Sombong, Riya’, Dan Takbur Penghalang Iman -

Sombong, riya’, dan takbur merupakan sifat yang keji dari kacamata islam, oleh itu sifat ini haruslah dijauhi kerana ia boleh menjadi penghalang terbesar dalam mencapai kesempurnaan iman. Sifat-sifat tersebut boleh merubah kehidupan manusia dari mulia kepada hina dan dari kuat menjadi lemah, manusia mudah leka dari mengingati Allah SWT. dan merupakan suatu penyakit berbahaya yang boleh mengakibatkan bencana bagi sesiapa yang melakukannya. 

Sombong boleh memberi beberapa erti, antaranya ialah orang yang tidak mensyukuri nikmat yang diberikan atau boleh juga membawa maksud membesarkan iaitu membesarkan diri dan memendang rendah terhadap orang lain. Dilihat dari sudut sifat-sifat manusia dan ilmu akhlak, sombong itu adalah satu penyakit rohaniah sebagai akhlak yang tercela. Dalam kitab Al-Kabair oleh Imam Syamsuddin Asy-Syafi’I, takbur itu termasuk dalam lingkungan dosa besar. Menurut beliau, takbur yang terburuk ialah bersikap sombong terhadap manusia dengan ilmu dan membesarkan diri kerana mempunyai kelebihan ilmu itu. Hal ini kerana ilmu itu tidak memberi manfaat kepadanya. Kesombongan merupakan salah satu sifat mazmumah dan sifat ini sangat dibenci oleh Allah SWT. Riya' pula merupakan sifat orang-orang munafik dan syirik. Ia amat bertentangan dengan iman dan tauhid. Allah SWT. sangat membenci orang yang bersifat riya' dan Allah SWT. menjanjikan siksa dan hukuman terhadap orang yang mempunyai sifat ini sebagaimana firman-NYA :

"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berbuat riya' dan enggan (menolong dengan) barang berguna". (Surah al-Ma’un: ayat 4-7) 

Sombong atau takbur boleh dibahagikan kepada dua iaitu yang bersifat batiniah yang merupakan pekerti dalam hati yang tidak dizahirkan tetapi tetap mempunyai kesan. Yang kedua pula ialah yang bersifat lahiriah yang mana merupakan tingkah laki atau kelakuan yang keluar dari anggota badan yang kelakuannya dizahirkan dalam pelbagai bentuk. Akhlak mulia merupakan pintu-pintu Jannah@syurga, manakala takbur atau sombong pula menyebabkan tertutupnya pintu-pintu tersebut. 

Rasulullah SAW. pernah bersabda:“tidak akan masuk syurga siapa yang dalam hatinya ada sombong seberat zarah”. (H. R Muslim) . 

Terlalu banyak keburukan bersifat sombong, antaranya tentu sekali dibenci dan dimurkai Allah SWT. dan juga Rasulullah SAW. Orang yang sombong tidak dapat mempunyai perasaan untuk mencintai sesama saudaranya yang mukmin sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Selain itu, orang yang sombong tidak terlepas dari berdendam serta tidak dipercayai samada perbuatan mahupun percakapannya. Golongan ini juga bukan pemberi nasihat yang diyakini juga tidak diberi nasihat. Perasaan marah yang sentiasa ada dalam diri orang yang bersikap sombong amat sukar ditinggalkan bahkan untuk dikawal. Pendek kata, setiap pendekatan yang digunakan untuk menjaga”kemuliaan”dirinya adalah yang buruk-buruk belaka. Jadi, orang yang merasa dirinya mulia dan bersikap takbur pasti mempunyai sifat-sifat yang jahat itu. Oleh sebab itulah sukar sama sekali untuk masuk syurga sekalipun kesombongan itu hanyalah seberat debu. 

Sumber pokok kesombongan atau punca-punca seseorang bersifat sombong adalah dari segi keperibadiannya sendiri di mana sering memendang rendah dan memperlekehkan orang lain. Orang lain sentiasa dipandang kecil apabila dibanding-bandingkan dengan dirinya. Sesungguhnya sonbong adalah salah satu daripada dosa-dosa besar di mana Allah SWT. pernah berfirman:

“Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar” (Q. S. Ali-A’raaf) 

Pelbagai perlakuan yang dapat menunjukkan kesombongan seseorang. Di antaranya ialah selalu membesarkan atau membanggakan diri, menghina orang lain, enggan menerima nasihat orang lain, tidak mahu dirinya disamakan dengan orang lain atau dibandingkan dengan orang yang lebih baik. Sesungguhnya, mereka yang mempunyai sifat sombong bererti dia menentang Allah SWT. kerana dia lupa bahawa hanya Allah SWT. sahaja yang mempunyai segala sifat yang tertinggi dan mulia. Rasulullah SAW memberi penjelasan mengenai sifat sombong, di antaranya tidak mahu tunduk kapada barang yang hak. Baginda bersabda:

“Takbur adalah menolak barang yang hak dan menghina serta meremehkan orang lain”. 

Sifat riya’ pula dapat digambarkan seperti berikut:

1. Bertambah taatnya jika dipuji dan berkurang bahkan ditinggalkannya jika dicela atau diejek. 
2. Rajin beribadah jika bersama orang lain dan malas melakukannya jika bersendirian. 
3. Bersedekah jika orang melihatnya, namun tidak berbuat demikian jika tidak dilihat orang. 
4. Melakukan amal dan berbuat kebajikan bukan kerana Allah, sebaliknya menginginkan sesuatu daripada manusia. 

Contoh kisah-kisah yang boleh kita ambil iktibar berkenaan sifat-sifat riya’ dan sombong ini adalah seperti berikut :
1. Iblis yang sombong dengan dirinya kerana asal kejadian dirinya. Ia berkata : Engkau jadikan aku dari api dan manusia dari tanah. Maka Allah SWT. mengusir Iblis dari rahmat-NYA. 
2. Nabi Sulaiman lalai kepada Allah dan kepada Nabi Muhammad SAW. Sulaiman berkata :”aku meniduri seratus orang perempuan dalam semalam. Setiap perempuan akan melahirkan seorang anak yang akan berjihad di jalan Allah". Nabi Sulaiman lalai tidak menyatakan insyaallah. Maka Allah mengharamkan dia untuk memperoleh anak. 
3. Sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW. merasa bangga dengan banyaknya pasukan pada waktu peperangan Hunain. Mereka berkata :”Hari ini kami tidak akan kalah oleh musuh yang sedikit". Lalu mereka ditimpa kekalahan yang pahit, hingga bumi yang luas itu terasa sempit oleh mereka. Kemudian mereka lari dengan bercerai-cerai. 

Di antara bentuk-bentuk sombong adalah seperti sombong dalam ilmu iaitu orang yang bangga dan sombong kerana banyak ilmunya. Bagi mereka yang berilmu pengetahuan dalam hal-hal agama cenderung merasakan dirinya lebih mulia di sisi Allah SWT. berbanding dengan orang lain yang di anggap rendah. Hal demikian menyebabkan mereka tidak mahu menambah ilmu dan menganggap rendah atau meremehkan orang lain yang tidak berilmu. Setiap orang yang menghina saudaranya sesama muslim, melihatnya dengan pandangan mengejek atau menganggap dirinya lebih baik dari yang lain, suka menolak kebenaran sedang ia tahu bahawa itu adalah sememangnya benar, maka tidak ada kompromi lagi bahawa orang itu memang menghidap penyakit sombong, mengabaikan hak-hak Allah, tidak mentaati apa yang diperintahkan-Nya serta melawan Dzat Yang Maha Kuasa. Ada dua perkara yang mendorong orang berilmu bersikap sombong iaitu yang pertama ia sibuk menuntut ilmu yang dianggapnya sebagai ilmu yang baik, tetapi sebenarnya bukan ilmu hakiki yang bermanfaat kerana ilmu hakiki yang bermanfaat itu sudah tentu mengarah kepada mengenal Allah SWT. sehingga bersedia beribadah dan bertaqwa kepada-Nya seperti yang dijelaskan dalam firman-Nya:

“Demikian juga di antara manusia, binatang-binatang dan ternakan itu, 

Bermacam-macam pula warnanya. Hanyalah yang takut kepada Allah ialah orang-orang yang berilmu di antara hamba-hambNya. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa dan Pengampun”. (Surah Faathir 28) 

Pendorong kedua pula ialah ia memang ahli yang benar dalam ilmu teutamanya ilmu keagamaan, tetapi mempunyai perangai dan akhlak yang jahat, buruk watak dan tabiatnya, dan rendah budi. Ini munkin kerana pada peringkat awal pendidikannya, ia tidak ada keinginan untuk membersihkan jiwanya secara bersungguh-sungguh sehingga menyebabkan jiwanya kotor. Oleh itu, jika ia memdalami sesuatu ilmu, maka bertemulah ilmu itu di dalam hati dengan penuh kekotoran. Perkara seperti ini cukup untuk membawa malapetaka kepada mereka yang sombong. 

Sombong dalam harta pula keadaan di mana kadang-kadang orang menjadi sombong kerana banyak harta dan kekayaan. Mereka ini gemar mempertontonkan harta mereka dan perhiasan-perhiasan yang mahal-mahal lalu ia menghambur-hamburkan kekayaan dan mempersendakan kebenaran hingga ia menjadi binasa akibatnya. 

Seterusnya sombong dalam kekuatan di mana selalunya orang kagum dengan kekuatannya, lalu menjadi sombong kerana kekuasaannya sehingga berlaku panganiayaan dan kezaliman lalu ia bertaruh dan menyabung nyawa. Akhirnya rosak dan binasa. 

Ada juga kesombongan dalam kemuliaan iaitu apabila orang kagum dengan kemuliaannya, dengan menyombongkan keturunan dan asal usulnya lalu ia berpangku tangan tidak berusaha mencari ketinggian. Dan ia pun menjadi lemah dalam mencapai kesempurnaan. Akhirnya ia jadi hina sehina-hinanya. 

Kadangkala manusia juga sombong dalam beribadah iaitu apabila orang kagum dengan amal ibadatnya, maka dia menjadi sombong kerana banyak ibadatnya. Kesombongan dari amal ibadah adalah berkaitan dengan hal keduniaan atau dengan keagamaan. Contoh yang berkaitan dengan hal keduniaan seperti senang hatinya bila ada orang yang menggelarnya sebagai seorang yang wara’, seorang yang taqwa, dan senang jika ada yang mendahulukan dirinya dalam segala hal dari orang lain. Golongan seperti ini mengharapkan balasan yang berupa pujian atau mendapat keistimewaan apabila ada keperluan. Sebaliknya yang berkaitan dengan keagamaan adalah seperti menganggap dirinya pasti selamat dari seksa Allah SWT. dan menganggap orang lain belum tentu selamat sepertinya. Ini menyebabkan ia meremehkan Tuhannya (Allah) dan mengecilkan erti pemberian-NYA. Dengan demikian, jatuhlah amal dan celakalah kerana sifat kesombongannya itu. 

Tidak kurang juga sikap sombong ini boleh hadir kerana keturunan atau salasilah keluarga. Contohnya apabila mempunyai hubungan keturunan atua salasilah dengan orang-orang yang”mulia”seperti raja-raja, sultan, pahlawan dan sebagainya. Golongan yang merasa diri mereka digelar dengan gelaran yang dipandang mulia dalam masyarakat selalunya membawa seseorang kepada sifat sombong, suka menghina mereka yang bukan berketurunan seperti dirinya. Sifat sombong yang demikian berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk mereka yang alim. Semua orang akan dianggap rendah dan hina. Mereka menunjukkan sikap sombong mereka dengan tidak mahu bergaul dengan orang-orang kebanyakan dan berasa hina jika berbuat demikian. 

Kesombongan kerana paras rupa yang baik pula menyatakan lelaki yang merasakan diri mereka mempunyai kesempurnaan bentuk tubuh dan kekacakan. Manakala bagi perempuan pula mereka bangga dengan kecantikan yang dikurniakan oleh Allah. Bagi mereka yang tidak mendapat pendidikan iman secara baik dan istiqamah, kecantikan yang dikurniakan itu akan membawa mereka ke jurang kehancuran. Perasaan bangga diri akhirnya akan menjadikan mereka sombong. Golongan seperti ini amat gemar berkata buruk tentang kekurangan orang lain. 

Kekuatan dan ketangkasan tubuh menjadikan seseorang itu sombong dan riya’ kerana dikatakan mampu mengalahkan lawannya dengan mudah ketika beradu tenaga. Amat tidak patut golongan ini sombong kerana sesungguhnya manusia itu hakikatnya adalah sangat lemah sebagaimana dijelaskan Allah SWT. dalam Surah An-Nisa’ ayat 28:

“Allah mengkehendaki keringanan kepada kamu Kerana diciptakan manusia dalam keadaan lemah”. 

Selain itu ada segelintir manusia menjadi sombong kerana menjadi pemimpin yang mempunyai ramai pengikut. Ini kerana mereka sebenarnya tertipu oleh perasaan yang dibina oleh syaitan. Semua boleh merosakkan pemikiran agama seandainya manfaat ini tidak diambil untuk meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah SWT. 

Sombong dikatakan menjadi penghalang iman kerana Allah SWT. menghalang hati orang yang sombong, tidak mahu taat terhadap ketentuan-ketentuan Allah, baik yang bersumber dari Al-Qur’an mahupun Sunnah Rasulullah yang sahih. Mereka terhalang dari memahami dalil-dalil dan hujah yang menunjukkan tentang Kebesaran Allah Yang Maha Agung, kerana sombong itu merupakan penyakit batin yang timbul dari kelemahan mental dan kekeliruan. Sebagai pengetahuan untuk dijadikan pengajaran, Allah SWT. telah menghalangi Fir’aun untuk beriman karana ia tidak mampu memahami dan manghayati ayat-ayat Allah tang terbentang dihadapannya, baik yang berupa isi kitab mahupun alam yang luas di langit dan di bumi. Hal ini disebabkan kerana dia membesarkan diri dengan bersikap sombong dan melakukan kezaliman terhadap manusia. Demikian pula pembesar-pembesar Quraisy musyrikin yangt nada di sekelilinhg Rasulullah SAW. yang tidak mendapat hidayah akibat bongkak, dan takbur. Antara sifat-sifat orang sombong dan takbur itu ialah tidak mahu mengimani ayat-ayat yang menunjukkan kepada kebenaran serta tidak mahu mengambil sesuatu manfaat dari ayat-ayat tersebut. Merka lari dari petunjuk, padahal jalan petunjuk itu adalah jalan yang lurus dan luas. Sesungguhnya orang yang seperti ini amat mudah tersesat dengan hasutan syaitan. 

Mereka yang bersikap sombong akan menerima bencana dan malapetaka. Setiap mereka yang engggan beribadat dan mentaati Allah serta berlaku sombong, maka mereka akan diseksa dengan seksa yang pedih, baik di dunia mahupun di akhirat. Segala orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan mengingkari dengan sombongnya, mereka itulah kaum derhaka yang sudah tetap ketentuannya iaitu menjadi penduduk Jahannam dan mereka kekal di dalamnya. Bagi mereka yang membangkang dengan lagak sombong, maka dihamparkan bagi mereka hamparan api di naraka jahannam dan diselimutkan pula dengan selimut api. Sesungguhnya azab Allah adalah teramat menyeksakan. Oleh itu, janganlah sesekali kita menentang Allah SWT. 

Terdapat beberapa pendekatan yang boleh digunakan untuk menghindar, menginsafi, dan memperbaiki diri dari sifat sombong, riya’, dan takbur. Untuk menjauhkan diri dari kesombongan, sesorang itu haruslah merenungkan asal kejadiannya. Ia harus ingat bahawa asalnya adalah dari tanah, lalu dari setitik air mani yang hina. Setelah menempuh kehidupan di dunia ini, ia tetap akan mati dan terus dikuburkan lalu menjadi mayat yang hanya dibezakan dengan amalannya ketika hidup di dunia. Selain itu adalah dengan mengingati dan menyedari bahawa apa yang diberikan Allah SWT. yang berupa ilmu, harta, kekuatan atau kemuliaan boleh diambil-NYA kembali jika mengkehendakinya. Amal ibadat seseorang kepada Tuhannya meskipun banyak tidaklah akan dapat mengimbangi nikmat yang diberikan Allah kepada hamba-NYA. Sesungguhnya nikmat Allah tidak boleh diukur dengan sesuatu kerana Allah adalah sumber segala kurniaan dan yang memberi segala kebaikan. Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud :

"Amal seseorang daripada kamu tidak akan menjadikan dia selamat. Mereka berkata : Termasuk engkau ya Rasulullah?, Ya aku juga. Namun Allah memenuhiku dengan rahmatnya". (Riwayat Bukhari) . 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com