Proses pencerakinan minda merupakan dimensi ulung dalam penerokaan khazanah ilmu. Tanpa kesanggupan daya fikir untuk terus berganjak, inovasi dan fikrah masyarakat tidak mampu bersaing diatas podium global. Walauapaun, dalam menongkah gulungan ombak modenisasi yang kini menyusup ke galur globalisasi, elemen falsafah tidak seharusnya dimalukutkan. Falsafah di sini merujuk kepada Falsafah Pendidikan (FP) . Ironinya, falsafah merupakan metodologi yang paling utama dan tertinggi dalam dunia pendidikan.
Simboliknya, tingkahlaku manusiawi adalah turut bertunjang kepada falsafahnya yang disalirkan melalui mekanisme pendidikan. Sebenarnya, pendidikan ditafsirkan oleh cendekiawan sebagai pemindahan nilai-nilai dari generasi ke generasi sama ada ilmu atau kemahiran, sedangkan nilai-nilai ini dibentuk oleh falsafahnya yang disogokkan melalui fragmen pendidikan. Justeru, pendidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan.
Sejarah telah membuktikan bahawa kehancuran tamadun Mesir, Greek, Rome dan Parsi adalah berpunca dari gagalnya penerapan nilai-nilai murni kepada generasi pewaris. Sejarah pasti berulang andainya dunia pendidikan negara pada hari ini gagal menjana anjakan paradigma dalam setiap sel individu.
Jean Jacques Rousseau, salah seorang pendidik Eropah menyatakan bahawa pendidikan merupakan proses yang berterusan dan bermula dari kanak- kanak. Rentetan daripada itu, FPN menekankan bahawa pendidikan merupakan satu proses bagi seseorang individu memperolehi ilmu dan menggunakan ilmu pengetahuan, nilai- nilai murni dan kemahiran yang ada. Proses ini berlaku secara berterusan semenjak dari zaman kanak-kanak sehinggalah kita kembali mengadap Tuhan Rabbul Jalil. Laporan RRJP kedua (1991-2000) pula ada menyatakan bahawa :
Selain aspek kemahiran dan peningkatan pengalaman diri, pembangunan manusia juga adalah salah satu usaha untuk menghasilkan rakyat yang bermoral, mempunyai nilai-nilai positif, semangat kekitaan yang tinggi, kesetiaan dan cinta kepada negara. Inilah hasrat murni yang ingin dicapai dalam pembangunan manusia dalam konteks negara Malaysia.
Di Malaysia, misi utama pendidikan jelas bertujuan seperti berikut: Mewujudkan sistem pendidikan yang terbaik untuk menghasilkan insan yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi bagi memenuhi aspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara. -Wan Mohd Zahid (1993)
Di sini jelas bahawa, pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Winkel (1991) pula menambah potensi insan ini sebagai berikut:
. Dapat melakukan pemikiran kehadapan (futurulistik)
. Dapat mamahami fenomena alam.
Sememangnya, inilah yang ditekankan dalam falsafah Pendidikan Negara (FPN) . Untuk itu, proses pendidikan seharusnya bermula sedari awal lagi.
Dalam konteks falsafah pendidikan Islam, untuk melahirkan insan Soleh Wa Musleh, pendidikan mestilah dimulakan dari alam rahim lagi. Sebelum anak dilahirkan, ibubapa sememangnya bertanggungjawab dalam menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk anak-anak berteduh. Untuk membentuk generasi pewaris yang berakhlak tinggi, pemilihan bakal suri yang akan mendidik anak-anak mestilah cermat. Rasulullah SAW. mengingatkan kepada bakal suami supaya berhati-hati dalam memilih bakal isteri solehah:
Perempuan dikahwini kerana empat perkara;kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama, ia lebih menguntungkan kamu. -Maksud hadis nabi
Hasil sempurnanya kerukunan rumahtangga suami isteri, maka terbinalah suasana keluarga yang harmoni dan bahagia.
Proses pendidikan secara tidak formal seterusnya mulai berlaku apabila ibu merasai ada bayi dalam kandungannya. Pendidikan ditahap ini adalah bercorak Ruhaniyat. Ketika ini, ibu disarankan supaya sentiasa berdoa dan meletakkan harapan supaya anak yang bakal dilahirkan nanti seorang yang soleh, berilmu, beramal dan bertakwa. Ketika ini juga ibubapa mestilah berusaha mendapatkan sumber rezeki yang halal. Ini kerana, benih yang akan melahirkan anak itu adalah dari darah dan darah itu datangnya dari bahan makanan. Makanan yang haram akan menggelapkan proses pendidikan anak-anak. Makanan ibu juga mestilah berzat demi menjaga kesihatan diri dan bayi yang bakal dilahirkan.
Hadis nabi ada menyebut: Carilah ilmu sejak mulai dari buaian hingga keliang lahad. -Maksud hadis nabi
Hadis ini bukan sahaja memberi erti tentang pendidikan sepanjang hayat, malah menekankan pentingnya pendidikan awal. Kanak-kanak diperingkat ini diibaratkan seperti sehelai kain putih yang bakal menerima sebarang pencorakan warna daripada ibubapa dan pengaruh sekitar.
Imam alGhazali ada menyebut: Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa atau penjaga kanak-kanak untuk memastikan pendidikan awal kanak-kanak berjalan dengan baik mengikut lunas-lunas islam.
Kanak-kanak menurut al Ghazali juga diibaratkan sebagai sebuah cermin yang menerima apa sahaja objek yang lalu di hadapannya dan memantulkan kembali arcanya seperti yang diterima tadi.
Pendidikan berlaku lebih agak serius apabila kanak-kanak dilahirkan hingga mereka berumur 4 atau 5 tahun. Jika pendidikan di tahap ini tidak betul, maka pincanglah proses pendidikan yang seterusnya. Pines ada menyebut:
Berjuta-juta kanak-kanak gagal sehingga tidak dapat diperbaiki lagi akibat kegagalan kita meransang daya intelek mereka pada usia genting-Dari lahir hingga lima tahun. Berjuta orang lagi dihalang dari mencapai potensi mereka yang sebenar. -Pines (1966)
Dalam tempoh 5 tahun ini, penekanan pendidikan berlaku dalam dua aspek iaitu Ruhaniyat dan Jasmaniyat seperti berikut:
- Anak yang baru lahir disambut dengan diazan ditelinga kanan dan qamat ditelinga kiri
- Membuat aqiqah selepas hari ketujuh kelahiran
- Ibu yang menyusukan anak hendaklah makan makanan halal
- Sentiasa berdoa untuk anak
- Mereka yang datang berziarah hendaklah sentiasa berdoa untuk keberkatan ibu dan anak
- Waktu menyusui anak hendaklah teratur
- Kebersihan anak-anak hendaklah sentiasa dijaga samada makanan, minuman, pakaian dan tempat tidur
- Tidak benarkan anak-anak bermain diluar rumah menjelang waktu maghrib
- Biasakan anak-anak dengan menyebut dua kalimah syahadah apabila anak-anak sudah pandai bercakap
(Dipetik dari kertas kerja”Falsafah Pendidikan kanak-kanak dalam islam”, oleh Dr. Abdul Halim El-Muhammady) .
Pendidikan seterusnya adalah di peringkat umur 5 hingga 7 tahun. Pendidikan diperingkat ini adalah lebih luas dan menyeluruh di mana bahan-bahan untuk pengisian Ruhaniyat, Aqliyyat dan Jasmaniyyat didedahkan secara serentak. Falsafah aksiologi atau nilai juga turut ditekankan diperingkat ini. Bahan –bahan pendidikan untuk pengisian diperingkat ini adalah seperti berikut :
-Ruhaniyyat
Bahan-bahan pendidikan Ruhaniyyat di peringkat ini dapat dipecahkan kepada dua iaitu ibadat dan adab. Soal-soal ibadat ini mencakupi elemen fardu`ain dan fardu kifayah manakala adab-adab pula seperti taat kepada ibubapa, guru, orang tua, adab makan dan sebagainya. Pendidikan di tahap ini juga turut menekankan pendidikan akhlak (Khuluqiyah) , kejiwaan (Nafsiyyah ) dan keimanan (Imaniyyah) . Justeru, falsafah aksiologi turut berkepentingan dalam membentuk anjakan paradigma dalam diri individu. Ayat al Quran ada menyebut :
Sesuatu bangsa itu tetap hidup selama akhlaknya tetap baik;bila akhlak mereka rosak, sirnalah bangsa itu.
Sememangnya, iman seseorang belum sempurna selagi tidak menghasilkan amal salih dan akhlak yang mulia.
Kuat atau lemahnya iman seseorang dapat diukur dan diketahui dari perilaku akhlaknya. Kerana iman yang kuat mewujudkan akhlak yang baik dan mulia, sedang iman yang lemah mewujudkan akhlak yang jahat dan buruk laku, mudah terkelir pada perbuatan keji yang merugikan dirinya sendiri dan orang lain. -Syeikh Mohd Al-Ghazali (Khuluq Al-Muslim)
-Akliyyat (Intelek)
Apa yang ditekankan dalam pendidikan Akliyyat ialah pendedahan kanak-kanak kepada latihan mengenal huruf, menulis dan membaca, mempelajari bahasa, kira-kira dan sebagainya. Aspek ini sangatlah ditekankan dalam sistem pendidikan barat atau moden melebihi aspek-aspek lain dari peringkat pra-sekolah sehinggalah ke universiti. Penekanan yang tidak seimbang boleh menyebabkan lahirnya insan yang tempang, tidak sepadu, tidak seimbang, maju dalam sains dan teknologi tetapi jiwanya kosong dan hidup terumbang-ambing.
-Jasmaniyyat
Kanak-kanak juga mestilah di beri masa untuk membina kekuatan jasmani yang boleh menjana kesihatan, kecergasan dan kerehatan. Ini penting untuk menyeimbangkan perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.
Seterusnya, selepas kanak-kanak berumur 7 tahun keatas, proses pendidikan secara formal berlaku. Di peringkat inilah kanak-kanak dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu secara langsung daripada guru. Walaubagaimanapun, tanggungjawab mendidik kanak-kanak tidak seratus peratus diletakkan dipundak guru. Ibu bapa masih lagi berperanan untuk mengasuh anak-anak supaya lebih berketrampilan dan matang dalam melakukan sesuatu tindakan.
Di sini jelas bahawa, pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam setiap individu. Jika taraf pendidikan individu sempurna, maka lahirlah masyarakat madani progresif yang akan membina entiti negara bangsa yang berdaulat di rantau global. Jika taraf pendidikan pincang, sudah tentunya masyarakat negara kita tidak mempunyai jati diri yang unggul dan mantap. Efektifnya, kita akan ketinggalan diera perkampungan global pada hari ini yang penuh dengan rempah ratus bayu pembaharuan. Untuk itu, kita mestilah sentiasa bersiapsiaga jika ingin terus mengatur derap langkah menuju ke puncak jaya lebih-lebih lagi kita akan berdepan dengan arus globalisasi.
As we progress It is very important that we Equip ourselves to face the chalengge of globalisasion. (New Strait Times-Selasa, 7 Ogos 2001)
Walaubagaimanapun, hasrat untuk melahirkan generasi intelek yang mantap dan unggul serta dinamik hanya akan menjadi khayalan jika semua pihak tidak bersatu hati menjayakan hasrat murni negara tercinta.
Disediakan oleh: Umi Kalsom Binti Abdul Majid
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com