Khalid Memburu Syahid -

Novel KHALID MEMBURU SYAHID ialah novel sejarah Islam yang diterbitkan oleh PTS Fortuna pada tahun 2007 mengisahkan tentang Khalid yang digelar Pedang Allah. 

Novel bermuka surat 383 helai ini mengesahkan tentang seorang pahlawan Pedang Allah. 

Khalid bin Walid bin Al-Mughrah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum bin Yaqzah bin Marrah Al-Mahzumi adalah panglima tentera Islam terulung yang memberikan banyak sumbangan kepada penyebaran syiar Islam. Moyangnya bernama Marrah dan bertemu nasabnya dengan Nabi Muhammad SAW dan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Ini bermaksud Nabi Muhammad SAW, Khalifah Abu Bakar as-Sidiq dan Khalid al-Walid berasal daripada keluarga yang sama. 

Khalid dilahirkan dalam keluarga yang dihormati kerana bapanya, Walid bin Al-Mughrah adalah pemimpin Quraisy yang dihormati oleh kaumnya. Walid terkenal dengan kekayaan dan sifat pemurahnya sehingga mendapat gelaran Adil Wahid ataupun orang pemurah nombor satu. 

Ibu Khalid bernama Lubabah al-Sughra. Lubabah adalah anak perempuan Haris, pemimpin Quraisy yang dihormati. Dia juga merupakan adik kepada Maimunah, isteri Nabi Muhammad SAW. 

Khalid bin Walid sudah dilatih menjadi pahlawan sejak kecil lagi. Dia disegani dan dihormati kerana kemahirannya dalam cekap menunggang kuda dan mahir menggunakan senjata. Ketika usianya masih muda, Khalid sudah diberi tanggungjawab sebagai ketua yang memimpin pasukan tentera berkuda Quraisy. 

Khalid bin Walid menunjukkan kecekapannya memimpin pasukan tentera berkuda Quraisy dalam perang Uhud yang berlaku pada hari Sabtu bersamaan dengan 3 Hijrah. Dengan kepintarannya, pasukan tentera berkuda Quraisy berjaya mengalahkan tentera Islam dalam perang Uhud. Khalid terus memusuhi Islam sehingga tahun 6 Hijrah. 

Pada suatu hari ketika nabi Muhammad SAW sedang membaca al-Quran, ayah Khalid, iaitu Walid masuk ke Masjidil Haram. Walid menghampiri baginda lalu mendengar apa yang dibacanya. Nabi Muhammad SAW menyedari kedatangan Walid lalu baginda sengaja menguatkan bacaannya supaya didengar oleh Walid. 

Kemudian Walid keluar dari masjidil Haram lalu berkata kepada orang ramai, ”Demi Tuhan, sesungguhnya saya sudah mendengar apa yang dibaca oleh Muhammad. Ia bukan perkataan manusia ataupun jin. Demi Tuhan, bahasanya sangat indah dan tiada yang dapat mengatasinya. ”

Peritiwa itu sangat berkesan di hati Khalid. Pada suatu hari, Khalid berkata kepada kaumnya, ”Sudah jelas dan terang bagi mereka yag mempunyai akal yang sempurna, bahawa Muhammad itu bukan ahli sihir atau tukang syair. Apa yang dibacakannya itu memang wahyu Allah dan menjadi kewajipan bagi mereka yang berakal sihat mengikutinya”

Selepas memeluk Islam, Khalid dilantik menjadi panglima perang dan mendapar gelaran Saifullah atau pahlawan Pedang Allah. Ketika berlakunya perang Mukah, Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah. Baginda berkata, ”Akhirnya panji-panji itu diambil oleh Khalid al-Walid yang bergelar Pedang Allah. Peperangan itu dimenangi oeh Khalid al-Walid. ”

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu? Apabila dikatakan kepada kamu; berangkatlah kamu untuk berperang di jalan Allah, kamu berasa keberatan. Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? Kesenangan hidup di dunia ini hanya sementara sahaja berbanding dengan kehidupan di akhirat kelak. ”SURAH AL-TAUBAH: 38. 

Sedang tentera Islam bersiap sedia mahu menggempur tentera Rom, tiba-tiba kelihatan seorang utusan dari Madinah yang bernama Munajamahbin Zanim datang ke arah tentera Islam dari jauh dengan menaiki kuda dengan laju. Dia membawa surat perintah daripada khalifah. Khalid bin Walid mengutamakan utusan yang bakal diterima daripada khalifah. 

Sebaik sahaja utusan itu masuk ke dalam khemah tempat ketua-ketua pasukan tentera Islam berkumpul, Munajamah disambut mesra oleh Khalid bin Walid. Munajamah menyatakan ada perutusan penting daripada khalifah dan perkara trsebut adalah sulit dan rahsia, serta mencadangkan mereka berdua sahaja di dalam khemah supaya mereka boleh berbincang empat mata. 

Munajamah memulakan bicara dengan penuh sopan dengan membawa dua berita sedih dan satu berita gembira bertanyakan berita mana yang perlu dia sampaikan dahulu. Khalid bin Walid meminta mendahulukan berita sedih supaya hatinya terubat denganberita gembira. 

Dengan suara penuh sayu, Munajamah menyampaikan berita sedih bahawa Khalifah Abu Bakar telah meninggal dunia pada 23 Jamadilakhir bersamaan 13 Hijrah. Jenazahnya selamat dikebumikan bersebelahan dengan makam Nabi Muhammad. Khalid bin Walid mengucap Innalillahi wainna ilaihi raajiun dalam keadaan sebak dan air matanya berlinang. 

Khalid bin Walid menyuruh ditangguhkan dahulu berita sedih yang kedua dan sampaikan kepadanya berita gembira. Utusan itu memberitahu Umar bin Khatab dilantik menjadi khalifah Islam yang kedua dengan dipersetujui oleh semua penduduk Islam di Mekah dan Madinah. Dia mengucap Alhamdulillah dan yakin Umar bin Khatab dapat menjalankan tugas dengan baik serta mampu meneruskan dasar pemerintahan yang diterapkan oleh Khalifah Abu Bakar. 

Kemudian Munajamah ingin menyampaikan berita sedih dan berharap Khalid bin Walid tidak terkejut dan kuatkan semangat serta berhati cekal, baik semasa susah mahupun senang. Utusan itu menyampaikan Umar bin Khatab selaku khalifah, memecat Khalid bin Walid daripada jawatan ketua panglima tentera Islam. Tempat Khalid bin Walid bakal digantikan oleh panglima Abu Ubaidah bin Jarah. Munajamah menyerahkan surat perintah daripada khalifah dan diamanahkan menyampaikannya kepada Khalid bin Walid. 

Khalid bin Walid membuka surat itu dengan tenang lalu membacanya. Wajahnya langsung tidak menampakkan apa-apa perubahan. 

Dengan tenang Khalid bin Walid menyatakan apa sahaja yang dimiliki di dunia ini hanya bersifat sementara dan mestilah reda kerana semua yang terjadi adalah dengan izin Tuhan. Disebabkan itulah hatinya tidak marah ataupun sedih dengan keputusan Khalifah Umar yang salah seorang sahabat nabi yang sudah dijamin masuk syurga. 

Khalid bin Walid menjemput panglima Abu Ubaidah bin Jarah masuk ke dalam khemah. Dia menangis apabila mendengar berita Khalifah Abu Bakar sudah meninggal dunia. Apabila mendengar Umar bin Khatab dilantik menjadi khalifah, Abu Ubaidah menangis sekali lagi. 

Kemudian apabila mendapat tahu Khalid bin Walid dilucutkan jawatannya, dia kelihatan semakin hiba. Selepas diberitahu dia dilantik menjadi ketua panglima Islam bagi menggantikan Khalid, Abu Ubaidah menangis teresak-esak. 

Khalid bin Walid bersuara dengan nada yang lembut menanyakan sebab Abu Ubaidah menangis begini dan adakah tidak ada berita yang menggembirakannya. Abu Ubaidah menjawab bahawa kematian Khalifah Abu Bakar adalah satu kehilangan yang besar, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi seluruh umat manusia. 

Munajamah bertanya pula sebab mengapa Abu Ubaidah menangis apabila mendengar Umar bin Khatab dilantik menjadi khalifah. Abu Ubaidah menjawap dia menangis kegembiraan dan menyatakan hanya Umar yang layak menggantikan Khalifah Abu Bakar dan pelantikan itu dapat mengelakan umat Islam daripada berpecah belah kerana mahukan jawatan khalifah. 

Khalid bertanyakan lagi tentang Abu Ubaidah menangis apabila mendapat tahu dia dipecat oleh Umar bin Khatab. Abu Ubaidah menjelaskan bahawa Khalid bin Walid adalah seorang ynag keras, berani dan mempunyai pengaruh dalam angkatan tentera. Dia bimbang Khalid menentang keputusan itu lalu meninggalkan medan perang dan mengakibatkan kekalahan kerana Khalid sahaja yang layak membawa kemenangan. 

Munajamah ingin tahu sama ada pelantikan sebagai ketua panglima itu masih tidak menggembirakan kerana dia langsung tidak melihat segaris senyuman pada bibir Abu Ubaidah semasa mendengar ketiga-tiga berita itu. 

Abu Ubaidah memberitahu dia berasa malu menerima jawatan itu keranaada yang lebih layak daripadanya di kalangan mereka. dia teringat kata-kata Khalid bin Walid, jawatan bukannya lambang kemegahan tetapi tanggungjawab di dunia dan akhirat. Dia merasakan tidak layak memegang jawatan yang penting itu dan kerana itulah dia menangis. 

Khalid berpesan kepada Abu Ubaidah supaya taat kepada perintah Umar bin Katab kerana dia adalah khalifah. Dengan itu, Khalid menyerahkan tugas sebagai ketua panglima tentera Islam kepada panglima Abu Ubaidah bin Jarah. 

Panglima Abu Ubaidah menerima perlantikan itu sebagai amanah daripada Tuhan tetapi dengan permintaan berita ini tidak dihebahkan kepada tentera Islam sehingga peperangan ini selesai supaya tentera Islam memberi sepenuh tumpuan kepada musuh, tentera Rom. 

Dengan itu juga, Abu Ubaidah memohon satu lagi permintaan kepada Khalid bin Walid iaitu, walaupun dia dilantik menjadi ketua panglima tetapi saudara Khalid perlu terus memimpin tentera Islam bagi menghadapi tentera Rom seperti apa yang sudah dirancang dan dia pasti menyertainya. Ini adalah kerana Khalid lebih berpengalaman. 

Khalid bin Walid tidak membantah malah bersetuju dengan permintaan Abu Ubaidah. Dia menyatakan bahawa dia berperang bukan kerana Umar bin Khatab tetapi kerana Tuhan. 

Khalid bin Walid memerintah Munajamah supaya tidak menyertai peperangan dan keluar ke mana-mana serta menangguhkan kepulangan utusan itu ke Mekah supaya duduk sahaja dalam khemah sehingga peperangan selesai. 

Khalid bin Walid dan Abu Ubaidah bin Jarah keluar dari khemah seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Mereka sengaja merahsiakan perkara perkara itu demi menjaga perasaan dan semangat berpasukan tentera Islam supaya tidak luntur dan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada musuh. 

“Khalid sudah menjadi raja dengan sendirinya. Tuhan merahmati Abu Bakar kerana dia lebih tahu mengenai lelaki itu daripada saya. ”-UMAR BIN KHATTAB

Berita kemenangan tentera Islam dan kekalahan tentera Rom tiba di Mekah dan Madinah. Umat Islam menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Gurun Yarmuk kembali tenang. Tiada lagi bunyi gemerencing mata pedang dan tiada lagi tubuh yang menjadi mangsa rodokan senjata. 

Selepas satu per lima daripada harta rampasan perang selesai dibahagikan. Kemudian Khalid bin Walid membuat pengumuman bahawa Khalifah Abu Bakar sudah meninggal dunia dan jawatan khalifah sekarang disandang oleh Umar bin Khatab. Berita itu mengharukan perasaan tentera Islam. Ramai antara mereka yang mengalirkan air mata kerana kasih dan sayang kepada khalifah Islam yang pertama itu. Khalid juga mengumumkan Khalifah Umar bin Khatab telah melucutkan jawatannya sebagai ketua panglima tentera Islam dan Abu Ubaidah dilantik sebagai penggantinya. 

Khalid bin Walid bersalaman dengan panglima Abu Ubaidah bin Jarah dan berkata, mulai saat ini saudara adalah ketua panglima tentera Islam dan saya berada dibawah perintah saudara. 

Tentera Islam pulang ke Madinah dengan perasaan gembira. Mereka membawa kemenangan selepas berjaya menumpaskan pihak lawan dengan izin Tuhan. Kepulangan mereka disambut oleh orang ramai dengan penuh gembira dan kesyukuran. Masing-masing mengukir senyuman dan masing-masing berpelukan tanda kesyukuran menyambut ahli keluarga yang pulang dari medan perang. Ada tangisan yang mengiringi kepulangan dan kejayaan mereka. Itulah tangisan kesyukuran dan kegembiraan. 

Maharaja Hercules menyambut kepulangan tenteranya dengan murka. Baginda terasa malu tidak terkira. Keagungan dan kemegahan empayar Rom sudah tercemar dengan kekalahan yang diterima. Jelas sekali, perjuangan yang bertunjangkan jihad fisabilillah itu mengatasi segala-galanya. 

Khalid bin Walid menjalani kehidupan sepertimana orang biasa selepas dia tidak lagi menjadi pemimpin tentera. Baginya, jawatan di dunia tidak menjanjikan apa-apa. Dia sudah menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan sebaik mungkin. Jawatannya dahulu disandangkan hanya kerana Allah, maka Allah membantunya ketika dia menjalankan tugas sebagai pemimpin tentera. 

Pada suatu hari, Khalid bin Walid pergi menghadap Khalifah Umar bin Khatab. Dia mengkhabarkan dia mahu pergi jauh untuk menjalani kehidupan baru. Keadaan sudah aman dan peperangan tidak berlaku agi kerana musuh-musuh sudah kalah. Kerajaan Rom dan Parsi sudah ditumbangkan. Damsyik, Mesir dan Baitul Maqdis sudah berjaya ditawan. Dia mahu menjalani kehidupan sebaimana orang biasa. Namun begitu, dia menyatakan dia bersedia menerima tanggungjawab pada bila-bila masa apabila tenaganya diperlukan di medan peperangan. 

Semangat jihadnya masih membara. Itulah dia Perang Allah. 

“Ada antara orang-orang mukmin itu menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah (berjihad) , maka ada antara mereka yang gugur. Dan ada antara mereka yang masih menunggu-nunggu (untuk syahid) dan mereka sedikit pun tidak merubah janjinya. ”SURAH AL-AHZAB: 23

Pada suatu malam, Khalid membawa isteri dan anak-anak keluar dari Madinah menuju ke Syria. Pada ketika itu Syria dikenali sebagai Syam. Dia sengaja merahsiakan pemergiannya daripada pengetahuan orang ramai kecuali kepada beberapa orang sahabat rapat termasuk Yazid. 

Di Himsya, Khalid tenang menjalani kehidupan sebagai orang biasa. Pada suatu hari, dia jatuh sakit. Penyakit yang dihadapinya itu semakin teruk dari hari ke hari. 

Berita pahlawan Pedang Allah jatuh sakit itu sampai ke pengetahuan sahabat-sahabatnya. Ramai antara mereka yang datang menziarahinya. Mereka sedih melihat keadaan Khalid bin Walid. 

Pada umur 58 tahun, Khalid telah menyertai lebih 100 peperangan. Dia terlibat secara langsung dalam peperangan besar seperti perang Muktah, berperang dengan Parsi, melawan tentera Rom di Yarmuk, merebut Damsyik dari Rom, menakluki Mesir, dan menawan Baitul Maqdis daripada kuasa Kristian. Itulah kejayaan yang tidak dapat dilupakan kerana Baitul Maqdis bebas daripada cengkaman kuasa Kristian. 

Walaupun Khalid bin Walid berkata-kata dengan nafas teresak-esak, dia tetap meluahkan isi hatinya. Ia bertujuan menyuntik semangat jihad kepada mereka yang mahu menobatkan Islam, bukannya mahu menunjukkan keegoan atau membesarkan dirinya. Khalid adalah seorang pahlawan yang terbilang. 

Khalid bin Walid merintih hiba bahawa dia bercita-cita mahu mati syahid. Disebabkan itu dia menyertai semua peperangan yang melibatkan tentera Islam. Namun impiannya mahu gugur syahid masih tidak tercapai. 

Beberapa orang sahabat yang rapat dengannya cuba memujuk. Yazid cuba meleraikan rasa gundah yang bersarang di jiwa Khalid bin Walid dengan berkata, Ajal maut kita ditentukan Tuhan. Kita terima sahaja ketentuan Tuhan. 

Khalid masih merintih hiba kerana tidak mahu mati di atas katil dan mahu mati di medan perang. Dia memberitahu dan menyinsing kain menutup kakinya untuk menunjukan parut lukanya dari hujung jari hingga ke hujung pangkal paha akibat mata tombak, lembing pedang ataupun panah seolah-olah Yazid tidak percaya dengan kata-katanya. Yazid dengan perasaan berat mengiyakan kata-kata Khalid sambil menahan dirinya dari menitiskan air matakerana hiba melihat sahabatnya itu. 

Kemudian Khalid menyelak pula kain yang menutupi dadanya. Dadanya ini pernah menjadi sasaran mata tombak, anak panah, dan pelbagai senjata tajam musuh tetapi masih tidak menemui ajal. Yazid tidak mampu lagi menjawap soalan Khalid. 

Tiba-tiba Abu Zanab yang turut melihat parut-parut luka di tubuh Khalid bin Walid menjelaskan Khalid tidak boleh mati di medan perang dan juga tidak boleh tewas apabila bertarung dengan musuh kerana Nabi Muhammad mengurniakan kepadanya gelaran pahlawan Pedang Allah. Baginda juga mendoakan Khalid tidak boleh mati dibunuh oleh orang kafir. Khalid juga tidak boleh tewas dalam peperangan kerana doa Nabi Muhammad dimakbulkan Tuhan. 

Namun Khalid bin Walid terdiam mendengarkan kata-kata itu, wajahnya masih kelihan hiba. 

Khalid bin Walid menyatakan semua senjata yang pernah digunakan dalam peperangan dikumpulkan dan diwakafkan semua senjata miliknya kepada tentera Islam. 

Selain senjata berupa pedang, tombak dandan panah, khalid memiliki seekor kuda yang biasa digunakan dalam peperangan itu juga diwakafkan kepada tentera Islam. 

Khalid bin Walid menjalani hari-hari terakhirnya dengan penuh kesukaran. Penyakitnya semakin tenat. Akhirnya panglima terbilang itu menghembuskan nafas yang terakhir bersama harapannya yang tidak kesampaian. 

Berita kematiannya disampaikan dengan segera ke pengetahuan Khalifah Umar bin Khatab. Umar menangis. Dia menyedari perlucutan jawatan Khalid adalah suatu kesilapan dan bercadang mahu menyerahkan semula jawatan itu kepadanya tetapi Khalid telah pergi buat selama-lamanya. 

Menurut Khalifah Umar lagi, ramai tertanya mengapa Khalid bin Walid dilucutkan jawatannya. Bukan kerana iri hati atau hasad dengki tetapi ada dua perkara yang selalu mengganggu fikirannya. 

Pertama, Khalid bin Walid tidak pernah kalah dalam setiap peperangan sehinga ada yang berkata kemenangan itu disebabkan oleh Khalid bin Walid. Kedua, dia terlalu sayangkan tenteranya. Apabila mendapat harta rampasan perang, dia terus membahagikan kepada anggota tenteranya tanpa berbincang dahulu dengan khalifah. 

Pemergian Khalid bin Walid adalah satu kehilangan besar kepada umat Islam. Nama Khalid bin Walid dapat mengalahkan musuhnya sebelum peperangan bermula. Walaupun dia sudah tiada lagi, namun jasa dan pengorbanannya tersemat dalam hati mereka. 

Disediakan oleh: Izzati Amirah Bt Kamaruddin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com