu akan selalu terus mengolok-olok?” (At-Taubah:64-65) 

Allah berfirman:”Kemudian, akibat dari orang-orang yang suka mengerjakan kejahatan adalah azab yang buruk, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah dan mereka selalu mengolok-oloknya. ” (Ar-Rum:10) 

Allah berfirman:”Alangkah besarnya penyesalan pada hamba-hamba itu, lantaran tiada dating seorang Rasul pun kepada mereka melainkan sentiasa diolok-oloknya. ” (Yasin:30) 

Allah berfirman;”Sesungguhnya ada segolongan di antara hamba-hambaKu berdoa (di dunia) : ‘Wahai Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat dan engkau adalah sebaik-baik pemberi rahmat. Lalu kamu menjadikan mereka itu bahan ejekan, sehingga kesibukan kamu mengejek mereka menjadikan kamu melupakan Aku, dan kamu pun selalu mentertawakan mereka. ” (Al-Mukminun:109-110) 

Oleh itu, ibubapa haruslah memainkan peranan mereka dengan mendidik anak dengan pendidikan yang betul sejak mereka masih kecil supaya mereka sedar akan tanggungjawab dan kewajipan untuk bertakwa kepada Allah SWT dan tidak mengolok-olok-Nya. Anak-anak perlu sentiasa diperingatkan akan azab api neraka. Mereka juga perlu diingatkan bahawa segala kesenangan itu datang daripada Allah. Sentiasalah menasihatkan mereka bahawa Allah sedang menguji kita dengan segala kesenangan yang kita miliki itu. Allah mahu kita sentiasa bersyukur dan tidak mengejek mereka yang kurang berkemampuan kerana Allah mampu mencabut semua itu dari kita dan memindahkannya kepada orang lain. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com