Istilah Jahiliah sebenarnya mempunyai elemen-elemen yang membawa maksud tidak tahu mengenai sesuatu doktrin. Jaafar Abi Talib membayangkan cara hidup di Tanah Arab sebelum Islam sebagai ‘Kami orang jahiliah menyembah berhala, memakan bangkai, membuat kejahatan, meninggalkan rumahtangga, mungkir janji, yang kuat menindas yang lemah’.
Kira-kira 400 tahun sebelum kelahiran Islam adalah terdiri dari penganut-penganut Ugama Haniff-iaitu Ugama yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim.
Istilah Jahiliyah adalah berasal dari bahasa Arab, ‘Jahala’ yang bermakna ‘bodoh’. Zaman Jahiliyah bermaksud zaman kebodohan. Namun begitu bangsa Arab mempunyai cara hidup tersendiri berdasarkan kaum-kaum dan qabilah-qabilah yang mendirikan tamadun di kawasan-kawasan bandar. Kita tidak boleh menuduh mereka bodoh sekiranya mereka mampu menbina bangunan-bangunan yang indah-indah engan pelbagai rupa bentuk. Mereka juga didapati sudah pandai membina ampangan taliair untuk kemajuan pertanian dan sudah pandai berniaga dengan mendapatkan keuntungan yang lumayan. Ini bermakna orang-orang Arab sebelum Islam tidak bodoh tetapi sebenarnya tidak ada petunjuk yang baik dari Rasul-rasul dan Kitab-kitab Ugama. Penghidupan bangsa Arab sebenarnya telah dipengaruhi oleh alam sekeliling mereka dengan itu lahirlah berbagai bentuk kepercayaan serta norma-norma etika yang membentuk cara hidup di padang pasir.
Kota Mekah merupakan kota suci dan istimewa yang dapat mempertahankan kebebasannya sepanjang masa sejak zaman sebelum kedatangan Ugama Islam atau pada zaman jahiliyah.
Nabi Muhammad (SAW) menerima wahyu pertama daripada Allah melalui Malaikat Jibril di Gua Hira’, sewaktu mengasingkan diri beribadat dan di kala itu baginda berusia 40 tahun. Selepas menerima perintah Allah untuk membuat seruan secara terbuka bererti satu sejarah baru seruan Islam telah bermula. Nabi Muhammad memulakan seruan secara snyap tanpa diketahui ramai kecuali keluarga dan sahabat-sahabat yang paling karib.
Selama tiga tahun Nabi membuat seruan sulit tapi bilangan yang memeluk Ugama Islam sangatlah sedikit, bagaimanpun ini telah mendorong baginda menyiarkan secara terang-terangan, seperti mengumpul keluarganya untuk menyampaikan seruan suci itu.
Nabi dengan mengikut perintah dari Al-Quran telah mengajak manusia supaya percaya pada keesaan Tuhan, mempercayakan hari pengadilan, tentang ganjaran dan seksaaan. Ini termasuklah mengajak manusia berfikir tentang kejadian alam semulajadi, roh manusia dan perkara-perkara yang sedang dan akan berlaku. Baginda juga membuat seruan dan bercakap tentang hari kiamat, tentang tanggungjawab terhadap Tuhan termasuk amal ibadat dan melaksanakan keadilan dalam hubungan antara manusia di dalam berbagai lapangan. Di dalam usaha-usaha Nabi Muhammad terpaksa mengambil tindakan menyerang ugama meyembah berhala dan syirik terhadap Ugama Qabilah walaupun menerima tentangan hebat dari kafir Quraisy. Ini telah menimbulkan konflik keugamaan yang hebat hingga membawa pertentangan di mana kafir Quraisy Mekah cuba mencari jalan untuk membunuh Ugama baru ini dengan apa jua cara pun.
Seruan Nabi Muhammad juga telah menimbulkan konflik bercorak kemasyarakatan yang telah menyentuh perasaan bangga dan takabur serta cuba membenteras segala bentuk penindasan dan kezaliman antara manusia-manusianyang kuat ke atas yang lemah.
Di samping itu terdapat juga konflik bercorak ekonomi di mana kehidupan ekonomi orang-orang Arab Quraisy akan terjejas apabila Nabi cuba mengecam berhala-berhala yang disembah. Seperti yang diketahui perniagaan berhala merupakan sumber pendapatan yang lumayan dan dengan cara itu ajaran Nabi Muhammad ditentang hebat.
Orang-orang Quraisy menganggap Ugama Islam telah merosakkan Ugama dan kepercayaan mereka yang dipegang sejak dahulu kala dan secara langsung telah mengancam kedudukan ekonomi, social dan politik mereka serta membawa pengaruh kebudayaan Islam yang kelak akan meruntuhkan kedudukan bangsawan Quraisy serta merosakkan system feudal.
Di sini nyatalah penentangan orang-orang Mekah terhadap Ugama Islam adalah bersifat kemasyarakatan dan keugamaan dan termasuk faktor-faktor politik.
Kemenangan besar dalam perang Badar telah menberi erti dan natijah yang besar di dalam sejarah perjuangan menegakkan Islam dan telah meletakkan imej Nabi dan Islam dalam satu imej baru kabilah-kabilah Arab kerana inilah kali pertama orang-orang Islam berdepan dengan kafir Quraisy, dari segi sosial dan kemasyarakatan ianya menguatkan lagi kedudukan Negara Islam yang baru lahir. Sejak 13 tahun berlaku penentangan di antara kedua pihak inilah merupakan tindakan ketenteraan yang mana segala tindakan Musyrikin mendapat tentangan balas. Demikianlah pula dengan orang-orang Yahudi di Madinah tentulah mereka akan menyaksi akan kekuatan Islam juga kabilah-kabilah Arab di sekitar tentulah merasa yakin untuk berbaik-baik dengan orang-orang Islam.
Kemenangan umat Islam di dalam perang ini membuktikan bahawa mereka berada di pihak yang benar. Untuk menjamin keutuhan dan kekuatan umat Islam Nabi telah memulakan rancangannya dengan menghubungkan tali persaudaraan Islam di antara orang Muhajirin dan Ansar. Baginda juga telah memperjodohkan orang-orang Ansar dengan orang-orang Muhajirin di dalam ikatan perkahwinan.
Bani Khazraj dan Aus sebelum kedatangan Nabi adalah bersatu berkat keislaman di kalangan mereka sejak dahulu. Golongan-golongan Yahudi ini telah mengambil peluang untuk menghalang perjuangan Nabi termasuklah orang-orang Musyrikin Mekah, Munafiqin dan Yahudi dengan menaruh kebencian terhadap Islam. Dengan kebijaksaan Rasulullah untuk menjaga perkrmbangan Islam dan kebaikan kota Madinah satu perjanjian kerjasama telah diadakan dengan orang-orang Yahudi. Perjanjian ini termasuklah yang orang-orang Islam dan Yahudi hendaklah hidup sebagai satu bangsa, kedua-dua pihak bebas menjalankan ugamanya masing-masing, tidak boleh ganggu-menganggu dan caci-mencaci.
Sekiranya satu pihak diserang musuh dari luar hendaklah satu pihak lagi menbantunya. Jika kota Madinah diserang kedua-dua pihak sama-sama mempertahankannya bermati-matian. Dan sekiranya terjadi apa-apa perselisihan yang menjadi hakim memutuskannya ialah Nabi Muhammad sendiri.
Untuk menjamin kemakmuran dan keharmonian selepas menyelesaikan masalah tiga golongan ini, Nabi Muhammad telah berjaya mencipta sebuah perjanjian dikenali sebagai”Perjanjian Perlembangaan Madinah”. Ianya mengandungi 24 perkara. Perjanjian ini telah dibuat antara Nabi dengan semua golongan di Madinah.
Dengan wujudnya perlembangan ini bererti suatu pembaharuan telah dibawa iaitu konsep baru di dalam berugama dan berkerajaan, yang bertujuan menyatukan semua penduduk Madinah, dan melahirkan sebuah negara. Dengan itu Nabi Muhammad telah meletakkan dasar-dasar untuk membangunkan masyarakat dari pelbagai bidang termasok sosial, politik, ekonomi dan undang-undang kira-bicara.
Dengan 24 isi penting dipersetujui bersama di dalam perlembagaan tersebut Nabi Muhammad telah berjaya membentuk sebuah Masyarakat Ummah.
Perjanjian Hudaibiah adalah merupakan persetujuan perdamaian yang telah ditandatangani di antara Nabi Muhammad dengan Suhail bin Umar iaitu ketua delegasi Quraisy pada tahun 628 Masihi. Dengan itu termeterailah satu perjanjian yang mana genjatan senjata di antara kedua pihak akan berlangsung selama 10 tahun. Pokok-pokok perjanjian tersebut adalah seperti berikut:
1. Perletekan senjata antara kedua belah pihak selama 10 tahun.
2. Orang Quraisy Muslim yang datang kepada kaum Muslimin dengan tidak seizing walinya hendaklah ditolak oleh kaum Muslimin.
3. Ibadat Haji orang-orang Islam ditangguh mengerjakannya pada tahun hadapan. Tetapi mereka dibenarkan tinggal hanya selama 3 hari 3 malam. Sewaktu memasuki Kota Mekah tidak dibenarkan membawa senjata kecuali pedang di dalam sarungnya.
4. Quraisy tidak menolak orang Muslim yang kembali kepada mereka.
5. Barangsiapa yang hendak memperbuat perjanjian dengan Quraisy dibolehkan, begitu juga siapa yang hendak memperbuat perjanjian dengan Muhammad selain Quraisy dibolehkan juga.
Setelah perjanjian Hudaibiah itu terbatal, Nabi Muhammad SAW lalu menyiapkan satu angkatan secara rahsia lebih kurang 10, 000 orang yang dipimpin oleh baginda sendiri. Teapi pemergian tentera itu tidak diumumkan kerana itu tentera-tentera Islam tidak tahu kemana mereka akan dibawa dan siapa akan diserang. Tujuan besar tentera itu sebenarnya ialah untuk menawan Mekah dengan tidak bertumpah darah. Tahu-tahu tentera-tentera Islam itu sudah berada dipinggir Mekah. Keberangkatan tentera Islam telah diketaui oleh Abu Sufian bin Harb dan orang-orang Quraisy sedang memikirkan cara bagaimana untuk mengatasi kekuatan tentera tentera-tentera Islam itu tetapi ternyata kekuatan Islam sanggup untuk bertindak bagi menghapus apa jua bentuk kezaliman yang dijalankan.
Kewafatan Rasulullah dan perlantikan Abu Bakar sebagai khalifah Islam telah menimbulkan berbagai masalah dan banyak golongan yang tidak mahu patuh kepada peraturan yang telah dikuat kuasakan sehingga Abu Bakar terpaksa bertindak tegas terhadap mereka.
Tindakan yang mula-mula diambil oleh Khalifah Abu Bakar di dalam pendirian politik dan dasar luarnya ialah mengerakkan tentera di bawah pimpinan Usamah bin Zaid menuju perbatasan negeri Syam sebagai meneruskan rancangan yang telah dibuat oleh Rasulullah.
Suatu pergolakkan yang maha hebat mengancam dan menggoncangkan keutuhan dan kedaulatan Negara yang terlalu muda.
Pergolakkan itu hampir memecah perpaduan umat Islam, ini disebabkan lahirnya beberapa golongan penderhaka yang mengikarkan ugama (al-Ridah) . Golongan ini dapat dibahagi kepada tiga kumpulan;
1. Keluar terus dari ugama Islam (murtad)
2. Mengikarkan bayaran zakat.
3. Mengakui menjadi Nabi (nabi palsu) termasuk wanita.
Usman bin Affan dipilah menjadi Khalifah Islam yang ketiga pada tahun 23 Hijrah/644 Masihi melalui satu majlis yang mengandungi enam anggota yang dilantik oleh Umar. Pemerintahannya berjalan selama kira-kira 12 tahun dan dipilih ketika berusia 70 tahun.
Di dalam enam tahun yang pertama masyarakat Islam berada di dalam keadaan aman damai tetapi di peringkat enam tahun kedua mulalah timbul berbagai-bagai kerumitan dan tentangan terhadapnya sehingga menbawa fitnah yang akhirnya menyababkan Usman dibunuh. Usman nyata sekali menpunyai sifat lemah –lembut, peramah dan kadang-kadang memaafkan satu-satu kesalahan yang tidak sepatutnya dimaafkan. Sifat-sifat ini telah mempengaruhi sikap dan polisinya lebih-lebih lagi kerana usianya yang lanjut, sifat-sifat ketegasan dan kecekapan yang dimiliki oleh Abu Bakar dan Umar tidak ada padanya.
Memang benar bahawa peristiwa pembunuhan Khalifah Usman oleh golongan pemberontak telah menjadi satu factor terpenting kepada pihak tertentu untuk bertindak. Dalam keadaan kelam-kabut itu Saidina Ali Ibn Talib telah dilantik menjadi Khalifah Islam yang ke-4, walaupun pada mulanya Ali telah menolak. Pelantikan Saidina Ali oleh golongn yang memberontak terhadap Usman walaupun mencerminkan suara terbanyak tetapi nyata pembai’atan itu bukanlah dengan sepenuh hati kaum Muslimin.
Perkembangan ugama Islam di rantau Nusantara merupakan satu fenomena sejarah yang penting. terdapat banyak faktor-faktor yang bertanggungjawab bagi penyebaran ugama Islam di Nusantara. Di antara faktor-faktor tersebut dapat dikaitkan dengan perkembangan ekonomi, politik, dan sosial. Terdapat juga faktor dari falsafah keugamaan dan kebudayaan Islamyang dapat disesuaikan menurut zaman.
Ahli sejarah berpendapat bahawa saudagar-saudagar India Muslim dari Gujerat yang berpusat di perlabuhan Bombay adalah bertanggungjawab di atas pembawaan ugama Islam di rantau Nusantara.
Perkembangan ugama Islam berlangsung secara tidak langsung pada mulanya tetapi setelah ugama Islam telah bertapak terutamanya dalam adad ke-13, penyebaran secara langsung telah mula dijalankan dengan bantuan penyebar-penyebar Islam dari Arab, Parsi, India, Benggala, dan lain-lain termasuk ahli-ahli sufi. Menurut catitan Marco Polo yang singgah di Sumatra dalam perjalanan dari Chinake Itali menyatakan Perlak di Timur-Laut Sumatra telah mempunyai masyarakat Islam sejak tahaun 1292 Masehi. Ini terbukti dengan terjumpanya sebuah batu nisan Sultan Malik-ul Saleh yang bertarikh 1297M yang menunjukkan baginda ialah raja Islam yang pertama di Sumatra.
Dalam abad ke-15 Melaka pula muncul sebagai pusat perdagangan yang terpenting di Asia Tenggara kerana kedudukannya yang istimewa di samping berbagai kemudahan disediakan dapat menarik menjadi pusat perdagangan antarabangsa. Kemampuan Melaka itu adalah disebabkan perubahan sikap Parameswara yang telah memeluk Islam dalam tahun 1414M setelah berkahwin dengan seorang puteri raja Pasai. Peristiwa ini telah membuka peluang besar kepada Melaka dan beransur-ansur berkembang menjadi pusat perkembangan ugama Islam di rantau ini.
Selain dari perantaraan perkahwinan biasa yang berlaku di antara saudagar-saudagar Islam dengan perempuan-perempuan tempatan juga puteri-puteri pembesar Islam tempatanlah berkembang melalui perkahwinan siasah. Perkahwinan siasah ini bertujuan mengeratkan hubungan di antara negara-negara rantau ini.
Islam juga telah berkembang melalui dasar penaklukan walaupun begitu Islam tidak berkembang melalui secara paksaan tetapi melalui usaha-usaha sampingan seperti perkahwinan, dakwah dan ajaran Islam, dan contoh tauladan seseorang pemerintah, yang biasanya diikuti oleh rakyat. Apabila seseorang raja itu memeluk Islam selalunya rakyat dalam negeri itu akan menurut jejak banginda. Dasar penaklukan yang dijalankan oleh Melaka telah menyebabkan Melaka berkembang menjadi sebuah Empayar yang terbesar di Asia Tenggara dalam abad ke-15, di samping menjadi pusat perdaganagan dan pusat pengajian dan penyebaran Islam.
Satu lagi faktor yang bertanggungjawab bagi perkembangan ugama Islam di rantau ini ialah disebabkan adanya pertandinagn di antara orang-orang Islam dengan Kristian di dalam abad ke-15 dan ke-17 yang dianggap sebagai ekoran dari Perang Salib. Sejak Semanjung Liberia ditawan oleh kuasa Islam dalam tahun 732M berlanjutan hingga Peperangan Salib dan seterusnya dalam abad ke-15 ke mari telah meninggalkan kesan-kesan mendalam.
Dalam tulisan-tulisan Orientalis Barat selalu mengecil-gecilkan peranan Islam di samping usaha-usaha melemahkan ugama Islam. Persaingan ini amat diketahui oleh orang-orang Islam dan ini telah menjadi salah satu sebab Islam telah berkembang dengan pesat di kalangan penduduk Kepulauan Melayu.
Penduduk-penduduk tempatan juga didapati sangat tertarik hati dengan Islam di atas kesederhanaan ugama Islam berbanding ugama lain.
Ugama Islam juga mempunyai peluang untuk berkembang disebabkan kelemahan politik Kerajaan Sriwijaya dan Majapahit yang menyebabkan wujud kekosongan kuasa politik di daerah ini. Kerajaan Melaka telah menjadi waris kepada Kerajaan Majapahit yang mana Islam telah menjadi ugama rasmi Melaka telah berkembang menjadi sebuah empayar yang besar di samping pusat penyebaran Islam di rantau ini.
Perkara 3 (1) Perlembangaan Malaysia menyatakan bahawa;Ugama Islam ialah ugama rasmi bagi persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh juga diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian dalam persekutuan.
Perasmian ugama Islam sebagai ugama rasmi Negara merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang boleh dianggap sebagai hak-hak istimewa orang Melayu yang dijamin oleh Perlembangaan.
Perkara 3 (2) Perlembangaan Malaysia menyebut;Dalam tiap-tiap negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja (Melaka dan Pulau Pinang) kedudukan Raja sebagai ketua ugama Islam dalam negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh perlembangan negeri itu, segala hak istimewa, hak kedaulatan, dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat;tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh majlis raja-raja supaya meliputi seluruh Persekutuan maka tiap-tiap Raja hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua Ugama membenarkan Yang Dipertuan Agong mewakilinya.
Perkara 3 (3) Perlembangaan Malaysia pula menyatakan; Perlembangaan negeri Melaka dan perlembagaan negeri Pulau Pinang hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi member kepada Yang Dipertuan Agong kedudukan sebagai Ketua Ugama di negeri itu.
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com