Tuesday, September 14, 2010

Falsafah Ibadat Dalam Islam -

Ibadat dalam Islam meliputi empat jenis iaitu sembahyang, puasa, zakat dan haji. Semua umat Islam diwajibkan untuk menunaikan ibadat-ibadat tersebut dengan ikhlas kerana Allah SWT. 

Sembahyang-sembahyang yang difardhukan ialah lima waktu dalam sehari semalam iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’. Sembahyang Subuh sebanyak dua rakaat, Zuhur sebanyak empat rakaat, Asar sebanyak empat rakaat, Maghrib sebanyak tiga rakaat dan Isya’ sebanyak empat rakaat. Semua sembahyang-sembahyang ini boleh dikerjakan berseorangan atau lebih baiknya dikerjakan secara berjemaah. Hanya satu sembahyang sahaja yang wajib dikerjakan secara berjemaah iaitu sembahyang Jumaat yang menggantikan sembahyang Zuhur pada hari Jumaat. Sembahyang Jumaat dikerjakan sebanyak dua rakaat sahaja. Di samping sembahyang-sembahyang yang difardhukan ke atas setiap orang Muslim, terdapat juga sembahyang lain yang diwajibkan secara fardhu kifayah iaitu cukup dikerjakan oleh sebahagian orang-orang Muslim sahaja iaitu sembahyang jenazah. Selain daripada sembahyang-sembahyang wajib ini, terdapat juga sembahyang-sembahyang sunnat seperti sembahyang dua hari raya dan sembahyang-sembahyang sunnat yang lain. Sebelum mengerjakan sembahyang, diwajibkan bersuci terlebih dahulu sama ada mandi jika berhadas besar atau berwudhu’ sekiranya tidak berhadas besar. Selain itu, setiap orang Muslim diwajibkan mengerjakan sembahyang di tempat yang bersih serta memakai pakaian yang bersih. Orang yang sakit boleh menunaikan sembahyang dengan cara duduk atau baring, boleh dengan gerakan kepala sahaja atau gerakan mata. Tujuannya ialah untuk mengekalkan perhubungan seorang Muslim dengan Tuhannya di waktu sihat atau sakit. Sembahyang boleh dikumpulkan dan dipendekkan bagi orang-orang belayar, dan sembahyang tidak dikenakan ke atas perempuan yang datang bulan (haid) dan nifas. Gerak geri dalam sembahyang itu ialah gerak geri senaman yang meliputi tubuh badan seluruhnya. Gerak geri ini begitu teratur dan tersusun seperti peraturan di dalam senaman perseorangan atau berkumpulan. Islam telah mengesa supaya meluruskan barisan serta rapat antara satu sama lain ketika sembahyang. Hal ini merupakan suatu ajaran supaya seseorang itu lebih teratur dan tertib dalam setiap perkara yang dikerjakannya. Islam telah menyatukan kiblat pengikut-pengikutnya dimana umat Islam menghadap ke satu tempat iaitu Al-Baitul-Haram di Makkah Al-Mukarramah, berdiri menuturkan kalimah yang sama dan di jiwa mereka bergema pengertian yang sama. Sembahyang berjemaah dan sembahyang Jumaat merupakan pertemuan kekeluargan dalam bentuk yang luas. Sembahyang dimulakan dengan Takbiratul-ihram Allahu Akbar. Takbir i ni membawa suatu ingatan kepada orang-orang yang takabur dan zalim bahawa Allah lebih besar dan lebih agung dari mereka, kekuatan dan kegagahan mereka sebenarnya adalah khayalan semata-mata. Dengan Takbiratul-ihram, seseorang itu telah memulakan pengembaraannya kepada Allah, pengembaraan rohani yang dibekali dengan bacaan-bacaan dan doa. Sejenak seorang bersemadi dengan Allah setelah membersihkan dirinya dari ikatan-ikatan kebendaan dengan menghadap sepenuhnya kepada Tuhan, tidak makan dan minum, hanya bercakap dengan Allah, menyeru dan bermunajat kepadaNya, memuji segala nikmat-nikmat yang diberikanNya, meminta dariNya agar diampunkan segala dosa dan memohon taufik serta petunjuk ke jalan yang lurus. Setiap orang Muslim rukuk dan sujud sambil bermunajat kepada Tuhan bahawa tunduk itu hanya kepadaMu semata-mata dan membongkokkan badan itu hanya sesuai bila berhadapan dengan kebesaran dan keagunganMu. Sembahyang diakhiri dengan Tahiyat yang disebut oleh orang yang bersembahyang mengingati Allah serta mengulang-ulang keagunganNya, disebutkan juga tentang Nabi yang mulia yang membawa agama ini dan memimpin pengikut-pengikutnya ke jalan yang lurus serta disebutkan sekali tentang saudara-saudaranya orang Muslim dan mendoakan kebaikan dan kebahagian kepada mereka. Setiap sembahyang fardhu lima waktu itu tidak mengambil masa lebih dari lima minit mengikut ukuran waktu biasa, tetapi ramai orang yang merasakan masa ini panjang. Hal ini kerana mereka tidak merasa nikmat berdekatan dengan Allah atau tidak merasa nikmat bermunajat. Fikiran mereka jauh melayang dari Allah. Ketika menunaikan sembahyang, mereka merancang apa yang harus dibuat sesudah selesai menunaikan sembahyang dan hal ini menyebabkan mereka tidak khusyuk ketika menunaikan sembahyang serta merasakan suatu jangka masa yang panjang dan lama ketika bersujud kepada Allah. Setiap ketika seorang manusia mengalami pertemuan yang sihat dengan Allah, sepatutnya seseorang muslim itu mahukan pertemuan itu berpanjangan dan berkekalan. Andainya kita merasa bosan dengan sembahyang, maka perlulah dicari punca penyakit yang menimbulkan kebosanan tersebut. Antara kemungkinan yang meyebabkan timbulnya kebosanan tersebut ialah kebendaan dunia, yang bererti kita terikat dengan kebendaan dan terpengaruh dengannya sehingga menyebabkan kita lalai dan leka dalam mencari petunjuk dan keberkatan dari Allah. Menunaikan sembahyang di hadapan Allah pada hakikatnya ialah membersihkan diri kita dan menjauhkan kita dari segala kekotoran dan kemungkaran. Setiap kali kita melihat seseorang itu menunaikan sembahyang tetapi pada masa yang sama dia melakukan kejahatan dan kemungkaran kepada Allah, maka ketahuilah bahawa sembahyangnya itu cuma gerak-geri tanpa tujuan dan kata-katanya pun tidak membawa sebarang pengertian. 

Terdapat lima jenis zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam iaitu matawang (emas dan perak) , barang-barang perniagaan, binatang-binatang ternakan, tanaman-tanaman dan buah-buahan. Antara syarat-syarat zakat ialah mesti mempunyai harta yang cukup jumlahnya mengikut yang telah ditentukan oleh syara’. Sekiranya tidak cukup, maka tidak diwajibkan berzakat. Selain itu disyaratkan cukup tahun. Binatang-binatang pula mestilah diternak, jenis tanaman-tanaman mestilah tahan dan buah-buahan pula mestilah dalam keadaan baik. Zakat unta bermula dari lima ekor, dikenakan seekor kambing. Sekiranya sepuluh ekor unta, dikenakan dua ekor kambing. Zakat lembu bermula dari tiga puluh ekor, dikenakan seekor anak lembu yang berumur enam bulan. Sekiranya empat puluh ekor lembu, dikenakan seekor lembu yang berumur setahun. Zakat kambing bermula dari empat puluh ekor hingga seratus dua puluh ekor, dikenakan seekor kambing. Sekiranya seratus dua puluh satu ekor, dikenakan dua ekor kambing. Jika dua ratus satu ekor, dikenakan tiga ekor kambing dan empat ratus ekor, dikenakan empat ekor kambing. Kemudian sesudah itu pula tiap-tiap seratus ekor, dikenakan seekor kambing. Manakala zakat tanaman-tanaman dan buah-buahan ialah satu persepuluh (1/10) sekiranya disiram dengan air sungai atau hujan, tetapi sekiranya disiram melalui penggunaan alat, maka zakatnya ialah satu perdua puluh (1/20) . Ahli-ahli fikir Islam berpendapat bahawa harta-harta kekayaan moden pada masa kini seperti kilang-kilang dan bangunan-bangunan adalah termasuk di bawah zakat perniagaaan juga. Sekiranya zakat itu tidak mencukupi untuk keperluan perseorangan atau kerajaan, maka pemerintah berhak mengambil harta orang-orang kaya untuk mencukupkan zakat tersebut tanpa mengira berapa banyak harta yang diambilnya. Zakat diwajibkan kepada orang yang berdaya apabila telah mencukupi perkiraannya. Perkiraan ini pula tidak diakui kecuali setelah ditolak hutang-hutang. Ada pendapat mengatakan bahawa zakat tidak wajib kepada orang kaya, kecuali ke atas hartanya yang lebih dari keperluannya sendiri dan keperluan orang-orang yang ditanggungnya. Zakat ialah suatu latihan rohani yang sangat baik, diwajibkan oleh Islam untuk meningkatkan manusia dari dunia kebendaan kepada kejernihan rohani serta mengajar mereka bersikap bertimbang rasa kepada orang lain. Melalui zakat, Islam mengubah manusia dari bersikap egoisme kepada memikirkan orang lain. Sebelum Islam, terdapat juga berbagai cukai, tetapi dikenakan ke atas golongan miskin dan hasilnya diserahkan kepada golongan kaya melalui titik peluh dan tenaga. Sekiranya hasil tidak mencukupi, mereka akan dipenjara atau diseksa. Setelah Islam datang, kedudukan ini diperbetulkan. Cukai dibayar oleh golongan kaya untuk kebajikan dan kepentingan golongan miskin. 

Puasa ialah menahan diri dari makan, minum dan persetubuhan atau yang mendorongnya mulai terbit fajar hingga terbenam matahari. Ini diwajibkan pada bulan Ramadhan ke atas setiap orang muslim yang sudah cukup umur dan berdaya tanpa mempunyai uzur yang diakui seperti sakit, dalam pelayaran, tua, datang bulan (haid) atau darah nifas. Puasa ditangguhkan kerana sakit, belayar, datang haid atau nifas dan digantikan dengan bayaran kaffarah bagi orang-orang yang terlalu tua. Dalam Islam, puasa termasuk dalam ibadat-ibadat yang mendidik jasmani dan rohani seseorang Muslim. Oleh kerana kebanyakan orang tidak berdaya menahan kegelojohan mereka, maka hal ini telah mendorong mereka memakan makanan tanpa mengira apa-apa. Ibadat puasa ialah untuk mengubati penyakit ini dan memberi kesihatan yang baik dari segi jasmani. Penganut-penganut Kristian juga menyedari tentang faedah-faedah berpuasa dari segi jasmani menyebabkan mereka juga mewajibkan diri untuk berpuasa mengikut seperti yang dilakukan oleh kaum Muslimin walaupun mereka tetap berpegang kepada ajaran agama Kristian. Hikmah puasa dari segi kerohanian amatlah jelas. Sejak zaman berzaman manusia sedar akan faedah berpuasa yang mendidik jiwa dan meningkatkan rohani. Manusia sedar bahawa puasa bererti mengabaikan kebendaan dan dengan demikian akan menguatkan aspek rohani dalam diri seseorang manusia. Islam memupuk ibadat puasa bukan bertujuan untuk membinasakan rohani, bahkan untuk meninggikan kedudukan kedua-duanya iaitu rohani dan jasmani. Terdapat kalangan yang memikirkan tentang puasa yang diatur oleh Islam mendapati ia merupakan suatu latihan rohani yang tinggi nilainya. Melalui puasa, manusia bebas dari kebiasaan-kebiasaan yang dipatuhinya seperti makan pada waktu tertentu, merokok dan sebagainya. Puasa adalah sebagai pelatih yang mendidik seseorang itu untuk mengatasi kebiasaannya dan menolongnya menguasai jasmani serta melengkapkan dirinya dalam menghadapi kerumitan-kerumitan dan krisis-krisis dalam kehidupan seharian. Puasa mengajar kita erti kesabaran yang tinggi dalam menghadapi kesusahan dan kerumitan dalam kehidupan yang kian mencabar. Orang yang berpuasa menahan diri dari makan dan minum sekurang-kurangnya enam belas jam dalam sehari dapat menahan keadaan demikian dengan senyuman dan rela kerana kelaparan bukan merupakan sesuatu yang ganjil dan baru bagi dirinya. Diantara faedah-faedah puasa dari segi kerohanian ialah menanam dan memupuk semangat disiplin yang tinggi dalam diri seseorang Muslim. Puasa diwajibkan pada bulan Ramadhan ke atas setiap umat Islam. Ketika berpuasa, mandi diharuskan dan ada kalanya diwajibkan. Terdapat kejadian seorang Muslim yang berasa terlalu dahaga pada siang hari di bulan Ramadhan lalu pergi mandi untuk membasahi seluruh anggota tubuh badannya. Ketika mandi, dia sangat berhajat untuk meneguk seteguk air agar dapat menghilangkan dahaganya, tetapi tidak dilakukan sedangkan pada waktu itu tidak ada seorang pun yang memerhati dan tiada seorang pun yang dapat mengesan segala perbuatannya. Ini menunjukkan puasa adalah suatu didikan yang tinggi dan mulia yang dipupuk oleh Islam dalam diri penganut-penganutnya agar dapat menjalani kehidupan dengan lurus pada zaman yang moden dan kian mencabar ini. Puasa mendidik umat Islam agar bersabar dan gigih dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan kerumitan dan pancaroba ini. 

Haji ialah menuju Baitullah Al-Haram di Makkah untuk beribadat pada waktu-waktunya yang tertentu; iaitu pada bulan Zulhijjah, mestilah duduk di Arafahpada hari kesembilan bulan itu. Haji ditamatkan dengan mengelilingi Ka’bah. Haji tidak diwajibkan kecuali ke atas orang-orang yang berdaya dari segi kesihatan, perbelanjaan, dan keselamatan perjalanan. Haji diwajibkan sekali sahaja sepanjang hayat. Manusia melengkapkan dirinya untuk mengembara, menyediakan wang dan masa serta menentukan tempat. Sekiranya tempat yang dipilihnya tidak sesuai, maka dipilihnya tempat lain kerana pengembaraan itu adalah perlu. Al –Quran Al Karim telah menegaskan tentang faedah-faedah pengembaraan pergi haji dengan firmanNya dalam surah Al-Haj ayat 27 hingga 28;’Beritahulah manusia itu dengan pekerjaan haji, nescaya mereka mendatangi engkau dengan berjalan kaki dan menunggang unta, mereka datang dari segenap jalan yang jauh untuk menyaksikan faedah-faedah bagi mereka’. Kalimat Manafi’ (faedah-faedah) dalam ayat di atas adalah umum meliputi perkenalan sesama penganut Islam dan kerjasama dalam segi lapangan politik, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya. Sejak 14 abad Islam menganjurkan perhimpunan tahunan yang pada masa dan tempat tertentu, agar kaum Muslimin dari seluruh ceruk rantau dapat bertemu untuk membincangkan masalah-masalah mereka serta merapatkan hubungan sillahturahim antara satu sama lain. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hanya meniru ibadat haji dari segi kebendaan sahaja; iaitu perhimpunan tahunan dan melupakan bahawa Tasyri’ Islam melengkapkan perhimpunan Haji itu dengan kelengkapan rohaninya dan mengelubunginya dengan suasana-suasana yang menghasilkan kejayaan yang paling cemerlang. Tempat yang dipilih untuk menunaikan ibadat Haji ialah Makkah, yang merupakan tempat wahyu diturunkan, bumi tempat Muhammad dibesarkan dan menerima perintah dari Tuhannya, dimana berlakunya pertarungan yang lama di antara kebenaran dan kemungkaran, tempat yang menyaksikan Rasul umat Islam itu menundukkan peristiwa-peristiwa dan memperkecilkan apa yang disangka oleh kaum Quraisy sebagai kemenangan-kemenangan mereka menentang cahaya yang menyinar. Makkah mempunyai kesan-kesannya, kesuciannya dan sejarahnya. Hal ini membuatkan pelawat-pelawatnya merasa suci dan jernih serta melupakan keseronokan dan kebendaan di dunia yang melekakan mereka. Sebelum masuk ke Makkah, seorang bakal haji tersebut mestilah berihram terlebih dahulu. Ihram merupakan suatu tingkatan kerohanian yang sangat penting. Seorang Muslim mesti menanggalkan pakaian dan perhiasannya, tidak memakai wangi-wangian, tidak memakai pakaian yang berjahit, tidak memotong kuku, tidak menggunting rambut, cukuplah sekadar sehelai kain biasa untuk menutup auratnya dan sepasang kasut biasa untuk mengalas kakinya. Dengan perkataan lain, ihram ialah mengenepikan perhiasan dunia, membebaskan diri dari nikmat-nikmat yang bersifat sementara dan menganjurkan persamaan dan persaudaraan di kalangan umat Islam dari seluruh ceruk rantau dunia. Seluruh jemaah Haji bertemu pada hari yang kesembilan bulan Zulhijjah di Arafah iaitu sebuah tanah tinggi yang luas berpasir dan berbatu kecil. Hal ini akan menambahkan lagi kesucian dan pembebasan diri dari kebendaan hidup di dunia dan cahaya-cahayanya yang menyilaukan, serta penarikan sementara yang memukau mata dan keindahan sementara yang menggoda hati. Disana-sini bergema seruan ‘‘Labbaika Allahumma Labbaika. Labbaikala Syarika laka Labbaika. Innalhamda Wanni’mata laka wal Mulka. La Syarika Laka. ’’ Ertinya”Kusahut seruan, wahai Tuhan! Kusahut seruanMu. Kusahut seruanMu, tiada sekutu bagiMu, kusahut seruanMu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat itu adalah kepunyaanMu, juga kerajaan. Tiada sekutu bagiMu, kusahut seruanMu. ”Ketika jemaah Haji melaungkan seruan tersebut, jiwa raga mereka diselubungi perasaan kasih mesra, menjadikan mereka lupa pada tanahair dan aliran hidup masing-masing. Mereka semua berhimpun sebagai satu kumpulan yang bertuhankan Allah yang satu dan berpegang pada ajaran Islam yang satu yang menjadikan mereka satu umat yang kuat dan mempunyai satu matlamat. Suasana Haji memberi peluang kepada bakal Haji untuk membersihkan jiwa, menjadikan tujuan mereka lebih tinggi dari taraf kebendaan dan menjadikan mereka berusaha mengejar kebaikan bukan mengejar kejayaan atas pengorbanan orang lain. Haji merupakan suatu pertemuan rakyat yang tidak dipilih wakil-wakilnya yang pandai berhujah dan bercakap, tetapi peluangnya dibuka seluas-luasnya untuk sesiapa yang sanggup mengambil faedah dari persidangan yang luas itu. Haji bagi para jemaah Haji Islam bukan bererti mengunjungi kubur-kubur dan memuja tuhannya seperti yang dilakukan dalam kebanyakan agama-agama yang lain. Prinsip-prinsip Islam yang mendapat perhatian penuh dalam pemikiran Islam ialah bertujuan menjauhkan seorang Muslim dari segala perkara syubhat yang menuju kearah berbilang tuhan dan dari penyembahan terhadap manusia dan patung-patung. Kenikmatan Haji dapat dirasakan oleh para jemaah Haji lebih daripada yang dirasakan oleh orang-orang yang menulis tentang Haji tetapi tidak menunaikannya. Kenikmatan ini dapat dirasakan apabila mengetahui beribu-ribu orang yang pergi Haji setiap tahun untuk menunaikan Haji bagi kali kedua atau ketiga dan ada kalanya untuk kali yang ketujuh. Hal ini semata-semata kerana nikmat dan keindahan yang mereka rasakan jauh lebih besar daripada kepenatan dan harta benda yang mereka belanjakan. 

Kesimpulannya, ibadat-ibadat dalam Islam telah mendidik para umatnya dari segi kebendaan dan kerohanian manusia. Ibadat berlaku terus menerus agar manusia lebih hampir kepada kesempurnaan dan agar ibadat itu dapat menariknya ke mahligai Tuhan setiap kali kebendaan hidup menolaknya jauh dari mahligai Tuhan yang indah itu. 

Prepared For : Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Prerared By : Nur Fatin Aini Bt Jamalludin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment