Kaum Lut AS dan Bandar yang Dilingkupkan -

Nabi Lut AS. hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim AS. Baginda telah dihantar sebagai rasul bagi satu kaum yang berjiran dengan kaum Nabi Ibrahim AS. Seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran, kaum Nabi Lut AS. membudayakan satu perbuatan yang menyalahi kesusilaan iaitu liwat. Apabila Lut mengajak kaumnya untuk meninggalkan perbuatan tersebut dan juga amaran dari Allah SWT, mereka telah menolak seruan itu, menafikan kerasulannya sambil meneruskan perbuatan terkutuk itu. Akhirnya masyarakat itu telah dimusnahkan melalui satu malapetaka yang sungguh dahsyat. 

Bandar tempat tinggal Nabi Lut AS. disebut dalam Perjanjian Lama sebagai bandar Sodom. Bandar ini terletak di bahagian utara Laut Merah dan dipercayai telah dimusnahkan seperti yang tersebut di dalam Al-Quran. Kajian- kajian arkeologi mendapati bahawa bandar ini terletak di kawasan Laut Mati sepanjang sempadan Israel-Jordan. 

Al-Quran telah menerangkan bagaimana Nabi Lut AS. memberi peringatan kepada kaumnya dan jawapan mereka terhadapnya iaitu :

 (Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka) . Tatkala saudara mereka (Nabi Lut) , berkata kepada mereka :”Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku. Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku) , balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekelian alam. Patutkah kamu melakukan hubungan sejenis dengan lelaki dari kalangan manusia? Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan) !”Mereka menjawab :”Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami) , nescaya engkau akan diusir keluar!”Nabi Lut berkata :”Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji. ” (Surah As-Syuara: 160-168) 

Seruan Nabi Lut AS. telah disambut dengan pelbagai ugutan oleh kaumnya. Baginda telah menerima kebencian daripada kaumnya hanya kerana baginda menunjukkan jalan yang benar. Mereka berusaha untuk menyisihkan baginda dan pengikut-pengikutnya. Di dalam ayat-ayat yang lain, kejadian ini diterangkan seperti berikut ;

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan) . Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya:”Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun penduduk alam ini sebelum kamu?”Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata:”Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri. ” (Surah Al-A’raf : 80-82) 

Nabi Lut AS. meneruskan seruannya ke arah kebenaran yang abadi dan mengingatkan mereka secara khusus, namun kaumnya tidak sedikitpun mengendahkan seruan tersebut dan terus-menerus menolak Nabi Lut serta amarannya. 

Dan (ingatlah peristiwa ) Nabi Lut tatkala ia berkata kepada kaumnya:”Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu. ”Patutkah kamu mendatangi seorang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu) ? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu) ? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perkumpulan tetamu?”Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ngejek) :”Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar. ” (Surah Al-Ankabut : 28-29) 

Setelah menerima jawapan tersebut, Nabi Lut AS memohon pertolongan dari Allah SWT: (Lut berdoa) :”Ya Tuhanku selamatkanlah aku beserta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan”. (Surah As-Syuara:169) 

Sebagai memakbulkan doa Nabi Lut AS., Allah SWT telah menghantar dua malaikat yang menyerupai manusia. Sebelum bertemu dengan Nabi Lut, kedua-dua malaikat tersebut telah menziarahi Nabi Ibrahim AS. terlebih dahulu. Kedua-dua utusan Allah SWT itu membawa berita gembira buat Nabi Ibrahim kerana isterinya akan melahirkan seorang anak. Mereka juga menerangkan tujuan mereka dihantar oleh Allah SWT : kaum Nabi Lut yang biadap akan dimusnahkan. 

Nabi Ibrahim bertanya :”Selain dari itu apa lagi tugas penting kamu wahai utusan Tuhan?”Mereka menjawab:”Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka) ; Supaya kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah yang dibakar) . Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya) . ” (Surah Ad-Dhariyat :31-34) 

Melainkan keluarga Nabi Lut; sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya, kecuali isterinya; kami telah tentukan (menurut keputusan Tuhan) , bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang tinggal (menerima kebinasaan) . (Surah Al-Hijr:59-60) 

Selepas meninggalkan Nabi Ibrahim AS., kedua-dua malaikat utusan Allah SWT itu pergi bertemu Nabi Lut AS. Baginda agak cemas pada mulanya kerana belum pernah bertemu kedua-dua utusan ini, tetapi selepas mereka berbual seketika, perasaan cemas itu pun hilang. 

Dan apabila datang utusan-utusan kami kepada Nabi Lut, ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya) , sambil berkata :”Ini, adalah hari yang mencemaskan” (Surah Hud: 77) 

Nabi Lut berkata:”Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu) ”. Mereka menjawab :” (Kedatangan kami bukan untuk mendukacitakanmu) bahkan kami datang kepadamu untuk membawa azab yang mereka ragu-ragukan kebenarannya. ”Juga membawa kepadamu perkara yang benar (tentang kebinasaan mereka) ; dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar. ”Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam serta ikutlah di belakang mereka; dan janganlah seseorang pun di antara kamu berpaling (ke belakang) ; serta pergilah terus ke arah yang diperintahkan kamu menujunya”. Dan Kami wahyukan kepadanya tentang kesudahan perkara itu; iaitu mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga mereka punah ranah dan terputus keturunannya. (Surah Al-Hijr: 62-66) 

Sementara itu, kaumnya telah mendapat berita bahawa Nabi Lut dikunjungi oleh tetamu. Tanpa segan silu, mereka telah datang untuk bertemu dengan tetamu-tetamu Nabi Lut seperti mana perangai mereka yang sudah-sudah. Mereka mengelilingi rumah Nabi Lut. Baginda berasa bimbang akan tetamu-tetamunya lantas berucap kepada mereka;

Nabi Lut berkata:”Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. ”Dan takutlah kamu kepada Allah, serta janganlah kamu menghinakan daku. ” (Surah Al-Hijr) 

Kaumnya menjawab;Mereka menjawab:”Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka) ?” (Surah Al-Hijr:70) 

Mengenangkan sesuatu yang buruk akan berlaku kepada dirinya dan tetamu-tetamunya, Nabi Lut lantas berkata;

“Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke suatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu) . ” (Surah Hud: 80) 

“Tetamu-tetamunya”mengingatkan Nabi Lut bahawa mereka adalah utusan Allah SWT dan berkata;

“Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kaliakan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana) . Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh kebelakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka) . Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?” (Surah Hud: 81) 

Apabila kebiadaban penduduk-penduduk bandar itu sampai kemuncaknya, Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Lut melalui kedua-dua malaikatNya. Pada sebelah paginya, kaum Nabi Lut AS. telah dimusnahkan oleh satu malapetaka yang pernah diingatkan Nabi Lut kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka telah memujuk Nabi Lut mengenai tetamunya, lalu Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka) :”Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!”Dan demi sesungguhnya! Mereka telah ditimpa azab yang kekal pada pagi-pagi hari esoknya. (Surah Al-Qamar: 37-38) 

Ayat tersebut menerangkan kemusnahan kaum itu seperti berikut:

Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya) , dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. Dan sesungguhnya negeri kaum Lut yang telah dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui orang) . (Surah Al-Hijr: 73-76) 

Apabila kaumnya dihapuskan, hanya Nabi Lut dan mereka yang beriman sahaja yang terselamat. Bilangan mereka hanyalah seramai satu”isirumah”. Isteri Nabi Lut AS. juga tidak beriman dan telah bersama-sama dengan kemusnahan. 

“Tanda-tanda yang jelas”di dalam Tasik Nabi Lut

Ayat ke 82 Surah Hud menerangkan dengan jelasnya malapetaka yang berlaku ke atas kaum Nabi Lut AS. Kenyataan”diterbalikkan”membayangkan bahawa wilayah itu telah dihancurkan sama sekali oleh satu gempa bumi yang hebat. Sejurus itu, Tasik Nabi Lut, tempat berlakunya bencana tersebut menjadi bukti”nyata”berlakunya peristiwa itu. 

Sebenarnya. tasik Nabi Lut atau juga dikenali sebagai Laut Mati terletak betul-betul di atas wilayah gempa bumi yang aktif atau juga dikenali sebagai zon gempa bumi. Dasar Laut Mati terletak pada asas pergerakan bumi yang menghala ke bawah. Lembah ini terletak dalam keadaan ketegangan antara Tasik Taberiye di utara dan pertengahan Lembah Arabah di bahagian Selatan. 

Kejadian ini diterangkan sebagai”Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi”di akhir ayat itu. Semua kebarangkalian menunjukkan letupan gunung berapi berlaku di setiap tebing tasik Nabi Lut yang mengakibatkan batu batan meletup dan menjadi seperti”dipanggang”. 

Bersangkutan dengan perkara ini, ahli arkeologi Jerman iaitu Werner Keller telah menulis;

Bersama-sama dengan asas rekahan yang besar ini, yang betul-betul melingkari kawasan Lurah Siddim yang meliputi Sodom dan Gomorroh, pada suatu hari telah terbenam dengan dalamnya. Kemusnahannya disebabkan oleh satu gempa bumi yang hebat dan berkemungkinan besar dituruti dengan letupan, petir, pelepasan gas asli dan kebakaran besar. Di bahagian atas Lembah Jordan berhampiran dengan Bashan, masih kelihatan kawah-kawah tinggi gunung berapi yang sudah pupus. Lingkaran luas lava dan lapisan basalt bertimbun-timbun di atas permukaan batu kapur. 

Secara umumnya, kisah-kisah yang disebut di dalam Al-Quran berlaku di Timur Tengah, di Semenanjung Arab dan Mesir. Di tengah-tengah wilayah ini terletaknya Tasik Nabi Lut. Tasik tersebut dan kejadian-kejadian yang berlaku di sekelilingnya menarik minat secara geografi. Tasik tersebut berada lebih kurang 400 meter di bawah permukaan Mediteranean. Memandangkan tempat yang paling dalam di tasik itu ialah 400 meter, maka dasarnya ialah 800 meter dari permukaan Mediteranean. Ia adalah titik yang paling dalam di dunia ini. Salah satu ciri penting Tasik Nabi Lut ialah kandungan garamnya yang sungguh tinggi dengan isipadu hampir 30%. Oleh kerana itu, tiada sebarang orgasma boleh hidup termasuk ikan dan lumut. Sebab itulah di dalam penulisan-penulisan Barat, Tasik Nabi Lut dikenali sebagai”Laut Mati”. 

Mengikut anggaran, kejadian yang berlaku ke atas kaum Nabi Lut AS. seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran berlaku di sekitar 1800SM. Berasaskan kajian-kajian geografi dan arkeologinya, penyelidik Jerman, Werner Keller telah mencatatkan bahawa bandar-bandar Sodom dan Gomorroh memang sebenarnya terletak di wilayah paling jauh dan paling rendah di Tasik Nabi Lut. Pada satu masa dahulu tempat ini diduduki dengan meluasnya. 

Di pantai Laut Mati di sebelah timur, sebuah semenanjung yang dikenali sebagai Al-Lisan menonjol keluar ke arah air. Al-Lisan bermaksud”lidah”dalam bahasa Arab. Semenanjung ini tidak dapat dilihat dari daratan kerana ia jatuh di bawah permukaan air pada sudut yang luas, membahagikan lautan kepada dua bahagian. Di bahagian kanan, tanahnya amat curam ke bawah sehingga 1200 kaki dalam. Di sebelah kiri pula, airnya sentiasa cetek. Kajian bunyi yang dilontarkan ke bawah hanya merekodkan kedalaman sebanyak 50 hingga 60 kaki. Kawasan cetek ini yang melingkari semenanjung Al-Lisan hingga ke bahagian paling selatan adalah wilayah Lembah Siddim. 

Werner Keller telah juga mencatatkan bahawa kawasan yang cetek ini terbentuk selepas berlakunya kejadian gempa bumi dan keruntuhan besar akibat gempa tersebut. Di sinilah terletaknya pada satu masa dahulu bandar-bandar Sodom dan Gomorroh iaitu tempat tinggal Nabi Lut AS. Satu ketika dahulu tempat ini boleh dilintasi dengan hanya berjalan kaki. Namun hari ini, lembah Siddim di mana terletaknya bandar-bandar Sodom dan Gomorrah dilitupi oleh permukaan rata bahagian cetek Laut Mati. Keruntuhan hebat asas bumi akibat malapetaka itu yang berlaku pada permulaan milineum kedua SM menyebabkan air masin dari bahagian utara memasuki rekahan yang baru terjadi itu sehingga penuh. 

Kesan-kesan dari Tasik Nabi Lut dapat dilihat dengan jelas. Apabila seseorang mendayung perahu melintasi tasik tersebut ke arah selatan, dan sekiranya, matahari menyinari ke arah yang tepat, mereka dapat melihat sesuatu yang menakjubkan. Di satu kawasan yang agak jauh dari pantai, kelihatan dengan jelas di dasar air, garisan hutan yang disimpan sebagai khazanah oleh Laut Mati yang mengandungi kandungan garam yang amat tinggi. Batang-batang pokok dan akar-akarnya yang dapat dilihat di dalam gemerlapan air yang kehijauan adalah peninggalan silam. Lembah Siddim, tempat di mana pokok-pokok ini suatu masa dahulu tumbuh dengan suburnya adalah kawasan yang tercantik di wilayah tersebut. 

Aspek mekanikal malapetaka yang menimpa kaum Nabi Lut telah didedahkan oleh para penyelidik kaji bumi. Mereka melaporkan bahawa gempa bumi yang menghancurkan kaum Nabi Lut AS. berlaku akibat rekahan panjang pada bumi (garisan gelinciran) , sepanjang 190 kilometer dan membentuk dasar sungai Sheri’at. Sungai ini jatuh sebanyak 180 meter. Fakta ini diperkuatkan dengan fakta Tasik Nabi Lut 400 meter di bawah paras laut merupakan dua bukti penting yang menjelaskan satu kejadian geologi yang hebat telah berlaku di sini. 

Struktur menarik sungai Sheri’at dan Tasik Nabi Lut hanya meliputi sebahagian kecil rekahan atau pemisahan yang melewati kawasan muka bumi ini. Rekahan itu berlaku bermula daripada pinggiran Gunung Taurus dan memanjang ke arah selatan pantai Tasik Nabi Lut dan berterusan hingga melampaui gurun Arab dan terus ke teluk Aqaba serta bersambung melintasi Laut Merah dan berhenti di Afrika. Sepanjang laluan ini, aktiviti-aktiviti segar gunung berapi dapat diperhatikan. Lava dan basalt hitam masih wujud di Pergunungan Galilee di Israel, wilayah dataran tinggi Jordan, Teluk Aqaba dan kawasan- kawasan sekelilingnya. 

Semua kesan ini dan bukti-bukti geografi menunjukkan bahawa satu malapetaka geologi pernah berlaku di Tasik Nabi Lut. Werner Keller menulis;

Bersama-sama dengan asas rekahan yang besar ini, yang betul-betul melingkari kawasan Lurah Siddim yang meliputi Sodom dan Gomorroh, pada suatu hari telah terbenam ke dalamnya. Kemusnahannya disebabkan oleh satu gempa bumi yang hebat dan berkemungkinan besar dituruti dengan letupan, petir, pelepasan gas aslidan kebakaran besar. Penenggelaman itu telah melepaskan kuasa gunung berapi yang selama itu tidak aktif di dalam bumi sepanjang rekahan tersebut. Di bahagian atas Lembah Jordan berhampiran Bashan, masih kelihatan kawah-kawah tinggi gunung berapi yang sudah pupus. Lingkaran luas lava dan lapisan basalt bertimbun-timbun di atas permukaan batu kapur. 

Disediakan oleh : Nama : Khalilah Bt Khairi
Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com