Perbezaan Antara Seorang Muslim Dan Seorang Kafir -

Pensyarah : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan Oleh : Nurul Hasyikin Binti Ismail

Dalam diri setiap Muslim pasti terselit rasa bahawa darjat mereka sebagai seorang Muslim lebih tinggi daripada seorang kafir. Hal ini adalah hakikat, di mana Allah sememangnya senang dengan seorang Muslim berbanding seorang kafir yang dimurkai-Nya sedangkan seorang kafir itu juga merupakan keturunan Adam AS, manusia yang mempunyai tangan, kaki, mata, perlu makan, perlu bernafas dengan udara yang sama dan hidup di bumi yang sama seperti seorang muslim. Tapi persoalannya kenapakah darjat kita sebagai seorang Muslim lebih tinggi berbanding mereka? Dan mengapa kita akan dimasukkan ke syurga manakala orang kafir akan dicampak terus ke dalam api neraka untuk selamanya. Tidak mungkin juga perbezaannya terletak pada nama yang berbeza seperti nama”Abdullah”dan”Johnson”, ataupun disebabkan seorang Muslim dikhatankan dan seorang kafir itu tidak, ataupun disebabkan seorang Muslim tidak memakan daging babi dan seorang lagi memakannya. Namun hakikat sebenar perbezaan yang wujud bukanlah terletak atau tertakluk kepada perkara – perkara tersebut. Allah SWT tidak sekejam itu untuk mendiskriminasikan makhluk-Nya. 

Namun perbezaan sebenar kedudukan antara seorang Muslim dan seorang kafir itu adalah kerana Islam dan kekufuran mereka terhadap Allah SWT. Islam bererti patuh kepada Allah SWT sedangkan kufur bererti tidak patuh kepada Allah SWT. Ternyatalah bahawa orang Muslim lebih mulia kedudukannya kerana mengakui Allah SWT serta mematuhi segala perintah-Nya sedangkan orang kafir itu tidak mengakui Allah SWT yang telah menciptakannya sebagai Tuhannya dan langsung tidak melaksanakan perintah-Nya. Terdapat dua sebab yang boleh diambil kira untuk membandingkan antara seorang Muslim dan seorang kafir iaitu pengetahuan dan perbuatan. Orang Muslim seharusnya tahu siapa Tuhannya, mengetahui segala perintah dan larangan-Nya yakni apa yang disukai dan dibenci oleh Tuhannya. Seterusnya individu Muslim itu perlu menjadikan dirinya hamba kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala kehendak-kehendak-Nya seta mengabaikan kemahuannya sendiri. Contohnya, apabila individu tersebut ingin melakukan sesuatu perbuatan namun bertentangan dengan perintah Tuhannya, maka keinginan tersebut harus dibatalkan demi mematuhi perintah Tuhannya dan untuk tidak mengundang murka-Nya. Begitu juga halnya dengan perbuatan yang mulia bagi Allah SWT namun tidak bagi kita, kita sebagai hambanya haruslah sentiasa patuh kerana Allah lebih mengetahui segalanya walaupun
sehingga terpaksa mengorbankan nyawanya. 

Jika terdapat seorang yang mengatakan dirinya Muslim namun sama bodohnya tentang Islam seperti orang kafir dapatkah dikatakan bahawa kedudukannya lebih tinggi berbanding seorang kafir semata-mata kerana memiliki nama, pakaian dan memakan makanan yang berbeza berbanding mereka? Sudah tentu tidak, kerana Islam bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi sebagaimana kasta di India, dimana anak seorang Brahmana yakni kasta tertinggi di dalam masyarakat India akan tetap memperoleh kedudukan yang tinggi walau sebodoh manapun dia Sementara yang berkasta rendah pula akan kekal ditindas oleh kasta yang lebih tinggi daripada mereka. 

Allah SWT telah berfirman bahawa :-”… Sesungguhnya orang yang paling mulia antaramu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu…” (Al-Quran, al-Hujrat, 49:13 ) 

Firman Allah SWT tersebut bermaksud semakin banyak pengetahuan tentang Allah SWT maka semakin tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT. Jika kita lihat berdasarkan sejarah Nabi Ibrahim AS, beliau telah dilahirkan ditengah-tengah keluarga dan masyarakat penyembah berhala namun beliau mengenal Allah SWT dan mentaati perintah- Nya. Itulah sebabnya Allah SWT mengangkatnya sebagai imam seluruh dunia. Berbeza dengan situasi anak Nabi Nuh yang dilahirkan dalam keluarga seorang nabi, tetapi dia tidak mengerti tentang Allah SWT dan tidak mentaati perintah-Nya. Allah SWT telah menghukum anak nabi Nuh sedemikian rupa tanpa mempedulikan keluarganya yakni ayahnya yang merupakan seorang nabi hingga kisahnya menjadi contoh bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia. Oleh itu, apapun perbezaan yang ada antara seorang manusia dengan manusia yang lain dalam pandangan Allah SWT hal tersebut berhubungan dengan pengetahuan dan perbuatan. Rahmat Allah SWT sentiasa melimpah baik di dunia ini mahupun di akhirat kelak kepada mereka yang mengerti akan Allah SWT serta melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Bagi mereka yang tidak mematuhi segala yang telah digariskan oleh Allah SWT sama sahaja kedudukannya dengan mereka yang kafir dan tidak berhak memperoleh rahmat-Nya. 

Allah SWT telah mengirimkan kitab-Nya yakni Al-Quran kepada kita dan dengan membacanya kita dapat mengenal-Nya dan tahu cara-cara untuk menjadi hamba yang patuh. Allah SWT turut mengutus Rasul-Nya kepada kita untuk mengajar kita cara menjadi seorang Muslim yang patuh serta menunjukkan kita jalan untuk memperoleh kehormatan dan kemuliaan di dunia dan akhirat nanti. Begitu juga Allah SWT telah memberitahu kepada kita perbuatan bagaimana yang dapat merendahkan kedudukan manusia di dunia ini di akhirat nanti. Jika kita belum mempunyai pengetahuan dalam segala hal ini daripada Kitab Allah dan dari utusan-Nya jadi layakkah kita disebut orang Muslim yang menerima rahmat-Nya? Sesungguhnya tiada perbezaan antara seorang Muslim dengan kafir kecuali dalam masalah pengetahuan dan perbuatan. Jika individu Muslim itu pengetahuan dan perbuatannya sama seperti seorang kafir namun mengakui dan menyebut dirinya sebagai seorang Muslim, ucapannya tersebut adalah dusta kerana sama seperti seorang kafir yang tidak suka membaca al-Quran dan tidak tahu apa yang tertulis di dalamnya. Orang kafir juga tidak mengetahui apa yang diajarkan oleh rasulullah SAW, mereka juga sentiasa mengikut keinginan kemahuannya sendiri dan apabila sifat ini sama dengan diri individu Islam itu maka dia tidak layak untuk digelar Muslim yakni hamba Allah yang patuh. Selain itu, orang kafir juga tidak membezakan yang halal dan haram, apa yang mereka tahu adalah menerima manfaat dan keuntungan semata-mata dan perkara sebegini ada diamalkan dalam diri Muslim. Maka layakkah dia menggelar dirinya Muslim dan menganggap darjatnya lebih tinggi berbanding seorang kafir. 

Muslim kini bezanya dengan kafir hanyalah pada nama, jika dilihat dari sudut lain mereka sama sahaja dengan kafir yang lain kerana sama tidak takutnya kepada Allah SWT, tidak mahu membaca al-Quran dan tidak mahu mengikut ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Contohnya, dalam pekerjaan kita hendaklah jujur dan amanah, malangnya rasuah ataupun suap atau lebih biasa digelar ‘ duit kopi ‘ yang ditegah menjadi amalan. Hal ini terutamanya berlaku di peringkat atasan pengurusan, mereka menyalahgunakan kuasa mereka. Maka orang – orang seperti ini neraka adalah tempat bagi mereka yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Perkara – perkara sebegini berlaku kerana jahilnya dan ceteknya ilmu tentang agama Islam menyebabkan mereka melakukan perbuatan seperti layaknya seorang kafir dimana mengambil contoh sepertimana di zaman Rasulullah SAW orang Yahudi yang berniaga di pasar Qainuqa’ di Madinah, urus niaga mereka penuh dengan riba dan penipuan. Oleh itu, untuk menjadi seorang muslim yang membezakan mereka dengan seorang kafir adalah pengetahuan tentang Islam iaitu dengan mengetahui apa yang diajarkan oleh al –Quran, sistem kehidupan yang diamalkan Rasulullah SAW, apa makna Islam dan perkara – perkara yang membezakan Islam dari kufur. 

Dalam kisah seterusnya tentang kisah – kisah pengajaran berkaitan dengan solat terdapat banyak kisah pengajaran dari zaman nabi-nabi terdahulu. Diceritakan ketika Nabi Isa AS sedang dalam perjalanan beliau telah melihat masyarakat yang rajin dalam beribadah kepada Allah SWT dengan penuh kesungguhan. Mereka amat suka bersedekah dan beramal baik, keadaan kehidupan mereka amat makmur. Tumbuh-tumbuhan yang ditanam masak ranum di setiap kebun mereka, anak-anak mereka membesar sihat-sihat, cantik-cantik dan tampan-tampan belaka. Namun Nabi Isa AS terpaksa untuk meneruskan perjalanan beliau. Selang beberapa tahun lamanya, Nabi Isa AS merasa rindu untuk kembali bertandang ke tempat tersebut dan nabi Allah itu segera pergi. Namun, apa yang memeranjatkan beliau tidak ada lagi keindahan daerah tersebut yang dilihatnya sebelum ini. Semuanya telah musnah, Nabi Isa AS menjadi hairan dan tercari-cari jawapan namun tidak ada suatu jawapan yang terlintas lalu beliau bertanya kepada Tuhan tentang kemusnahan yang berlaku ke atas daerah itu dan apakah sebabnya. Melalui firman-Nya, Allah SWT menjawab bahawa ada seorang yang suka mengabaikan solat lalu di daerah itu dan membasuh mukanya dengan air sungai yang terdapat di situ lalu disepanjang perjalanannya menitislah bekasnya di sepanjang perjalanan dan di rumah-rumah mereka. Akibatnya, seluruh yang ada di daerah itu dibinasakan. Melalui kisah ini dapat juga diambil pengajaran bahawa bala Allah SWT turunkan tidak mengira samada orang tersebut beriman ataupun tidak. 

Seterusnya, terdapat kisah di zaman Rasulullah SAW dimana ketika Nabi Muhammad SAW sedang duduk-duduk di masjid datang seorang pemuda Arab yang menangis semahunya ke tempat dimana nabi dan para sahabat berkumpul. Lalu dengan kehairanan nabi bertanya kenapa dia menangis sebegitu rupa, lalu pemuda tersebut menjawab bahawa ayahnya telah meninggal dunia. Lantas nabi menenangkan pemuda tersebut dengan berkata bahawa kematian adalah takdir Allah SWT kerana semua yang hidup bakal mati satu hari nanti. Tetapi pemuda Arab itu memberitahu bahawa dia menangis sebegitu rupa bukan kerana sedih atas pemergian ayahnya tetapi oleh kerana dia tidak mempunyai kain kafan untuk membungkus jasad ayahnya dan tidak ada orang yang ingin membantu memandikan jenazah ayahnya. Lalu Rasulullah SAW menoleh kearah Abu Bakar dan Umar dan meminta tolong sahabat tersebut untuk pergi ke rumah pemuda Arab tersebut. Berlalulah Umar dan Abu Bakar RA bersama pemuda tersebut menuju ke rumahnya, namun kedua sahabat itu terkejut yang amat melihatkan jenazah yang terbujur itu bergerak-gerak seperti babi hutan berwarna hitam. Tanpa berlengah Abu Bakar RA dan Umar segera pergi meninggalkan rumah itu dan pergi mendapatkan Rasulullah SAW. Baginda bertanya tentang pemergian mereka, salah seorang dari kedua sahabat itu menjawab bahawa ada keanehan dan menceritakan apa yang mereka telah lihat mengenai jenazah tersebut. Rasulullah SAW lantas segera bangkit dari duduknya dan mengajak Abu Bakar RA dan Umar kembali ke rumah pemuda tersebut. Nabi turut kehairanan melihat mayat yang berubah bentuk lalu baginda memanjatkan doa kepada Allah SWT dan mayat tersebut beransur kembali ke bentuk asal. Rasulullah SAW dan para sahabat seterusnya memandikan, mengakafankan dan menyembahyangkan mayat tersebut. Sekali lagi ketika jenazah tersebut ingin dikebumikan, peristiwa tadi berulang kembali dimana mayat tersebut berubah semula menjadi babi hutan yang berwarna hitam. Rasulullah SAW menjadi risau lalu mendekati anak almarhum tersebut lalu bertanya apakah perbuatan yang pernah dilakukan ayahnya semasa hidupnya? Lalu anak almarhum menjawab bahawa ayahnya baik terhadap semua orang namun malangnya dia selalu mengabaikan sembahyangnya. Lalu Rasulullah SAW berseru kepada sekalian yang turut serta di upacara pengkebumian tersebut bahawa ambillah pengajaran dari kejadian tersebut akibat daripada suka mengabaikan sembahyang ketika hidupnya jenazah tersebut bertukar menjadi babi hutan dan begitu juga rupanya ketika dibangkitkan di akhirat kelak. 

Terdapat juga kisah pengajaran semasa zaman pemerintahan Abu Bakar RA tersebutlah kisah seorang lelaki yang meninggal dunia lalu dimandikan, dikafankan seperti layaknya muslim yang lain yang meninggal dunia. Ketika hendak disembahyangkan tiba-tiba tubuh mayat itu bergerak-gerak dan salah seorang daripada yang ada disitu meraba-raba tubuh mayat tersebut dan mendapati ada sesuatu yang asing di dalam kain kafan itu. Ternyata disebalik kafan itu terdapat seekor ular yang sedang membelit leher mayat dan menggigit dagingnya. Salah seorang daripada yang ada di situ hendak membunuh ular tersebut namun dengan penuh keajaiban dan dengan kuasa Allah SAW ular itu boleh mengucapkan kalimah syahadat. Lalu berbicara seperti manusia dan melontarkan pertanyaan kenapa mereka ingin membunuhnya sedangkan dia juga adalah makhluk Allah dan Allah SWT telah menyuruhnya menyeksa mayat tersebut hingga hari Kiamat. Orang ramai yang ada disitu lantas bertanya apa yang menyebabkan mayat tersebut diseksa sebegitu rupa. Ular itu menjawab bahawa semasa hidupnya, jenazah tersebut mempunyai tiga dosa dan kesalahan. Pertama, walaupun sudah terdengar seruan azan namun dia enggan sembahyang berjemaah dan selalu melengah-lengahkan waktu. Keduanya, dia enggan membayar zakat atas harat yang dimilikinya dan ketiga dia tidak mempedulikan nasihat ulama lalu binatang itu menghilang. 

Dalam kisah pengajaran lain dimana seorang saudagar kaya ingin membeli hamba, dan dia tertarik dengan seorang pemuda hamba lalu membelinya. Namun si hamba mengenakan tiga syarat iaitu si hamba sebagai seorang muslim dia mempunyai kewajipan apabila masuk waktu sembahyang saudagar tersebut tidak boleh menghalangnya untuk melakukan solat. Kedua, saudagar boleh menyuruhnya melakukan apa sahaja pada waktu siang tetapi tidak pada waktu malam kerana dia ada keperluan khusus dan ketiga hamba tersebut diminta disediakan bilik khusus dengan tidak ada seorang pun boleh memasukinya. Saudagar pun bersetuju membeli pemuda tersebut dan memenuhi syarat-syarat yang dikehendakinya. Rumah saudagar itu sangat luas dan dikelilingi tembok, ketika melihat-lihat suasana di rumah tersebut pemuda hamba tadi terpandang sebuah bangunan yang tidak jauh dari rumah induk lalu menyuarakan hasrat untuk tinggal di dalam bangunan tersebut untuk ditempatinya di malam hari. Namun ditegah oleh saudagar tersebut tetapi pemuda itu tetap berkeras untuk menempati bangunan tersebut dengan berkata dia lebih suka tinggal bersama Allah SWT dibangunan hamper roboh itu. Mulai detik itu, pemuda tersebut menjadi hamba dan mengabdi kepada majikannya dengan penuh taat dan rajin bekerja. Pada sebelah malam pula pemuda tersebut masuk ke bangunan buruk tempat tinggalnya dan sepanjang malam dia akan berdialog dengan Allah SWT. Suatu malam si majikan berjalan-jalan di sekitar perkarangan rumah dan dia turut melalui bangunan yang didiami hambanya, saudagar itu secara tidak sengaja telah menjenguk ke dalam bangunan itu dan terperanjat kerana mendapati bangunan tersebut terdapat cahaya. Saudagar semakin hairan kerana melihat hambanya sujud dengan khusyuk sementara ada lampu bercahaya terang dan mengaibkan kerana lampu itu tidak bergantung pada apa pun!

Saudagar mendengar hambanya sedang bermunajat kepada Allah SWT dengan suara lirih. ”Ya Allah, ampunilah aku. Sungguh Engkau adalah Dzat yang bijaksana dan mengerti akan kesukaranku. Kerana itu maafkanlah aku. Sebab aku memang harus mentaati majikanku. Aku melayaninya di siang hari. Kalau sahaja aku tidak ada kewajipan tersebut, tentu seluruh waktu ku akan ku pergunakan untuk berkhidmat kepada-Mu. Maafkanlah aku, wahai Tuhan!”Saudagar tersebut yang sedari tadi tercegat diluar bangunan hatinya terasa bergetar dan terharu dengan apa yang disaksikannya. Menjelang Subuh, lampu yang berada di atas hamba itu lenyap sama sekali dan atap bangunan yang terbuka semalam tertutup kembali. Lantas si majikan segera meninggalkan tempat itu dan menceritakan kepada isterinya tentag kejadian yang dilihatnya namun isterinya tidak percaya lalu dibawa isterinya dibawa menuju ke tempat dimana bangunan yang didiami hambanya itu dan dengan kuasa Allah peristiwa malam sebelumnya berulang kembali. Benarlah apa yang dikatakan oleh suaminya, lalu keduanya menitis airmata dan mereka kembali ke rumah selepas itu. Keesokannya, pemuda hamba itu dipanggil dan majikan suami isteri itu memulakan bicara dengan menyatakan ketakutan mereka kepada Allah SWT. Kerana takut kepada Allah SWT mereka menyatakan bahawa untuk memerdekakan pemuda hamba tersebut agar tidak mengekangnya daripada meluangkan banyak waktu untuk beribadat kepada-Nya. Dengan linangan airmata kerana tidak mampu menahan kegembiraan, pemuda itu lalu sujud syukur dan selepas itu tidak lagi pernah bangkit kerana hamba yang baru dibebaskan dari Tuannya itu telah meninggal dunia. 

Begitulah serba sedikit tentang kisah-kisah pengajaran berkaitan dengan solat dan perbezaan antara orang Islam dan orang kafir. Banyak pengajaran-pengajaran yang boleh diperoleh daripada apa yang telah disampaikan di atas. Antaranya, sebagai seorang Islam dan muslim kita sewajarnya mengikut lunas-lunas Islam sebenar yang membezakan kita daripada orang-orang kafir. Sementara kisah pengajaran solat dapat kita ambil iktibar bahawa solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat dia mendirikan agamanya, siapa yang meninggalkan solat dia meninggalkan agamanya. Solat adalah wajib bagi tiap individu muslim, sesiapa yang meninggalkannya awal-awal lagi akan mendapat seksa sejak di dunia lagi apatah lagi di akhirat kelak. Wallahua’lam!

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com