PENDAHULUAN…
Buku yang telah saya pilih untuk dibaca bertajuk Perangkap Syaitan Dan Cara Menghindarinya. Buku ini dikarang oleh Ilyas Mohammad Omar.
Syaitan adalah makhluk ghaib. Kewujudannya diberitahu kepada kita oleh Allah melalui Rasul-Nya. Kita diberitahu juga bahawa syaitan dan iblis merupakan musuh manusia. Setiap saat memerangi manusia dengan membisikkan hasutan, godaan dan tipu dayanya. Manusia yang mengerjakan ibadat kepada Allah paling dimusuhinya. Seberapa daya, dicubanya menahan manusia daripada mendekati Allah. Menurut Yahya ibni Mu adz al-Razi, Syaitan itu tidak bekerja, sedangkan kamu sibuk dengan pekerjaan dan pelbagai urusan. Syaitan sentiasa melihat kamu, sedangkan kamu tidak dapat melihatnya. Kamu selalu sahaja alpa dan melupakan jerat yang dipasangnya, tetapi dai tidak melupakan kamu. Para ulama menjelaskan pelbagai langkah untuk mengesan dan sekaligus memerangi syaitan. Menurut Imam al-Ghazali, kita hendaklah sentiasa memerangi syaitan dengan memohon perlindungan daripada Allah swt sambil terus beribadat kepada-Nya. Jika serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebatnya, kita mestilah bersabar dan menyedari bahawa Allah hendak menguji keteguhan iman dan kesabaran dan ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.
SEJARAH IBLIS…..
Di dalam kitab”al Wiqayah min al wa al syaitan”dijelaskan mengenai biodata dan riwayat hidup iblis yang dilaknat Allah iaitu seperti berikut…
BIODATA DIRI….
Nama:Iblis Lanatullah
Tarikh lahir:Sejak ia membantah dan enggan sujud kepada Nabi Adam setelah diperintahkan oleh Allah
Status dan martabat diri:Fasiq kelas pertama
Agama dan keyakinan : Kufur
Tempat tinggal :Di hati setiap orang yang fasik dan menyukai kebatilan
Kawasan/daerah jajahan :Semua tempat diman tidak disebut nama Allah dan kemungkaran bermaharajalela.
Tempat tinggal tetap ;neraka jahanam
Perhiasan dunia :Semua wanita yang tidak menutup aurat.
Sahabat handai:Semua golongan penguasa yang zalim
PERDAGANGAN DAN PERINDUSTRIAN
Modal utama :Angan-angan kosong dan janji-janji palsu.
Dewan orang ramai:Pasar dan pusat membeli belah
Bentuk perniagaan:Tipu muslihat dan penipuan dalam harga, timbangan dan kuantiti barang.
Semboyan:Segala bentuk perhiasan duniawi dan kemunafikan.
Uniform kerja:Segala warna dan pakaian yang merangsangkan.
Kesukaannya:Orang yang lalai dari mengingati Allah.
Yang melemahkannya :Orang yang beristighfar
Lambang korporat :Sebarang tatu.
Pejabat :Tandas
Sifat :Muzabzab. Mengikut arah angin dan kesenangan ramai.
Rakyat:Golongan munafik
Sumber rezeki:Harta haram
Jenis perkhidmatan:Menyuruh kepada kemungkaran
Arahannya:Selalu mengarahkan supaya manusia melahirkan kebatilan dan kemaksiatan
Jawatan:General Manager golongan al-Maghdhubi alihim dan golongan ad-Dhallin.
Tempoh perkhidmatan:Sehingga hari kiamat
Rakan kongsi:Syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia.
Teman sejawat :Orang yang berdiam diri dan tidak mengatakan kebenaran
Watak dan sifat utama:Pembohong
Kaedah komunikasi:Mengumpat, mengadu domba dan mengintip.
Makanan yang disukai:Daging orang mati (ghibah)
Yang ditakuti:Mukmin yang bertakwa
Yang dibenci:Orang yang selalu mengingati Allah sama ada lelaki atau perempuan.
Daya tahan:”Sesungguhnya daya tahan syaitan sangatlah lemah”
Perangkapnya:Wanita
Kegemarannya:Menggoda dan menyesatkan
Cita-citanya:Supaya semua orang menjadi kafir.
Kerja yang paling disukainya :Homoseks dan lesbian
Kod isyarat pertuturan untuk pengikutnya:”Aku” (sebutan egoistik orang yang takabbur)
Para penghiburnya:Seniman dan seniwati
Yang menyebabkan ia menangis:Bilamana orang sujud kepada Allah.
SYAITAN MEMBINA EMPAYAR KESESATAN DAN KEBATILAN.
Iblis adalah mahaguru yang mengajarkan kesesatan dan kebatilan kepada manusia. Ajaran sesat ini bermula sejak Adam dicipta kemudian ditempatkan dia dan isterinya di dalam syurga. Kedudukan istimewa yang diperoleh Adam dan pasangannya, Hawa rupa-rupanya tidak disukai iblis yang sekian lama berdendam terhadapnya. Akibat dendam kesumat yang membara itulah lahir cita-cita keji bagaimana untuk mengusir Adam dari tempat dan kedudukannya yang istimewa itu. Iblis telah mengumpan Adam dan Hawa untuk memakan buah yang telah dilarang oleh Allah. Kerana terpedaya dengan pujuk rayu syaitan, akhirnya mereka memakan buah itu sedangkan Allah telah memberi peringatan agar tidak mendekati pokok itu apatah lagi memakan buahnya. Setelah memakan buah tersebut barulah mereka tersedar yang mereka telah melakukan kesalahan yang akan menimbulkan kemarahan Allah. Adam dan Hawa menangis semahu-mahunya kerana kesilapan yang telah mereka lakukan itu. Mereka akhirnya diusir dari syurga dan diturunkan ke dunia kerana mengingkari larangan yang telah Allah perintahkan. Iblis amat tidak menyukai manusia kerana dia menganggap dirinya adalah lebih mulia kerana dijadikan daripada api sedangkan manusia dijadikan daripada tanah. Apabila Allah memerintahkan untuk sujud kepada Adam, hanya iblis sahaja yang ingkar dengan perintah tersebut dan menyebabkan Allah murka. Maka dengan sebab itulah syaitan tergolong dalam ahli neraka dan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.
Iblis dan keturunannya yang terdiri daripada jin dan syaitan tidak pernah berhenti memerangkap mangsa dan menyesatkannya. Ia menggunakan apa sahaja umpan yang sesuai dengan mangsa yang hendak diperngkapnya.
Firman Allah yang bermaksud:”pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu…. ” (al-Isra:64)
Mangsa syaitan terdiri daripada semua peringkat dan kedudukan manusia. Perangkap syaitan tidak kenal sama ada orang alim atau jahat, rakyat atau pemimpin, ahli sufi atau ahli fekah, bahkan nabi-nabi juga hampir terkena perangkap syaitan jika tidak dilindungi Allah. Ibn al-Jawzi seorang ulama terkenal dalam abad ke-6 Hijrah dalam bukunya”Tablis Iblis”menyatakan ramai ulama dan ahli ibadat yang dikelirukan iblis. Hampir tiada jalan kecuali iblis tetap menunggu untuk memasang perangkapnya. Ramai yang terpesong kerana iblis amat handal dalam memerangkap manusia.
Disebutkan dalam sebuah riwayat pada suatu malam tatkala Nabi bermalam mengikut gilirannya di rumah isterinya Aisyah RA., tiba-tiba setelah berlalu dua pertiga malam, baginda keluar rumah dan menuju ke kubur tanpa memberitahu Aisyah yang sememangnya cemburu terhadap Nabi SAW. Melihat Aisyah mengekorinya pada malam buta itu, baginda bertanya:Apakah engkau telah cemburu terhadapku? Jawab Aisyah:Apakah orang sepertiku tidak cemburu terhadap orang sepertimu?Nabi bertanya lagi:Apakah engkau cemburu akibat gangguan syaitan?Jawab Aisyah lagi:Jika aku diganggu syaitan, bagaimana dengan tuan?Sabda Nabi:Aku juga mungkin diganggu, tetapi Allah telah melindungiku. Jika nabi boleh diganggu, maka pewaris-pewaris nabi dan seluruh umatnya pasti diganggu selagi ada umpan yang sesuai dengan seseorang yang bakal menjadi mangsanya. Kita perlu ingat, syaitan hanya boleh mengganggu, membisik dan mewaswaskan, tetapi tidak boleh menentukan kesesatan pada manusia tanpa izin Allah.
TIPU DAYA SYAITAN TERHADAP MANUSIA
Terdapat tujuh perkara di mana tipu daya syaitan terhadap manusia dijalankan dengan begitu rapi dan teliti demi menjayakan cita-citanya iblis iaitu meramaikan pendudk neraka dengan kebanyakannya manusia dan jin. Tujuh perkara yang menjadi stategi dan panduan syaitan dalam menjayakan kesesatannya adalah seperti berikut. :
1. SYAITAN MELARANG MANUSIA BERIBADAT KEPADA ALLAH.
Inilah kerja harian syaitan terhadap manusia. Bagaimanapun, orang–orang yang dipelihara Allah akan menolak seruan syaitan ini dan mengatakan”Aku mengharap pahala dari Allah dengan melakukan pelbagai ketaatan dan amal ibadat, aku harus mempunyai bekal di dunia demi akhirat yang kekal”.
2. SYAITAN SENTIASA MEMUJUK MANUSIA AGAR TIDAK TAAT.
“Nanti saja atau sudah tua kelak”, demikian bisikan syaitan.
Bagaimanapun, orang-orang yang terpelihara akan menolaknya dengan mengatakan
“Kematianku bukan berada di tanganmu. Jika aku menunda-nunda beramal hari ini atau esok hanya menempah kerugian. Sedangkan setiap hari aku mempunyai amal yang berlainan”.
3. SYAITAN MENDORONG MANUSIA AGAR TERGESA-GESA.
“Cepatlah beramal, agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan yang lain. ”bisik syaitan.
Orang-orang yang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan:”Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik dari amal yang banyak tetapi tidak sempurna”.
4. SYAITAN MENDORONG AGAR BERAMAL KERANA MANUSIA.
Syaitan akan memerintahkan kepada manusia untuk menjalankan amal baik secara sempurna agar tidak dicela orang lain.
Mereka yang dipelihara Allah akan mengatakan”Bagi saya, penilaian cukup hanya dari Allah, dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia.
5. SYAITAN MEMUJI AMALAN SESEORANG.
Apabila menjumpai orang yang taat melakukan ibadat, syaitan akan membisikkan”Betapa tinggi darjatmu dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurna dirimu. ”
Orang yang dipelihara Allah akan mengatakan”Keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah, bukan kekuatan dan kekuasaanku. Sekiranya tanpa kurnia-Nya, apalah erti amalanku ini, dibandingkan dengan banyaknya nikmat Allah yang diberikan kepadaku, di samping dosaku yang banyak pula.
6. SYAITAN MENYEBARKAN PENYAKIT RIAK.
Syaitan membisikkan di hati manusia”bersungguh-sungguhlah engkau beramal, jangan sampai diketahui orang lain. Sebab Allah jualah memberitahu kepada orang lain bahawa engkau seorang hamba yang ikhlas. ”
Orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak godaannya dengan mengatakan”tiada hentinya engkau menggodaku dan merosak amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini kau berpura-pura seolah akan memperbaiki amalanku, padahal kau bermaksud…merosaknya. Aku adalah hamba Allah dan Allah menjadikanku. Dan jika berkehendakkan, Allah akan melahirkan atau menyembunyikan amalanku. Dan jika menghendaki…Allah akan menjadikanku mulia dan hina. Semuanya adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia.
7. SYAITAN MENAMBAHKAN PERASAAN RAGU-RAGU.
Syaitan mengatakan”Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri dengan beramal ibadah. Sebab, jika Allah telah menetapkanmu sebagai orang yang berbahagia pada hari ‘azali’ kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak menjadi mudarat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia. Dan sebaliknya jika Allah menetapkanmu sebagai orang celaka, tidak guna engkau beribadat kerana engkau tetap celaka.
Orang-orang yang terpelihara oleh Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan”Aku hanyalah hamba Allah, wajib bagiku menuruti perintah-Nya. Allah Maha Mengetahui dan berbuat apa saja sesuai dengan kehendak-Nya. Walau bagaimana keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahgia, aku tetap beribadah untuk memperbanyak pahala. Dan jik aku orang yang celaka, aku juga tetap akan melakukan ibadat agar tidak menjadi penyesalan buatku. Sekiranya aku masuk neraka, padahal aku taat, itu lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana berbuat maksiat. ”
SIFAT, KARAKTER DAN CARA IBLIS MENGGODA.
1. MUSUH-MUSUH IBLIS
a) Rasulullah SAW
b) Orang beriman yang pengasih dan penyayang
c) Orang beriman yang suka memberi nasihat
d) Orang beriman yang berakhlak mulia
e) Orang beriman yang bertaubat di atas dosanya.
f) Orang beriamn yang banyak bersedekah
g) Orang beriman yang dapat memberi manfaat kepada orang ramai
h) Orang beriman yang mengerjakan solat dengan penuh khusyuk.
i) Orang kaya yang rendah hati
j) Ketua Negara atau pemerintah yang adil
k) Peniaga yang jujur dan amanah
l) Orang yang bangun beribadah di tengah malam sedang orang lain diulit mimpi.
2. SAHABAT-SAHABAT IBLIS
a) Orang kaya yang sombong.
b) Peminum arak
c) Hakim yang tidak adil
d) Peniaga yang tidak jujur
e) Orang yang tidak mengeluarkan zakat
f) Orang yang meringankan solat
g) Orang yang memakan harta anak yatim
h) Orang yang beramal kerana nama.
i) Orang yang suka duduk termenung dan mengelamun
j) Penghasud dan pendengki bilamana orang lain mendapat kesenangan
3. PINTU HATI MANUSIA YANG DIMASUKI IBLIS
a) Putus asa dan kecewa dengan rahmat Allah
b) Memandang remeh pada dosa-dosa kecil
c) Panjang angan-angan dan suka kepada puji-pujian
d) Bodoh tetapi tidak pula menyedari akan kebodohan itu.
e) Memandang rendah kepada orang lain
f) Ketika kita sedang marah kerana marah itu adalah bara api neraka.
g) Ujub, sombong, riak dan buruk sangka pada orang lain
h) Terlalu cinta dan rakus mengejar kenikmatan hidup di dunia.
i) Bersikap bakhil dengan harta yang diperolehnya.
4. RUMAH YANG TIDAK DIMASUKI IBLIS
a) Rumah yang penghuninya saling bermaaf-maafan di antara satu sama lain
b) Rumah yang penghuninya berada dalam keadaan bersih dan berzikir kepada Allah
c) Rumah yang penghuninya sentiasa menjauhkan diri dari melakukan perbuatan tercela.
d) Rumah yang penghuninya sentiasa merendahkan diri kepada Allah
e) Rumah yang penghuninya tidak melakukan perbuatan haram
f) Rumah yang penghuninya terdiri dari pasangan soleh dan solehah
g) Rumah yang penghuninya sentiasa berbakti kepada ibu bapa
h) Rumah yang penghuninya sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah
i) Rumah yang penghuninya sentiasa menghubungkan tali silaturrahim
j) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga hak-hak dan kewajipan terhadap Allah
5. SENJATA MENGHALANG SYAITAN
a) Membaca Bismillah (menjadi kunci pada perbuatan baik)
b) Banyakkan berzikir dan Beristighfar
c) Tidak tidur berseorangan
d) Membaca doa pagi dan petang
e) Melaksanakan solat berjemaah
f) Berwudhuk sebelum tidur
g) Menutup aurat
h) Banyakkan berselawat ke atas Nabi SAW
i) Banyakkan membaca Al-Quran dan memahami maksudnya
j) Mengamalkan membaca Surah Yassin setiap pagi di samping faham akan maksudny
CARA-CARA MENGHALANG GODAAN SYAITAN.
Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia, ternyata ia masuk ke dalam diri melalui sepuluh pintu :
PERTAMA :
Tamak dan buruk sangka, maka aku hadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.
KEDUA :
Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu aku hadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.
KETIGA :
Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas aku hadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti akan menanti.
KEEMPAT :
Kagum terhadap diri sendiri (Ujub) , lantas aku menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah dan kepada akibat yang buruk.
KELIMA :
Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghadapnya dengan mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka secara wajar.
KEENAM :
Hasad (dengki) , lalu aku menghadapnya dengan sifat berpada (qanaah) dan redha terhadap kurniaan Allah kepada makhluknya.
KETUJUH :
Riyak dan sukakan puji-pujian, lalu aku menghadapinya dengan perasaan ikhlas.
KELAPAN :
Bakhil (kedekut) , lalu aku menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi Allah
KESEMBILAN :
Takabbur (membesarkan diri) , lalu aku menghadapinya dengan rasa tawaduk.
KESEPULUH :
Tamak haloba, lalu aku menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi makhluknya.
PINTU-PINTU SYAITAN DAN CARA MENUTUPNYA
1. Nafsu marah dan syahwat.
Syaitan berkata ‘Ingatlah aku ketika engkau sedang marah kerana ketika itu aku ada di hatimu, mataku di matamu dan aku mengalir di dalam darahmu mengikut aliran darah.
‘Ingatlah aku setelah engkau marah kerana apabila seseorang telah marah aku meniup pada hidungnya dan ia tidak sedar apa yang dibuatnya.
‘Ingatlah aku ketika menghadapi serangan musuh kerana ketika itu aku akan menemui anak Adam dan mengingatkannya kepada isteri dan anaknya sehingga menyebabkan dia berundur diri’.
‘Jauhilah duduk dengan wanita bukan muhrimmu kerana aku adalah sebagai utusan kamu berdua dan aku akan menggoda sehingga kamu tertarik satu sama lain’
2. Hasad dengki dan tamakkan keduniaan.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
‘Cintamu terhadap sesuatu adalah membutakan dan menulikan’
[Riwayat Abu Daud]
3. Kekenyangan makan
Tabiat banyak makan akan menghilangkan rasa takut terhadap Allah, menghilangkan rasa belas kasihan sesame makhluk kerana menyangka semua orang telah kenyang, memberatkan seseorang menunaikan kewajipan, tidak tertarik mendengar nasihat atau kata-kata hikmat, dan menimpakan banyak penyakit.
Syaitan berkata ‘Semua ini adalah syahwat-syahwat yang aku gunakan untuk menggoda manusia. Apabila engkau kenyang, aku akan membuatmu berat untuk menunaikan solat dan mengingati Allah’.
4. Gopoh dan tidak menyelidik terlebih dahulu.
‘Gopoh itu adalah perbuatan syaitan dan berhati-hati adalah dari suruhan Allah’.
[Riwayat At-Tirmizi]
‘Dan janganlah engkau gopoh tentang Al-quran itu sebelum selesai diwahyukan kepadamu’
[Thaha:114]
5. Harta dan wang.
Siapa yang mempunyai harta cukup untuk keperluannya sahaja, hatinya akan bersih dari sebarang keinginan syahwat. Tetapi apabila ia menjumpai 100 ribu di tengah jalan umpamanya, maka dari hatinya akan tercetus sepuluh macam syahwat dan keinginan yang masing-masing itu mahukan 100 ribu juga.
6. Lokek dan takut kemiskinan
Tiada senjata yang paling berkesan digunakan oleh syaitan seperti perasaan takut akan rasa miskin, kerana jika seseorang itu berperasaan demikian ia akan mendapatkan harta secara haram, enggan mengeluarkannya kepada yang berhak menerimanya, bercakap mengikut hawa nafsu dan menyangka buruk terhadap Tuhannya.
7. Perbuatan memikirkan tentang zat dan sifat-sifat Allah dan perkara-perkara lain tanpa ilmu pengetahuan dan di luar kemampuan fikiran.
‘Sesungguhnya syaitan mendatangi salah seorang dari kamu dan bertanya :Siapakah yang menciptamu?, Orang itu lalu menjawab:Allah tabaraka wa ta’ala, Maka syaitan bertanya lagi:Siapakah yang mencipta Allah?, Jika salah seorang dari kamu mendapati demikian maka hendaklah ia menjawab:‘Aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. ’Kata-kata itu akan melarikan syaitan darinya. [Mutafaq ‘Alaih]
8. Sangkaan buruk sesama kaum Muslimin.
‘Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah banyak sangkaan kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa. ’{Al-Hujurat:12}
CARA MENUTUP PINTU-PINTU SYAITAN…
1. Zikir.
Zikir mengingati Allah itu bolehlah diumpamakan sebagai ubat, sementara takwa itu ialah perlindungan dari bahaya iaitulah mengosongkan hati dari nafsu syahwat.
‘Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila syaitan yang datang berkunjung menipu mereka, mereka akan ingat kembali dan ketika itu mereka menjadi orang-orang yang mempunyai penglihatan’.
2. Mengamalkan Ayat Kursi
Ayat ini diturunkan semasa Hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan juga iblis menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka.
3. Perbanyakkan menyebut akhirat.
Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
Berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingati kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan baik yang ada pada diri kita itu adalah datang dari Allah. Allah yang menjadikan kita orang baik, jadi kita patut bersyukur bukan mendabik dada mengatakan kita orang baik.
5. Jangan menyebut-nyebut dan menampakkan keaiban atau keburukan orang.
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan, selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan keaiban orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat kekurangan pada diri kita sendiri bak kata pepatah ‘kuman di sebelah lautan nampak, gajah di depan mata tak kelihatan’.
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com