Tuhan Perlu Disembah -

Solat beerti doa, ibadah, memohon dengan khusyuk kepada Tuhan dan meminta rahmat daripada Tuhan. Solat juga bermaksud perantaraan, syukur, rahmat atau belas kasih daripada Tuhan. Dari aspek bahasa, solat beerti mendatangi atau memperhatikan seseorang. Dari erti ini, kata solat kemudian dipakai dalam erti rukuk, pemujaan, pengangungan, permohonan, permintaan atau doa kepada Allah. Solat adalah satu bentuk ibadah, sebagai tanda wujudnya kepercayaan dan ketundukan seseorang terhadap Tuhan. Melalui ibadah kepada Tuhan, manusia dapat memperoleh keagungan dan kesempurnaan hakiki. Solat juga merupakan salah satu rukun Islam yang paling pokok atau penting dalam Islam kerana solat merupakan tunjang utama dalam mewujudkan sistem sosial Islam. Justeru, Al-Quran menekankan betapa pentingnya solat. Kemalasan dan keengganan melaksanakannya merupakan tanda-tanda seseorang itu munafik dan tiada iman dalam dirinya. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa solat adalah tiang agama. Seperti mana sebuah gedung yang akan runtuh bila tiangnya roboh, maka keimanan dan kesolehan juga akan hilang seiring dengan hilangnya solat. 

Jika orang-orang mukmin meninggalkan solatnya, mereka akan hilang kemuliaan dan keutamaannya. Al-Quran telah menyebut bagaimana bangsa-bangsa di dunia secara berperingkat menjadi kuat dan mulia melalui pelaksanaan solat, lalu mereka menjadi hancur dan punah setelah meninggalkan solat. Hal ini menunjukkan bahawa meninggalkan solat atau mengabaikannya merupakan permulaan kepada hancurnya sebuah bangsa mukmin. Solat merupakan penghubung yang pertama dan paling utama antara seorang mukmin dan Tuhan kerana solat memelihara hubungan yang akrab dan erat dengan Tuhan baik siang mahupun malam. Jika hubungan ini putus, maka seseorang akan semakin jauh dari kemuliaan dan kesolehan hingga akhirnya, hubungan batinnya dengan Tuhan rosak sama sekali. Mengingati pentingnya solat, maka ibadah ini harus dilaksanakan dengan cara yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Oleh demikian, solat harus dikerjakan dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda”Allah akan menyediakan bagi orang-orang yang pergi ke masjid pada pagi dan siang hari untuk solat jemaah sebuah syurga yang penuh keramahan atas apa yang mereka kerjakan. ”Hadis tersebut menunjukkan bahawa pelaksanaan solat dengan betul sebagaimana yang telah diperintahkan Allah dan dipraktikkan oleh Rasulullah adalah sesuatu yang sangat penting. 

Terdapat beberapa hikmah yang terkandung dalam penjadualan solat. Pertama, tidak ada perbuatan yang lepas dari putaran waktu kerana menguruskan masa untuk semua perkara adalah sangat penting. Kedua, manusia mempunyai sifat yang tidak mementingkan waktu, maka mereka tidak dapat mengerjakan sesuatu urusan dengan tepat dan teratur. Ketiga, apabila berkumpulnya orang-orang untuk mengerjakan solat jemaah adalah cara yang terbaik untuk menentukan waktu solat. Hal ini kerana setiap orang dapat datang tepat pada waktunya. Selain itu, solat pada setiap hari menyediakan santapan batin yang lengkap dan merupakan pertahanan yang kuat terhadap anasir-anasir luar yang tidak sihat seperti kelalaian, materialisme, dan sekulerisme. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah”Jika seseorang bangun pada waktu malam hari dan mengucapkan dua kalimah syahadah atau pujian pada Tuhan lalu mengajukan permohonan, maka doanya akan dikabulkan. Dan jika dia berwuduk dan solat, maka solatnya akan diterima. ”Solat lima waktu wajib dikerjakan pada waktu-waktu yang telah ditentukan oleh Tuhan, dan jika dikerjakan pada waktu lain, maka solat tersebut tidak mempunyai makna kepada individu mahupun masyarakat. Sebagai contohnya, solat Subuh dikerjakan pada waktu pagi dan bukannya pada waktu petang ataupun malam. Dalam sehari, lima kali kita akan mendengar panggilan untuk solat yang dipanggil azan. ”Allah Mahabesar, ”dan”Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. ”Pengagungan dan pujian terhadap Tuhan mengisi hati orang-orang mukmin dengan penghormatan dan kerendahan hati. Peringatan rutin tentang kedaulatan dan kebesaran Tuhan dapat menghancurkan nafsu manusia yang dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif dan budaya kuning. Apabila mendengar azan, seorang mukmin yang sejati haruslah segera menyiapkan diri untuk mendirikan solat lalu berwuduk untuk membersihkan tangan, muka, lengan, dan kaki lalu berdiri menghadap kiblat. Ketika bersolat, seseorang mukmin itu melepaskan dirinya dari semua urusan duniawi untuk beberapa minit dan mencari hubungan dengan sang Pencipta dan ini akan mengingatkannya pada tujuan dan peranannya dalam hidup ini serta mula menyebut kebesaran, keagungan, dan kemuliaan Tuhan lalu mengakui kerendahan darjatnya sendiri. ”Ya Tuhanku, Engkaulah Yang Mahabesar, segala puji bagi Engkau, dan Mahasuci Engkau. Tidak ada Tuhan yang patut disembah kecuali Engkau. ”Penyataan ini membawa impak yang sangat besar secara psikologi, mental dan fizikal dalam membimbing pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang akan meminta pertolongan kepada Tuhan dari segala godaan syaitan di saat dia memulakan solatnya. 

Di samping itu, solat mengingatkan seorang mukmin bahawa dia adalah hamba Tuhan. Solat adalah hal pertama yang dilakukan pada pagi hari, sepanjang waktu siang hari, serta menjelang waktu tidur. Ibadat solat yang teratur ini membantu memperkuat keimanan seseorang kepada Tuhan. Hal ini juga bertepatan dengan penyataan bahawa solat membentuk disiplin waktu dalam diri seseorang individu. Ini kerana seorang muslim harus melaksanakan solat lima kali dalam sehari dan harus belajar untuk solat tepat pada waktunya agar tidak hilang keutamaan atau fadhilat-fadhilat dalam solat berjemaah. Dalam Al-Quran dinyatakan, ”Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orag yang beriman. ”Solat jemaah yang teratur pada setiap hari merupakan pengikat kepada seorang muslim yang sejati menjadi orang yang berdisiplin dalam menjalani kehidupannya. Mereka sedar akan keutamaan dan ketepatan waktu lalu berjaya menghindarkan diri daripada perbuatan yang sia-sia seperti bersembang perkara yang tidak berfaedah, merokok, dan berpeleseran di kawasan membeli belah. Disiplin waktu dalam solat mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan seseorang. Hal ini kerana kita perlu belajar untuk melakukan sesuatu perkara tepat pada waktunya tanpa melengahkan waktu yang ada. Tambahan pula, seseorang itu tidak akan menangguhkan pekerjaannya sampai esok hari atau meninggalkannya begitu sahaja. Sebuah masyarakat yang terdiri dari orang-orang seperti ini layak menjadi masyarakat yang perlu diteladani dan dicontohi akhlaknya kerana mereka telah mengerjakan solat dengan sempurna dan ini wajar diikuti oleh individu lain untuk memperoleh rahmat dari Allah. 

Tanpa kita sedari, solat melahirkan perasaan taat dan tanggungjawab dalam diri seseorang. Seorang muslim yang melaksanakan solat dengan teratur akan berasa bertanggungjawab kepada Tuhan dalam setiap tindak tanduknya. Solat akan membuatkan seseorang muslim itu menjadi sangat patuh dan taat pada Tuhan sehingga dia secara perlahan-lahan menyedari tanggungjawabnya terhadap masyarakat sekeliling. Seorang individu tidak dapat menjalankan tugasnya dengan betul dan efektif jika dia tidak sepenuhnya menyedari kewajipannya kepada individu lain mahupun masyarakat. Tambahan pula, solat membersihkan hati manusia dari kotoran dan kejahatan serta menjadikan seseorang itu ikhlas dalam perbuatannya. Seorang mukmin yang sejati melaksanakan solat, meyakini kedaulatan dan kebesaran Tuhan dengan keikhlasan. Hal ini selaras dengan petikan dari surah Al-Bayyinah ayat 98. ”Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama dengan lurus, dan supaya mendirikan solat….. ”Agama yang benar dan lurus adalah agama yang menyeru penganutnya menyembah dan mematuhi Tuhan dengan penuh keikhlasan dan yang paling utama, tidak pernah menduakanNya. Mereka wajib melaksanakan solat lima waktu dan seorang makhluk Tuhan sebaiknya menjalankan hidupnya sesuai dengan keadilan dan kebenaran, tidak menunjukkan sikap taat, tunduk, ataupun mengabdi kepada sesiapapun melainkan Allah, memohon hanya pada Allah untuk bimbingan dan pertolongan dan secara holistiknya, mereka harus secara ikhlas dan tegas meyakini bahawa mereka akan dibangkitkan kembali dia alam berikutnya, sama halnya dengan dilahirkan ke dunia ini, lalu dipanggil semula untuk dipertanggungjawabkan atas semua perbuatan di dunia yang sementara ini. Hal ini menunjukkan bahawa seorang mukmin haruslah secara bersungguh-sungguh dan tulus dalam mematuhi tiga prinsip dalam Islam iaitu yang pertama, menghamba dengan tulus kepada Tuhan, kedua, mendirikan solat dan memuja Tuhan demi mencapai darjat yang lebih dekat kepadaNya dan yang ketiga, melakukan amalan-amalan yang soleh terhadap semua ciptaan Tuhan. Ciri-ciri ini jelas menunjukkan keikhlasan seseorang dalam memeluk agamanya. 

Dalam banyak-banyak ibadah yang diajar dan disuruh dalam Islam, sembayanglah yang menjadi tiang agama. Jika didirikan, maka berdiri tegaklah agama. Dan jika ditinggalkan, porak perandalah agama. Tidak kurang dari seratus ayat dalam Al-Quran yang menyatakan tentang suruhan mendirikan solat. Al-Quran telah memberikan suatu gambaran yang secara jelas, di sebalik pelaksnaan solat terdapat rahsia yang sangat menakjubkan yang barangkali sering tidak terlintas dalam angan dan fikiran manusia. Sebahagian dari hikmah yang terkandung di dalamnya ialah Al-Quran telah mengisyaratkan bahawa solat membawa kepada bahagia yang sebenar. Orang-orang yang khusyuk mengerjakan sembahyang, membersihkan diri dengan iman, dan sentiasa berzikir kepada Allah adalah orang-orang yang memperoleh kebahagiaan yang sebenar. Seterusnya, solat dapat mencegah seseorang dari berbuat dosa dan perbuatan mungkar. Sembahyang yang dikerjakan dengan khusyuk mampu mencegah manusia dari pelbagai bentuk perbuatan dosa dan memelihara diri dari perbuatan maksiat. Dalam Al-Quran, Surah Al-Ankabut ayat 45 Allah berfirman, ”Dan dirikanlah solat kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya zikir kepada Allah (solat) lebih besar keistimewaannya daripada ibadah lain. ”Selain itu, solat juga merupakan satu tanda di mana taubat diterima. Orang yang bergelumang dengan dosa serta maksiat, kemudian berubah rajin mengerjakan solat, beerti dia telah melakukan taubat yang sebenar, hingga dihapus segala dosa dan kesalahannya. Hal ini demikian kerana solat adalah petanda awal bertaubat sebenar iaitu taubat nasuha. Antara hikmah lain melalui pelaksanaan solat ialah seseorang akan beroleh ketenangan jiwa. Jiwa yang tenteram dan hati yang tenang, iman, dan beramal dengan memperbanyak zikir kepada Allah akan membuahkan sembahyang yang khusyuk. Mereka adalah orang-orang yang sentiasa berzikir kepada Allah, sehingga memperoleh keistiqamahan dalam hidup dan rajin mengerjakan solat dengan khusyuk, mengerjakan suruhan dengan tekun, dan selalu menjauhi larangan Allah SWT. 

Bahawasanya sesiapa yang memelihara solat fardhu lima waktu, Allah akan memuliakannya dengan lima kemuliaan iaitu diberi kelapangan rezeki, diselamatkan dari seksa kubur, buku amalnya diserahkan dengan tangan kanan, melalui shirathal mustaqim seperti kilat menyambar, dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab. Sebaliknya, bagi orang yang mengabaikan waktu solat, Allah akan menimpakan lima belas kesengsaraan iaitu di mana enam kesengsaraan di dunia, tiga ketika sakaratul maut, tiga ketika di dalam kubur dan tiga lagi ketika keluar dari kubur. Enam kesengsaraan di dunia adalah pertama, dicabut keberkatan hidupnya. Kedua, dihapus ciri-ciri orang soleh yang berada di wajahnya. Ketiga, setiap amal baik yang dilakukan tidak bakal diberi pahala oleh Allah. Keempat, doa yang dipanjatkan tidak akan pernah dikabulkan. Kelima, tidak akan pernah mendapat bahagian dari doa-doa orang yang soleh dan yang keenam, keluar dari dunia tanpa membawa iman. Seterusnya, tiga kesengsaraan ketika sakaratul maut adalah pertama, mati dalam keadaan sangat hina. Kedua, mati dalam keadaan sangat lapar dan ketiga, mati dalam keadaan sangat dahaga, hingga apabila seluruh air samudera diminum, tidak boleh mengurangi rasa hausnya. Tiga kesengsaraan ketika di dalam kubur adalah yang pertama, segera dikepit oleh kubur hingga tulang belulangnya berserakan. Kedua, sepanjang siang dan malam dibakar dengan api yang membara dan ketiga, dililit dengan erat sekali oleh ulat besar yang bernama Syuja’. Dan seterusnya tiga kesengsaraan ketika keluar dari kubur adalah pertama, dihisab dengan berat. Kedua, mendapat murka Allah dan ketiga, dimasukkan ke dalam neraka. 

Dalam Islam yang merupakan agama Allah SWT yang paling sempurna, solat merupakan tiang dan landasan utama dari agama. Amal ibadah ini diwajibkan ke atas kaum muslimin untuk dilaksanakan sehari semalam sebanyak lima kali dan mesti dikerjakan pada waktu masing-masing. Kaum muslimin percaya bahawa solat boleh menjauhkan manusia dari perbuatan buruk dan tercela, dan merupakan perkara yang mampu mencegah diri dari perbuatan zalim dan hina. Seorang Islam yang taat mengerjakan solat tidak akan berbohong, tidak merampas hak orang lain, tidak berkhianat, tidak mencari pendapatan yang haram dan tidak menyakiti sesama umat manusia. Selain itu, mereka juga tidak akan mengumpat orang lain, tidak akan melontarkan tuduhan palsu dan tidak mengeluarkan kata-kata keji. Malah, golongan yang mengerjakan solat seboleh mungkin akan membantu dan menghulurkan pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan, bersikap adil, tidak melakukan perbuatan yang menghina dan merendahkan orang lain, tidak bersikap sombong dan percaya bahawa kesombongan itu hanya milik Allah SWT sahaja. Justeru, solat lima waktu benar-benar mempunyai pengaruh yang kuat di mana ia mampu melahirkan sifat-sifat dan moral manusiawi pada diri manusia dan menjauhkan diri mereka dari sifat-sifat yang dimurkai Tuhan. Selain solat lima waktu yang wajib dikerjakan oleh setiap Muslim, ada juga solat lain yang bersifat sunat dan ada beberapa yang lainnya adalah wajib. Antara contoh solat sunat ialah solat sunat ba’diyah, soalt sunat dhuha, dan solat tahajud. Kesemua solat sunat ini mempunyai dua rakaat dan mempunyai fadhilat-fadhilat yang tersendiri. 

Ramai golongan remaja yang tidak begitu mengambil berat tentang solat sebagaimana yang sepatutnya dituntut dalam Islam. Terdapat juga golongan remaja yang malas mengerjakan solat sedangkan mereka hidup dalam keluarga Muslim yang taat pada agama. Antara sebab utama terjadinya masalah ini ialah kurangnya perhatian dari ibu bapa. Kurangnya perhatian dari ibu bapa memberi pengaruh yang cukup besar pada anak-anak yang baru menginjak usia remaja, terutamanya dalam hal solat. Hal ini boleh dibahagikan kepada dua kelompok iaitu kelompok pertama, di mana orang tua tidak mengerjakan dan mementingkan solat. Lantaran itu, anak-anak akan mengikuti sikap orang tua mereka. Sedangkan kelompok kedua, keluarga yang ibu bapanya taat beribadah tetapi mereka tidak mempedulikan anak-anak mereka dalam soal ibadah. Mereka melaksanakan solat, puasa, tetapi mereka tidak mempedulikan sama ada anak-anak mereka menjalankan ibadah atau tidak. Mereka sering beranggapan bahawa anak mereka mengetahuinya secara sendiri atau mengatakan anak mereka masih kanak-kanak padahal anak-anak telah mencapai usia baligh. Justeru, sebagai jalan penyelesaiannya ibu bapa haruslah menitik beratkan hal anak-anak mereka terutamanya dalam ibadah walau mereka sibuk sekalipun dalam mencari nafkah kehidupan. Hal ini kerana anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang akan mencorakkannya samada mahu menjadi Yahudi ataupun Nasrani. Selain itu, faktor lain pengabaian solat oleh golongan remaja ialah mempunyai sikap malas dan ambil mudah. Sebahagian besar remaja tidak mudah melakukan sesuatu perkara kecuali jika perkara itu menyenangkan hati mereka atau telah terbiasa melakukannya. Adakalanya mereka lari dari solat dan beranggapan bahawa solat merupakan satu perkara yang amat sukar dan berat. Tambahan pula, amat sukar bagi mereka untuk bangun pada awal pagi untuk melaksanakan solat Subuh dua rakaat. Justeru, penyelesaiannya ialah dengan menghindari kemalasan. Para pakar jiwa percaya bahawa kemalasan merupakan akibat daripada sejumlah faktor dan sebab. Imam Muhammad Al-Baqir berkata, ”Nabi Musa AS bertanya kepada Allah SWT, ”Wahai Tuhan, siapakah di antara hambaMu yang paling Engkau benci? Allah menjawab, ”Orang yang pada malam hari berbaring di tempat tidurseperti bangkai dan bermalas-malas pada siang hari. ”Dan faktor seterusnya mengabaikan solat ialah kemerosotan akhlak remaja dewasa ini. Golongan remaja kini mengalami penyimpangan moral yang melampau seperti terdapatnya gambar-gambar lucah, kumpulan ajaran sesat seperti Black Metal dan penagihan dadah yang serius. Dalam usaha memperbaiki akhlak remaja ini, ibu bapa dan media massa memainkan peranan yang amat besar. Ibu bapa boleh mengawal penggerakan anak-anak dengan mengenal pasti kawan-kawan yang dipilih adalah yang mulia akhlaknya. Hal ini kerana menurut Jalaluddin Rumi, ”Seboleh mungkin larilah dari kawan yang jahat kerana mereka lebih jahat dari ular yang jahat. Ular yang jahat hanya menyerang jiwa tetapi kawan yang jahat menyerang jiwa dan iman. ”

Secara konklusinya, solat kepada Tuhan bukanlah sekadar gerakan tetapi merangkumi pengetahuan dan sikap. Dengan mewajibkan solat, Islam berupaya mendisiplinkan pemeluknya dan menjaga mereka agar selalu menyedari kehadiran Allah SWT. Hal ini dapat melahirkan Muslim yang sejati dan taat pada segala yang disuruh Allah kerana mengamalkan amal makruf dan nahi munkar. Amal makruf dan nahi munkar membawa erti melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Justeru, marilah sama-sama kita mendirikan solat kerana tanpa solat, maka runtuhlah tiang agama. Dengan ini, manusia di muka bumi haruslah menyembah Allah SWT dengan penuh keikhlasan untuk memperoleh redhanya di dunia mahupun akhirat. 

Prepared For: Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Prepared By: Naja Binti Mohammad

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com