Rumah Yang Tidak Dimasuki Malaikat -

Nama Pensyarah: Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Nama Pelajar: Noor Ismah Izzati Binti Abd Rauf

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Setinggi-tinggi syukur kepada Allah SWT yang teramat luas sekali rahmat-Nya. Salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya serta para pengikutnya dan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya ucapan yang paling benar adalah Al-Quran dan As-Sunnah dan petunjuk yang paling baik adalah petunjuk dari Nabi Muhammad SAW dan seburuk-buruknya perkara adalah perkara yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan adalah bida’ah. Setiap bida’ah adalah sesat dan setiap kesesatan itu berakhir di neraka jahanam. 

Alhamdulillah, dengan taufik dan hidayah yang diberi oleh-Nya saya telah memilih tajuk ‘Rumah Yang Tidak Dimasuki Malaikat’ untuk dijadikan sebagai penulisan bagi tatapan para pembaca disamping dapat mengisi khazanah ilmu pengetahuan. 

Tidak sedikit orang yang merasa kekurangan jiwa, kehidupan yang didominasi oleh material atau kebendaan dan juga pemikiran yang dikuasai oleh syaitan. Ini adalah kerana ternyata jauhnya manusia dari Allah sehingga syaitan masuk ke dalam rumah-rumah mereka menggantikan kedudukan malaikat rahmat. Sebagaimana yang diketahui, banyak manfaat yang diperolehi apabila masuknya malaikat rahmat ke dalam rumah kita antaranya ia akan menjaga orang yang beriman pada ketika waktu tidur mahupun ketika terjaga, memanjatkan doa untuk orang-orang yang beriman, melindungi para hamba Allah SWT yang beriman dan meneguhkan jiwanya, menyeru keampunan kepada Allah Taala bagi orang-orang yang beriman, mengucapkan amin bersama-sama orang yang beriman ketika solat, mencegah dan mengusir syaitan dari orang-orang yang beriman dan juga memantapkan iman dan ketenangan di rumah orang yang beriman. 

Oleh itu, seorang mukmin hendaklah berusaha mempertahankan keberadaan para malaikat di rumahnya serta melakukan pelbagai amal ibadah yang membolehkan malaikat rahmat senang untuk memasuki rumahnya. Firman Allah, ”Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikatnya (memohonkan ampunan untukmu) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang) …” (al-Ahzab: 43) 

Tugas yang diberikan Allah Taala kepada malaikat untuk kepentingan manusia antaranya ialah meniupkan roh kepada janin yang berada dalam kandungan ibu, baik dari kalangan orang yang beriman mahupun orang kafir, menyampaikan wahyu, memelihara seluruh manusia, mengawasi dan mencatat setiap amal perbuatan manusia serta mencabut roh manusia atas perintah Allah. Malaikat juga mempunyai tugas khusus terhadap orang-orang yang beriman antaranya ialah memberikan kecintaan kepada orang-orang yang beriman, meluruskan jalan kehidupan orang-orang yang beriman, mencatat pahala bagi orang yang melaksanakan solat Jumaat, turun di tempat yang mengadakan pembacaan Al-Quran dan majlis ilmu, melawat jenazah bagi orang yang soleh, menaungi orang yang mati syahid dengan sayapnya, melindungi Makkah dan Madinah dari dajal dan membacakan selawat bagi orang-orang yang memberikan kebajikan kepada orang lain, mengimami solat di masjid, solat pada saf pertama, bersahur untuk berpuasa, membaca selawat ke atas Nabi serta menziarahi orang yang sakit. 

Pada umumnya, hubungan malaikat dengan manusia sangat rapat. Ini adalah kerana malaikat mengawasi dan memberikan perhatian kepada manusia semasa diciptakan, memelihara manusia ketika dilahirkan, mengawasi gerak-geri dan perbuatan manusia serta mengambil roh manusia ketika tiba waktu ajalnya. Ini dibuktikan menerusi firman Allah:”Sama sahaja (bagi Tuhan) , sesiapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya dan sesiapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, dan sesiapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan di siang hari. Bagi manusia, ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran di depan dan dibelakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah... ” (Surah ar-Ra’d:10-11) 

Imam Mujahid berpendapat bahawa”Tidak ada seorang hamba yang tidak dijaga oleh malaikat yang diutus oleh Allah, baik ketika tidur mahupun berjaga serta dari kejahatan jin, manusia dan haiwan. Jika ada kejahatan dari jin, manusia dan haiwan yang berbisa, malaikat akan berseru: ‘Awas, ada itu... itu!’. Oleh yang demikian, selamatlah orang tersebut melainkan jika Allah mengizinkan atau mentakdirkan lain. ”Antara tugas lain yang dipikul oleh malaikat adalah menjadi pendamping manusia yang ditugaskan untuk memelihara amal manusia. Sementara itu, dua pendamping manusia yang terdiri dari jin dan malaikat sentiasa berada dalam keadaan yang bertentangan dimana jin menyeru manusia untuk melakukan kejahatan manakala malaikat menyeru manusia untuk melakukan kebaikan. 

Kita juga haruslah mengenali syaitan dan berwaspada terhadap kewujudannya. Syaitan telah diperkenankan oleh Allah untuk terus hidup sehingga ke hari kiamat sebagaimana firman-Nya:”Maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh sampai (suatu) waktu yang ditentukan. ”Oleh yang demikian, syaitan bertekad untuk mencapai tujuan iaitu menyesatkan manusia sebagaimana yang diabadikan dalam Al-Quran, ”Iblis berkata: ‘Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang beriman di antara mereka. ” (al-Hijr: 39-40) 

Iblis laknatullah telah menetapkan tempat medan pertarungan iaitu bumi. Syaitan telah mengambil langkahnya di muka bumi dengan menghias atau mempercantik perbuatan buruk dan jahat sehingga ia dianggap baik oleh manusia agar manusia terpedaya dan melakukan perbuatan maksiat. Di antara yang dilakukan oleh iblis atau syaitan adalah dengan menyesatkan manusia secara perlahan-lahan, memperindah perbuatan maksiat, menamai kemaksiatan dengan nama-nama yang indah, menamai ketaatan dengan nama-nama yang menakutkan, menyusup ke dalam jiwa dari jalan yang paling disukai serta menghalang kebenaran. Sebagaimana yang diketahui, syaitan memiliki banyak pintu untuk menyesatkan manusia diantaranya kebodohan (jahil) , kebencian atau kemarahan, kecintaan pada dunia, cita-cita yang terlalu tinggi, tamak terhadap dunia, bakhil, sombong, suka dipuji, riak, suka membangga diri (‘ujub) , gelisah dan keluh kesah, mengikuti hawa nafsu, buruk sangka serta putus asa terhadap rahmat Allah Taala. 

Sekiranya keimanan seseorang telah kuat, ikhlas dan berada pada landasan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala, syaitan tidak akan mampu menguasainya. Kita juga dapat menghindari syaitan dengan sentiasa berwaspada atau berhati-hati dari godaannya, selalu membaca Al-Quran dan mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW yang dapat membimbing manusia berada pada landasan yang lurus, meminta pertolongan dari Allah Taala, melakukan zikrullah, selalu bergabung dengan Jama’atul Muslimin serta bertaubat dan beristighfar. 

Antara rumah-rumah yang tidak dimasuki malaikat ialah rumah orang yang memutuskan silaturahim, rumah orang yang menderhakai orang tua, rumah orang yang memakan harta anak yatim, rumah orang yang memakan harta riba, rumah yang terdapat anjing, rumah yang ditempati syaitan, rumah orang yang suka mencaci maki, rumah yang di dalamnya terdapat gambar (patung) , rumah yang di dalamnya ada nyanyian dan alat muzik, rumah yang di dalamnya terdapat loceng, rumah yang penuh ratapan menangisi mayat, rumah yang di dalamnya terdapat minuman keras dan perjudian, rumah yang di dalamnya terdapat kemusyrikan, rumah yang dijadikan tempat permainan dadu, rumah yang terdapat benda haram, rumah orang-orang yang terkutuk, rumah yang berbau busuk, rumah yang penghuni lelakinya memakai Za’faran (bau-bauan wanita) , rumah seorang pemboros, penghuni yang melakukan kemaksiatan, rumah yang digunakan untuk perbuatan keji dan rumah yang melakukan dosa besar. 

Malaikat tidak akan turun kepada suatu kaum yang didalamnya ada orang yang memutuskan tali silaturahim. Oleh yang demikian, kita haruslah menyambung silaturahim dengan cara mengunjungi kaum kerabat dan saudara-mara serta memelihara mereka dengan hal-hal yang dapat memperbaiki keadaan mereka dan memenuhi keperluan mereka sehingga kita akan memperolehi rahmat Allah dan doa para malaikat. Kita juga haruslah memiliki identiti al-hubb fillah (cinta kerana allah) dan al-bughd fillah (benci kerana Allah) . Malaikat rahmat juga tidak akan memasuki rumah orang yang menderhakai orang tua dan ia adalah termasuk dalam dosa besar. Sebagaimana yang kita ketahui, menderhakai orang tua adalah termasuk perbuatan yang dibenci oleh Allah dan merupakan salah satu dosa besar yang akan membawa ke neraka Jahannam. Selain itu, ia juga akan menyebabkan amal soleh pelakunya tidak diterima oleh Allah. 

Bagi mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim, malaikat tidak akan memasuki rumahnya. Di dalam Al-Quran, Allah SWT telah mengancam keras pemakan harta anak yatim dengan dua ancaman iaitu perutnya penuh dengan api dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Rasullullah SAW bersabda:”Jauhilah olehmu tujuh mubiqot iaitu syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan pertempuran serta menuduh perempuan baik melakukan zina. ”Jika kita mengharapkan keredhaan Allah, baik di dunia mahupun akhirat serta mengharapkan rumah kita dimasuki malaikat rahmat, janganlah kita memakan harta anak yatim. Justeru, kita seharusnya menjadi penjamin kehidupan mereka dan memberi pendidikan yang baik bagi mereka. 

Pada harta yang halal terdapat keberkatan dan jaminan dari keharaman. Oleh itu, kita mesti memohon kepada Allah agar memiliki usaha yang halal dan amal ibadah kita diterima. Pemakan riba akan ditimpa bencana dan pelbagai penyakit serta azab diakhirat iaitu dengan dilempari batu ke mulutnya. Apabila tersebarnya riba juga adalah salah satu tanda sudah dekatnya hari kiamat. Kerana itu, kita mestilah bersungguh-sungguh menyara diri dan keluarga dengan rezeki yang halal dan diperolehi dengan cara yang halal. 

Majlis yang kosong dari zikrullah dan diiringi oleh perbuatan yang sia-sia adalah merupakan majlis syaitan yang dijauhi malaikat rahmat. Rumah seperti ini dipenuhi pelbagai dosa dan kelalaian kepada Allah Taala. Di antara majlis-majlis yang tidak akan didekati oleh malaikat rahmat ialah majlis yang kosong dari zikrullah, majlis yang kosong dari selawat ke atas Nabi serta orang yang mahu menang sendiri yakni terjadinya pendebatan. Malaikat rahmat akan turun pada majlis yang meninggalkan perbuatan maksiat di dalam majlis, meninggalkan kemungkaran dan perbuatan dosa serta mencegah orang yang menyakiti jiwa dan merosakkan harta orang lain di majlis tersebut. 

Jika kita mengharapkan malaikat rahmat selalu mengunjungi rumah dan keluarga kita, maka kita haruslah memelihara lidah. Ini adalah kerana akibat lidah lah seseorang akan dimasukkan ke syurga atau neraka. Contohnya, kita haruslah mengawal kemarahan dengan tutur kata yang baik kerana hal itu merupakan akhlak Al-Quran yang jelas keutamaannya. Ucapan yang baik dan manis dapat berfungsi sebagai ‘sihir’ yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kelapangan dada. Perbuatan mencaci-maki bukanlah kebiasaan bagi seorang muslim dan bukan akhlak orang yang mukmin kerana seorang muslim dan mukmin disifati Allah sebagai orang yang memiliki rasa kasih sayang diantara satu sama lain dan saling menolong dalam kebajikan. Kita juga tidak seharusnya mencaci-maki para sahabat yang telah berjihad bersama Rasulullah SAW memperjuangkan Islam, orang yang telah meninggal dunia, mencaci maki angin, penyakit yang menimpa diri, mengutuk zaman atau kejadian alam serta mencaci maki secara umum. Perbuatan mengutuk dan mencela itu merupakan perbuatan yang sangat merugikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Darda RA:”Orang-orang yang suka mengutuk tidak akan memberi syafaat dan tidak akan menjadi saksi pada hari kiamat. ”

Syariat Islam telah mengharamkan kewujudan patung kerana patung merupakan jambatan pembuka kepada penyembahan berhala. Gambar (patung) ini diharamkan kerana ia dianggap telah meyerupai ciptaan Allah Taala. Akan tetapi, gambar atau patung yang dibolehkan untuk berada di rumah kita jika kita memenuhi syarat antaranya ialah setiap gambar atau patung yang tidak bernyawa seperti sungai dan pepohon atau pemandangan alam, gambar seperti kad pengenalan atau yang berkaitan dengan ilmu kedoktoran (kesihatan) dan hal lain yang bersifat darurat serta pemainan untuk anak-anak kecil. Malaikat yang tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar adalah malaikat yang tugasnya menyebarkan keberkatan, rahmat dan permohonan ampun manakala malaikat hafazhah (pencatat amal) tetap memasuki rumah dan tidak akan pernah meninggalkan Bani Adam kerana tugas mereka adalah sebagai pencatat amal setiap manusia. 

Rumah yang di dalamnya ada nyanyian dan alat muzik juga tidak akan dimasuki malaikat rahmat. Semestinya kita ingin menghiburkan jiwa dengan nyanyian atau lagu yang menyenangkan kerana manusia memiliki kecenderungan seperti itu. Islam merupakan agama yang suci dan ia memelihara jiwa manusia serta menghormati keinginan fitrahnya. Oleh kerana itu, Islam menganjurkan nyanyian yang diambil dari bacaan Al-Quran untuk menggantikan nyanyian yang diharamkan. Jika Islam dikatakan telah mengganti perzinaan dengan pernikahan serta perjudian dengan transaksi gadai, maka Islam juga telah mengharamkan seruling syaitan yakni nyanyian yang diharamkan dengan mendengarkan bacaan Al-Quran. Al-Quran lebih berhak untuk dibaca melalui kemerduan suara kerana Al-Quran adalah Kitabullah, di samping pembacanya sendiri akan mendapat pahala yang besar. Sabda Rasullullah SAW:”Hiasilah Al-Quran dengan suaramu.... ”

Bagi seorang muslim, mengajari keluarganya hal-hal yang berkaitan dengan agama merupakan sebuah kewajipan dan menyuruh keluarganya mengerjakan segala sesuatu yang diperintahkan Allah dan menjauhi larangan-Nya. Meratapi dan menangisi mayat adalah merupakan perbuatan kaum jahiliah. Banyak kerugian dan azab bagi orang yang meratapi mayat antaranya malaikat tidak akan membacakan selawat untuknya serta dia akan mengenakan baju dari bahan tar dan kain dari kotoran besi pada hari kiamat kelak dan dijauhi rahmat Allah Taala. Oleh itu, jika kita ingin mendapat keredhaan Allah dan mengharapkan rumah kita dimasuki malaikat rahmat, hendaklah kita menghiasi diri dengan ajaran Islam dengan bersabar menghadapi musibah dan tidak gelisah kerana itu semua adalah ujian dari Allah. 

Selain itu, rumah yang di dalamnya terdapat benda haram juga akan dijauhi oleh malaikat rahmat. Sikap menjauhi barang-barang haram mencerminkan kemewahan dan mendatangkan pelbagai kebaikan. Sebaliknya, jika kita memiliki dan menggunakan barang- barang yang haram, ia akan menjadi penyebab berlakunya bencana. Misalnya, lelaki yang memakai pakaian yang berasal dari bahan sutera atau emas akan diharamkan memakai keduanya di akhirat kelak. Selain itu, minum dengan menggunakan cangkir atau bahan emas atau perak yang beerti dia telah meneguk api neraka. Pengharaman didasarkan pada keadaan bahawa barang-barang ini mengesankan pemborosan dan kemewahan dan yang paling penting ialah kerana bahan-bahan seperti ini tidak sesuai dengan kudrat seorang lelaki. Rasulullah SAW telah bersabda:”Pakaian sutera dan emas diharamkan bagi umatku yang lelaki dan dihalalkan untuk kalangan wanitanya. ”

Rumah orang-orang yang terkutuk juga tidak akan dimasuki oleh malaikat rahmat seperti golongan orang yang dikategori pemabuk, pembawa minuman keras, orang yang memerah minuman keras, penjual minuman keras, pemakan riba, orang yang meratapi mayat sambil berteriak tentang kecelakaan, perasuah, orang yang dirasuah, orang yang mengubah ciptaan Allah, lelaki yang meniru wanita, wanita yang meniru lelaki, lelaki yang menyetubuhi isteri pada duburnya, orang yang mencaci maki kedua ibu bapanya, homoseksual, wanita yang tidak mahu memperkenankan hajat atau permintaan suami dan orang yang meninggalkan solat. 

Kesimpulannya, kita haruslah meninggalkan perkara-perkara bidaah kerana setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan itu berakhir di neraka Jahannam. Insan yang ingkar pada perintah-Nya akan merasa kegelisahan jiwa serta mementingkan unsur material atau kebendaan dalam kehidupan. Pemikiran yang telah dikuasai oleh syaitan dan rumah-rumah mereka dipenuhi iblis yang menggantikan kedudukan malaikat rahmat akan menyebabkan hati mereka tertutup untuk menerima kebenaran. Semoga setiap rumah muslim akan sentiasa dikunjungi malaikat rahmat. Insya Allah. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com