Faktor Sumbang Mahram Dan Mengatasinya -

PENGERTIAN

Sumbang muhrim, juga dikenali sebagai sumbang mahram atau inses ialah kegiatan seks antara ahli-ahli keluarga yang rapat. sumbang mahram ialah perbuatan zina yang dilakukan oleh seseorang yang ada pertalian darah/nasab (keturunan) dengan mangsa. contoh ayah merogol anak, datuk merogol cucu, abang merogol adik dan seumpamanya. Ia merupakan suatu pantang larang dalam kebanyakan kebudayaan, baik pada masa lampau mahupun pada masa kini, termasuk juga dalam kebudayaan-kebudayaan yang lebih permisif terhadap perkara-perkara seks yang lain. Umpamanya, masyarakat Marquesas Polinesia Perancis sebelum dipengaruhi oleh dunia Barat membenarkan keseksualan kanak-kanak dan pengujikajian, tetapi tidak membenarkan sumbang muhrim. 

Pengertian yang tepat tentang istilah ini amat berbeza kerana kebudayaan-kebudayaan yang berbeza mempunyai tanggapan-tanggapan yang berbeza tentang apa yang dimaksudkan dengan”kegiatan seks”serta”ahli keluarga yang rapat". Sesetengah kebudayaan hanya mengambil kira mereka yang mempunyai hubungan melalui kelahiran, sedangkan yang lain termasuk mereka yang mempunyai pertalian melalui perkahwinan serta pengambilan anak angkat. Ada juganya kebudayaan yang melarang sebarang hubungan seks antara mereka yang dibesarkan dalam rumah tangga yang sama, manakala ada yang melarang hubungan seks antara orang-orang yang dibesarkan dalam rumah tangga yang berkait. 

Sumbang muhrim boleh berlaku antara saudara yang sama jantina mahupun berlainan jantina. Ia juga boleh berlaku antara saudara kandung, ibu bapa dengan anak-anaknya, serta antara saudara-saudara dewasa. Sumbang muhrim antara saudara yang rapat merupakan satu jenayah dalam kebanyakan bidang kuasa wilayah, termasuk kes-kes yang mendapat kesepersetujuan, walaupun sekali lagi apa yang dimaksud dengan istilah”rapat”berbeza-beza. Bagaimanapun, oleh sebab sumbang muhrim merupakan suatu perbuatan perorangan yang dilakukan secara sulit, undang-undang sumbang muhrim merupakan sebuah undang-undang yang susah dikuatkuasakan. Terdapat banyak perbezaan antara negara-negara tentang keseriusan jenayah sumbang muhrim, dengan sebilangan negara seperti Australia menganggap sumbang muhrim sebagai satu kesalahan berat yang boleh didakwa, manakala negara-negara yang lain menganggapnya sebagai suatu jenayah kecil dengan hukuman yang jauh lebih ringan. 

ANTARA- ANTARA BENTUK SUMBANG MAHRAM

Sumbang muhrim antara ibu bapa dengan anak

Sumbang muhrim antara ibu bapa dan anak mereka pada mana-mana satu umur boleh berlaku, baik antara jantina yang berbeza mahupun antara jantina yang sama. Banyak ahli-ahli sains, sosiologi, dan psikologi, serta pekerja sosial dan pegawai kerajaan yang lain telah mengkaji kesan sumbang muhrim ibu bapa dan mempertimbangkannya daripada kedua-dua segi. Bagaimanapun, pendirian berat sebelah umumnya wujud dalam penyelidikan, bersama-sama dengan hubungan rapat antara para penyelidik dengan”mangsa-mangsa”yang menjejaskan keobjektifan penyelidikan mereka (umpamanya, Andrew Vachss, Ken Adams) . Adanya perbezaan yang dramatik antara bilangan-bilangan kes ketika ibu bapa”tiri”juga dianggap sebagai kes sumbang muhrim. Memandangkan dwisifat pantang larang dan sifat haram sumbang muhrim antara ibu bapa dengan anak mereka, serta fakta bahawa ia dilakukan dengan kanak-kanak yang bergantung kepada mereka, banyak kes tidak dilaporkan dalam statistik kerajaan rasmi yang hanya mengandungi matlumat yang diberikan secara rela. 

SUMBANG MUHRIM ANTARA SAUDARA KANDUNG

Interaksi-interaksi sumbang muhrim sepersetujuan antara adik beradik yang berumur serupa kekadang berlaku, menurut sebuah kajian oleh Floyd Martinson yang mendapati bahawa antara 10-15% daripada pelajar kolej mempunyai pengalaman seks kanak-kanak dengan seorang saudara kandung. Pengalaman tersebut merupakan sejenis keseksualan kanak-kanak. Bagaimanapun, ketika terdapat perbezaan umur yang besar antara saudara-saudara kandung, dan ibu bapa tidak membekalkan keluarga berfungsi, dan/atau ketika paksaan atau perdayaan digunakan, sumbang muhrim saudara kandung boleh mengakibatkan kerosakan psikologi yang serius kepada saudara kandung yang lebih muda, menurut penyelidik Richard Niolon. Sumbang muhrim saudara kandung boleh juga merosakkan atau memusnahkan sama sekali ikatan saudara kandung. 

HUBUNGAN SEKS ANTARA SEPUPU DAN ANTARA SAUDARA JAUH

Dalam kebanyakan dunia Barat, sumbang muhrim secara amnya merujuk kepada hubungan seks yang dilarang dalam keluarga. Bagaimanapun, takrif tentang keluarga berbeza-beza. Di dalam Amerika Syarikat, perkahwinan antara sepupu diharamkan di sesetengah negeri, tetapi adalah sah di sisi undang-undang di negeri-negeri yang lain, dengan ahli-ahli sosiologi mengelaskan undang-undang perkahwinan kepada dua kategori:
• kumpulan yang mengambil takrif sumbang muhrim daripada kitab Bible yang lebih tidak menyukai perkahwinan dalam jurai keturunan berbanding dengan saudara sedarah;
• kumpulan yang berpendirian bertentangan, iaitu lebih tidak menyukai perkahwinan antara saudara sedarah (seperti sepupu) , berbanding dengan jurai keturunan. 

Dua puluh empat buah negeri mengharamkan perkahwinan antara sepupu, dan lagi enam buah negeri membenarkannya hanya dalam keadaan-keadaan yang khusus. Umpamanya, Utah membenarkan perkahwinan antara sepupu hanya jika kedua-dua pasangan berumur melebihi 65 tahun, atau sekurang-kurangnya 55 umur atas bukti kemandulan. Carolina Utara membenarkan perkahwinan antara sepupu kecuali mereka merupakan sepupu daripada melebihi satu jurai keturunan (bahasa Inggeris:”double first cousins") . Maine membenarkan perkahwinan antara sepupu hanya selepas penyerahan sijil kaunseling genetik. Sembilan belas buah negeri yang tinggal, serta Daerah Columbia membenarkan perkahwinan antara sepupu tanpa sebarang sekatan. 

SUMBANG MUHRIM TERSELINDUNG DAN SUMBANG MUHRIM EMOSI

sumbang muhrim terselindung' dan 'sumbang muhrim emosi' merupakan istilah yang menimbulkan perbalahan yang digunakan oleh sesetengah orang apabila memerihalkan keadaan-keadaan yang tidak mempunyai sebarang sentuhan seks yang sebenar, tetapi hanya merupakan hubungan emosi yang tidak wajar antara saudara-saudara. Salah satu contoh adalah ketika seorang ibu bapa memperlakukan anaknya dengan cara yang serupa dengan cara seseorang memperlakukan pasangan seksnya, walaupun mereka tidak melakukan sebarang kegiatan seks. 

Mereka yang menggunakan istilah 'sumbang muhrim terselindung' akan menggunakan istilah 'sumbang muhrim terang-terangan' untuk memerihalkan hubungan seks antara saudara-saudara, walaupun hampir semua orang akan memanggilnya sebagai”sumbang muhrim”secara mudah tanpa sebarang pembatasan. Hanya penyokong konsep sumbang muhrim terselindung secara amnya akan menggunakan istilah 'sumbang muhrim terang-terangan'. Banyak pemandiri sumbang muhrim dan orang-orang yang lain berdebat bahawa sesuatu keadaan yang tidak melibatkan sentuhan seks yang fizikal harus tidak dipanggil sumbang muhrim

PUNCA SUMBANG MAHRAM

NAFSU SYAHWAT

Nafsu syahwat yang bermaharajalela. Ketundukan terhadap hawa nafsu berpunca daripada kelemahan akidah dan keimanan akibat kejahilan terhadap ayat-ayat Allah, kejahilan terhadap hukuman Allah dan kejahilan terhadap tanggungjawab dan amanah terhadap Allah. Ketundukan terhadap hawa nafsu menyebabkan manusia terlupa siapakah yang menjadi mangsa samada anak sendiri, cucu sendiri atau siapa sahaja. 

Sabda Rasulullah SAW : Hadis Abu Hurairah RA. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda : Tidak berzina seorang penzina sedangkan ketika berzina itu dia masih beriman, tidak mencuri seorang pencuri sedangkan ketika mencuri itu dia masih beriman, tidak minum arak seorang peminum arak sedangkan ketika itu dia masih beriman. 

KEWANGAN

kewangan juga turut menyumbang terhadap berlakunya sumbang mahram di kalangan masyarakat. Budaya kebendaan yang mencengkam masyarakat hari ini membawa kepada perlumbaan menaikkan perbelanjaan perkahwinan hingga sampai ke tahap yang amat tidak masuk akal. Maskahwin dan hantaran hari ini bukan sahaja ditentukan oleh harga pasaran malah ditentukan juga berdasarkan taraf dan kedudukan. Keluarga hari ini tidak hanya menjadikan perkahwinan anak gadis mereka bagi melepaskan tanggungjawab malah menjadikan seperti satu perniagaan yang menguntungkan. Akibatnya bukan sahaja ramai gadis yang gagal mencari pasangan malah ramai anak-anak muda menghadapi masalah bagi mendirikan rumahtangga. Setelah berumahtangga mereka akhirnya menanggung beban hutang yang terlalu lama untuk dilunaskan. Golongan yang gagal mendirikan rumahtangga walaupun setelah berusia akan mempunyai masalah dengan tuntutan fitrahnya. Bagi yang lemah imannya akan melempiaskannya tanpa mengira hukum halal dan haram. 

Rasulullah SAW bersabda : Hadis Abdullah b. Masud RA diriwayatkan oleh Alqomah berkata : Aku berjalan bersama Abdullah di Mina, lalu kami bertemu Othman yang kemudian menghampiri Abdullah. Setelah berbincang beberapa ketika maka Othman berkata : Ya Abdullah, mahukah kamu aku akan kahwinkan dengan perempuan muda, mudah-mudahan dia akan mengingatkan pada masa lampau yang indah. Maka Abdullahpun menjawab : Ucapanmu sejajar dengan sabda Rasulullah SAW kepada kami : Wahai anak muda, barangsiapa antara kamu yang mempunyai kemampuan maka hendaklah dia berkahwin kerana ianya memelihara pandangan dan menjaga kemaluan, jika kamu tidak mampu maka hendaklah kamu berpuasa kerana ianya boleh menjadi benteng nafsu. 

MASALAH EKONOMI

Sistem ekonomi yang tidak seimbang juga turut menjadi penyumbang. Sistem ekonomi yang tidak menjamin kecukupan keperluan asasi menyebabkan kehendak Syarak sering gagal dipenuhi. Sistem rumah kos rendah pada masa yang lalu yang tidak dilengkapi sekurang-kurangnya tiga buah bilik bagi memisahkan antara ibubapa, anak lelaki dan perempuan. Ini menyebabkan percampuran yang mulanya dianggap biasa menyebabkan suasana yang tidak disangka-sangka. 

BAHAN LUCAH

Kemasukan bahan-bahan lucah di pasaran tempatan merupakan antara faktor terbesar yang menggalakkan berlakunya bukan sahaja sumbang mahram malah jenayah seksual yang lain. Kanak-kanak dan remaja hari ini telah mengalami proses kematangan sebelum sampai masanya. Pendedahan terhadap kegiatan tidak bermoral ini menyebabkan mereka menjalani kehidupan yang amat berbeza. Nafsu mereka dilonjak-lonjak sedangkan tiada tempat yang sah bagi mereka melempiaskannya. Tanpa asas agama yang kukuh pastinya mereka gagal mengawal dirinya dari melakukan perkara yang sama. Cara yang termudah dan paling selamat adalah melakukannya sesama sendiri. Apabila syaitan menguasai diri maka hubungan mahram dan persaudaraan sudah tidak lagi dipeduli. 

TIDAK MENUTUP AURAT

Tidak menutup aurat dan berpakaian seksi menyebabkan nafsu lelaki sentiasa terangsang. Walaupun mereka mengatakan bahawa tidak semua yang tidak menutup aurat menjadi mangsa seksual dan menutup aurat juga turut menjadi mangsa tetapi ia tidaklah boleh dijadikan hujjah. Sebagaimana bahan-bahan lucah yang merangsangkan nafsu syahwat remaja, maka sesiapa sahaja di sekelilingnya mungkin menjadi mangsa. Oleh yang demikian semua yang tidak menutup aurat dan berpakaian seksi perlu merasa tanggungjawab kerana tidak dapat dipastikan siapakah yang menjadi mangsa samada mangsa perkosaan atau mangsa sumbanh mahram akibat daripada perbuatan mereka. 

UNDANG – UNDANG

Faktor undang-undang merupakan antara faktor terakhir yang sering dilihat sebagai jalan terakhir bagi menghapuskan sesuatu maksiat dan jenayah. Sebenarnya Allah meletakkan undang-undang dan hukum Allah sebagai asas utama pembasmian jenayah. Manusia hanya mampu berusaha menghilangkan faktor-faktor penggalak tetapi hanya Alllah yang mampu menghalangnya. Allah hanya akan menghentikan segala maksiat dan jenayah jika segala syarat dan usaha dilakukan oleh manusia. Di antara syarat yang mesti dilaksanakan adalah penguatkuasaan hukuman Allah. Hari ini kita mendengar cadangan bagi melaksanakan hukuman rotan atau sebat di khalayak ramai oleh berbagai pihak walaupun perkara tersebut pernah dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan. Ini menunjukkan bahawa manusia tidak akan mampu selamanya membohongi diri dalam kembali kepada fitrah. Mungkin suatu hari kita akan melihat bukan sahaja orang Islam yang mahu kembali kepada hokum Allah malah orang bukan Islam akan menyokong dan mengharapkan perlaksanaan hukuman Allah. 

Firman Allah dalam surah Al-Nur ayat 2 : Ertinya : Penzina perempuan dan penzina lelaki maka sebatlah kedua mereka denagn seratus sebatan, dan jangan kamu menaruh simpati ketika melaksanakan hukuman Allah, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan perlaksanaan hukumannya oleh sebahagian orang yang beriman. 

LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH INI

MEMANTAPKAN KEIMANAN DALAM DIRI SETIAP INDIVIDU MUSLIM

kita patut menyemaikan asas keagamaan yang kuat didalam diri kita. Ini kerana dengan asas agama yang kuat, isu sumbang mahram tidak akan timbul. Dengan pegangan agama yang kuat, seseorang individu itu tahu yang mana haram dan halal begitu juga perkara yang buruk dan baik. Maksiat akan dapat dijauhi sekiranya kita tahu batas-batas kita sebagai muslim dan muslimah. 

MENGUKUHKAN INSTITUSI KELUARGA

komunikasi yang baik dengan ahli keluarga juga amat mustahak untuk menyemai kasih sayang antara keluarga dan apabila kekuatan kekeluargaan dapat disemai ini dengan secara tidak langsung dapat menjauhkan gejala sumbang mahram. Keluarga adalah merupakan harta yang paling berharga yang mana dengan mereka kita berkongsi DNA yang sama, ini bukti yang jelas kita tidak boleh mencemarinya. 

MENJAGA HUBUNGAN ANTARA LELAKI DENGAN PEREMPUAN

Hubungan lelaki dan perempuan muhrim perlu menepati batasan agama agar tidak terdorong nafsu syahwat. Penjagaan aurat adalah amat penting. Kanak-kanak perempuan yang belum akil baligh juga perlu berpakaian yang elok dan tidak terlalu mendedahkan walaupun mereka belum wajib untuk menutup aurat. Sedang mengikut statisik sumbang mahram menunjuk kanak-kanak diusia ini adalah mangsa yang mudah dinodai oleh pelaku mereka. 

ASINGKAN TEMPAT TIDUR

Kanak-kanak lelaki dan perempuan hendaklah diasingkan tempat tidur mereka. Sewaktu tidur kanak-kanak perempuan digalakkan untuk mengunci pintu bilik mereka. 

Oleh itu langkah-langkah keselamatan diri perlu dilakukan dari peringkat usia yang lebih muda lagi. Pengawasan, tunjuk ajar dan sikap bertanggungjawab ibu bapa adalah faktor menjamin dari terjadinya perkara buruk dalam keluarga. 

Disediakan oleh: Wan Shuhaibah Binti Wan Shafii

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com