Muslimah Dalam Cabaran Dan Harapan -

Dewasa ini kedudukan wanita sudah jauh dan memenuhi ciri-ciri sebagai seorang muslimah walaupun di tiap-tiap negara Islam dan Arab, masih terdapat wanita yang solehah, mukminah, suci, suka bertaubat dan rajin beribadah. 

Sebahagian wanita terkeliru dengan dua aliran yang mana bertentangan antara satu sama lain. Salah satu aliran iaitu aliran yang menyekat dan menutup jalan para wanita. Manakala aliran kedua, aliran yang membuka jalan yang seluas-luasnya sehingga sebahagian besar dari mereka berbuat sesuka hati dan taksub dengan tingkah laku wanita-wanita barat. 

Sebagai contoh, seorangpemuda meminang seorang gadis tanpa melihat siapa dan bagaimana gadis yang dipinangnya. Di suatu sudut lain, seorang pemuda bersama-sama gadisnya menuju ke tempat rekreasi, panggung wayang, serta menghabiskan masa berdua-duaan hingga larut malam. 

Kedua-dua aliran tersebut salah sama sekali dan tidak mencerminkan akhlak Islam. Islam tidak melarang seorang gadis melihat tunangnya, malah Islam mengesyorkan seorang lelaki melihat siapa bakal isterinya. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW dalam dialog baginda dengan seorang pemuda. baginda menyuruh pemuda tersebut melihat tunangnya kerana baginda bersabda”ia dapat mengharmonikan hidup kamu berdua, oleh itu kamu akan saling serasi dan saling menghargai”

Wanita yang seimbang adalah muslimah yang sentiasa melaksanakan kewajipannya. Sering kita bertemu dengan wanita-wanita masa kini yang bersikap keras menuntut hak yang tidak sepatutnya, hanyut dalam model pakaian yang cenderung mempamerkan tubuh tanpa menghiraukan kewajipan menutup aurat. Mereka sibuk dengan urusan di luar rumah sementara urusan rumah tangga terbengkalai. 


Semua ini disebabkan kiblat yang salah. Perlakuan dan ragam wanita barat dijadikan sumber inspirasi, tanpa menapis mana-mana yang sesuai dan yang mana tidak. Nilai-nilai adat istiadat, watak, dan aqidah kedua-duanya tidak sama. Jadi, tidak sama sekali sesuaijika wanita muslimah meiru wanita barat. 

Mengikut penilaian Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi, kaum wanita mengalami dua jenis masa silam iaitu masa silam dekat dengan masa silam jauh. Pada masa silam Dekat, kedudukan wanita sangat menyedihkan dan penuh dengan keterbelakangan. Ketika itu, wanita tidak pandai dan mundur dari kegiatan kehidupan beragama dan duniawi. Ulama-ulama zaman dahulu mengatakan”Sesungguhnya zaman kini berhadapan dengan kerosakan. Kerosakan itu telah bermaharajalela dan keluarnya wanita hanyalah membawa fitnah. ”Malah, wanita diharamkan memasuki masjid, padahal masjid merupakan pusat perlaksanaan kegiatan keagamaan. Jika keadaan ini berterusan, wanita akan terus berada di dalam kegelapan dan kebodohan. Mereka tidak akan memahami bagaimana Islam mengajarkan kewajipan terhadap suami, mendidik anak-anak secara Islam

Wanita-wanita tidak boleh keluar rumah kecuali orang tua yang telah merasakan pahit getirnya kehidupan. Seorang anak harus dididik oleh ayahnya dan seorang isteri dididik oleh suaminya pula. Namun kenyataannya, bagaimana mungkin seorang ayah atau suami dapat mendidik anak dan isterinya jika dirinya sendiri masih memerlukan orang lain untuk mendapat tunjuk ajar. Tidak mungkin seseorang yang memerlukan sesuatu, dapat member sesuatu kepada orang lain. Kerana itu ramai ibu yang mendidik anaknya dengan sesuatu yang tidak benar pada zahirnya atau menceritakan hal-hal yang tidak bermanfaat dan hanya menambah imiginasi yang berlebihan pada anak. 

Hanya satu tempat yang tidak pernah mereka kunjungi iaitu masjid. Menjadi persoalan mengapa wanita-wanita nasrani pergi ke gereja, wanita yahudi pergi ke biara, wanita hindu ke kuil dan sebagainya? Mengapa tidak wanita Islam? Pada zaman Jahilliyah itu, wanita-wanita terpaksa mengikut pelbagai kebodohan sehingga mereka tidak memehami kewajipan atas rumah tangga, suami, serta anak-anak yang sesuai dengan tuntutan Islam. Malah, ada wanita yang meninggalkan kewajipannya kepada Allah dan meninggalkan kewajipan utama sehari-hari yang merupakan tiang agama sehinggakan kehidupan mereka tiada bezanya dengan orang kafir. 

Pada zaman Rasulullah SAW, wanita-wanita menghadiri solat berjemaah dan di tempatkan saf belakang. Pada mulanya, wanita dan lelaki melalui pintu yang sama. Keadaan ini berlangsung dalam tempoh yang agak lama sehinggalah pada suatu hari Nabi Muhammad SAW bersabda:”Alangkah baiknya kalau kita jadikan pintu ini unuk para wanita. ”Ketika itu baginda mengisyaratkan kepada salah satu pintu yang terdapat di Masjid Nabawi. Ibnu Umar RA berkata:”Saya tidak pernah melalui pintu itu”. Hingga kini, pintu di masjid Nabawi tersebut dinamakan Bab an-Nisa. Jelas menunjukkan bahawa wanita sangat berharga dan perlu diberi perhatian. 

Kita tidak mengharapkan ia berulang kembali, tetapi kembalinya para wanita pada karakter muslimah seperti pada zaman Nabi SAW, para sahabat, para tabiin dan zaman keemasan Islam ketika para wanita melaksanakan kewajipan oan mengetahui hak-haknya, ketika para muslimah mengetahui kewajipannya kepada Allah, ketika para muslimah melaksanakan puasa, solat lima waktu, menjaga kesucian serta mentaati suami. Dan sesungguhnya merekalah yang patut menjejakkan kaki ke Syurga Allah. 

Pada masa silam yang Jauh pula, wanita-wanita pada zaman Rasulullah SAW adalah peringan beban suami, kita dapat lihat bagaimana seorang wanita Ansar mengunjungi Rasulullah SAW dan menanyakan masalah-masalah khusus tentang wanita. Hinggakan masalah hubungan antara suami isteri, mereka bertanya kepada Nabi Muhammad SAW justeru tida perasaan malu untuk bertanya tentang agama. Mereka begitu mengambil berat dalam menjaga dan melaksanakan perintah Allah. Mereka tidak melengah-lengahkan sesuatu yang diperintahkan, tetapi bersegera di dalam mengerjakan apa jua yang diperintahkan. Allah menurunkan perintahNya melalui ayat dibawah: Terjemahan:-”Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa tampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya…” (an-Nur31) 

Di dalam peranan sebagai seorang isteri, mereka sentiasa meringankan beban suami. Kisah terdahulu yang boleh dijadikan pengajaran apabila Asma binti Abu Bakar selalu membantu suaminya Zubair bin Awwam. Ketika itu, Zubair mempunyai sebidang tanah yang letaknya beberapa kilometer dari Madinah. Asma berulang-alik ke tanah itu dengan berjalan kaki. Sebenarnya dia memiliki seekor kuda, tetapi kuda itu digunakan oleh Zubair untuk membantu menggiling dan menumbuk biji-bijian. Pada suatu hari, Rasulullah SAW terserempak dengannya yang ketika itu dalam perjalanan pulang. Baginda menumpangkan Asma dengan menaiki unta baginda dan Asma telah menceritakan perihal tersebut kepada suaminya. Zubair berasa terharu atas kesulitan yang terpaksa dialami oleh Asma. Walaubagaimanapun ini adalah kewajipan seorang isteri untuk mendampingi suaminya tidak kira susah ataupun senang. 

Wanita-wanita pada zaman Rasulullah SAW adalah peringan beban suami berbeza dengan wanita zaman sekarang yang hanya menginginkan wang, pakaian dan perhiasan. Disebabkan terlalu menjaga penampilan, seorang isteri sanggup memaksa suami mencari wang yang lebih banyak dengan menghalalkan pelbagai cara. 

Manakala, bagi wanita solehah pula, ketika suami keluar mencari nafkah, mereka sentiasa berpesan”Wahai aba fulan, berhati-hatilah dengan pekerjaan haram. Kami akan tahan dalam kelaparan dan kehausan, tetapi kami tidak akan dapat menahan api neraka dan kemurkaan Allah. ”Kalaulah seorang suami itu lemah dan mudah mengalah ketika berhadapan dengan godaan yang haram, maka pesanan isterinya itu menyedarkan tanggungjawab terhadap dirinya dan rumah tangganya. Jika suami hendak berjihad, sikap isteri terhadap dirinya bukanlah menunjukkan sikap yang tegas sehingga suami bertambah bersemangat untuk pergi berjihad. 

Dahulu ada di antara wanita-wanita muslimah yang memberi pelajaran dan fatwa kepada kaum lelaki. Kaum lelaki sering mendatangi Ummul Mukminin seperti Aisyah RA dan Ummu Salamah RA untuk mengetahui hadith Rasulullah SAW atau untuk memperolehi jawapan atas pertanyaan keagamaan lainnya. Sebahagian besar sahabat dan tabiin bertanya kepada Aisyah RA dan dia menjawab pertanyaan mereka dengan sempurna. Kisah ini banyak terdapat di dalam kitab. Di dalamnya tentang jawapan Aisyah RA atas pertanyaan-pertanyaan sahabat, Imam az-Zarkasyi telah menulis bahawa jawapan-jawapan Aisyah RA itu, sangat tegas, berani dan meyakinkan. 

Pada zaman itu diriwayatkan ada beberapa wanita yang meriwayatkan hadith sehingga menjadi tempat bertanya kaum lelaki. Pengulas terbesar hadith riwayat Imam Bukhari, Hafiz Ibnu Hajar al-Ashqalani, berkata: Salah seorang guru besar hadith saya adalah Fulanah binti Fulan. Imam Hanafi pun memiliki anak perempuan yang juga boleh memberi fatwa seperti ayahnya. Dia memiliki strategi dan idea cemerlang yang tentu sahaja melalui persetujuan ayahnya sebagai penguat fatwa. 

Walaubagaimanapun kita amatlah mengharapkan perubahan daripada wanita-wanita yang telah lari dari erti Islam yang sebenar. Dimana sejak dahulu lagi, wanita sentiasa berusaha menghindari kelemahan, kemunduran, dan keruntuhan moral. Wanita-wanita muslimah diharapkan memiliki ketaatan pada agama dan menerapkannya dalam kehidupan sehari-hari. Perkara ini sangat penting untuk menolak propaganda budayawan barat yang menawarkan keindahan dan sehinggakan seluruh muslimah membenci budaya sendiri dan akhirnya taqlid kepada budaya dan peradaban mereka. 

Sering menjadi persoalan kita, mengapa ada di kalangan wanita sangat mengemari produk luar daripada prodak islam yang mutunya lebih baik? Produk islam bukanlah buatan manusia, semuanya datang dari sisi Allah, Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 50 terjemahan”…dan siapakah yang lebih baik daripada Allah bagi orang-orang yang yakin. ”

Pada dasarnya kemajuan yang mereka tawarkan sarat dengan nilai-nilai material. Mereka mampu menerobos ke ruang angkasa atau menciptakan bom atom, tetapi mereka tidak mampu mencapai nilai akhlak dan kemanusiaan di mana orang lain merasakan kebahagiaan. Bagi kita, makna kemanusiaan yang diperolehi melalui hubungan harmoni antara ayah dan anaknya, antara ibu dan anaknya atau antara jiran tetangga merupakan nilai kehidupan. di sebelah lainnya pula, wanita-wanita barat lebih memilih kereta baru daripada melahirkan anak kedua. Walaupun mereka memiliki anak, anak-anak mereka sibuk bekerja sehinnga perhatian terhadap orang tua, sudah tiada lagi. 

Bagaimanapun, setiap orang pasti akan menghadapi masa tua. Di kalangan barat, jika orang tua sudah di peringkat usia tua dan tidak ada lagi yang memberi perhatian, mereka lebih memilih berteman dengan anjing-anjing yang dianggap lebih memberikan kasih sayang daripada manusia. Lihat sahaja beberapa buah buku yang mengupas bahawa di Perancis, terdapat lebih dari tujuh juta ekor anjing yang makanannya biskut dan coklat. Ketika masalah ini ditanyakan kepada pengurus anjing tersebut, mereka menjawab, bahawa anjing-anjing itu sangat diperlukan oleh manusia yang memerlukan teman pengganti. Mereka telah menggantikan manusia dengan haian untuk menemani sisa-sisa hidup mereka. 

Kisah lain yang lebih menarik terjadi di Amerika pada musim panas, apabila anak-anaknya menginsurankan nyawa orang tua mereka dengan menyimpan mayat orang tua mereka di sebuah rumah. Jika melihat keadaan yang menyayat hati tersebut, maka hendaklah mereka bersegera mengamalkan dan mengikuti kebudayaan dan peradaban Islam. Tetapi ada pihak yang lain yang mengidentitikan Islam dengan kemiskinan dan menjatuhkan Islam dengan kritikan tajam serta tanggapan negatif lain. 

Dengan ini, diharapkan para muslimah kembali kepada ajaran agama dan menepis budaya barat dan lebih berhati-hati. Muslimah diharapkan belajar dari pengalaman sebelum memfokuskan diri pada masa depan, menjadi teladan dalam melindungi hak dan menunaikan kewajipan terhadap agama serta penuh dengan kemantapan iman, kemuliaan akhlak, ketinggian daya fikir, berwawasan serta amanah. Dengan demikian, kebangkitan Islam akan kembali wujud sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang hanya datang untuk membawa kebaikan dan kesedaran bagi wanita. 

Islam adalah agama yang sangat memuliakan kaum wanita. Sedangkan pada masa jahilliyah dahulu, wanita adalah makhluk yang sangat hina dan di anggap sebagai benda yang boleh dibuang, dikutip bila mahu. Islam mengharamkan perbuatan sedemikian. Islam mengakui kelebihan-kelebihan wanita dalam hal kebaikan atau pendidikan. Mereka juga di anggap perhiasan syurga. Keberadaan wanita sebagai anak, isteri, mahupun ibu sangat jelas. Seorang ayah tidak berhak memperlakukan puterinya seperti barangan atau menikahkannya mengikut kehendak hatinya tanpa meminta pendapat dari yang bersangkutan. Ini adalah kerana, seorang gadis berhak mengemukakan pendapatnya sehinggakan apabila dia mengatakan tidak, seorang ayah tidak berhak mengahwininya. 

Sekali lagi perlu ditegaskan jika dalam budaya barat terdapat kebaikan, sesungguhnya semuanya telah didahului oleh Islam dan jika ada keburukkannya Islam telah terlebih dahulu mengajarkan kebenaran. Sudah terang lagi bersuluh. Kita tidak memerlukan budaya-budaya barat kerana Islam lebih kaya daripada itu. 

Wahai para wanita, karakter seperti yang telah dijelaskan, merupakan karakter yang harus dipikul oleh seorang muslimah. Oleh sebab itu, mereka akan memahami agama dan kehidupannya serta menunaikan segala kewajipan ke atas Allah, suami, anak-anak, masyarakat, dan umat Islam umumnya. Dari situ akan wujudlah para daiyah, murabbiyah dan mursyidah yang memimpin putera puterinya dalam Islam sehingga wujudnya kebangkitan Islam. 

Kebangkitan Islam akan sentiasa diikuti dengan misi kebaikan di dunia dan kebahagiaan di akhirat yang diiringi dengan keredhaan Allah dan kekaguman dari kalangan yang berakal. Kebangkitan Islam akan mewujudkan kepuasan materialdan spiritual yang tidak mungkin terlukis dengan kata-kata. Kebahagiaan itulah yang dirasakan oleh Ummi Khaltsum binti Ali RA. ketika itu, dia dan suaminya membicarakan kehidupan rumah tangganya. Umar RA berkata:”Saya telah membuatmu menderita dan bersusah payah”Ummi Kaltsum RA menjawab:”Tidak, saya tahu, kebahagiaan sesungguhnya terdapat dalam keimanan yang bersemayam dalam hati dan saya tidak dapat dikuasai oleh siapa pun kecuali oleh Allah.”

Mudah-mudahan Allah memberikan ketegasan dalam ucapan dan sikap serta pemahaman agama yang mendalam sehingga para muslimah kembali kepada hakikat yang sebenarnya. Kembali kepada keperibadian Islam, serta kembali menjadi muslimah seperti yang di teladankan oleh muslimah-muslimah zaman Rasulullah SAW yang solehah dan menyebarkan kebaikan ke segenap penjuru dunia dengan izin Allah. InsyaAllah, kita para muslimah akhir zaman ini akan sentiasa berwaspada dengan segala tipu muslihat serta sentiasa memperbaiki diri untuk memantapkan iman dari semasa ke semasa. 

Disediakan oleh: Nur Azizah Bt Rusli

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com