Sikap Islam Terhadap Pakaian -

Keperluan Manusia Kepada Pakaian

Tanpa memandang kepada segala bentuk kemewahan dan keindahan yang sedang berlaku dalam kehidupan masyarakat sekarang. Pakaian merupakan sesuatu yang menutupi beberapa anggota tertentu manusia dari terdedah daripada pandangan. 

Tindakan ini adalah berpunca dari sifat malu semulajadi manusia di samping keinginan memelihara anggota itu daripada ancaman udara dan perubahannya. Tiap bentuk pakaian itu tetap akan memunuhi dua keperluan asas ini bagi manusia, dan ia (pakaian) dalam bentuk mudahnya tentulah serupa kerana setiap individu manusia hampir sama pula cara mereka bertindak melindunginya. Kalaupun berlaku perbezaan dalam bentuk dan jenisnya, ini hanyalah berpunca daripada perubahan yang berlaku pada alam sekitar seperti pertukaran musim yang memerlukan jenis pakaian nipis dan menutupi sebahagian kecil anggota badan ketika udara amat sejuk. 

Terdapat berbagai sebab dan dorongan, sama ada yang berasas atau tidak berasas, yang menjadi punca timbulnya ragaman bentuk pakaian manusia dan adalah menjadi suatu perkara yang mustahil untuk mengenal dan mengkaji kesemuanya kerana kehidupan bangsa-bangsa sama ada dalam bentuk kelompok atau individu adalah terpengaruh dengan berbagai faktor dalaman dan luaran yand di luar perkiraan dan catatan manusia sejak ribuan tahun dahulu. Antara faktor-faktor penting yang mempunyai peranan dalam menimbulkan berbagai bentuk pakaian yang mendapat sambutan. Di antaranya ialah:

1. Suasana Alam Sekitar
Iaitu suasana alam sekeliling yang memaksa penduduk kawasan tertentu di dunia ini memilih satu bentuk pakaian cara hidup yang khusus. 

2. Prinsip-prinsip Moral dan Agama
Iaitu berbagai prinsip yang melahirkan satu bentuk khusus pakaian kaum wanita di kalangan bangsa-bangsa yang berlainan daripada bentuk pakain kaum lelaki. 

3. Selera Semulajadi
Iaitu satu selera yang tumbuh dan membesar di kalangan setiap bangsa melalui berbagai cara, akibatnya menimbulkan neraca pimilihan yang berlainan menurut kelainan bangsa-bangsa itu. 

4. Cara Hidup
Iaitu cara hidup yang tumbuh membesar di kalangan setiap bangsa dalam bentuknya yang khusus yang sesuai dengan persekitaran, tamadun, ekonomi, pemikiran dan kepercayaan bagi bangsa itu. Dengan itu, secara langsungnya, setiap bangsa hanya akan memilih bentuk pakaian yang dipadankan dengan cara hidup yang dapat diterima umum dalam masyarakatnya. 

5. Taraf Ekonomi
Iaitu setiap apa yang menjadi sumber hidup setiap bangsa seperti pekerjaan, perusahaan, taraf pendapatan sama ada miskin atau kaya, maka pakaian bagi sesuatu bangsa adalah disesuaikan dengan beberapa suasana tersebut. Apabila berlaku perubahan pada suasana-suasana itu, maka secara tidak langsungnya akan berlaku perubahan dalam bentuk pakaian mereka. 

Dua Hakikat Penting Mengenai Pakaian

Itulah beberapa faktor penting yang mempunyai pengaruh yang amat kuat dan meluas bukan sahaja terhadap pakaian sesuatu bangsa malah mengusai juga kehidupan sosial secara kesuluruhannya. Pakaian sesuatu bangsa adalah semata-mata hasil daripada tindakbalas terhadap faktor-faktor tersebut. Berdasarkan perincian ini, pakaian mempunyai dua hakikat penting:

Pertama: Bahawa pakaian bukanlah sekadar suatu alat bagi menutup sebahagian anggota badan dan mengawalnya daripada ancaman udara, malah ia berperanan lebih daripada itu, ia mempunyai akar umbi yang mendalam dalam jiwa sesuatu bangsa, tamadunnya, kemajuan hidupnya, tradisinya dan lain-lain yang termasuk ke dalam semua aspek sosialnya. Pada hakikatnya ia adalah gambaran kepada roh yang bergerak dalam diri bangsa itu sendiri dan ia juga merupakan lidahnya yang menyampaikan hasrat kebangsaan di samping ia memperkenalkan identitinya kepada mata dunia. 

Kedua: Bahawa setiap pendorong yang memainkan peranannya di sebalik perkembangan pakaian sesuatu bangsa, kecuali suasana geografinya, adalah terdedah kepada perubahan dan pertukaran dari masa ke semasa dengan pantas dan tanpa disedari kerana tidak ada suatupun daripada pendorong-pendorong itu yang diam atau beku, malah setiap satunya akan menerima perubahan. Perubahan yang berlaku padanya tidak sahaja member kesan kepada corak pakaian individu sesuatu bangsa malah ia juga memberi kesan sampingan dengan perubahan yang beransur-ansur dalam kehidupan social bagi bangsa itu. 

Apabila berkembang ilmu pengetahuan sesebuah bangsa, tinggi daya pemikiran terbuka luas pandangan mereka maka ketika itulah berlakulah secara perlahan-lahan satu gerakan peralihan dalam kehidupan social bangsa itu yang serentak akan diikuti pula oleh perubahan emosi dan seleranya, akan meresap rasa cintakan keindahan dan disiplin ke dalam hidupnya dan akan mula cenderung ke arah memilih teknik-teknik baru bagi menampung beberapa keperluan hidup yang baru. 

Pada kesuluruhannya, citarasa suatu bangsa dan juga tabiat sosialnya sering menerapkan pengubahsuaian yang baik terhadap bentuk pakaiannya menurut sejauh mana persediannya menerima sesuatu yang baru dan membuang corak yang lama, dan juga sejauhmana keinginannya untuk turut bersama dalam arus perkembangan tamadun. 

Keperluan Pakaian Sebagai Satu Lambang Sosial

1. Bentuk atau fesyen pakaian bukanlah merupakan suatu gejala masyarakat yang berasingan, malah ia adalah hasil dari integrasi berbagai faktor alam semulajadi dan sosial. Hakikat ini kalau kita akui kebenarannya, maka kita terpaksa akui kebenarannya, maka kita terpaksa pula mengakui bahawa bentuk pakaian yang mendapat sambutan ramai di kalangan sesuatu bangsa adalah natijah daripada adunan faktor-faktor tadi, iaitu satu bentuk asli yang serasi dengan sifat semulajadi bagi bangsa itu, dan sekiranya ia, secara mengejut menukar bentuknya yang asli yang serasi dengan bentuknya yang baru yang bukan hasil dari adunan faktor-faktor tadi, maka tidak syak lagi dengan tindakan itu ia telah melakukan sesuatu yang bertentengan dengan fitrah kejadian manusia yang telah dikurniakan Allah kepada manusia di permukaan bumi ini. 

2. Sesungguhnya pakaian sesuatu bangsa itu mempunyai hubungan yang rapat dengan cara hidup bangsa itu, dan diantara cara hidupnya pula dengan kehidupan social hariannya mempunyai hubungan dan pertalian dari berbagai sudut. Hubungan dan pertalian ini akan tetap kekal dalam keadaannya yang normal kerana kehidupan itu dalam bentuknya yang sebegini akan terus bergerak dan berubah dalam semua unitnya. Tetapi apabila perubahan itu berlaku bukan dalam bentuknya yang normal iaitu berubahnya bentuk pakaian dan cara hidup sesuatu bangsa itu atau bentuk pakaiannya sahaja melalui saluran-saluran yang tidak asli dan natural maka akan berlaku dalam kehidupan bangsa itu suasana yang tidak tenang dan pincang kerana unit kehidupan yang lainnya tidak turut bersama dalam perubahan itu di samping tiada satu bentuk hubungan atau intergrasi di antara unit-unit itu dengan perubahan yang berlaku. 

3. Keindahan, kesederhanaan dan kesesuaian pakaian bagi suasana yang maju adalah bergantung, menurut keadaan sebenarnya kepada kemajuan sesuatu bangsa yang cergas, maju, bermoral tinggi, bercitarasa dan mempunyai pemikiran yang kreatif. Sejauhmana kemajuan yang dicapainya dalam bidang-bidangdi atas sebanyak itu pula berlakunya pengubahsuaian terhadap bebtuk pakaian kebangsaannya kerana sesuatu kehidupan sosial yang inginkan kemajuan akan melakukan sendiri pengubahsuaian dan perubahan terhadap keadaan lamanya dengan cara yang normal, apabila saja ia melihat perkara-perkara baru yang terdapat pada bangsa-bangsa lain yang sesuai dengan suasana dan keperluannya lantas ia mengimport serta membentuk sekaligus agar serasi dengan selera dan fitrahnya sendiri. Tetapi untuk menolak penyesuaian yang berlaku dengan cara yang normal sebegini dan menukarnya dengan suatu bentuk pakaian dengan cara yang mengejut, maka perbuatan ini dianggapsebagai suatu lompatandari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain. Lompatan seperti ini tidak akan berjaya melakukan perubahan yang mendalam dan berkesan dalam kehidupan sosial manusia. 

4. Perubahan yang berlaku pada sesuatu bangsa dan juga cara hidupnya tanpa diasaskan kepada faktor-faktor kemajuan sosial dalam skop umumnya di samping terdapat usaha-usaha ke arah meningkatkannya ke peringkat yang melebihi tahapnya yang sebenar dengan melalui satu tindakan yang sengaja diada-adakan adalah umpama seorang kanak-kanak yang belum sampai ke peringkat umur baligh yang hidup di tengah-tengah alunan nafsu, lalu ia memakan makanan yang membangkitkan nafsu dan juga mengambil ubat-ubat yang boleh member kecergasan agar dengan itu akan meningkat baligh melalui perbuatannya yang disengajakan. Kepincangan yang mungkin banyak berlaku dalam pertumbuhan badan dan alam pemikirannya hasil daripada baligh yang palsu ini dapatlah disamakan dengan kepincangan dan pergolakan yang berlaku dalam struktur sosial, alam pemikiran dan moral bagi sesuatu bangsa yang mundur yang berusaha meningkat dan memajukannya secara mendadak. 

5. Sesuatu bangsa yang kedudukan ekonominya tidak membolehkannya untuk menanggung perbelanjaan mengadakan satu bentuk pakaian yang tertentu dan juga cara hidup yang tertentu adalah dianggap zalim apabila memaksanya memilih satu bentuk pakaian dan cara hidup yang memberatkannya yang nilainya melebihi tahap kemampun ekonominya. Perbuatan begini sudah pasti akan merosakkan bangsa itu kerana ia bukan sahaja akan memilih pakaian dan cara hidup sesuatu bangsa yang sudah maju dan kaya tetapai ia juga akan berusaha utuk memilih ideologi-ideologi bangsa itu dan etika kerja mereka. Kesemua tindakannya hanya akan menghancurkan kewujudannya dan melenyapkan identiti tamadunnya. 

Pakaian Wanita Islam:Menurut Al-Quran dan Sunnah

Satu ciri penting untuk menjadi seseorang Mukmin mengikut Al-Quran ialah meletakkan pandangan, perasaan dan kecenderungan seseorang itu lebih rendah daripada sesuatu ketetapan Allah dan RasulNya. 

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan aka nada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat, dengan kesesatan yang nyata. ”

Untuk menjelaskan kebenaran dengan cara berterus-terang dan ikhlas mungkin akan menimbulkan ketidaksenangan walaupun kepada individu-individu Muslim yang baik. Di sini digariskan beberapa syarat mengikut Al-Quran. 

Syarat Pertama: Had Menutup

Pakaian tersebut mestilah menutupi seluruh tubuh kecuali anggota yang diizinkan dengan jelasnya. Al-Quran menyebutkan:

“Katakanlah kepada laki-laki yang berimaan. ”Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya ; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. ”

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, ”“Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan, janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) Nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kelu ke dadanya, dan jangalah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka atau puter-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka atau putera-putera saudara mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap) wanita atau anak-anak yangbelum mengerti tentang aurat mereka. Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka ajar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung. ”

Ayat-ayat ini antara lain mengandungi 2 perintah utama:-

1. Seorang wanita Islam tidak seharusnya menampakkan kecantikan dan perhiasannya (zinah) kecuali”apa yang biasa nampak daripadanya”atau”apa yang jelas”. 

Perkataan”zinah”membawa dua pengertian :-

 (a) Semulajadi atau kecantikan tubuh dan;

 (b) Perhiasan yang dipakai seperti cincin, rantai, gelang tangan dan juga pakaian. 


Bahagian”zinah”yang dikecualikan daripada perintah di atas ditafsirkan di dalam dua keadaan:-

 (a) Muka dan tapak tangan. Ini adalah tafsiran oleh sebahagian besar para Fuqaha’, pada masa lalu dan kini. Tafsiran ini pula disahkan pula melalui Ijma’ bahawa seseorang wanita Islam adalah diizinkan oleh Islam untuk tidak menutup muka dan tangannya sewaktu menunaikan haji dan juga pada waktu sembahyang sedangkan seluruh anggotanya yang lain dianggapkan sebagai aurat (yang wajibnya ditutup) . Tafsiran ini adalah berdasarkan nas dari Rasulullah SAW. yakni hadith baginda yang berbunyi:

“……… bilamana seseorang wanita telah mencapai peringkat umur baligh, tidak ada bahagian dari tubuhnya yang boleh didedahkankan kecuali ini”. dan baginda Rasulullah SAW. menunjukkan kepada muka dan tapak tangannya. 

 (a) Apa yang terdedah atau ternampak daripada tubuh seseorang wanita itu berpunca dari sesuatu sebab yang tidak dapat dikawal atau tidak disengajakan seperti tiupan angin atau di dalam keadaan darurat seperti gelang tangan atau pakaian luaran mereka sendiri. 


2. Tudung kepala (khumur) hendaklah dilabuhkan menutupi pangkal leher (juyub) bukan sahaja setakat menutupi rambutnya, bahkan juga hendaklah dilabuhkan untuk menutup leher dan dada sekaligus. 

Syarat Kedua: Longgar

Pakaian tersebut mestilah cukup longgar sehingga ia tidak menampakkan bentuk tubuh seseorang wanita itu. Ini selaras dengan kehendak ayat-ayatyang dipetik diatas tadi (an-Nur 24:30-31) dan tentunya ia penting untuk tujuan menyembunyikan”zinah”. Pakaian-pakaian yang walaupun sederhana longgar tetapai masih menampakkan bentuk tubuh seseorang wanita itu seperti dada, pinggang, punggung, belakang atau pahanya. Apakah ini semua kalau bukannya”zinah”?

Rasulullah SAW. pada suatu ketika menerima suatu persalinan kain tebal sebagai hadiah. Baginda memberikannya kepada Usamah bin Zaid yang kemudiannya dibrikan kepada isterinya. Lalu Rasulullah SAW. bersabda;”Suruhlah ia memakai”gholalah”iaitu kain tebal yang biasanya dipakai di bawah pakaian untuk menghalang daripada nampaknya susuk tubuh, di bawah kain itu kerana aku khuatir kain itu akan masih menampakkan susuk tubuhnya”. 

Syarat Ketiga: Tebal

Pakaian tersebur hendaklah cukup tebal agar ia tidak akan menampakkan warna kulit si pemakainya, ataupun bentuk tubuh pemakai yang sepatutnya dilindungi. 

Tujuan ayat (an-Nur 24:30-31) ialah untuk menyembunyikan tubuh seseorang wanita itu kecuali muka dan tapak tangan. Ini dihuraikan dengan jelasnya oleh Rasullah SAW. ”Di dalam generasi umatku yang akan dating, terdapat wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang. Di atasnya kelihatan seperti bonggok unta. Laknat adalah untuk mereka kerana mereka adalah benar-benar laknat”. Di dalam suatu riwayat lagi, baginda Rasullah SAW. dilaporkan menambah bahawa, ”Mereka tidak akan menciunm bau syurga”. 

Syarat Keempat: Tiada Daya Tarikan

Pakaian itu tidaklah bersifat menarik perhatian dan mengghairahkan kaum lelaki terhadap kecantikan si pemakai pakaian tersebut. Al-Quran dengan jelasnya menerangkan tentang tujuan pakaian wanita ialah untuk menyembunyikan”zinah” (perhiasan) . Bagaimana mungkin”zinah”tersebut dilindungi jika pakaian tersebut direkabentuk sedemikian rupa sehinggakan ia menarik perhatian lelaki ke arah wanita tersebut. 

Syarat-Syarat Tambahan

Sebagai tambahan kepada empat syarat di atas yang dihuraikan dengan jelas, terdapat beberapa syarat lain dan perlaksanaannya mungkin berbeza mengikut masa dan tempat. Ini termasuklah:-

 (1) Pakaian tersebut hendaklah tidak serupa dengan pakaian lelaki. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasullah SAW. melaknati lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. 

 (2) Ia tidak harus menyerupai pakaian yang pada kebiasaannya dianggapkan sebagai pakaian orang-orang kafir. Peraturan ini diperolehi dari peraturan umum syariah bahawa ummat Islam hendaklah mempunyai personaliti yang tersendiri dan membezakan pakaian atau akhlaknya daripada orang-orang kafir. 

 (3) Pakaian itu bukanlah dipakai diatas mencari kesombongan, kemahsyuran dan kebanggaan. Kemahsyuran demikian cuma diperolehi dengan memakai pakaian yang berwarna-warni dan”rugged”untuk memperolehi perhatian orang lain. Kedua-dua motif ini adalah tidak syar’iyy mengikut ukuran Islam. Rasullah SAW. bersabda:

“Barangsiapa yang memakai pakaian kebanggaan di atas dunia ini, Allah akan memakaikannya dengan pakaian kehinaan di akhirat nanti, dan akan dihumbankan ke dalam neraka”. 

Syarat-syarat Pakaian Lelaki

Hendaklah disedari bahawa syarat-syarat asas yang dikenakan ke atas pakaian wanita juga disandarkan ke atas pakaian lelaki dengan beberapa perubahan. Ini mudah difahami kerana Islam mentakrifkan aurat sebagai mana-mana bahagian yang harus dilindungi sepanjang waktu melainkan dalam kekecualian yang diizinkan oleh syariah. Penutupan aurat adalah juga syarat kepada sahnya suatu sembahyang itu. 

Telah diijma’kan oleh para fuqaha’ berdasarkan Al-Quran dan Sunnah bahawa aurat bagi perempuan adalah seluruh tubunya melainkan tangan dan mukanya. Bagi lelaki pula, auratnya ditakrifkan sebagai kawasan diantara pusat sehingga lutut. 

Di dalam lingkungan penakrifan tentang aurat bagi kedua-dua lelaki dan perempuan, keempat-empat syarat seperti yang dibincangkan diatas dasarnya adalah serupa:

 (1) Lelaki hendaklah menutup seluruh auratnya. 

 (2) Pakaian lelaki itu hendaklah cukup longgar sehingga tidak menampakkan apa yang dilindungi (aurat) . 

 (3) Mestilah cukup tebal sehingga tidak menampakkan warna kulit kawasan atau anggota yang wajib ditutup tersebut. 

 (4) Hendaklah ia direkabentuk sedemikian rupa sehingga tidak sampai menarik perhatian para wanita terhadapnya. Peraturan umum mengenai kehormatan yakni tidak untuk menunjuk-nunjuk juga terpakai ke atas semua lelaki dan perempuan Muslim. 

Terdapat pula tiga syarat tambahan yang dibincangkan di bawah kanun pakaian perempuan yang turut disandarkan ke atas pakaian lelaki sekaligus. 

 (1) Ia tidak harus menyerupai pakaian perempuan. 

 (2) Ia tidak harus menyerupai pakaian yang jelas dikenali sebagai pakaian orang-orang kafir. 

 (3) Ia bukan pakaian untuk tujuan berbangga, mencari kemahsyuran dan nama. 
Sebagai tambahan kepada syarat di atas, kaum lelaki juga diharamkan memakai emas dan sutera. Bagaimanapun, hal ini tidak terpakai kepada wanita. 

Prepared By: Nursakinah Bt Mohd Yusof
Prepared For: Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com