Budaya meniru menurut pandangan Islam -

1. 0 Pengenalan

Budaya meniru merupakan persoalan penting yang perlu diberikan perhatian sama ada dari segi hiburan, akhlak atau pemikiran tidak hanya meniru dalam peperiksaan atau kerja sekolah di mana islam sendiri memandang berat ancaman budaya meniru ini.

Dalam esei kali ini hanya persoalan budaya meniru orang kafir akan dibincangkan kerana ia sungguh kompleks dan meluas.

2. 0 Budaya meniru menurut pandangan islam

Menurut dari segi istilah meniru ialah menyerupai mana-mana golongan kafir di sudut aqidah ibadat atau apa saja tingkahlaku yang menyerupai ciri hidup mereka (kafir) termasuklah di dalamnya amalan meniru kaum muslimin yang fasiq dan jahil serta al-A’rab (orang arab Badwi) yang tidak sempurna agama mereka.

“Sesuatu perkara yang bukannya menunjukkan ciri-ciri kafir dan bukan aqidah, ibadat dan tidak bertentangan dengan nas atau dalilserta tidak menimbulkan kerosakan akibat daripadanya, maka perkara tersebut tidak tergolong dalam golongan meniru”. Demikian prinsip umum yang menjadi pegangan ahli sunnah wa al-Jama’ah.

2. 1 kenapa budaya meniru ditegah

Antara sebab larangan meniru golongan kafir adalah bahawa golongan kafir itu dibina atas prinsip yang sesat dan memberi kesan tidak baik kepada masyarakat. Sama ada amalan meniru golongan kafir amat mempesonakan seseorang atau tidak ia adalah salah. Dari segi kebaikan pada golongan kafir ada pengecualian.

Selain itu, budaya meniru kafir menjadikan seseorang muslim tunduk mengikut mereka. Perumpamaan hubungan di antara golongan yang ditiru dengan golongan meniru samalah seperti pengikut dengan tokoh mereka. Kesemua perkara tersebut dapat menjejaskan atau mencacatkan iman seseorang.

Di samping itu, budaya meniru biasanya menimbulkan rasa kagum terhadap golongan kafir. Seterusnya membawa rasa kekaguman terhadap agama, adat, tingkahlaku dan amal perbuatan mereka yang menjadi cara hidup mereka.


Sebab lain mengapa kita dilarang meniru budaya kafir ialah kerana budaya meniru akan melahirkan perasaan kasih saying dan kesetiaan terhadap golongan yang ditiru. Terpesona terhadap satu golongan itu adalah bersifat fitrah dan memang berlaku kepada semua manusia yang mempunyai akal fikiran. Jika seseorang itu terpesona terhadap perkara yang memberikan kebaikan adalah tidak salah, tetapi jika seseorang itu terpesona terhadap benda-benda yang membawa kepada keburukan ia akan menipiskan iman seseorang. Contohnya remaja zaman sekarang suka mengikut gaya barat seperti lelaki memakai subang (anting-anting) pada telinga, dan remaja perempuan menindik di hidung dan lidah. Pada mereka perbuatan seperti ini amat membanggakan kerana mengikut trend masa kini.

Budaya meniru itu dilarang kerana sikap seseorang Muslim yang suka mengikut atau meniru orang lain biasanya akan menyebabkan mereka berada pada kedudukan yang hina dan lemah serta merasa kecil dan rendah diri. Inilah sebenarnya perasaan yang banyak mengongkong jiwa sebahagian kaum muslimin yang meniru golongan kafir hari ini.

2. 2 Kaedah meniru dan bagaimana seseorang itu boleh meniru

Kaedah pertama yang boleh menyebabkan seorang muslim meniru budaya atau amalan kafir ialah menurut teladan atau tinggalan generasi sebelum merekadaripada kalangan umat lain. Antara hadis nabi sallailahu ‘alayhi wasallam:

1) Terjemahan:”Nescaya kamu akan mengikut sunnah orang sebelum kamu jengkal demi jengkaldan hasta demi hasta…”

2) Terjemahan:”Sesiapa yang meniru sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka”

Kaedah kedua terjadinya budaya meniru dalam masyarakat ialah terpesona dan ingin menjadi seperti golongan kafir. Dalam hadis-hadis rasulullah banyak nasihat-nasihat yang diberi dan diturunkan supaya jangan mengikut golongan musyrikin, yahudi dan juga majusi.

3. 0 Perkara yang dilarang meniru golongan kafir dan golongan yang dilarang menirunya

Meniru dan meneladani golongan kafir adalah dilarang dari segi agama sama ada dari persoalan aqidah, perayaan, ibadat atau adat kebiasaan, akhlak dan tingkah laku golongan kafir. Perkara-perkara seperti itu dilarang kerana ia akan membawa kehancuran agama dan iman seseorang.

Terdapat banyak golongan yang dilarang meniru dan meneladani mereka. Antaranya ialah golongan kafir, golongan jahilyyah, golongan Parsi dan Rome, golongan Ahl al-Kitab iaitu golongan yahudi dan nasrani, golongan majusi, golongan syaitan dan golongan musyrikin.

3. 1 Perkara yang dilarang meniru golongan kafir

Perkara yang dilarang meniru golongan kafir ialah dari segi aqidah kerana ia amat bahaya sekali, kerana perbuatan tersebut boleh membawa seseorang kepada hokum kafir dan syirik. Contohnya ialah mendakwa bahawa terdapatnya tuhan bapa dan tuhan anak daripada kalangan makhluk Allah, sebagaimana golongan nasrani: ‘Isa itu anak Allah. sementara golongan yahudi pula berpendapat: ‘Uzayr itu anak Allah. Persoalan aqidah amat penting keranaianya bersangkutan dengan aqidah.

Perayaan juga antara perkara yang dilarang meniru golongan kafir. Perayaan selalunya berkaitan dengan ibadat dan adakalanya ia berkaitan dengan adat. Akan tetapi syarak melalui banyak nasnya telah menghubungkan perayaan itu dengan ibadat. Oleh kerana itulah, dilarang bagi kaum muslimin mengikut atau menyambut parayaan golongan kafir dalam menyambut sebarang perayaan.

Ibadat antara salah satu persoalan yang perlu dipandang serius mengenai menyerupai golongan kafir dalam ibadat. Antaranya ialah melambat-lambatkan solat maghrib, meninggalkan sahur, melewatkan berbuka puasa dan lain-lain.

Adat kebiasaan, akhlak dan tingkahlaku yang menyerupai golongan kafir juga dilarang bagi kaum muslimin menirunya. Antara contohnya ialah seperti cara berpakaian, perangai, cara bercakap dan akhlak seseorang itu menunjukan peribadi seseorang. Terdapat banyak riwayat Nabi SAW yang secara jelas menyatakan tegahan menyerupai golongan kafir sama ada berkaitan mengenai adat, akhlak dan tingkahlaku. Antara tegahan yang dinyatakan ialah larangan lelaki memakai barang kemas dan sutera, ber pakaian dengan pakaian yang mendedahkan aurat seseorang, seksi atau mengghairahkan, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki.

Bagi adat pula kepercayaan terhadap nasib malang dan tuah pada seseorang atau pada nombor, fengshui, dan kepercayaan terhadap adat nenek moyang yang diamalkan yang bertentangan dengan ajaran islam.

3. 2 golongan yang dilarang meniru mereka

Golongan yang dilarang meniru mereka ialah golongan kafir. Terdapat juga riwayat yang menegah menyerupai golongan kafir secara umum tanpa mengkhususkan kepada golongan tertentu.

Golongan musyrikin antara golongan yang ditegah dari meniru amalannya. Antaranya ialah ibadat dalam keadaan bersiul dan bertepuk tangan, bernazar dan menyembelih korban di kubur. Selain daripada itu, antara perkara yang dilarang dan merupakan amalan golongan musyrikin ialah meninggalkan Padang Arafat sebelum tenggelamnya matahari. Sebagaimana kata ‘Abdullah ibn ‘Amr al-As:

Terjemahan:”Sesiapa yang membina bangunan di negeri kaum musyrikin dan di lakukan pesta dan perayaan mereka di dalamnya hingga ke akhir hayat, dia akan di bangkitkan bersama-sama dengan golongan mereka di Hari Kiamat. ”

Dari kata-kata itu, menunjukankan bahawa golongan salaf tidak suka amalan meletakkan hiasan (patung) di masjid-masjid.

Disamping itu, golongan Ahl al-Kitab juga dilarang meniru segala amalan mereka. Maksud istilah Ahl al-Kitab ialah Yahudi dan Nasrani. kaum muslimin dilarang meniruse gala amalan yang melambangkan ciri-ciri khusus Yahudi dan Nasrani sama ada berkaitan dengan ‘aqidah, ibadat, adat pakaian dan juga perayaan mereka. Antara contohnya ialah membina binaan di atas kubur dan menjadikannya masjid, meninggalkan makan sahur, memakai dan menggantung salib dan lain-lain.

Antara ciri-ciri khusus golongan Majusi ialah melakukan sembahyang dan ibadat kepada api, mentaqdiskan raja dan pemimpin, mencukur rambut di sebelah belakang dan menyimpan rambut di sebelah hadapan, beribadat menggunakan trompet atau bunyi-bunyian dan memakai bekas daripada emas atau perak.

Golongan Parsi dan Rome juga termasuk dalam golongan yang dilarang meniru atau mengikut mereka. Antara contoh amalan mereka ialah membanggakan dan mengagungkan raja dan pemimpin mereka, taat kepada rahib dan pendeta serta bersikap melibihi batas.

Sesungguhnya amalan Jahilliah adalah dilarang meniru baik dari segi akhlak, ibadat, adat dan syiar mereka. Antara contohnya ialah riba, suka berbogel, mendedahkan aurat, perkauman sempit, membanggakan keturunan, mencela nasab, meratapi mayat dan meminta turunnya hujan kepada bintang-bintang. Nabi SAW juga telah menghapuskan semua amalan Jahilliah baik fahaman, adat, kebiasaan dan syariatnya sewaktu zaman pemerintahan beliau.

Selain itu, golongan Syaitan adalah antara golongan yang amat dilarang meniru perbuatannya. Antaranya ialah makan dan minum dengan tangan kiri, dimana Nabi SAW bersabda:

Terjemahan:”Janganlah seseorang kamu makan dan minum dengan tangan kiri. Sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kiri.

4. 0 Perkara yang dilarang kaum muslimin menirunya

1) Perkara pertama yang ditegah oleh syarak menyerupai golongan kafir ialah perpecahan dalam agama. Tegahan ini banyak di riwayatkan di dalam al-Kitab dan al-Sunnah. Allah SWT menyebutkan:

Terjemahan:”Dan janganlah kamu menyerupai orang yang berpecah belah dan berselisih sesudah dating keterangan yang jelas kepada mereka…” (surah Al-Imran 3:105)

Sementara Nabi SAW telah menyebutkan tentang perpecahan umat:

Terjemahan:”Umat Yahudi telah berpecah kepada 71 puak. Umat Nasrani telah berpecah kepada 72 puak. Umat ini (islam) akan berpecah kepada 73 puak…. ”

Hadis tentang perpecahan ini telah disampaikan oleh Rasulullah SAW sebagai tegahan dan peringatan kepada umatnya agar tidak terjerumus ke dalamnya.

2) Antara bentuk budaya meniru yang telah banyak menimbulkan bahaya ke atas kaum muslimin ialah fitnah wanita. Sesungguhnya fitnah wanita merupakan sikap golongan kafir. Apa yang dimaksudkan dengan fitnah wanita ialah keluarnya mereka dari rumah tanpa menutup aurat dan tanpa rasa malu mereka sehinnga tergodanya kaum lelaki. Ia dikhususkan kepada wanita kerana beberapa sebab;

1) Wanita cenderung kepada kemegahan dunia
2) Wanita mudah terpengaruh dengan budaya kafir.
3) Wanita mempunyai daya pikat terhadap lelaki, terutama pujuk rayunya.

3) Antara amalan lain yang kaum muslimin dilarang menirunya ialah membezakan hukuman diantara golongan yang berkedudukan dengan golongan yang tidak berkedudukan. Membezakan hukuman hudud, denda dan system perundangan di antara golongan yang tidak berkedudukan sebagaimana yang dilakukan oleh puak yahudi.

4) Selain itu, perbuatan meninggalkan makan sahur adalah merupakan amalan Yahudi dan Ahl al-Kitab, kerana mereka memang tidak makan sahur. Sesungguhnya Muslim talah meriwayatkan daripada Nabi SAW:

Terjemahan:”Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa Ahl al-Kitab ialah makan sahur”

Pesanan ini diingatkan kepada mereka pada zaman ini khususnya mereka yang bersahur di waktu hamper menjelangnya waktu sahur, kemudian mereka tidur. Mereka telah makan di waktu tengah malam atau langsung tidak makan. Maka ini menunjukkan mereka sengaja meninggalkan sahur dengan sengaja.

5) Disamping itu, melewatkan berbuka (puasa) juga dilarang kerana adalah sunnah Nabi SAW untuk berbuka apabila tiba waktunya tanpa melengahkan. Sabda Nabi SAW:

Terjemahan:”Agama ini akan sentiasa tegak selama manusia menyegerakan berbuka, kerana Yahudi dan Nasrani melewatkannya. ”

Amalan melewatkan berbuka ini terjadi terhadap sebahagian manusia kononnya kerana hendak berhati-hati, sehingga bersikap melampau di dalam agama. Sesungguhnya puak Yahudi melewatkan ibadat mereka sehingga munculnya bintang-bintang dilihat dengan mata. Menurut riwayat Abu Daud bahawa Nabi SAW telah bersabda:

Terjemahan:”Sentiasalah umatku berada di atas fitrah selama mereka tidak melewatkan salat maghrib sehingga terbitnya bintang-bintang. ”

6) Diantara amalan Yahudi ialah mengasingkan wanita yang kedatangan haid ketika makan, pergaulan dan ketika duduk di dalam rumah. Nabi SAW telah menegah perbuatan yang sedemikian dengan mengatakan:

Terjemahan:”Lakukan apa saja kecuali bersetubuh”

Baginda telah tegaskan demikian setelah ditanya oleh sebahagian kaum Muslimin yang menyaksikan amalan kaum Yahudi di Madinah.

7) Tegahan mendirikan solat di waktu terbitnya matahari kerana ia berada di antara dua tanduk syaitan. Ketika itulahsujudnya kaum kafir penyembah berhala. Sesungguhnya Nabi SAW telah menyebutkan antara lain dalam sebuah hadith yang panjang yang di riwayatkan oleh Muslim daripada ‘Amr ibn ‘Absah:

Terjemahan:”Dirikanlah salat subuh. Kemudian ringkaskanlah salat hingga matahari terbit sampai naik. Sesungguhnya ketika matahari terbit, ia berada antara dua tanduk syaitan. Ketika itulah waktu sujudnya kaum kafir kepada matahari. ”

Rasulullah SAW juga mangatakan hal sedemikian ketika waktu tenggelamnya matahari.

8) Nabi SAW melarang seseorang bangun berdiri ketika menyambut seseorang lain kerana hendak mengagungkannya, khususnya terhadap seseorang yang mempunyai kedudukan, pangkat dan golongon bangsawan.

9) Meratapi mayat dalam keadaan meraung-raung dan menyediakan suatu suasana baga bermaksud sedemikian adalah amalan jahiliah. Sesungguhnya Nabi SAW telah menegaskan:

Terjemahan:”Bukanlahdari kalangan kami sesiapa yang menampar-nampar pipinya, mengoyak-ngoyakkan poket bajunya dan menyeru dengan seruan jahiliah. ”

10) Bermegah dengan keturunan, mencela nasab dan meminta hujan dengan bintang-bintang adalah perbuatan jahiliah. Nabi SAW bersabda;

Terjemahan:”Empat perkara di kalangan umatku yang merupakan amalan jahiliah, di mana mereka masih belum tinggalkan: Bermegah dengan keturunan, mencela nasab, meminta hujan dengan bintang-bintang dan meraung-raung meratapi mayat. ”

11) Amalan berpuasa hanya di hari ‘Ashura’ iaitu berpuasa hanya hari kesepuluh di dalam bulan Muharram adalah termasuk dalam amalan jahiliah dan yahudi kerana mereka melakukan puasa sedemikian. Sesungguhnya al-Imam Ahmad telah meriwayatkan di dalam Musnadnya, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

Terjemahan:”Berpuasalah kamu pada Hari ‘Ashura’ dan selisihilah Yahudi berkaitan dengannya. Berpuasalah kamu sebelumnya sehari atau selepasnya sehari. ”

12) Selain itu, kaum wanita dilarang menyambung rambut. Apa yang dimaksudkan dengan menyambung rambut ialah wanita yang memakai rambut yang bukan diciptakan oleh Allah baginya, sebagaimana yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi. Antara hadith Mu’awiyah tentang perbuatan menyambung rambut:

Terjemahan:”Sesungguhnya Bani Isra’il telah binasa ketika para wanita mereka memakai ini (rambut palsu) ”

13) Hati yang keras juga dilarang kaum muslimin menirunya. Maksudnya ialah hati yang tidak khusyuk ketika membaca dan dan mengingati ayay-ayat Allah. Ini merupakan sifat Yahudi yang ditegah oleh Allah daripada merasa khusyuk, firman-Nya:

Terjemahan:”Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) , dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras…. ” (surah al-Hadid 57:16)

14) Amalan rahbaniyyah dan sikap dan sikap tashaddud dalam agama merupakan tingkahlaku Nasrani. Maksud tashaddud ialah sikap berlebih-lebihan dalam agama dengan tidak menurut syariat Allah, sama ada dalam ibadat atau hokum-hakam. Antara contohnya ialah memutuskan hubungan dengan dunia kerana hendak beribadat, meninggalkan usaha mencari rezeki, meninggalkan usaha berjihad dan meninggalkan berjalan di atas muka bumi ini untuk bertapa. Rasulullah SAW pernah bersabda:

Terjemahan:”Janganlah kamu memberatkan-beratkan diri kamu, kelak Allah akan memberatkan pula ke atas kamu. Sesungguhnya terdapadt satu kaum yang memberatkan diri mereka lalu Allah pula memberatkan ke atas mereka. Itu semua adalah kesan tinggalnya mereka di biara dan rumah-rumah pertapaan. Hidup rahhbaniyyah yang mereka ada-adakan tidak pernah kami perintahkan buat mereka. ”

5. 0 kesimpulan

Persoalan budaya meniru ini merupakan suatu tajuk yang penting yang patut diberikan perhatian oleh kaum muslimin. Dengan mempelajari dan menambah pengetahuan kita dapat mengelakkan seseorang itu dari terjerumus ke dalam benda-benda atau hal-hal yang tidak baik yang boleh membawa kepada kekufuran dan syirik.
Budaya meniru baik dalam aqidah, adat serta akhlak adalah tidak baik bagi sesuatu umat itu mengikut budaya kafir. Selain itu, dengan menambah pengetahuan kita dapat mengelakkan perpecahan kaum di antara satu sama lain serta dapat berdamai.

Disediakan Oleh: Nor Azwani Binti Husin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com