Monday, September 13, 2010

Amalan Pada Bulan Ramadhan dan Syawal -

Nama Pensyarah :Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Nama Pelajar: Nadzirah Binti Abd Malek

Amalan Ramadhan & Syawal

Bulan Ramadhan dan Syawal ialah bulan yang mulia. Umat Islam menyambut bulan Ramadhan dan Syawal dengan beberapa keadaan. Ramadhan dan Syawal merupakan bulan ujian untuk umat Islam. Ada yang tidak sanggup untuk mengahadapi ujian-ujian tersebut iaitu dengan tidak berpuasa sama sekali ataupun berpuasa sekadar lapar dan dahaga serta menyambut hari raya dengan berhibur mengikut nafsu. 

Orang yang bijak mengambil peluang bersungguh-sungguh berpuasa dan melakukan amal ibadah di bulan Ramadhan. Memahami ilmu tentang amalan utama di bulan Ramadhan dan menyempurnakannya dengan baik, seterusnya memperbanyakkan amal sunat di bulan yang mulia ini. Rusulullah pernah bersabda yang bermaksud :”Bulan Ramadhan itu awalnya adalah rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya

Pembebasan dari berbagai Neraka. ”

Bulan Ramadhan berbeza dengan bulan-bulan yang lain dan lebih baik dari seribu bulan kerana di dalamnya terkumpul banyak ibadah yang tidak dilakukan pada bulan lain contohnya Solat Tarawih, Solat Lailatulqadar dan membayar zakat fitrah tidak dilakukan pada bulan lain. Bertadarus, beriktitaf dan bersedekah menjadi amalan utama dan menjadikan bulan Ramadhan lebih istimewa daripada bulan-bulan yang lain. 

Setelah berpuasa di bulan Ramadhan, kita akan menyambut hari raya Aidilfitri di bulan Syawal. Hari raya Aidilfitri ini merupakan hari kesyukuran yang diiringi dengan sambutan yang sederhana dan menepati syariat. Bulan Syawal juga istimewa kerana dikenali sebagai bulan raya, bulan kemenangan, keampunan dan kesyukuran. Orang-orang yang beriman menyambut Syawal dengan rasa takut dan harap, syukur dan cemas. Syukur kerana telah sempurna berpuasa sebulan Ramadhan, takut dan cemas amalan puasa dan lain-lain ibadah sepanjang Ramadhan tidak diterima namun berharap mendapat rahmat dan ampunan dari Allah. 

PENGERTIAN RAMADHAN DAN SYAWAL

Ramadhan dan Syawal ialah salah satu daripada bulan Islam. Ramadhan dan Syawal dimuliakan kerana keutamaan beramal di bulan tersebut. Pada bulan tersebut diwajibkan amalan berpuasa sebulan Ramadhan dan mengeluarkan zakat di akhir Ramadhan dan menjelang Syawal. Kedua bulan tersebut adalah bulan yang istimewa dan mulia di sisi Allah dan para hamba-Nya. Sebagai umat Islam, kita perlu memuliakan dan menghayati Ramadhan dan Syawal untuk mendapat keberkatannya. 

Ramadhan bererti bulan imtihan, bulan ujian. Bulan Ramadhan juga dikenali sebagai bulan puasa kerana pada bulan ini diwajibkan berpuasa selama sebulan. Allah memilih bulan Ramadhan untuk melimpahkan nikmat besar-Nya kepada para hamba-Nya dengan menurunkan Al-Quran. 

Keistimewaan bulan Ramadhan :
1. Bulan yang telah dipilih oleh Allah untuk diadakan suatu malam yang sangat tinggi nilainya iaitu ‘malam LailatulQadar’. 
2. Bulan yang dipilih untuk mengerjakan solat Tarawih. Solat Tarawih adalah solat sunat yang hanya ada di bulan Ramadhan sahaja. Umat Islam disunatkan mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah. 
3. Bulan yang dipilih untuk kita memperbanykkan amal ibadah seperti membaca Al-Quran, memperbanykkan sedekah, solat sunat dan sebagainya. 
4. Bulan yang berlakunya kemenangan di pihak Rasulullah menawan kota Mekah. 
5. Berlakunya Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadhan yang disambut setiap tahun sebagai memperingati kesempurnaan Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah. 
6. Bulan yang dipelihara dari dosa, dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka serta syaitan akan dibelenggu. 
7. Mendapat perhatian, keutamaan dan ganjaran dari Allah. 
8. Sejarah berlakunya perang Badar Al-Kubra. Kemenangan pihak Islam menjadi penentu sejarah kegemilangan Islam. 
9. Sejarah berlakunya penaklukan kota Makkah oleh Rasulullah dan tamatnya budaya menyembah berhala. 
10. Pada bulan ini, setiap solat Tarawih mempunyai kelebihannya yang tersendiri. 
11. Bulan Ramadhan adalan bulan dimana kita dituntut untuk mengerjakan amal ibadah. Segala doa dan apa-apa permintaan Insyaallah akan dimakbulkan Allah. 
12. Para syaitan dan iblis akan dirantai atau dibelenggu moga dengan itu maksiat akan berkurangan. 

Syawal bererti bulan meraikan umat Islam yang telah Berjaya menunaikan ibadahp puasa selama sebulan. Bulan Syawal merupakan bulan kemenangan, kesyukuran dan kegembiraan. Diantara keistimewaan bulan Syawal ialah :

1. Merupakan bulan keampunan. 
2. Bulan dikabulkan doa dan Allah melihat dengan rahmat kasih sayangNya. 
3. Merupakan peringatan terhadap hari akhirat. 

MENGHAYATI BULAN RAMADHAN

Apabila bulan Ramadhan menjelang tiba, mukmin sejati akan bersiap-sedia menanti kedatangannya. Mereka menyambut dengan penuh keikhlasan. Memang selayaknya seseorang itu berasa gembira dengan kedatangan Ramadhan kerana Ramadhan merupakan bulan yang berkat dan membawa rahmat. Setiap amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan akan berlipat ganda ganjarannya. Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan gerbang pertapaan dan melatih diri menjinakkan nafsu yang liar disamping mendidik jiwa. Diantara persiapan yang biasa dilakukan oleh umat Islam untuk menyambut Ramadhan ialah :

a. Mengulangkaji kembali pelajaran berkenaan dengan puasa agar kita menjalani ibadah puasa dengan pengetahuan yang mantap. Pelajaran itu haruslah merangkumi rukun puasa, syarat puasa dan adab puasa. 
b. Memperlihatkan kepada sesama kita kesenangan dan kegembiraan dalam menjalani ibadah puasa. 
c. Menguatkan semangat dan himmah untuk menjalani ibadah puasa. 
d. Menyediakan diri untuk menjaga dan memelihara amalan yang akan dilakukan di bulan puasa. Persediaan yang boleh dibuat ialah menyediakan jiwa dan kemahuan yang sungguh-sungguh untuk merebut keistimewaan bulan Ramadhan. 
e. Melenyapkan adat-adat tradisi yang memberat dan membebankan. Contohnya belanja berlebihan untuk menyambut bulan Ramadhan. 
f. Mengucapkan tahniah atas kedatanga Ramadhan dengan mengadakan kenduri kesyukuran atau dengan mengadakan sedikit jamuan. 

MENENTUKAN PERMULAAN RAMADHAN DAN SYAWAL

1. Melihat anak bulan
Untuk mengetahui masuknya Ramadhan adalah dengan cara melihat anak bulan pada 30 Sya’ban. Sebaik-baiknya diusahakan melihat anak bulan pada 30 Rejab untuk mengetahui awal Sya’ban. Jika kita dapat melihat anak bulan, wajiblah kita berpuasa masih terang maka kita tidak wajib berpuasa keesokan harinya. 

2. Dengan kesaksian yang adil
Jika kita tidak dapat melihat anak bulan, tetapi ada orang yang boleh dipercayai menyatakan telah melihat anak bulan di ufuk barat sesudah terbenamnya matahari, maka wajiblah berpuasa. 

3. Mencukupkan bulan Sya’ban selama 30 hari. 
Sekiranya kita tidak dapat melihat anak bulan pada malam ke-30 Sya’ban dan tidak ada pula orang yang menyatakan kesaksiannya telah melihat anak bulan, wajiblah kita memulakan puasa dengan menyempurnakan bulan Sya’ban genap 30 hari. Ini bermaksud jumlah hari dalam bulan tersebut adalah 29 hari. Berpuasalah kerana melihat bulan dan berbukalah ketika melihat bulan. 

PERINGKAT-PERINGKAT PUASA
Untuk mengetahui sejauh manakah kita telah sampai kepada peringkat kesempurnaan puasa sebagaimana yang Allah kehendaki, kita perlulah tahu peringkat-peringkat puasa iaitu :
a) Puasa Umum
Orang ini berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Ini adalah kerana anggota-anggota lahirnya seperti mulut, hidung, telinga dan kakinya masih melakukan maksiat seperti sifat cintakan dunia, pemarah, riak dan sebagainya. Puasa yang sebegini tidak member kesan kepada jiwanya. Apabila ibadah puasa tidak member kesan kepada jiwa seseorang, ianya tidak akan mendapat hikmah-hikmah berpuasa. Paling malang sekali puasa pada peringkat ini Allah tidak menilai tidak diterima sebagai ibadah kepada-Nya. 

b) Puasa Khusus
Orang ini berpuasa dan dapat menjaga anggota lahirnya daripada berbuat maksiat. Hatinya juga terpelihara dari sifat riak, sombong, pemarah dan sebagainya. Cuma hatinya tidak dapat menahan dari mengingati perkara yang halal dan harus. 

c) Puasa Khususul Khusus
Orang yang berpuasa dan hatinya sentiasa mengingati Allah. Begitu juga anggota lahir dan batinnya juga berpuasa. Hatinya dijaga dari mengingati hal-hal dunia. Setiap ketika hati mereka hanya mengingati dan memuji Allah. Puasa jenis ini adalah puasa para rasul, nabi dan wali Allah. Orang-orang seperti ini amat beruntung kerana puasa jenis ini adalah merupakan darjat puasa yang tertinggi. Tetapi sayangnya rata-rata kita hanya di tahap puasa umum. Lebih malang lagi jika kita berpuasa tetapi puasa kita ditolak dan akhirnya menjadi sia-sia. 

AMALAN UTAMA DI BULAN SYAWAL
Bulan Syawal merupakan bulan kemenangan bagi mukmin yang berjaya menghidupkan Ramadhan sebagaimana yang dikehendaki Allah. Syawal juga merupakan roh bulan berkat yang dituntut melakukan amalan sunat dan istimewa yang tidak terdapat pada bulan lain. Setiap amalan yang dilakukan membawa kebaikan dan menambahkan keimanan kepada Allah. Orang mukmin menyambut Syawal dengan rasa kesyukuran dan terus melakukan amal ibadah demi mendapatkan keredhaan Allah. Diantara amalan yang disyariatkan pada bulan Syawal ialah :
• Membayar zakat fitrah
• Bertakbir dan bertahmid
• Mendirikan solat sunat Aidilfitri
• Menyambut hari raya mengikut syariat
• Membantu fakir miskin atau anak yatim
• Puasa enam

Berakhirnya Ramadhan disambut pula dengan Syawal. Bulan Ramadhan dan Syawal beriringan membawa rahmat dan kebaikan buat manusia yang mahu bersyukur. Kemenangan mukmin ialah berjaya menghayati puasa sebulan Ramadhan. Tanda-tanda orang yang dapat menghayati bulan Ranadhan ialah :

a) Akhlak yang baik kepada Allah
Berakhlak kepada Allah adalah dengan melakukan ketaatan, beribadah dengan rela hati. Antara perlakuan yang berakhlak baik ialah sembahyang, puasa, meninggalkan dosa dan seumpamanya. 

b) Akhlak sesama manusia bertambah baik
Berakhlak sesama manusia adalah hubungan yang baik di antara umat-umat Islam dimana kita perlulah menolong mereka yang kesusahan, bersikap tolak ansur, bertanggungjawab dan berkasih-sayang. 

c) Membuang sifat-sifat mazmumah
Memupuk manusia dari menghindari perbuatan keji iaitu tamak, cinta dunia, pemarah, penakut, pentingkan diri sendiri dan sebagainya. 

d) Tabah menghadapi ujian Allah
Mereka dapat menghadapi apa-apa saja ujian dari Allah dan menghadapinya tanpa rasa takut malah memohon kepada Allah agar dipermudahkan jalan hidupnya. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment