Asas-Asas Dalam Ajaran Islam -

Fasal Pertama: Agama Islam

Terdapat bermacam-macam agama yang wujud di atas muka bumi ini memperoleh nama misalnya diambil daripada nama seorang lelaki khas atau umat yang menubuhkan dan mengembangkan agama berkenaan. Contohnya agama Buddha diambil daripada nama pembawanya, Gautama Buddha. Agama Zarathustra dimashyurkan kerananya pendiri dan panji-panjinya bernama Zarathustra. Demikian juga agama Yahudi muncul di atas pangkuan suatu kabilah yang dikenali dengan nama kabilah Yahuda, maka agama itu dinamakan Yahudi. 

Berlainan dengan agama Islam ia tidak diambil berdasarkan nama seorang lelaki yang khas atau umat yang menubuhkannya sebaliknya menunjukkan sifat khas yang mengandungi makna perkataan”Islam”itu sendiri. Ia mempunyai matlamat untuk menghiasi seluruh penduduk bumi ini dengan sifat Islam. Sesiapa saja yang bersifat dengan sifat ini, baik manusia zaman lampau atau manusia zaman kini ia adalah Muslim. Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada perintah Maha Esa dan menjauhi laranganNya tanpa bantahan. Maka kerana itulah dinamakan Islam bagi mengajar umatnya patuh kepada Allah SWT. dan tunduk kepada perintahNya tanpa bantahan. 

Hakikat Islam

Tiap yang wujud di alam ini tertakluk kepada kaedah tertentu dan undang-undang khas. Bulan, matahari dan bintang-bintang melakukan peredaran mengikut suatu kaedah yang tetap. Ia tidak menyimpang dari kaedah itu dan tidak terkeluar meskipun sesimpul rambut. Bumi beredar pada paksinya dan tidak berputar lebih daripada kadar yang ditentukan. Air, udara, cahaya semuanya berlaku mengikut peraturan yang khas. Tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang semuanya mengikut cara yang tetap, tidak mengembang dan tidak mengecut, tidak hidup dan tidak mati melainkan dengan kehendak pengaturnya. Bahkan manusia sendiri mesti mengikut ketentuan Ilahi. Ia tidak bernafas dan tidak mati melainkan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. 

Pendek kata setiap apa yang wujud di atas muka bumi ini adalah ciptaan Yang Maha Esa. Jadi setiap apa yang ada di langit dan di bumi ini mesti tunduk kepada Yang Maha Esa. Dari sudut ini nyatalah bahawa Islam itu adalah agama sejagat kerana Islam bermakna takluk dan mengikut perintah Maha Esa dan menjauhi laranganNya tanpa bantahan. Matahari, bulan dan bumi adalah benda-benda Muslim. Udara, air cahaya, panas dan kegelapan juga adalah benda-benda Muslim. Bahkan manusia yang tidak mengenali Tuhannya dan yang mengingkari wujudnya, yang mengingkari tanda-tanda kebesarannya atau orang yang bertuhankan selain Allah SWT atau yang menyekutukan Allah dengan yang lainNya adalah seorang Muslim dari segi fitrah yang telah difitrahkan kepadanya. Manusia yang mengenal penciptanya, beriman kepadaNya dan menjalani kehidupan mengikut landas-landas Islam inilah yang dinamakan Muslim yang sempurna. Dia telah menyempurnakan Islamnya kerana kehidupannya sekarang telah menjadi Islam itu sendiri. 

Hakikat Kufur

Dia dilahirkan Muslim, hidupnya Muslim sepanjang hayatnya, yang keislamannya tidak diketahui atau disedarinya, tetapi dia tidak menggunakan kekuatan ilmu dan akalnya untuk mengetahui siapa yang menciptakannya, siapa yang membuka pendengaran dan penglihatannya. Dia mengingkari wujudnya Allah SWT.. Ia merasa bongkak untuk memperhambakan diri kepada Allah SWT.. Dia enggan beriman kepada ayat-ayat yang menunjukkan kebesaran Allah SWT.. Inilah dia orang kafir. Erti kufur ialah tutup, dinding dan terlindung. Dia menutup baju besinya dengan bajunya yang bermaksud menutupi fitrahnya dan melingkupi dengan tudung kejahilan dan kejahatan. 

Sesungguhnya kita telah pun mengetahui bahawa orang itu tidak dilahirkan melainkan fitrah Islam. Setiap anggota tubuhnya tidak bekerja melainkan sesuai dengan fitrah Islam. Dunia sekelilingnya tidak beredar mengikut edarannya melainkan menurut sunnah Islam. Tetapi semua ini terlingkup oleh hijab kejahilan dan kejahatan yang menutupi, sehingga terluput dari pandangannya fitrah dunia dan fitrah dirinya. Kita melihat orang-orang kafir ini tidak menggunakan kekuatan fikiran dan ilmu mereka melainkan mengenai perkara-perkara yang berlawanan dengan fitrahnya. Mereka tidak melihat sesuatu melainkan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jadi sekarang kita dapat bayangkan sendiri apa yang diputar belitkan oleh orang-orang kafir tentang kesesatan yang jauh dan kesalahan yang nyata yang mereka amalkan dalam kehidupan mereka di dunia ini. 

FASAL KEDUA: IMAN DAN TAAT

Islam ialah taat akan Allah SWT. dan patuh kepada perintahNya. Walaubagaimanapun terdapat manusia yang tidak mampu mentaati Allah dan mengikut undang-undangNya kerana tiada perasaan yakin dihatinya. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah yakin dalan hatinya akan adanya Allah SWT.. Jika kita tidak yakin akan kewujudanNya maka susahlah untuk mentaati dan mengikut perintahNya. Perkara kedua ialah mengikut jalan yang benar untuk menjalani kehidupan di dunia ini iaitu jalan yang lurus dan mendapat keredhaan daripada Allah SWT.. Kita mestilah memilih jalan yang disukai dan menjauhi perkara yang dimurkai oleh Allah SWT.. Kita mestilah mengenali undang-undang Allah dan yakin bahawa undang-undang itu berasal daripada Allah SWT.. Dan keredhaan tidak akan diperolehi sehinggalah mengikut undang-undang Allah SWT. dan mempraktikkan dalam kehidupan. Perkara ketiga ialah hendaklah kita mempunyai pengetahuan mengenai kesan-kesan perbuatan kita jika tidak memilih mengikuti suruhan Allah SWT.. Jadi kita mesti yakin pada diri akan hari akhirat. Kita akan berhadapan dengan Allah Yang Maha Esa kelak. Kita juga haruslah yakin akan pembalasan Allah SWT. di atas segala amalan yang dilakukan di atas muka bumi ini. 

Iman bermaksud yakin. Setiap orang yang mengenali Allah Maha Esa, sifat-sifatNya yang hakiki, undang-undangNya dan pembalasanNya pada hamba-hambaNya pada Hari Khiamat dan meyakiniNya maka itulah dia orang mukmin. Seseorang manusia itu tidak mungkin menjadi seorang muslim melainkan apabila dia seorang mukmin. Hubungan iman dan islam itu adalah seperti hubungan benih dengan pokok. Pokok tidak akan tumbuh melainkan dengan adanya benih. Walaubagaimanapun tidak mungkin seseorang manusia itu menjadi muslim apabila dalam hatinya tiada iman. Ada juga yang hatinya terdapat iman tetapi islamnnya tidak sempurna disebabkan kelemahan tekadnya atau sesuatu kekurangan di dalam pendidikannya. 

Manusia terbahagi kepada empat golongan iaitu golongan pertama: mereka yang beriman kepada Allas SWT. yang imannya mendorongnya untuk menjadi orang yang mentaati Allah SWT.. Mereka menjauhi setiap pekerjaan yang ditegah oleh Allah SWT.. Mereka mengerjakan amal yang diredhai Allah SWT. seperti mencari rezeki yang halal. Mereka inilah yang dinamakan mukmin yang sebenar. Golongan yang kedua ialah mereka yang beriman kepada Allah SWT. tetapi imannya tidak menjadikan mereka taat kepadaNya dan tidak mendorong mereka mengikuti hokum-hukumNya dengan sempurna. Meskipun iman mereka tidak sampai kepada peringkat sempurna tetapi mereka adalah muslim dalam setiap keadaan. Mereka akan diseksa sebanyak mana maksiat yang mereka telah lakukan. Mereka ditempatkan di tempat orang yang berdosa tetapi tidak sehingga ditempatkan di tempat pemberontak yang murtad kerana mereka masih mengakui kewujudan Allah SWT. dan mengaku tunduk kepada perintahNya. Golongan ketiga ialah mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT. tetapi mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang menyerupai perbuatan muslimin. Mereka ini pada hakikatnya adlah pemberontak. Segala amalan yang mereka lakukan tidak akan diambil kira. Golongan yang terakhir ialah mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT. juga melakukan perbuatan keji yang berlawanan dengan hokum dan perintah Allah SWT.. Mereka ini sejahat-jahat manusia dan pemberontak yang menimbulkan kebinasaan. 

FASAL KETIGA: PEMBAHAGIAN IMAN

Beriman Kepada Allah”Tiada Tuhan melainkan Allah”. Kalimah ini membezakan seorang Muslim daripada orang kafir, musyrik dan mulhid. Mereka yang beriman kepadanya ialah golongan yang mendapat kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Apabila kita pegang kalimah”Tiada Tuhan melainkan Allah”ia dapat menghalang kita melakukan syirik besar atau kecil, kufur atau penentangan agama baik dalam aqidah mahupun dalam amalan. Namun kalimah ini tidak akan memberi manfaat kepada kita sekiranya kata-kata ini tidak meresap dalam hati sanubari kita. Kita hanya mengucapkan kalimah ini tanpa mengetahui akan maknanya. Untuk beriman kepada Allah SWT., kalimah ini perlu meresap di lubuk hati kita dan yakin bersungguh-sungguh akan kebenarannya. Setelah kita memahami kalimah ini dan yakin dengan hati barunya kita menjadi Muslim sejati yang beriman kepada Allah SWT.. Pada hari ini ramai umat Islam memegang kalimah”Tiada Tuhan melainkan Allah”tetapi tidak menjiwai ertinya yang sebenarnya. 

Beriman Kepada Malaikat

Perkara kedua yang disuruh Nabi Muhammad SAW. untuk kita beriman selepas Allah ‘Azza Wa Jalla’ adalah malaikat. Faedah rukun iman yan paling besar ialah supaya kita bersihkan aqidah tauhid daripada syirik dan kufur. Malaikat adalah hamba Allah yang mulia. Mereka suci daripada kesalahan dan dosa. Mereka telah difitrahkan supaya tidak menderhakai Allah dan mengerjakan apa yang diperintahkan kepada mereka. Malaikat mendampingi manusia dalam setiap waktu dan ketika. Mereka menyaksikan apa yang dilakukan oleh manusia, tingkahlaku yang baik dan tidak baik. Mereka mendengar dan menulis semua amalan manusia yang dilakukan di dunia ini. Semua amalan yang dicatat oleh malaikat itu akan ditunjukkan kepada manusia dalam mahkamah Allah SWT. pada hari akhirat kelak. Tidak kiralah apapun jua amalan yang dilakukan sama ada baik atau jahat, dengan sembunyi atau terang-terangan semua malaikat dapat melihatnya. 

Walaupun kita tidak mengetahui hakikat kejadian malaikat ini tetapi kita diduruh untuk mengimani tentang kewujudannya. Sesungguhnya tiada alasan bagi seseorang untuk mengingkari kewujudan Malaikat. Jika kita tidak percaya wujudnya Malaikat itu bererti kita juga mengingkari suruhan Nabi Muhammad SAW. 

Beriman Kepada Kitab-kitab Allah

Perkara ketiga yang disuruh oleh Nabi Muhammad SAW. ialah beriman kepada kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada nabi-nabi dan Rasul-rasulNya. Allah SWT. telah menurunkan Al-quran kepada Nabi Muhammad SAW.. Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa AS.. Kitab Zabur diturunkan kepada Nabi Daud AS.. Manakala kitab Injil diturunkan kepada Nabi Isa AS.. Terdapat juga kitab-kitab lain yang diturunkan kepada semua nabi tetapi tidak mendapat bukti yang sahih. Walaubagaimanapun, kita hendaklah percaya bahawa semua kitab yang datang dari sisi Allah SWT. adalah benar. 

Terdapat perbezaaan antara Al-quran dengan kitab-kitab yang lampau antaranya ialah kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al-quran naskah yang asli sudah pun hilang. Yang tinggal hanyalah terjemahannya. Al-quran sentiasa terpelihara ayat-ayat dan huruf-hurufnya sebagaimana diturunkan dari sisi Allah SWT.. Tiada sedikitpun perubahan pada huruf atau harakatnya. Dalam kitab-kitab terdahulu manusia telah mencampurkan perkataannya sendiri dengan kalam Allah. Jadi agak sukar untuk dibezakan antara kalam Allah dan perkataan ciptaan manusia. Kandungan Al-quran adalah menyeluruh ditujukan kepada semua umat dan sesuai diamalkan sepanjang zaman. Sebab itulah Al-quran diamalkan sehingga kini. Berbeza dengan kitab-kitab lain yang isinnya ditujukan kepada sesuatu umat yang khas dan terhad pada sesuatu masa. Kitab-kitab selain Al-quran tidak diketahui tentang sejarahnya. Memang ada yang diturunkan kepada nabi yang berkenaan, tetapi banyak pula kitab agama yang tidak dikenali asal-usulnya, kepada siapa ia diturunkan dan bila waktunya ia diturunkan. Sesungguhnya Al-quran telah dipastikan oleh saksi-saksi sejarah bahawa ia diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. yang tidak dapat disangkal oleh sesiapapun. Bahasa Al-quran mudah difahami. Al-qur’anu ‘I-Karim ialah bahasa yang hidup, yang diucapkan oleh berpuluh-puluh juta manusia dan difahami oleh beratus-ratus juta manusia lagi pada masa ini. Ia adalah mudah bagi setiap orang yang mahu belajar untuk mempelajari isi kandungannya. 

Beriman Kepada Rasul-rasul Allah

Selepas mengimani kitab-kitab Allah SWT., kita disuruh untuk mengimani Rasul-rasulNya. Rasul-rasul Allah didatangi untuk menyeru manusia kepada Islam. Sesungguhnya tiada perbezaan di antara Nabi Muhammad SAW. dengan nabi-nabi lain. Semua mereka diutus dari sisi Allah SWT. untuk memberi petunjuk kepada jalanNya yang lurus. Disuruh agar kita beriman kepada setiap orang di antara rasul-rasul ini. Hanya terdapat tiga perbezaan di antara Nabi Muhammad SAW. dan nabi-nabi yang lain iaitu nabi-nabi yang lain diutuskan kepada sesuatu umat yang khas pada suatu waktu yang terhad. Tetapi Nabi Muhammad SAW. diutuskan kepada seluruh alam sehingga hari Khiamat. Perbezaan yang kedua ialah pengajaran nabi-nabi yang terdahulu telah terpesong seluruhnya atau tiada lagi terpelihara dalam bentuk-bentuk yang asal walaupun ianya masih ada di dunia. Pengajaran Nabi Muhammad SAW. masih digunakan dari dahulu sehingga Hari Khiamat kelak. Perbezaan yang ketiga ialah pengajaran Islam yang didatangkan oleh para nabi yang terdahulu belum merupakan pengajian yang sempurna. Akhirnya didatangkan kepada Nabi Muhammad SAW. yang unggul kepada seluruh umat Islam. 

Seluruh umat Islam mestilah beriman kepada Nabi Muhammad SAW. dan mengikuti ajarannya. Bagi seorang Muslim hendaklah beriman kepada Nabi Muhammad SAW. itu mengenai tifa perkara iaitu Bahawa Muhammad itu adalah Rasul yang benar dari sisi Allah SWT., bahawa petunjuk yang dibawanya adalah sempurna, tiada kekurangan atau kesalahan dan bahawa beliau adalah nabi yang akhir yang datang kepada manusia dari sisi Allah SWT. kepada seluruh umat hingga Hari Khiamat. 

Percaya Kepada Hari Khiamat

Perkara kelima yang disuruh kita percaya ialah Hari Khiamat. Kita wajib percaya bahawa hari itu Allah SWT. akan meleburkan alam dan segala makhluk yang ada di dalamnya pada suatu hari yang dikenali dengan Hari Khiamat. Kemudian Allah SWT. akan menghidupkan semula dan mengumpulkan kita dihadapanNya. Ini adalah perhimpunan dan kebangkitan. Kemudian Allah SWT. menghadapkan kita di hadapan mahkamahNya untuk dinilai semua amalan kita sama ada baik atau jahat selama hidup di dunia ini. Kemudian bagi mereka yang diampunkanNya akan dimasukkan ke dalam syurga dan mereka yang dihukum dimasukkan ke dalam api neraka. Hari Khiamat akan tiba dan sebagai umat Islam kita wajib mempercayainya. 

Di dunia sekarang ini terdapat tiga aqidah mengenai akhirat dan kehidupannya iaitu satu golongan mengatakan yang ada hanyalah kehidupan dunia sahaja. Kita hidup dan kita mati, tiada kehidupan selepas mati. Ini adalah aqidah orang mulhid yang menyebut dirinya sebagai pakar sains. Golongan yang kedua ialah golongan yang mengatakan bahawa manusia itu berturut-turut mati dan hidup, supaya memperoleh balasan amalannya. Apabila amalannya pada kehidupan yang pertama adalah jahat, pada kehidupannya yang berikut menjadi binatang seperti kera, anjing atau kucing atau dengan rupa pokok atau menjadi seorang lelaki yang hina. Apabila amalannya baik, akan terangkatlah kedudukannya dan menjadi tinggi darjatnya. Aqidah ini dikemukakan oleh sebahagian manusia yang fikiran keagamaannya tidak berkembang. Golongan yang ketiga ialah golongan yang beriman kepada Hari Khiamat, berkumpul, hadir di hadapan Allah SWT. dan mengimani pembalasanNya ke atas amalan manusia. Ini adalah aqidah yang diajarkan oleh seluruh para nabi. 

FASAL KEEMPAT: IBADAT

Ibadat ialah pengabdian. Kita adalah abdi dan Allah adalah tempat pengabdian kita. Setiap yang dilakukan oleh seorang hamba dalam mematuhi perintah Allah SWT. adalah ibadat. Apabila kita menjauhi dusta, mengucapkan kata-kata yang baik dan mengemukakan kebenaran maka kata-kata ini adalah suatu ibadat kepada Allah SWT. meskipun semuanya memperkatakan hal ehwal dunia. Begitu juga apabila kita berbuat baik ke atas orang miskin, melawat orang sakit dan menolong orang yang teraniaya tanpa mengharapkan pujian maka itu dikira ibadat kepada Allah SWT.. Apabila kita berkecimpung dalam dunia perniagaan atau melakukan perkhidmatan kepada masyarakat dengan niat untuk menunaikan kewajipan dengan amanah kerana Allah SWT. dan kemudiannya mengusahakan dengan jalan halal maka segala kegiatan itu dianggap ibadat kepada Allah SWT. meskipun semuanya kita lakukan untuk mencari rezeki untuk diri di atas muka bumi ini. Kesimpulannya apabila kita takut akan Allah SWT., melakukan suruhanNya, meninggalkan laranganNya, mengingati Allah sepanjang masa dan sabar menempuh segala dugaan dari Allah SWT. maka semua itu adalah ibadat dan kehidupan bermula dari hidup sehingga mati adalah juga ibadat kepada Allah SWT.. 

Solat

Umat Islam diwajibkan menunaikan solat. Setiap hari kita mulakan dengan solat subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak. Sesungguhnya solat itu memperkuatkan asas Islam pada setiap hari dan mempersiapkan diri kita untuk melakukan pengabdian kepada Allah SWT.. Allah SWT. telah memerintahkan agar kaum Muslimin melakukan kewajipan sembahyang berjemaah dan melakukan solat Jumaat seminggu sekali dengan berjemaah. Solat berjemaah akan membentuk penyatuan, kasih sayang dan persaudaraan di antara umat Islam. Apabila kita berkumpul, berdiri, rukuk dan sujud bersama-sama akan timbul perasaan rendah diri kerana kita semua adalah sama sahaja di sisi Allah SWT. tanpa mengira harta dan pangkat. Solat berjemaah juga melatih kita untuk taat kepada perintah Allah SWT.. Ia mendidik kita agar menjalani hidup dengan teratur, menepati waktu, tolong-menolong, berkasih sayang dan
memperkuatkan ikatan ukhwah sesame umat Islam. 

Puasa

Puasa bermaksud menahan diri daripada lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Apabila kita berpuasa bererti kita kewajipan, menguji kesabaran dan sanggup menahan hawa nafsu. Bulan Ramadhan didatangi setiap tahun. Ia mendidik diri selama 30 hari untuk mempunyai sifat dan akhlak yang tinggi. Apabila datangnya bulan Ramadhan seluruh umat Islam dilingkupi oleh udara kesucian, kebersihan, keimanan, takut kepada Allah SWT., taat kepada hukumNya, kelembutan akhlak dan melakukan amalan-amalan baik. Hamba-hamba Allah yang sahih saling tolong-menolong sesama mereka untuk melakukan perbuatan baik dan melakukan kebaikan. Bagi yang kaya timbul perasaan untuk membantu golongan yang miskin. Mereka membelanjakan harta pada jalan Allah SWT.. Pada malam hari dalam bulan Ramadhan diserikan pula dengan solat tarawih. 

Zakat
Allah SWT. mewajibkan ke atas tiap-tiap orang Muslim apabila terdapat harta yang berlebihan daripada nisab dan samapi haul (tahun) nya yang sempurna supaya mengeluarkan zakat kepada orang fakir atau miskin, atau orang musafir, atau orang yang mendapat petunjuk kepada agama Islam, atau orang berhutang atau pada salah satu daripada jalan-jalan Allah. Allah SWT. menetapkan 2. 5% harta orang Muslim yang kaya untuk diberikan kepada fakir miskin. Tetapi bagi mereka yang ingin mengeluarkan lebih daripada kadar itu adalah lebih baik baginya dan mendapat pahala yang lebih besar. 
Allah SWT. telah berfirman kepada hambaNya: Sesungguhnya apabila kamu sedekahkan sesuatu kepada saudara kamu yang miskin kerana Aku dan mengharapkan wajahKu, dengan hati yang baik dan dada yang lapang sesungguhnya kamu telah bersedekah kepadaKu; tetapi janganlah kamu harapkan apa-apa daripadanya, jangan kamu sakiti dia, jangan kamu hinakan dia, jangan kamu mengharapkan balasan dan terima kasih daripadanya, dan jangan kamu melakukannya agar manusia mengetahui sedekah itu supaya mereka menyebut-nyebutnya dan supaya mereka menunjuk-nunjuk kamu, apabila kamu tunaikan kepada orang fakir, miskin dan orang-orang berhajat, akan bahagian mereka yang kutitipkan kepada kamu, kamu bersihkan hati kamu dari fikiran yang batal seperti tersebut tadi, dari sangkaan yang rendah, nescayaku beri kepada kamu sejumlah besar harta untuk menjadi bahagian kamu, tiada kering dan tiada habis. 
Tiada sifat angkuh melainkan daripada tabiat orang kafir yang diajar oleh tamadun mereka supaya memelihara kekayaan yang ada di tangan mereka. Dengan harta yang ada mereka berhak untuk mengambil harta dari tangan orang lain. Berlainan dengan orang Muslim, agama Islam mengajar kita untuk memberikan harta kepada saudara kita yang ketiadaan harta jika harta itu melebihi daripada keperluannya sendiri. 

Mengerjakan Haji
Islam tidak mewajibkan orang-orang Muslim yang tidak berkemampuan untuk mengerjakan haji di Makkah. Bagi yang berkemampuan pula cukuplah hanya mengerjakan haji sekali seumur hidup. Tetapi tidak salah dilakukan berkali-kali. Mengerjakan haji banyak mempunyai manfaat duniawi di samping manfaat keagamaan. Sebahagian daripadanya ialah Makkah Al-Mukarramah telah dijadikan pusat kaum Muslimin, tempat tumpuan mereka yang datang dari seluruh pelusuk duniadari pelbagai keturunan dan bangsa. Dengan ini akan wujud persaudaraan sesame umat Islam. Mengerjakan haji adalah pengabdian diri kepada Allah SWT.. Ia merupakan muktamar tahunan dunia di mana berduyun-duyun umat Islam dari pelusuk dunia. Ia merupakan cara yang terbesar dan jalan yang paling berjaya untuk mendidik saudara-saudara Muslim sejagat supaya bersatu, berkasih sayang dan saling tolong-menolong. 


Kesimpulan

Islam itu begitu indah dan lengkap. Ia mengatur kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Ia begitu mudah untuk difahami dan tidak menyusahkan umatnya untuk mengikuti ajarannya. Namun, dalam dunia teknologi yang serba moden ini ramai umatnya yang terlupa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim sejati. Mereka lebih mementingkan duniawi semata-mata tanpa melengkapkan diri dengan bekalan untuk ke akhirat kelak. Banyak gejala-gejala sosial yang timbul ekorannya daripada sikap individu Islam itu sendiri. Golongan-golongan seperti ini sukar untuk ditegur kerana masyarakat pada zaman sekarang ini mengamalkan sikap tidak bertegur sapa. Jadi masing-masing melakukan apa sahaja yang disukai tanpa menghiraukan orang lain. 

Bagi mengelakkan gejala-gejala yang tidak senonoh ini daripada terus berleluasa, kita mestilah sedar dan kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah SWT. itu adalah Maha Pengampun dan menerima taubat daripada hambaNya. Selalu mengingati Allah SWT. adalah jalan yang terbaik bagi mengelakkan seseorang itu daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah SWT.. Berpeganglah pada kalimah”Tiada Tuhan melainkan Allah”serta yakin dan memahami makna kalimah itu yang sebenar. Insyaallah, kita tidak akan terpesong daripada jalanNya dan menjadi Muslim yang sejati. 

Dalam kehidupan di dunia ini, kita mestilah sentiasa mengamalkan”Amar Makruf Nahi Mungkar”. Sentiasa membelanjakan rezeki pada jalan yang halal, bersedekah, membantu fakir-fakir miskin serta mengamalkan cara hidup berlandaskan hukum-hukum Islam. Sesungguhnya mereka yang mengamalkan cara hidup sebegini akan mendapat keredhaan hidup di dunia dan kebahagian di akhirat kelak. Allah SWT. menjanjikan syurga kepada hamba-hambaNya yang soleh. Kita mestilah sentiasa beringat yang kehidupan di dunia hanyalah suatu persinggahan dan ianya tidak kekal. Jadi kita sebagai hamba-hambanya mestilah mempersiapkan diri dengan amalan-amalan baik dan sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan untuk dijadikan bekalan untuk berhadapan denganNya di akhirat kelak. 

Nama Pensyarah: Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Nama Pelajar: Marinah Syazwani Bt. Mokhtar

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com