Konsep Perceraian Dalam Ajaran Islam -

Perkahwinan dan perceraian bukanlah sesuatu yang luar biasa lagi bagi masyarakat di seluruh dunia amnya dan masyarakat di Malaysia khasnya. Walaupun Malaysia adalah sebuah negara Islam dan majoriti penduduknya beragama Islam dan hampir semua institusi kekeluargaan di Malaysia ini mengamalkan budaya hidup kekeluargaan islam, namun setiap perkara yang ditentukan oleh Allah di muka bumi ini ialah berpasangan termasuklah perkahwinan yang berpasangankan perceraian. 

Masalah perceraian yang berlaku di Malaysia pada masa ini bukanlah satu masalah yang kecil lagi dan boleh dipandang ringan namun ianya sudah bertukar menjadi satu masalah yang besar. Masalah perceraian ini boleh dikatakan semakin meningkat kerana semakin hari semakin banyak kes-kes perceraian yang difailkan di mahkamah. Mengikut laporan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM ) , jumlah perceraian pada tahun 2007 ialah sebanyak 20, 259 kes berbanding 131, 086 perkahwinan yang telah didaftarkan. Mengikut kenyataan yang telah di keluarkan oleh JAKIM juga, purata kes perceraian bagi tempoh sehari ialah 56 penceraian berbanding 359 perkahwinan yang berlangsung. Ini menunjukkan, masalah perceraian yang berlaku kepada sesebuah keluargaan islam di Malaysia ini semakin meningkat daripada hari ke hari. Permasalahannya di sini, adakah islam menggalakkan perceraian itu berlaku ke atas dua insan yang telah berjaya mendirikan sebuah masjid dan telah mengikat hubungan sebagai suami isteri lantas berjaya membina sebuah keluarga bahagia dengan dikurniakan cahaya mata ? Apakah yang akan terjadi kepada institusi kekeluargaan tersebut akibat tercetusnya perceraian ? Siapakah yang harus dipersalahkan ataupun siapakah yang harus dipertanggungjawabkan sehingga sesebuah perkahwinan itu terpaksa berakhir dengan sebuah perceraian ? Sebenarnya islam itu sendiri tidak menggalakkan umatnya untuk bercerai – berai kerana ia akan mengakibatkan implikasi dan permasalahan yang besar disebabkan oleh perpisahan tersebut lantas memberi kesan kepada keluarga itu sendiri. 

Merungkai kepada masalah perceraian ini, siapakah yang harus dipersalahkan dan siapakah yang harus dipertanggungjawabkan, adakah seorang lelaki yang bergelar suami atau mungkin seorang wanita yang bergelar isteri ataupun keadaan sekeliling yang patut dipersalahkan? Mengikut islam itu sendiri, terputusnya sesebuah perkahwinan itu kerana kematian, perceraian dan terputusnya keadilan. Namun, mengikut kajian yang telah dilakukan oleh JAKIM, masalah perceraian ini berlaku kerana masalah antara pasangan itu sendiri. Antara masalah yang sering kali berlaku di alam perkahwinan ialah masalah komunikasi antara pasangan tersebut. Jika dipandang sekali lalu, masalah ini merupakan masalah yang ringan yang mampu ditangani oleh setiap pasangan tetapi jika tidak dipandang serius, sebenarnya ini adalah satu masalah yang besar ataupun satu masalah yang kritikal yang kian melanda sesetiap pasangan dan akan memberikan impak yang negatif kepada pasangan tersebut lantas memberikan kesan kepada sesebuah keluarga itu sendiri apabila masalah hanya dapat diselesaikan dengan perceraian. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Kaunselor di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN ) , Suraini Buang, masalah komunikasi ini tdak boleh diambil ringan kerana hampir setipa kes perceraian yang berlaku di negara ini disebabkan oleh masalah komunikasi antara pasangan terbabit. Katanya, komunikasi antara lelaki dan wanita sangat mempengaruhi perjalanan sesebuah rumah tangga sama ada akan mewujudkan suasana yang harmoni, gembira atau sebaliknya. Menurutnya lagi, seseorang suami mahupun seseorang isteri itu perlu berani untuk menyatakan sesuatu mengenai rumah tangga mereka agar sesuatu masalah itu dapat diselesaikan dengan baik. Setiap pasangan juga tidak perlu untuk menyembunyikan masalah itu kerana masalah yang terpendam itu akan memberikan tekanan kepada diri mereka dan sebagai cara untuk mengatasi tekanan tersebut ialah perceraian. Hal yang demikian lah merupakan titik tolaknya berlakunya perceraian yang sepatutnya boleh diatasi. 

Di samping itu juga, mengikut hasil kajian yang telah dilakukan oleh Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, punca perceraian yang sering berlaku ialah tiadanya persefahaman di antara suami dan isteri. Walaupun sebelum ini mereka telah bercinta bertahun – tahun lamanya, namun apabila mereka memasuki alam berumah tangga seakan – akan mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Hal ini sering kali berlaku bagi setiap pasangan kerana timbulnya ketidakfahaman antara satu sama lain dalam menentukan sesuatu perkara ataupun membuat sesuatu keputusan. Masalah ini akan bertambah rumit apabila seorang suami ataupun seorang isteri itu tidak mahu mengalah dalam membuat keputusan. Akhirnya satu keputusan sahaja yang akan mendapat persetujuan kedua – dua belah pihak iatu perceraian. Antara sebab yang lain pula ialah, kurangnya ilmu berumah tangga. Walaupun sebelum mendirikan rumah tangga setiap pasangan perlu menghadiri dan mengikuti kursus perkahwinan, namun ilmu untuk berumah tangga bukanlah suatu ilmu yang akan kita perolehi dengan mudahnya apabila kita hanya menghadiri kursus perkahwinan tersebut. Ramai yang beranggapan bahawa perkahwinan itu adalah sesuatu yang mudah dengan hanya perlu melafazkan akad nikah sahaja, tetapi sebenarnya perkahwinan ataupun mendirikan rumah tangga memerlukan ilmu yang banyak dan banyak yang perlu dipelajari apabila ingin mendirikan rumah tangga. Apabila kurangnya ilmu rumah tangga dan di tambah pula tiadanya persefahaman antara suami dan isteri, maka perceraian lah jalan penyelesaiannya dan perceraiaan juga dikatakan langkah yang terbaik untuk mengatasi masalah tersebut. Sebenarnya, banyak lagi punca – punca berlakunya perceraian rumah tangga iaitu suami ataupun isteri mementingkan diri sendiri, suami atau isteri menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki dan wanita yang lain, dipengaruhi pihak ketiga seperti keluarga atau orang yang berpengaruh, suami atau isteri yang tidak bertanggungjawab dan sebagainya. Merujuk kepada punca – punca ini, tidak sepatutnya kita menyalahkan sesiapa kerana apabila seseorang lelaki dan seseorang perempuan itu telah berkahwin, maka tidak sepatutnya timbul perasaan mementingkan diri sendiri dan sepatutnya mereka telah sedar akan tanggungjawab masing – masing apabila telah hidup bersama untuk memastikan perkahwinan mereka kekal ke akhir hayat dan bukanlah perceraian yang dipinta. 

Selain itu juga, masalah perceraian ini sememangnya banyak memberikan impak ataupun kesan kepada pasangan itu sendiri dan tidak lupa juga masalah perceraian ini akan memberikan impak yang maksima kepada pasangan yang mempunyai anak khasnya. Sememangnya apabila sahaja satu pasangan itu telah bercerai, kesan utama daripada hasil perceraian itu ialah kepada anak – anak mereka. Antara kesan – kesan yang akan berlaku ke atas anak – anak mereka ialah hilangnya kasih sayang yang dahulunya dapat dikongsikan di dalam sebuah rumah, mengalami tekanan perasaan ataupun gangguan jiwa lantas mereka akan menunjukkan sifat dan tabiat yang negatif. Kesan ini bukan sahaja akan berakhir di rumah, malah kesan ini akan dibawa ke institusi pembelajaran di mana hilangnya tumpuan mereka semasa belajar, rasa lebih ingin menyendiri kerana malu kepada kawan – kawan akibat perceraian kedua ibu bapa mereka. Selain itu, mereka juga akan hilang kenyakinan diri dan semakin lama mereka semakin hilang arah tujuan. Kesan ini bukanlah satu kesan yang kecil malahan kesan ini akan memberikan impak yang besar kepada kehidupan mereka yang akan datang. Tekanan demi tekanan yang mereka rasai akan memberi kesan kepada jiwa mereka. Kesannya, jiwa mereka akan mula memberontak dan di situlah sebenarnya bermula titik tolak kepada gejala sosial remaja pada masa kini. Adakah mereka yang patut dipersalahkan ? Ke mana perginya tanggungjawab kedua ibu bapa mereka ? Inilah antara kesan – kesan yang akan berlaku apabila anak – anak menjadi mangsa akibat perceraian ibu bapa mereka. Sebuah keluarga islam yang sepatutnya menjadi sebuah keluarga yang bahagia musnah akibat perceraian yang berlaku. Antara kesan yang lain pula ialah, kesan emosi kepada pasangan itu sendiri. Sememangnya bukannya mudah untuk berpisah setelah terjalinnya ikatan suami isteri bertahun – tahun lamanya. Kesan ini akan memberikan impak kepada si isteri khasnya kerana perempuan sememangnya mempunyai jiwa yang lemah. Merujuk kepada statistik yang telah dikeluarkan oleh pusat Kaunselor di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN ) , kesan seperti jiwa terganggu, marah, sedih, tidak bermaya, rasa bersalah, rasa terpencil daripada kehidupan, rendah diri, runsing, putus asa ataupun kecewa dan sering kali merasakan kesunyian banyak di alami oleh kaum wanita selepas berlakunya perceraian. Kesan ini memberikan implikasi yang buruk kepada diri seseorang wanita itu sendiri. Hidupnya seperti sudah hilang arah dan tujuan dan jika berterusan, tidak mustahil mereka akan mengambil jalan yang sama sekali dilarang oleh islam iaitu dengan membunuh diri. Jika dipandang dari sudut kewangan pula, perceraian akan memberikan kesan kepada kehidupan mereka iaitu kemewahan hidup sebelum ini terpaksa disekat, disebabkan oleh mata sepencarian yang tunggal, masalah kewangan akan semakin menekan jika seorang isteri sebelum ini hanya bergantung kepada nafkah yang diberikan oleh suami. Selain itu juga, kmaslah perceraian ini juga akan memberikan kesan kepad suami iaitu apabila suami perlu menanggung beban kewangan yang lebih besar dalam membiayai nafkah anak-anak yang di bawah jagaan isteri yang telah diceraikannya, dan tanggungan ke atas keluarga baru jika sudah berumahtangga lagi. Ini menunjukkan bahawa perceraian sememangnya membawa banyak kesan yang negatif dan membawa impak yang maksima kepada sesebuah institusi kekeluargaan itu. 

Setiap masalah yang berlaku semestinya punya jalan penyelesaian. Masalah perceraian ini sebenarnya bukan tidak dapat dibendung ataupun bukan tidak dapat dielakkan. Setiap masalah yang diturunkan oleh-Nya sememangnya berdasarkan kemampuan diri kita sendiri. Seperti yang tertulis di dalam Al – Quran”Allah tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum itu, melainkan kaum itu mengubahnya sendiri”. Ini jelas menunjukkan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu jika seseorang itu tidak berusaha untuk mengubahnya, ia sama juga seperti masalah perceraian ini. Banyak pendekatan yang boleh diambil bagi mengelakkan berakhirnya sesebuah perkahwinan itu dengan perceraian. Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan membawa masalah rumah tangga itu kepada kaunselor yang lebih arif dan mahir mengenai isu rumah tangga itu. Setiap pasangan juga seharusnya cuba untuk lebih memahami sikap pasangan masing – masing agar tidak timbulnya masalah ketidakfahaman antara satu sama lain. Di samping itu juga, setiap pasangan perlulah sentiasa bertolak ansur, berkerjasama, saling bantu membantu agar keakraban hubungan sebagai suami isteri akan bertambah akrab dan wujudnya perasaan kasih sayang yang amat dalam bagi kedua – dua pasangan tersebut. Setiap pasangan juga hendaklah mempunyai matlamat untuk mewujudkan perkahwinan yang bahagia hingga kekal ke akhir hayat. Persediaan sebelum berkahwin juga amatlah perlu kerana dengan adanya persediaan awal sebelum kahwin dengan mendalami ilmu – ilmu berumah tangga dari segi jiwa dan minda supaya ikatan perkahwinan itu dapat dijaga dengan baik tanpa timbulnya isu perceraian antara kedua pasangan tersebut. Dari sudut yang lain pula ialah, setiap pasangan haruslah berfikir menggunakan akal dan bukanlah bertindak mengikut perasaan yang boleh dikawal dan dipengaruhi oleh syaitan. Sesungguhnya syaitan itu akan ketawa apabila umat islam bercerai – berai dan berpecah – belah. Seharusnya setiap pasangan itu harus bertindak menggunakan fikiran agar setiap permasahalan itu tidak akan berakhir dengan perceraian. Langkah lain yang boleh diambil oleh setiap pasangan bagi menjaga keluarganya daripada bercerai – berai ialah dengan sentiasa bersabar dan sentiasa bersikap adil serta menerima setiap pasangan itu apa adanya. Setiap pasangan itu juga mestilah selalu mengamalkan ucapan cinta, maaf dan ucapan berterima kasih agar perasaan kasih sayang itu akan sentiasa bertambah lantas mengukuhkan institusi kekeluargaan itu. Maka, dengan adanya langkah – langkah tersebut ia akan lebih mengukuhkan sesebuah institusi kekeluargaan itu dan tidak akan wujudnya masalah perceraian di antara suami dan isteri. 

Kesimpulannya, perceraian bukanlah satu amalan hidup bekeluarga di dalam islam malah islam itu sendiri tidak menggalakkan berlakunya penceraian kerana perceraian itu semestinya akan mendatangkan implikasi dan permasalahan yang besar disebabkan oleh perpisahan tersebut. Berbagai permasalahan akan timbul apabila berlakunya perceraian di antara suami dan isteri. Perceraian juga bukanlah satu penyelesaian yang betul dan tepat dalam menyelesaikan kemelut rumah tangga bahkan perceraian akan mengundang lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Sebagai seorang yang beragama islam amnya dan sebagai sebuah negara islam khasnya, masalah perceraian ini sebenarnya tidak harus meningkat dari hari demi hari, tahun demi tahun kerana islam itu sendiri telah menggariskan panduan untuk membina sebuah keluarga yang bahagia lantas melahirkan umat islam yang berkualiti melalui institusi kekeluargaan dan bukannya melahirkan umat islam yang runtuh akhlaknya akibat kesan perceraian yang berlaku. Persoalanya sekarang, adakah kes – kes perceraian di Malaysia akan menurun ataupun akan terus meningkat ? Apakah peranan sesebuah institusi kekeluargaan untuk memastikan masalah ini dapat diselesaikan ataupun dikurangkan ? Semua ini bergantung kepada kita sebagai umat islam yang berpegang teguh kepada ajaran islam untuk memastikan masalah ini dapat diatasi dan akhirnya dapat mewujudkan suasana sesebuah keluarga islam yang diminta oleh islam itu sendiri. Perkahwinan bukanlah sesuatu perkara yang mudah tetapi perkahwinan adalah satu tanggugjawab yang besar yang harus dipikul oleh setiap pasangan dan perceraian bukanlah satu jalan penyelesaian yang tepat malah perceraian akan mengundang kepada berbagai masalah. Sesungguhnya islam itu adalah satu agama yang indah dan tiada yang indah selainnya. Islam juga menuntut umatnya untuk bersatu dan bukannya untuk bercerai - berai. Oleh yang demikian, sebagai seorang manusia biasa yang inginkan sebuah keluarga yang kekal bahagia selamanya, kita haruslah bersandarkan kepada agama sebagai petunjuk kepada kehidupan kita supaya sebuah keluarga itu akan kekal dan bukanlah diakhiri dengan perceraian. 

Nama: Iffah Inani Binti Hashim
Nama Pensyarah: Ustaz Abd Aziz bin Harjin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com