Peranan Anak Terhadap Ibu Bapa -

Bersyukur kepada ALLAH dan kepada ibu bapa

Kedudukan ibu bapa begitu tinggi menurut pandangan Islam. Dalam surah al-isra’ ayat 23-25 Allah SWT menyuruh hambaNya supaya mengesakanNyadan mengabdi kepadaNya. Di samping itu Allah SWT mengiringi perintah itu dengan perintah berbakti kepada ibu bapa. Ini membuktikan tingginya kedudukan ibu bapa dalam pandangan syarak. Ini bermakna berbakti kepada ibu bapa adalah yang paling penting dilakukan setelah mengabdi kepada Allah. 

Dalam surah Luqman, Allah SWT menyuruh kita supaya bersyukur kepadaNya. Selain bersyukur kepada Allah, kita juga disuruh supaya bersyukur kepada ibu bapa kita. Perintah bersyukur kepada ibu bapa disejajarkan dengan perintah bersyukur kepada Allah berdasarkan surah luqman ayat 14. 

Kita disuruh bersyukur kepada Allah kerana banyaknya nikmat Allah yang kita terima. Kita disuruh bersyukur kerana ibu bapa banyak jasa yang telah diberika oleh meraka tanpa meminta sebarang balasan. Walaupun kita sudah berpuluh membelanjai dan mengurus ibu bapa kita, namun tidak terbalas oleh kita. Kerana mulianya ibu bapa serta besarnya jasa ibu bapa kepada kita, maka berbuat baik kepada mereka memberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. 

Dalam kitab sahih bukhari ada mengatakan:

Dari Abdullah, beliau berkata:”saya telah bertanya kepada nabi SAW tentang amalan apa yang paling disukai Allah SWT. Beliau menjawab:”solat pada waktunya. ”Saya tanya lagi:”kemudian apa lagi?”beliau menjawab :”kemudian berbakti kepada ibu bapa. ”saya tanya lagi:”kemudian apa lagi?”Beliau mejawab:”Jihad fi sabillillah. ”

Menurut hadis ini, berbakti kepada ibu bapa adalah lebih afdal setelah solat. Maksudnya berbuat baik kepada ibu bapa seimbang pahalanya dengan mengerjakan solat. 

Hak-hak ibu bapa

Hak-hak yang harus dilaksanakan anak terhadap ayahnya antaranya ialah:
a) Jika ayahnya berhajat kepada makanan harus diberi makan
b) Jika berhajat pada pakaian harus diberi pakaian
c) Jika berhajat pada bantuan perlu di bantu
d) Jika dipanggilnya harus disahut
e) Mentaati semua suruhannya selagi tidak malanggari hukum syarak
f) Jika bercakap dengan ibu bapa mesti bercakap secara sopan, lunak dan hormat
g) Tidak memanggil ibu bapa dengan nama gelaran
h) Jika berjalan bersama ayah, anak harus berjalan di belakang
i) Seorang anak mesti berharap terjadi pada ibu bapa seperti keinginannya terjadi pada diri sendiri dan sebaliknya. 
j) Mendoakan kedua ibu bapanya supaya mendapat pengampunan Allah dan rahmatNya. 

Kemuliaan ibu

Dari Abu Hurairah katanya ada seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW kemudian bertanya:

Siapakah orang yang paling berhak ku layan dengan baik? Rasulullah SAW menjawab:”ibumu. ”Lelaki itu bertanya lagi:”kemudian siapa lagi?”Rasulullah SAW menjawab:”ibumu”. Lelaki itu bertanya lagi:”kemudian siapa lagi?”Rasulullah SAW menjawab:”ibumu”. Lelaki itu bertanya lagi:”kemudian siapa?”Rasulullah SAW menjawab:”kemudian ayahmu. ”

Berdasarkan hadis ini beerti kasih sayang kepada ibu sepatutnya 3 kali ganda daripada kasih sayang terhadap ayah. Ini sebenarnya adalah wajar kerana ibu lebih banyak berjasa kepada anaknya berbanding ayahnya kerana ibu yang mengandungkan dan bertarung dengan maut sewaktu ingin melahirkan anaknya, merasa penat ketika menyusukan dan menguruskan anaknya, membesar dan membimbing. 

Layanan kepada ibu bapa bukan muslim

Seorang anak tidah seharusnya seagama dengan ibu bapa mereka. kita dapat lihat juga ibu bapa beragama kristian tetapi anak mereka beragama Islam kerana anak mereka telah masuk Islam. jadi walaupun mereka bukan beragama Islam tetapi anak itu tidak boleh memutuskan hubungan dengan ibu bapa walaupun tidak seagama. Allah telah berfirman dalam surah Al-Mumtahanah ayat 8 maksudnya:

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negeri kamu. (Al-Mumtahanah:8) 

Jangan mengatakan ah kepada ibu bapa Jangan katakan kepada keduanya perkataan Ah (Al-isra’: 23) 

Menurut Abu Raja’ Al-Ataridiy yang bermaksud uf dalam ayat itu ialah kata-kata memaki dan meremehkan. Menurut mujahid maksudnya begini:”apabila mereka sudah tua, kemudian engkau melihat mereka berak atau kencing, maka jangan jijik melihatnya dan jangan mengatakan cih, tetapi bersihkanlah dengan ikhlas sebagaimana mereka mengurus engkau sewaktu kecil. ”

Bukan dengan mengataka uh atau cih dikatakan derhaka bahkan dengan menjeling dengan sinis kepada ibu bapa juga dikatakan telah derhaka. 

Jangan mengherdik atau menengking ibu bapa

Allah SWT berfirman: Dan janganlah engkau mengherdik mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (Al-isra’ :23) 

Mengherdik maksudnya mengeluarkan kata-kata kuat atau bercakap kasar. Perkataa yang mulia maksudnya yang lemah lembut, sopan dan hormat. Kita juga disarankan tidak berbuat sesuatu yang boleh membuatkan orang tua kita tidak dimaki orang. Menurut Ata’ bin Rabah kita dilarang sama sekali untuk bercekak pinggang dan tidak mengangkat tangan di hadapan mereka ketika bercakap kepada kedua ibu bapa kita. 

Merendah diri kepada ibu bapa

Allah SWT berfirman: Dan rendahkan dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan. (al-isra’:24) 

Maksud firman Allah diatas ialah kita disuruh supaya menyayangi, mengasihi dan merendah diri kepada ibu bapa. Merendah diri bermaksud menjadikan atau menganggap ibu bapa lebih hebatdan lebih mulia. Mesti tunduk dan hormat dihadapan mereka. Kita juga hendaklah merendah kepada ibu bapa, baik dari segi tutur kata, cara pandang, gaya dan tingkah laku. Ini tidak mengira sama ada ibu bapa kita berpelajaran atau tidak, orang kaya atau miskin. 

Terdapat kisah yang sewaktu kecilnya, dia sangat hormat terhadap jedua ibu bapanya tetapi setelah dewasa dan menjawat jawatan tinggi, dia merasakan dirinya lebih hebat daripada ibu bapanya yang tidak mempunyai pendidikan tinggi, dimana ibu bapanya tinggal di kampong dan memakai pakaian yang buruk. Dirinya dirasakan lebih hebat berbanding ibu bapanya, jadi dia memandang enteng terhadap kedua ibu bapanya. Padahal, walaupun dia jauh pintar dari ibu dan bapanyadan lebih kaya, tetapi dari segi kedudukan sebagai orang tua, ibu bapanya lebih mulia berbanding dirinya. Oleh yang demikian, Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita bahawa kita tidak boleh berjalan dihadapan orang tua kita, tidak boleh dduduk sebelum mereka duduk dan tidak boleh memanggil dirinya dengan nama mereka. 

Besarnya jasa ibu bapa

Pepatah ada mengatakan”kasih ibu sepanjang jalan, kasih anak sepanjang galah. ”kasih ibu bapa terhadap anaknya lebih tinggi berbanding kasih anak kepadanya. Kasiha anak terhadap ibu bapanya tidak berapa mendalam dan masanya bersifat sementara. kadang-kadang anak itu sayang kepada ibu bapanya disaat mereka memerlukan mereka dan perasaan sayang itu akan hilang apabila anak itu meningkat dewasa. 

Kerana perasaan sayang ibu bapa terhadap anaknya, dia lebih mengutamakan anaknya berbanding dirinya sendiri. Kalau ada makanan yang hanya cukup untuk seorang, dia akan memberikan kepada anaknya, dan membiarkan dirinya lapar asalkan anaknya mendapat makanan. Kalau anaknya sakit dan memerlukan perhatian dan pengurusan, ibu rela tidak tidur malam demi untuk menguruskan anaknya itu. Dari segi pakaian, orang tua memakai pakaian yang buruk asalkan anaknya memakai pakaian yang cantik dan baru. manakala dari segi pendidikan, orang tua menginginkan supaya anaknya itu mendapat pendidikan yang baik dan jauh lebih tinggi dari dirinya. Sungguh besar jasa kedua ibu bapa kita terhadap diri kita sehinggakan Rasullullah SAW ada mengatakan:

Seorang anak belum dapat membalas jasa orang tuanya sekalipun dia mendapati orang tuanya sebagai hamba abdi kemudian dia membeli dan memerdekakannya. 

Seorang lelaki datang kepada RAsullullah SAW dan berkata: Ya Rasullullah, ibuku kini mengigau di tempatku, maka sayalah yang memberi makan dan minum dengan tanganku juga yang mengambil air sembahyang untuknya dan mengangkatnya di bahuku, apakah yang demikian itu beerti aku telah membalas jasanya? Jawab Nabi SAW:”Belum, belum satu pun jasa-jasanya (belum satu persen pun dari jasa-jasanya) . Tetapi engkau telah berbuat baik, dan Allah akan memberi pahala kepadamu yang besar dan banyak terhadap amalmu yang sedikit. 


Mendoakan ibu bapa

Alllah SWT berfirman: Dan ucapkanlah:”Ya Tuhanku, kasihanilah mereka berdua, sebagaimana mereka telah mengasuh aku sejak kecil”. (al-isra’: 24) 

Dalam ayat di atas, Allah menegaskan bahawa manusia sedar bahawa betapa susahnya orang tua mengasuh dan membesarkan anaknya. Mereka telah menumpukan sepenuh kasih sayang untuk mengasuh anaknya. Dengan menyebut demikian, diharapkan si anak pun akan bertambah sayang kepada orang tuanya. 

Ayat itu menyuruh kita supaya selalu mendoakan orang tua kita. Doa ini hanya untuk dipohonkan untuk kedua ibu bapa yang beragama Islam dan tidak boleh dibacakan kepada ibu bapa yang tdak beragama Islam. 

Dari Ibnu Abbas, katanya Rasullullah SAW bersabda: Sesiapa yang semenjak petang sampai pagi meyenangkan hati orang tuanya beerti dia berpagi-pagi dan petang dalam keadaan dua pintu syurga sudah terbuka baginya. Kalau dia menyenangkan satu orang beerti terbuka satu pintu. Dan sesiapa semenjak petang sampai pagi membuat marah (jengkel) orang tuanya, beerti dia berpagi-pagi dan petang dalam keadaan dua pintu neraka sudah terbuka baginya. Kalau dia membuat marah satu orang beerti terbuka satu pintu neraka. Mendengar yang demikian ada yang bertanya:”Ya Rasullullah, walaupun orang tuanya itu zalim kepada anaknya?”Rasullullah SAW menjawab :”Ya, walaupun zalim, walaupun zalim”. 

Allah SWT tahu apa yang tersembunyi di dalam hati seseorang sama ada sayang orang tuanya atau benci. Tuhan juga tahu sama ada seseorang itu menguruskan orang tuanya kerana mengharapkan harta warisan atau ingin mendapat pujian masyarakat atau ikhlas kerana Allah SWT. 

Allah SWT menjanjikan keampunan bagi orang-orang yamg menguruskan orang tuanya dengan ikhlas dan juga oramg-orang yang ingin bertaubat. 

Kita juga tidak boleh taat kepada ibu bapa dalam perkara yang menyalahi syarak. Perkara yang menyalahi syarak seperti orang tua kita menyuruh kita meninggalkan perkara fardhu atau menyuruh yang haram. Suruhan sebegini tidak perlu diikuti. Tetapi jika kita ingin melakukan perkara yang sunat, dan pada waktu yang sama ibu bapa kita menyuruk berbuat yang lain (yang tidak melanggari syarak) , kita perlu mentaati perintah ibu bapa. 

Keutamaan berbakti kepada ibu bapa

Berbakti kepada ibu bapa adalah sesuatu yang wajar. Walaupun seandainya tiada Quran dah hadis memerintahkan agar kita berbakti kepada ibu bapa, semua orang sedia maklum bahawa berbakti kepada ibu bapa adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan. Ini tentunya kerana melihat besarnya jasa ibu bapa terhadap anaknya. Orang yang berbakti kepada ibu bapa akan mendapat keredhaan Allah dan akan mendapat balasan yang baik di dunia dan di akhirat. 

- Berbakti kepada ibu bapa adalah penghapus dosa. 

Hanya dengan berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa dapat menghapuskan dosa- dosa. 

Ibnu Omar RA berkata bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW kemudian berkata:”sesungguhnya saya telah melakukan dosa besar, apakah masih ada kesempatan untukku bertaubat?”Rasulullah SAW bertanya:”Adakah kamu mempunyai ibu bapa?”Lelaki itu menjawab:”Tidak”. Rasulullah SAW berkata :”Adakah kamu mempunyai Khalah (ibu saudara sebelah ibu) ?”Orang itu menjawab. ”Ya. ”Maka Rasululluh SAW berkata:”kalau begitu berbaktilah kepadanya. ” (hadis ini diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibnu Hibban) 

- Makbulnya doa orang yang berbakti kepada ibu bapa. 

Orang yang berbuat baik kepda ibu bapanya, akan terkabul segala doa-doanya. Buktinya dapat dilihat menerusi kisah tiga orang sahabat yang terperangkap dalam gua. Ada tiga orang lelaki yang sedang berjalan di kaki bukit. Rupanya tidak jauh dari tempat mereka ada sebuah gua. Hujan turun dengan tiba-tiba kemudian mereka mencari tempat perlindungan. tanpa mereka sedari, mereka sudah sampai ke mulut gua. Mereka segera masuk ke dalam gua tersebut. Sedang mereka berteduh, ada batu besarjatuh dari arah bukit dan menutup pintu gua tersebut. Mulut gua tertutup dan menghalang mereka dari keluar. Salah seorang dari mereka berkata :”kita tidak mungkin keluar dari dalam gua ini tanpa pertolongan Allah. Mari kita berdoa kepadaNya melalui amalan kita yang dianggap paling besar nilainya di sisi Allah. ”Masing-masing mengingat amalmyang paling besar nilainya di sisi Allah yang telah mereka lakukan. salah seorang mereka ada yang taat kepada kedua ibu bapanya dan telah berbakti kepada mereka. Melalui amal ikhlasnya itu dia memohon kepada Allah supaya dapat keluar dari dalam gua tersebut. Dengan bantuan Allah SWT, batu besar yang menutupi gua itu bergeser dan mereka pun dapat keluar dari dalam gua tersebut. 

- Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. 
Dari Anas bin Malik RA katanya Rasulullah SAW bersabda:”sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung silaturrahim. ”
 (H. RAhmad) 

- Kisah orang-orang yang berbakti kepada ibu bapanya
Orang yang berbuat baik kepada ibu bapanya akan mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat. Di akhirat mereka mendapat pahala besar dan dimasukkan ke dalam syurga. Sedangkan di dunia, mereka mendapat banyak keuntungan. Ada orang yang berbakti kepada ibu bapanya menjadi makbul doanya dan ada yang mengurus kedua ibu bapanya dengan ikhlas kerana Allah mendapat rezeki yang murah. 


Dosa dan bahaya menderhakai ibu bapa

Derhaka kepada ibu bapa sangat besar dosanya dan amat dimukai oleh Allah SWT. Orang yang menderhakai kedua ibu bapanya akan mendapat balasan di dunia. 

Rasulullah SAW bersabda: Semua dosa akan ditangguhkan penyeksaannya, sesuai dengan kehendak Allah, sampai hari kiamat, kecuali dosa menderhakai ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasannya kepada pelaku ketika ia masih hidup, yakni merupakan balasan di dunia, sebelum terjadinya hari kiamat. (H. R Al-Hakim) 

- Derhaka termasuk dosa yang paling besar
Dari Abdullah bin Umar, katanya Rasulullah SAW bersabda:”Dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah, menderhakai ibu bapa, membunuh jiwa dan sumpah palsu. ”

- Penderhaka tidak masuk syurga
Sabda Rasulullah bermaksud janganlah kita menderhakai ibu bapa kerana akan menjarakkan diri kita dari mencium bau syurga. 

- Derhaka mengakibatkan kemiskinan
Orang yang derhaka kepada ibu bapanya akan menjadi miskin. Rasulullah SAW bersabda:”sesungguhnya seseorang akan diputuskan rezekinya kerana dosa yang dilakukannya, dan tidak ada yang boleh merubah takdir kecuali dengan doa dan tidak dipanjangkan umur kecuali berbakti. ” (hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban) 

Kesimpulannya, berbakti kepada ibu bapa merupakan jalan untuk menuju kejayaan di dunia dan di akhirat. Selain jalan untuk menuju kejayaan, ia juga dapat meyelamatkan dari malapetaka atau seksa yang dihadapi. 

Disediakan oleh: Fairuz Syazana Bt Fazil

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com