Prepared For : Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Prepared By : Fadzilah Binti Rosli
Al-Quran adalah kitab Islam yang paling agung sebagai sumber peradaban. Al-Quran juga yang menjadi roh kepada pendidikan Islam. Oleh kerana itu, sejak wahyu pertama lagi Islam menekankan tentang pentingnya ilmu pengetahuan. Hanya pendidikan Islam yang pertama kali dalam sejarah pemikiran manusia yang mewajibkan penganutnya belajar, lebih 14 abad sebelum dunia memperkenalkan kewajipan belajar pada awal abad ke-19M.
Maka tidak hairanlah jika kita toleh kepada sejarah silam, kita akan merasa kagum dengan rekod kecermerlangan dan kemajuan yang telah dicapai oleh kaum Muslimin. Mereka bangkit sebagai penggerak zaman dan menjadi pemimpin tamadun dunia yang disegani.
Beberapa abad kemudian, kemajuan yang dicapai itu mulai menjadi malap dan akhirnya menjadi mangsa kolonialisme dan imperialisme. Dari pimpinan dunia yang gagah menjadi hamba abdi di negerinya sendiri. Penjajahan telah meninggalkan kesan yang amat mendalam ke atas kehidupan umat Islam, kerana mereka bukan sekadar menjajah ekonomi dan politik tapi berusaha keras menukar keperibadian, pemikiran, sistem, nilai dan aqidah umat.
Alat yang paling ampuh mereka gunakan ialah sistem pendidikan. Mereka serapkan ke dalam sistem pendidikan itu faham sekular. Manusia dan masyarakat dilepaskan ikatanya daripada Allah dan nilai-nilai keagamaan. Akhirnya peradaban moden.
Umat manusia perlu kembali semula kepada sistem pendidikan yang sesuai dengan fitrahnya. Satu-satunya jalan keluar ialah dengan kembali menerima sepenuhnya pendidikan al-Quran. Pendidikan al-Quran yang mencorakkan keperibadian manusia dari sudut aqidah, ibadah dan akhlaknya.
Misi Islam yang sebenarnya ialah mengangkat martabat manusia dengan menanamkan ke dalam diri mereka nilai-nilai yang luhur, sesuai dengan kedudukan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Nilai-nilai luhur itu akan terserlah manifestinya melalui akhlak dan budi pekerti mulia yang menghiasi peribadi seseorang. Oleh itu, Islam amat mementingkan persoalan akhlak dan budi pekerti, sebagai suatu unsur kekuatan ke arah mempertingkatkan martabat manusia di dunia serta memperolehi keredaan Allah disebalik kehidupan yang sekarang ini.
Menurut al-Imam al-Ghazali rahimahullah, definisi akhlak ialah :”Sumber daya yang terpendam di dalam jiwa yang menyebabkan lahirnya sesuatu perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan fikiran dan renungan.
Seterusnya dia menerangkan, sekiranya sumber daya tadi menyebabkan lahirnya perbuatan-perbuatan yang elok dan terpuji pada akal dan syarak, maka ia dinamakan akhlak yang baik. Sebaliknya, jika ia menyebabkan lahirnya perbuatan-perbuatan yang keji, maka ia dinamakan akhlak yang buruk.
Akhlak juga boleh diertikan sebagai kelakuan, tata tertib dan maruah. Bahkan ia mencakupi seluruh perbuatan lahiriah yang dihasilkan dari dorongan batiniah di dalam diri manusia.
Akhlak mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan iman. Akhlak yang baik adalah manifesti kesempurnaan iman. Kuat atau lemahnya iman seseorang itu dapat diukur dan diketahui daripada perilaku akhlaknya. Justeru iman yang kuat mewujudkan akhlak yang baik dan mulia. Manakala iman yang lemah akan mewujudkan akhlak yang jahat dan kelakuan yang buruk serta mudah terjerumus kepada perbuatan keji yang merugikan dirinya dan orang lain. Justeru dalam wasiat Luqman menekan tiga aspek akhlak yang asas untuk diberikan penekanan dalam pendidikan anak-anak, iaitu berbakti kepada kedua ibubapa, muqarabah (pengawasan diri) terhadap Allah dan sifat-sifat utama dan terpuji.
Berbakti kepada kedua ibubapa adalah merupakan perintah Allah. Kedua ibubapa menduduki tempat yang paling istimewa. Mereka menduduki tempat yang kedua sesudah beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Oleh kerana itu, tidak ada seorang pun diatas muka bumi ini yang dapat menyamai kedudukan kedua ibubapa sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Hak-hak kedua ibubapa disebut sesudah hak-hak Allah dan Rasul-Nya. Demikian tinggi dan terhormatnya kedudukan kedua ibu bapa, sehingga Allah Ta’ala menyebutkan hak-haknya mengiringi hak-hak Allah dan Rasul-Nya. Keredaan Allah Subhanahu wa Ta’ala terletak pada keredaan kedua ibubapa. Ketaatan kepada bapa adalah kunci untuk memasuki pintu syurga. Sesiapa yang menderhakainya akan kehilangan anak kunci dan tidak dapat memasuki syurga.
Berbakti kepada kedua ibubapa didahulukan daripada Jihad Fi Sabilillah. Oleh kerana itu para ulama berpendapat, tidak harus keluar berjihad tanpa mendapat izin daripada kedua ibubapa, sekiranya kedua-duanya Islam atau izin daripada kedua ibubapa, sekiranya kedua-duanya Islam atau izin salah seorang daripadanya yang Islam. Andaikata kedua-duanya kafir, tidak disyariatkan meminta izin dari kedua-duanya.
Dalam konteks ini, terdapat beberapa keutamaan ibu melebihi bapa. Antaranya ialah penderitaan Ibu lebih besar daripada bapa. Ibu dan bapa amat besar jasanya kepada anak, terutamanya ibu. Tiada seorang manusia pun di muka bumi ini yang menanggung derita sengsara, susah payah, lebih daripada seorang ibu. Bermula dari waktu hamil, melahirkan anak, menyusu, mengasuh dan mendidiknya hingga dewasa. Al-Quran telah melukiskan sebahagian daripada penderitaan ibu dengan ungkapan yang cukup indah.
Selain itu, ibu juga lebih mengambil berat menjaga anak daripada bapa. Seorang ibu memang sudah dibekali sifat tabi’inya, lemah lembut, kasih saying dan rindu kepada anaknya. Oleh sebab itu, tidak didapati satu ayat pun di dalam al-Quran yang menyuruh dan menggalakkan kedua ibubapa supaya mengasihi anaknya. Lantaran sifat-sifat ini sudah wujud secara fitrah kepada mereka. Itulah sunatullah yang tidak akan berubah. Sebaliknya al-Quran dan ajaran Islam pada keseluruhanya mengarahkan agar anak-anak sentiasa berbakti kepada kedua ibubapa, taat dan patuh terhadap keduanya selagi mereka tidak menyuruh perkara-perkara yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya. Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya adalah kasih sayang yang tulus ikhlas, tidak mengharapkan sebarang ganjaran dan balasan, tidak mengenal waktu dan tempat, susah dan senang. Khususnya ketika si anak ditimpa bala bencana. Sekali pun si anak itu pernah menderhaka, menentang dan menyakitinya.
Berbakti kepada kedua ibubapa adalah suatu yang agung disisi Allah. Maka sudah sepatutnya orang yang berbakti kepada keduanya akan mendapat balasan yang setimpal di Akhirat kelak. Manakala di dunia ini mereka akan memperolehi balasan yang sama daripada anak-anak mereka. Sebab itu sering kita lihat orang yang berbuat baik kepada ibubapa akan dibuat baik pula oleh anak-anaknya dan sebaliknya. Selain itu, doa mereka dimakbulkan Allah serta dilepaskan dari kesulitan dan bala.
Derhaka kepada ibubapa termasuk salah satu daripada dosa besar. Semasa hayat Rasulullah SAW pernah berlaku satu peristiwa di mana seorang anak tidak dapat melafazkan dua kalimah syahadah sewaktu hendak mati, lantaran di hati ibunya tersimpan sedikit rasa marah kepada anaknya itu.
Derhaka bererti melawan dan tidak menunaikan hak-haknya. Diantara bentuk-bentuk derhaka ialah memandang kedua ibubapa dengan pandangan menjeling sambil marah, menganggap dirinya sama taraf dengan bapanya, enggan mencium kedua-dua tangan mereka kerana merasa dirinya lebih besar dan mulia. Selain itu, mereka juga merasa malu untuk memperkenalkan bapanya kerana kesombongan disebabkan dia disanjung di dalam masyarakat. Sebesar-besar derhaka ialah mengucapkan kata-kata seumpama ahh, ciss, hiss dan sebagainya kepada kedua-duanya, menyergah, merasa jemu dan meninggikan suara terhadap keduanya. Menegurnya dengan kata-kata yang menyakitkan hati mereka serta menghina dan mencaci peribadi mereka berdua.
Kita sebagai anak mestilah memberikan hak-hak yang sepatutnya terhadap kedua ibu bapa kita. Antara hak yang sepatutnya ditunaikan oleh seorang anak ialah hendaklah bercakap dengan mereka dengan tutur kata yang lemah lembut dan tidak menggunakan perkataan yang kasar. Janganlah memanggil mereka dengan menyebut namanya. Selain itu, sesuatu yang menyukakan hati mereka hendaklah disokong dan gembirakanlah mereka selalu. Sebaliknya sesuatu yang dibenci oleh mereka hendaklah ditunjukkan kebencian juga. Kita hendaklah berbuat sesuatu yang menyenangkan hati mereka dan berdoa memohon keampunan buat mereka setiap kali berdoa untuk diri sendiri.
Kesan daripada pendidikan berbakti kepada kedua ibubapa dapatlah dirumuskan bahawa kedudukan ibubapa di dalam Islam adalah paling utama selepas Allah dan Rasul-Nya. Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib ke atas setiap anak dalam apa keadaan sekalipun. Berbakti kepada kedua ibubapa adalah salah satu di antara asas-asas terpenting di dalam pendidikan Islam. Amatlah ditekankan disini bahawa menderhaka kepada ibu bapa adalah termasuk dosa besar.
Berdasarkan kepada aspek-aspek seperti inilah, golongan yang prihatin dengan pendidikan Islam membesarkan anak-anak mereka. Seterusnya mereka mengajar dan melatih anak-anak mereka sehingga terbiasa dengan ketaatan dan memperkenalkan mereka sejak usia kecil lagi tentang hak-hak ibubapa yang wajib ditunaikan.
Apabila anak-anak, sejak dari kecil lagi telah tahu melaksanakan hak-hak ini dengan baik dan sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, maka mereka menjadi lebih mudah melaksanakan hak-hak yang lain seperti hak-hak kepada kaum kerabat, jiran tetangga, guru-guru dan lain-lain. Ini kerana keutamaan berbakti kepada kedua ibu bapa ini adalah pokok dari segala keutamaan yang wujud di dalam masyarakat. Adalah mudah bagi anak-anak yang sudah biasa terdidik atas sikap berbakti dan menghormati kedua ibubapanya untuk dididik dan diasuh supaya menghormati jiran tetangga, guru-guru dan seterusnya menghormati manusia seluruhnya.
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com