Panduan Amalan Ketika Sakit -

Kehadiran maut selalunya didahului dengan cubaan sakit. Oleh sebab itu kita perlu pelajari bagaimana penyakit yang kita hadapi itu menjadi rahmat. Bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah, memahami bahawa segalanya ialah cubaan Allah SWT. sama ada bentuknya kenikmatan atau kesengsaraan. Sesungguhnya cubaan kesengsaraan jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan cubaan kemewahan dan kenikmatan. 

Sakit juga merupakan cubaan dari Allah, kerana pada saat ini seseorang diuji, bagaimana sikapnya dalam menerima ujian Allah tersebut. Apakah dengan cubaan atau ujian ini akan bertambah dekat dengan Allah atau sebaliknya. 

Antara perkara yang harus diperhatikan oleh orang yang sedang sakit ialah sentiasa berzikir ketika sakit. Hati yang sentiasa ingat kepada Allah sebagai tanda hati yang mendapat pimpinan dariNya. Sedangkan hati yang lupa dari mengingati Allah sebagai tanda bahawa hati tersebut sedang diselimuti dosa dan kemurkaan Allah SWT, serta hati yang jauh dari rahmat dan kasih sayangNya. Jika orang yang dalam keadaan sakit memiliki hati yang alfa, maka hendaklah ia segera bertaubat dan berasa bimbang, kalau-kalau dirinya yang sedang sakit itu terlepas dari pemeliharaan Allah SWT. 

Zikir adalah cara yang paling tepat untuk membersihkan hati. Salah seorang ulama berpendapat bahawa, hukum zikir dalam membersihkan hati adalah sama dengan pasir dalam membersihkan tembaga. Sedangkan ibadah-ibadah lain selain zikir sama dengan sabun dalam membersihkan tembaga, dan bersihnya tembaga dengan cara menggunakan sabun memerlukan waktu yang agak lama. Oleh itu, bagi orang yang dalam keadaan sakit, hendaklah ia lebih meningkatkan lagi zikirnya kepada Allah. Dengan demikian diharapkan rahmat Allah akan sentiasa menyertainya. 

Tujuan berzikir atau mengingati Allah ialah untuk menghadirkan hati kepadaNya, sehingga akan menghasilkan keimanan yang kukuh kepada perkara yang ghaib, kepada hari akhirat dan lain-lain yang wajib diimani. Dengan tebalnya iman di dalam hati, tentu akan dapat membangkitkan semangat dan menguatkan jiwa dalam menghadapi ujian Allah. Bagi orang yang berzikir atau mengingati Allah, akan memperoleh jaminan dan keistimewaan. 

Firman Allah yang bermaksud :”Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim (tunduk dan patuh kepada Allah ) , lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar. ” (Al-Ahzab:35) . 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Tidak inginkah kamu aku beritahu tentang amal yang baik, yang paling bagus menurut Allah SWT yang dapat meningkatkan darjat kamu dihadapan Allah SWT, yang lebih baik bagi kamu daripada membelanjakan emas dan perak, yang lebih baik untuk kamu daripada menggempur musuh, lalu kamu saling memukul dengan mereka ?”Kaum Muslimin menjawab:”tentu sahaja kami ingin ya Rasulullah. ”Rasulullah SAW bersabda:”Iaitu zikir (ingat) kepada Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi. ” (HR. Muslim dan An-Nasai) . 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:”Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan tidak berzikir itu adalah seperti orang hidup dan orang mati. Barangsiapa yang tidak berzikir kepada Allah, maka benar-benar ia telah lepas dari iman. ” (HR. Tabrani) . 

Sabda Rasulullah SAW:”sekumpulan orang Islam yang duduk dalam suatu majlis bersurai dari majlis itu tanpa berzikir kepada Allah SWT dalam majlis tersebut, kumpulan itu hanyalah bagaikan bersurainya sekumpulan orang dari bangkai khimar, dan kumpulan itu pasti bersusah hati pada hari kiamat. ” (HR. Albazar) . 

Sabda Rasulullah SAW:”Setiap anak cucu Adam itu dihatinya pasti ada dua rumah, yang satu ditempati oleh malaikat, yang satu lagi ditempati oleh syaitan. Kalau anak cucu Adam itu berzikir kepada Allah, maka syaitan mundur. Tetapi apabila ia tidak berzikir kepada Allah, maka syaitan menancapkan paruhnya pada hatinya, membisikkan gangguan agar tidak taat kepada Allah. ” (HR. Ibn Abi Syaiban) 

Jika kita renungkan makna hadith yang terakhir ini, jelaslah betapa pentingnya seseorang itu sentiasa mengingati Allah apalagi bagi orang yang dalam keadaan sakit. Dalam keadaan sakit hati tidak boleh kosong dari mengingati Allah. Jika ia lupa dari mengingati Allah, maka syaitan akan segera mengisi hatinya. Dikhuatiri ia akan mati dalam keadaan mengikut jejak langkah syaitan. 

Orang yang dalam keadaan sakit hendaklah berbaik sangka kepada Allah dan rela menerima takdir yang telah ditentukan Allah kepada dirinya. Jangan sampai terlintas dalam hatinya bahawa penyakit yang diberikan Allah itu adalah sebagai perbuatan yang tidak adil, sehingga ia berkeluh kesah dan seakan-akan tidak menerima ketentuan Allah tersebut. Orang yang sentiasa berbaik sangka kepada Allah dan menyedari akan hakikat kehidupan ini, maka ia akan mendapat rahmat dari Allah dan Allah akan berbuat untuknya mengikut sangkaan baiknya itu. Sebagaimana yang dijelaskan Allah dalam hadith qudsi yang bermaksud:”Allah berfirman:”Aku sesuai dengan sangkaan hamba-Ku kepada-Ku dan aku selalu bersamanya (menolongnya) , kalau ia sentiasa ingat kepada-Ku. Jika ia menyebut-nyebut nama-Ku dalam hatinya, maka aku akan menyebutnya pada Zat-Ku, dan bila ia menyebut nama-Ku di kalangan orang ramai, maka Aku akan menyebut namanya di kalangan makhluk yang lebih baik daripada kalangannya. ” (HR. Bukhari dan Muslim) . 

Sabdanya lagi yang bermaksud:”Janganlah seseorang di antara kamu mati, kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah SWT. ” (HR. Baihaqi dan Ahmad) 

Bagi orang yang dalam keadaan sakit hendaklah memperbanyak membaca surah Al-Mulk. Surah tersebut mempunyai beberapa keutamaan, antaranya ialah a) dilimpahkan kebaikan di dunia, b) pendinding dari seksa kubur c) memperoleh kenikmatan syurga. 

Orang dalam keadaan sakit hendaklah penuh harapan kepada Allah, akan diampuni dosanya. Harapan agar Allah akan menyediakan tempat bahagia baginya. Harapan agar ia dalam keadaan penuh iman dan taqwa kepada Allah SWT. Sesungguhnya harapan seperti itu hanya dapat dicapai bagi orang yang sedang menghadapi mati, ketika ia benar-benar sudah bertaubat dan minta ampun atas segala dosa dan kesalahannya. Ketika seseorang menghembus nafas yang penghabisan dalam keadaan penuh harapan kepada Allah dan rasa takut akan dosa-dosanya, maka orang itu mati dalam keadaan yang paling baik. Perasaan ini tidak akan timbul di kala menghadapi mati, kecuali bagi orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah. Cukup amal kebajikan dalam kehidupannya dan benar-benar sudah bertaubat serta minta ampun atas segala dosa yang dilakukannya. Sebaliknya bagi orang yang tidak beriman dan bertaqwa serta tidak pernah melakukan kebajikan dan hidupnya penuh dengan dosa tidak mungkin mempunyai rasa harapan kepada Allah disaat-saat menghadapi maut. Bahkan semua dosa dan kesombongannya selama ini akan menakut-nakutkannya, dan menghantuinya ketika menghadapi maut. 

Walaupun orang yang sakit itu penyakitnya sangat parah, namun tidak boleh baginya menginginkan kematian. Sebagaimana diterangkan dalam sebuah hadith yang bermaksud :”Dari Umi Fadl ra. bahawa Rasulullah SAW melihat bapa saudara Abbas yang sedang sakit tenat. Bapa saudaranya itu bercita-cita agar segera mati. Maka Rasulullah SAW menegurnya:”wahai bapa saudaraku, janganlah bercita-cita agar segera mati, bila anda orang yang baik lalu dipanjangkan umur, maka kesempatan itu dapat anda pergunakan untuk menambah amal soleh yang anda miliki. Bila anda orang yang berperangai buruk, lalu dipanjangkan umur, maka kesempatan yang ada itu dapat dipergunakan untuk bertaubat, oleh kerana itu janganlah bercita-cita untuk segera mati. ” (HR. Al-Hakim) . 

Dalam hadith yang lain diterangkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:”Janganlah seorang diantara kamu mengharapkan mati. Entah ia seorang yang berdosa, maka hendaklah meminta ampun, atau orang yang baik maka hendaklah ia menambah bekalnya. ” (HR. Bukhari, Muslim, Baihaqi, dan An-Nasai) 

Sebaiknya dalam menghadapi penderitaan yang amat sangat ini kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW supaya berdoa dengan ayat ini. Ertinya :”Ya Allah hidupkanlah aku jika sekiranya kehidupan itu membawa kebaikan untukku, dan matikanlah aku jika sekiranya kematian itu (menurut-Mu ) lebih baik untukku. ” (HR Bukhari dan Muslim) 

Orang yang dalam keadaan sakit hendaklah memperbanyak istighfar kepada Allah, agar dosa-dosa yang telah dilakukannya mendapat keampunan dari Allah SWT. Antara syarat-syarat istighfar yang harus dipenuhi agar istighfar tersebut diterima di sisi Allah ialah : a) niat yang betul dan ikhlas. b) tidak bercanggah antara hati dan perbuatan. c) sentiasa menjaga kesucian d) tidak mudah berputus asa. e) membaca istighfar dalam solat. f) berdoa untuk orang-orang mukmin. g) bacaan istighfar mengikut Sunnah. h) amalan bacaan istighfar dan doa. 

Di dunia ini tidak luput dari susah dan senang, sihat dan sakit, suka dan duka. Adakalanya ujian itu berkenaan dengan diri sendiri dan ada kalanya berkenaan dengan keluarga. Apa yang dialami oleh manusia itu semuanya datang dari Allah dan merupakan ujian hidup bagi manusia. Berbagai macam cara Allah menguji manusia, apakah ia tahan menghadapinya atau tidak. Dalam menghadapi hal ini hendaklah manusia itu berusaha sekuat tenaga, agar jangan sampai melanggar ketentuan agama. Kita seharusnya bersabar dengan ujian Allah. 

Firman Allah yang bermaksud :”Dan sungguh Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, ”Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan. ”Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. ” (Al-Baqarah:155-157) . 

Jika ditimpa malapetaka berupa sakit dan sebagainya, hendaklah kita tabah menahan pahit dan getirnya. Begitu juga jika datang suatu kewajipan dari Allah, hendaklah kita tahan dan tekun mengerjakannya. Janganlah sampai segala yang wajib kita tinggalkan. Kemudian hendaklah kita tahan diri, jangan sampai kita terjerumus kepada menurutkan hawa nafsu. Setiap mukmin selalu mendapat ujian dari Allah. Ada sahaja cubaan yang diberiNya. Bagi mukmin yang sedar, ujian itu dihadapi dengan tabah, kerana ia ingin lulus dari ujian tersebut. Firman Allah yang bermaksud :”Apakah manusia itu mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan;”kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta. ” (Al-Ankabut: 2-3) . 

Oleh sebab itu hendaklah kita saling mengingatkan, agar tetap sabar menghadapi segala cubaan. Firman Allah yang bermaksud:”Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya tetap dalam keadaan sabar. ” (Al-Ashr:1-3) . 

Rasulullah SAW telah memberi contoh kepada kita, agar kita tetap tabah menghadapi segala rintangan dan cubaan. Rasulullah SAW selalu berpegang kepada firman Allah yang bermaksud :”Maka bersabarlah kamu seperti bersabarnya orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari Rasul-rasul. ” (Al-Ahqaf:35) 

Sesungguhnya bahawa kesabaran itu sangat penting bagi orang-orang beriman dalam menghadapi berbagai cubaan, termasuk cubaan ketika dalam keadaan sakit. Sebab pada saat sakit itu Allah SWT ingin melihat sejauh mana hambaNya redha dengan ketetapanNya. Jika seseorang sabar dan tabah dalam menghadapi cubaan tersebut, barulah tepat jika ia dimasukkan ke dalam golongan hamba-hambaNya yang mukmin, muttaqin dan solihin. 

Orang yang sakit jika dirasakan sakitnya semakin bertambah maka hendaklah ia segera berwasiat. Kerana Rasulullah SAW bersabda bermaksud:”Janganlah hak seorang muslim itu larut dalam dua malam, sedangkan ia mempunyai sesuatu yang ingin diwasiatkannya. Akan tetapi hendaklah wasiat itu selalu ditulis di sisi kepalanya. ”Ibn Umar mengatakan:”Tiada hari berlalu bagiku semenjak aku mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang wasiat itu. Tapi di sisiku selalu ada wasiatku. ”
 (HR. Al-Syaikhan) . a) berwasiat kepada ahli keluarga. b) berwasiat tidak lebih sepertiga harta. c) wasiat disaksikan dua orang yang adil. d) tidak boleh berwasiat kepada ahli waris. e) tidak merugikan pihak lain. f) jangan berwasiat perkara zalim. 
g) berwasiat merupakan sunnah Rasulullah SAW. 

Jika penyakit seseorang dirasakan sangat menyakitkan, maka boleh sekadarnya ia mengatakan”saya berasa sangat sakit”, atau”badan saya sangat panas”atau perkataan lainnya. Asalkan tidak memaki- maki atau menampakkan keluh kesah dan berputus asa, sebab yang demikian itu akan menimbulkan dosa. Maka janganlah mengeluh ketika sakit. Rasulullah SAW ketika bersangatan demam panasnya baginda membenarkan ucapan Abdullah bin Mas’ud RA tentang dirinya. Sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith yang bermaksud:”Dari Abdullah bin Mas’ud ia berkata:”aku datang menemui Rasulullah SAW sedangkan baginda pada saat itu sakit panas badan, maka aku sapu badan baginda sambil berkata”sungguh sangat panas badanmu ya Rasulullah. ”Ia menjawab :”bahkan sakit yang aku deritai berbanding dengan dua orang lelaki di antara kamu. ” (HR. Bukhari) . 

Selain berikhtiar dengan cara berubat ke klinik atau dengan minum ubat-ubat tertentu, hendaklah diutamakan membaca ayat-ayat Al-Quran sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Bacaan surah dan doa mengubati penyakit perlu diamalkan. Justeru itu, jika seseorang dalam keadaan sakit, lakukanlah perkara-pekara seperti berikut: i) himpunkan kedua tapak tangan kanan dan kiri. ii) kemudian baca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas. iii) setelah selesai membaca, lalu tiupkan kedua tapak tangan yang dihimpunkan itu. iv) lakukanlah yang demikian itu sebanyak tiga kali. 

Manakala orang yang sakit itu sudah tidak sanggup lagi mengangkat dan menghimpun serta menggerakkan tangannya, maka cukuplah dengan membaca ayat-ayat itu sahaja. Ataupun boleh dilakukan oleh orang yang sihat, lalu disapukan kebahagian kepala dan badan orang yang sakit tersebut. 

Dalam suatu riwayat dari Aisyah RA ia berkata:”Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila menempati tempat tidurnya ia himpunkan kedua tapak tangannya serta membaca pada kedua tapak tangannya itu disapukan keseluuh badannya itu surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas. Kemudian kedua tapak tangannya itu disapukan keseluruh badannya, dimulai dari kepala dan mukanya terus sampai keseluruh tubuh bahagian depan. Hal ini baginda lakukan sebanyak tiga kali”. Aisyah melanjutkan perkataannya:”maka manakala sakitnya bersangatan, akulah yang meniupkan dengan membaca surah-surah itu dan aku sapukan badannya dengan tangan untuk mengambil berkah. ”

Menurut riwayat yang lain lagi :”apabila ia sedang sakit, dibacanya untuk dirinya surah-surah tersebut lalu ditiupkan (kedua tapak tangannya dan disapukan keseluruh badannya ) ”. (HR. Bukhari dan Muslim) . 

i) Doa mengubati diri sendiri
a) surah Al-Ikhlas. 
b) surah Al-Falaq
c) surah An-Nas. 

ii) Doa menghilangkan penyakit

Ertinya:”Ya Allah, Tuhan semua manusia, halaulah segala penyakit, sembuhkanlah, hanya Engkaulah yang dapat menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan kecuali dari Engkau, sembuh yang tidak dihinggapi penyakit lagi. ”

iii) Doa menghindari penyakit kronik. 

Ertinya:”Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit kronik lainnya. ”

iv) Doa ketika sakit semakin tenat. 

Dari Aisyah RA ia berkata :”aku melihat Rasulullah SAW menjelang wafatnya, disampingnya ada sebuah bekas berisi air, kedalam bekas itu ia masukkan tangannya kemudian di sapukannya air tersebut kemukanya sambil membaca;

Ertinya :”Ya Allah, tolonglah aku, aku dalam menghadapi kesengsaraan mati dan kesakitan mati. ” (HR. Tirmizi dan Ibn Majah) 

Demikian pula dalam hadith yang lain Aisyah RA berkata:”aku mendengar Rasulullah SAW membaca doa, sedangkan ketika itu ia bersandar kepadaku doa tersebut

Ertinya :”Ya Allah, ampunilah kesalahanku, limpahkanlah rahmat kepadaku dan pertemukanlah aku bersama dengan orang-orang yang mempunyai martabat yang tinggi. ” (HR Bukhari dan Muslim) 

Baik orang yang berada dalam keadaan sakit mahupun dalam keadaan sihat, setiap kali ingin tidur dianjurkan supaya berzikir terlebih dahulu, kerana ini merupakan Sunnah Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi ketika sakit. Orang yang sakit hendaklah selalu berzikir serta tidak lupa memohon ampun kepada Allah SWT setiap kali hendak tidur, kerana tidak mustahil tidurnya itu akan berlanjutan dengan tidur untuk selama-lamanya. Adapun zikir yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sebelum tidur ialah :

Ertinya :”Ya Allah, aku serahkan diriku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu dengan penuh harap dan cemas. Tiada tempat bersandar dan tiada tempat berlindung dari murka-Mu, kecuali kepada-Mu, aku imani kitab-Mu yang Engkau turunkan dan Nabi yang Engkau utus. ” (HR. Bukhari dan Muslim) 

Bagi orang yang sedang dalam keadaan sakit, jika masih memungkinkan, hendaklah bersegera melakukan perkara-perkara yang bermanfaat seperti:
i) Orang dalam keadaan sakit diusahakan sentiasa dalam keadaan berwuduk. 
ii) Menjauhkan perasaan dengki yang ada di dalam hati kepada setiap orang dan segera meminta maaf. 
iii) Memperbanyak membaca Al-Quran sambil menghayati isi ajarannya serta mengamalkannya selama nyawa dikandung badan. 
iv) Banyak merenung tentang keagungan Allah dengan memperhatikan segala ciptaanNya. 
v) Tidak meremehkan amal soleh walaupun sedikit, boleh jadi pada amal yang sedikit itu terdapat keredhaan Allah, dan jangan pula memandang remeh perbuatan buruk itu walaupun sedikit, kerana boleh jadi padanya tersimpan kemurkaan Allah. 
vi) Segera membayar hutang serta memikirkan kepada siapasahaja seseorang itu pernah berhutang, kerana jika mati dengan membawa hutang, maka roh seseorang itu akan bergantung di awang-awangan kerana hutangnya yang masih belum dibayar. Di samping itu ingatlah, bahawa kematian itu datang secara tiba-tiba, ia tidak memberitahu kepada kita
vii) Mengembalikan barang-barang yang diperolehi secara tidak benar (zalim) . 
viii) Menyampaikan segala amanah yang masih belum sempat disampaikan kepada orang yang berhak menerima amanah tersebut. 
ix) Bersegera meminta maaf kepada seluruh keluarga. 
x) Merasakan diri hina di hadapan Allah Yang Maha Agung serta menyedari, bahawa jasad hanyalah berasal dari tanah dan tidak lama lagi akan kembali kepada tanah. 
xi) Memelihara solat dengan apa cara sekalipun, baik dengan cara berdiri, duduk mahupun baring, dan sekali-kali tidak meninggalkannya walau satu waktu pun, dan sentiasa ingat bahawa mati sudah diambang pintu. 
xii) Memperbanyak sedekah jariyah dan sebagainya. 
xiii) Alim dari mendengarkan perkataan yang buruk dari kawan atau keluarga. 
xiv) Menghindari sifat memperkecil-kecilkan urusan agama seperti melalaikan solat hingga hampir habis waktunya, atau ibadah dan amal soleh lainnya. 
xv) Mengucapkan ucapan terima kasih kepada orang-orang yang telah bersusah payah mengurus dan menjaganya selama sakit. 
xvi) Berwasiat, supaya ahli keluarga jangan menangis seperti yang telah dilarang oleh agama seandainya ia meninggal dunia. 
xvii) Berwasiat sekiranya ia meninggal dunia nanti agar disegerakan penguburannya, supaya dengan segera pula ia dapat menemui Allah SWT. 

Kehadiran maut kadang-kala didahului dengan sakit. Bagi insan yang beriman, memahami bahawa sakit merupakan cabaran sekaligus rahmat yang akan membina kekuatan diri. 

Kesengsaraan dan penderitaan ketika menghadapi sakit menandakan seseorang itu sedang diuji tentang sikapnya menghadapi cabaran tersebut. Jika mampu menghadapinya dengan iman akan bertambah dekatlah dirinya dengan Allah. Sebaliknya jika gagal melaksanakan segala perintahNya, maka akan menjadi insan rugi dan menyesal. Sesungguhnya kewajiban melaksanakan ibadah ketika sakit tidak terputus selama hayat dikandung badan. Sehingga walau hanya yang berkedip, maka ibadah seperti solat tetap wajib dilaksanakan. 

Ketika menghadapi cubaan sakit hendaklah sentiasa melaksanakan ibadah dan banyak berzikir kepada Allah, agar setelah selesai menerimanya akan dipenuhi dengan keberkatan. 

Disediakan Oleh : Afiqah Binti Zakaria
Pensyarah: Ustaz Abd. Aziz Bin Harjin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com