Syurga Menurut Perspektif Al-Quran Dan Al-Sunah -

PENDAHULUAN:

Segala puji bagi allah SWT. yang telah mengurniakan kemuliaan kepada kami (di akhirat) dengan diberiNya tempat tinggal yang baik (syurga) , yang menganugerahkan nikmat kepada kami memasuki syurga makwa’ dan telah menjanjikan kepada orang-orang mukmin di kalangan makhluk, khasnya kepada orang-orang yang bertaqwa di kalangan mereka masuk Darussalam (syurga) . 

Selawat dan salam atas nabi Muhammad yang mempunyai hak syafaat (pada hari kiamat) dan mempunyai kelebihan dan tempat yang terpuji. dan juga ke atas ahli keluarganya yang suci dan dikurniakan nikmat kepada mereka di tempat yang mulia (di syurga) dan juga ke atas sahabat-sahabat dan pengikutnya yang ditempatkan di syurga al-Naim dan juga kepada sesiapa yang mengikuti jejak mereka dengan ihsan (kebaikan) sehingga hari melintasi di atas siratul mustaqim. 

Syukur ke hadrat ilahi kerana diberikan peluang untuk menghasilkan folio yang berbentuk ilmiah ini. Saya memilih tajuk syurga kerana setiap dari kita mengimpikan untuk masuk syurga di akhirat kelak. Diharap kita semua bersama-sama menambahkan lagi amalan kita untuk kebahagiaan di akhirat kelak dan dapat menikmati nikmat syurga, insyaallah. 

NAMA-NAMA SYURGA:

• AL-JANNATU
Ialah nama am yang meliputi dan merangkumi keseluruhan dar (kediaman syurga) itu serta apa yang terkandung di dalamnya dengan berbagai-bagai jenis nikmat dan kelazatan, keseronokan, kegembiraan dan Qurratul-a’yun, (bidadari) . Sesungguhnya allah SWT. telah memberikan nama ini kepadanya dalam al-Qur’an al-Karim. Nama ini Al-Jannatu disebut dalam al-Quran sebanyak 143 kali. 

• DARUSSALAM
Seperti mana yang dinyatakan oleh allah SWT. dalam firmannya:

Ertinya:allah SWT. menjemput ke syurga Darussalam. (surah yunus:25) 

Dan firmannya lagi, 

Ertinya:bagi mereka disediakan syurga Darussalam di sisi allah SWT. (tuhan mereka) (surah al An’am:127) 

Dinamakan dengan nama itu kerana syurga ini adalah tempat selamat dari segala ujian dan keburukan kepada ahlinya. al-Salam juga adalah diantara nama-nama Allah SWT. sesungguhnya Allah memberikan keselamatan dan keamanan kepada ahli syurga dan Allah juga mengucapkan salam kepada mereka. 

• DARUL KHULDI (KEDIAMAN KEKAL) 

Dinamakan dengan nama itu kerana ahli syurga tidak akan berpindah daripadanya, mereka akan kekal di dalamnya (syurga) . 

Dan firman Allah: Ertinya:adakah itu yang baik atau syurga yang kekal yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa. 

• AL-FIRDAUS

Firman Allah: Ertinya:mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya. (surah al-Mu’minun:10-11) 

SIFAT SYURGA DAN NIKMATNYA YANG DISEDIAKAN ALLAH KEPADA AHLINYA. 

Ertinya:daripada abi hurairah dia berkata:rasulullah SAW. bersabda:Allah SWT. berfirman:Aku sudah menyediakan kepada hamba-hamba-Ku yang soleh. apa yang mata tidak melihatnya dan telinga tidak mendengar dan tidak terlintas di hati manusia itu adalah simpanan (masih rahsia) . ada yang lain Aku masih belum maklumkan kepada kamu. 

Kemudian Rasulullah SAW. membaca firman Allah SWT. :

Ertinya:seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka daripada keseronokan (bermacam-macam nikmat) (surah al-Sajdah:17) 

Ertinya:usamah bin zaid berkata:Rasulullah berkata kepada sahabat suatu hari:”adakah kamu belum menggulung lenganmu (berusaha) untuk mendapatkan syurga?sesungguhnya syurga itu tidak ada huraian (pengetahuan) atau terlintas pada akal. Demi Tuhan Rabbul-Ka’bah ia adalah cahaya yang berkilat, dan wangian yang bergerak dan istana yang dihias dan sungai yang mengalir bersambung terus-menerus dan buah-buahan yang sudah masak dan isteri yang menawan dan cantik dan barang-barang yang banyak di tempat abadi dan kekal dalam keadaan baru dan bersinar-sinar, di kediaman tinggi selama dan bercahaya. mereka berkata:”kami menggulung lengan (berusaha) kepadanya, Wahai Rasulullah SAW. baginda berkata:”kamu harus katakan insya Allah. kemudian Rasulullah SAWmenyebut tentang berjihad dan menggalakkan untuk berjihad. 

SUNGAI- SUNGAI DAN BUKIT DI SYURGA:

Firman Allah SWT., Ertinya:perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertqwa ialah ada di dalamnya sungai-sungai daripada air yang tidak akan berubah rasa dan baunya, dan sungai-sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya dan sungai-sungai daripada arak yang lazat rasanya bagi peminumnya, dan sungai-sungai daripada madu yang bersih dan jernih. (surah Muhammad:15) 

Ertinya:diriwayatkan daripada abu hurairah daripada Nabi SAW. bersabda:sungai-sungai yang ada di syurga keluar daripada timbunan tanah atau bukit-bukit adalah seperti misk. 

Ertinya:riwayat daripada hakim bin muawiyah, daripada bapanya daripada Nabi SAW. baginda bersabda:sesungguhnya di syurga ada sebuah lautan daripada air, da lautan daripada susu, dan lautan madu dan lautan daripada arak, kemudian ia bercabang (berpecah) kepada sungai-sungai. 

Al –Bukhari pula menyebut (tentang sungai) di dalam Hadith al- Israk melalui riwayat Syarik daripada Anas yang berbunyi:

Ertinya:sesudah dia (Rasulullah) berada di langit dunia, maka baginda berhadapan dengan dua sunga yang mengalir berterusan dan teratur, maka baginda bertanya Jibril, ”apakah dua sungai ini wahai Jibril?”Jibril menjawab, ”Nil dan Furat adalah unsurnya (sebahagian atau permulaannya) ”, kemudian dia berjalan dilangit maka jadi satu sungai lagi yang ada sebuah istana daripada mutiara dan permata zubarjat berhampirannya (atau di atasnya) . maka baginda sentuh dengan tangan (sungai itu) , maka ia adalah misk yang wangi lagi harum. Baginda berkata:”apakah ini wahai Jibril?Dia berkata:”inilah kausar yang Allah SWT. simpan (sembunyikan) khas kepada engkau. 

DARI MANA KELUAR SUNGAI-SUNGAI SYURGA:

Ertinya:daripada Abu Hurairah berkata:Rasulullah SAW. bersabda:”barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan menunaikan sembahyang dan dia berpuasa dalam bulan ramadhan, dia berhak dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah SWT. sama ada dia telah berhijrah kerana Allah atau ia duduk di buminya (tanah airnya yang dia dilahirkan di situ”. Mereka berkata:”Wahai Rasulullah, tidak bolehkah kami beritahu khabar gembira ini kepada orang ramai?”Rasulullah berkata:”sesungguhnya ada seratus darjat di dalam syurga yang disediakan oleh Allah SWT. untuk mujahidin (orang-orang yang berjihad) di jalan Allah, di antara dua darjat itu jauhnya seperti antara langit dengan bumi. maka apabila kamu minta daripada Tuhan (memohon) , maka kamu mintalah syurga Firdaus. sesungguhnya ia adalah syurga di pertengahan, dan syurga yang paling tinggi dan di atasnya terletak arshur-rahman dan daripadanya terkeluar (mengalir) sungai-sungai syurga. ”

Dan Abu Hatim al- Basri berkata:makna yang dimaksudkan daripada perkataan (syurga dipertengahan) ialah dari segi ketinggiannya. 

Dan Qatadah berkata:Al-Firdaus adalah syurga yang bawah dan pertengahannya dan syurga yang paling tinggi dan lebih afdalnya dan syurga di atas sekali. ada pula dikatakan, sesungguhnya al- Firdaus ialah nama am yang meliputi semua syurga, sepertimana perkataan Jahannam adalah nama untuk semua neraka (api jahannam) kerana Allah SWT. di awal surah al-Mu’minun memuji kaum-kaum dan menyifatkannya (menjelaskan sifat mereka) , kemudian firman Allah, :

Ertinya:mereka itulah orangorang yang akan mewarisi (yakni) ia akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya. 

Kemudian Allah SWT., mengulangi mereka menyebut di dalam surah al-Ma’rij. Firman Allah SWT. :

Ertinya:mereka itu ditempatkan di syurga (kekal) lagi dimuliakan. 

Maka dari situ kita sudah faham bahawa perkataan al-Firdaus ialah nama untuk semua syurga. syurga ini bukanlah untuk satu syurga sahaja. ini adalah pendapat Wahab ibn Munabbih. 

MINUMAN DAN PAKAIAN AHLI SYURGA:

Ertinya: Abu hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW. bersabda:”barangsiapa yang menggunakan pakaian sutera di dunia, dia tidak akan dapat memakainya di akhirat, barangsiapa meminum arak di dunia maka dia tidak akan dapat meminumnya di akhirat. barangsiapa minum dalam bekas emas atau perak, dia tidak akan dapat meminum dengannya di akhirat. ”kemudian Rasulullah bersabda:”itu adalah pakaian ahli syurga dan minuman ahli syurga dan bekas-bekas kegunaan ahli syurga. ”

Al-Imam Qurtubi berkata:sekiranya orang bertanya, sesungguhnya Rasulullah SAW. sudah samakan antara tiga benda ini yang haram kegunaannya kepada seseorang itu (yang dia sudah menggunakannya di dunia) di akhirat. maka bagaimanakah haram juga sekiranya dia masuk syurga?kami boleh jawab:ya!sekiranya dia (orang itu) tidak bertaubat daripadanya di dunia kerana ini berdasarkan sebuah hadith:

Ertinya:barangsiapa meminum arak di dunia kemudian dia tidak bertaubat daripadanya maka diharamkan kepadanya di akhirat. (dan juga orang yang memakai sutera dan sesiapa yang makan dalam bekas emas dan perak atau menggunakan untuk minuman, kerana dia mempercepatkan apa yang Allah SWT. lambatkan untuk dia di akhirat dan apa yang Alla SWT. haramkan di dunia, dia sudah melakukan) . 

Ertinya:Daripada Abu Said al-Khudri dia berkata:Rasulullah SAW. bersabda, ”Barangsiapa yang memakai pakaian sutera di dunia, dia tidak akan memakainya di akhirat walaupun dia masuk syurga. ahli syurga yang lain memakainya tetapi dia tidak akan dapat memakainya. 

Kandungan hadith di atas adalah satu nas (kenyataan) yang amat jelas. sekiranya bahagian akhir hadith ini ialah (walaupun dia masuk syurga ahli syurga yang lain akan pakai sutera dan dia tidak) daripada kata-kata Rasulullah SAW., maka ia adalah satu hujah yang amat jelas kalau ini kenyataan rawi yang dia sendiri mengaku bahawa hadith ini adalah hadith mauquf, maka dia (rawi) itu adalah lebih mengetahui (lebih alim) dengan kesahihan kenyataan ini, dan seorang yang alim seperti dia tidak boleh membuat kenyataan dengan sengaja (sekurang-kurangnya) . 

POKOK-POKOK DAN BUAH-BUAHAN DI SYURGA:

Ertinya:Daripada Salim bin Amir dia berkata:sahabat-sahabat Rasulullah SAW. berkata:”sesungguhnya orang-orang Badwi dan masalah –masalah mereka (pertanyaan mereka) memberikan manfaat kepada kami. ”Dia berkata:pada suatu hari seorang Badwi telah datang dan ia bertanya:”wahai Rasulullah, sesungguhmya Allah SWT. telah menyebut (di dalam al-quran) sepohon pokok di syurga yang mengganggu (mudaratkan) dan saya tak terfikir ada sepohon pokok di syurga yang akan mengganggu tuannya, ”Rasulullah SAW. bersabda:”apakah pokok itu?”Dia berkata, ”Assidru”. sesungguhnya ia mempunyai duri yang mengganggu, maka Rasulullah SAW. bersabda:”apakah pokok itu?”Dia berkata”Assidru”sesungguhnya ia mempunyai duri yang mengganggu, maka Rasulullah SAW. bersada:”Adakah Allah SWT. tidak berkata di dalam al-Quran”:maksudnya:pokok sidru (bidara) yang tidak berduri. 

Oleh itu sidru (pohon bidara) tidak berduri di dalam syurga. Malahan tempat tiap-tiap duri itu dijadikan buah. Sesungguhnya ia tumbuhkan buah-buahan dan buah-buahan yang keluar daripadanya adalah tujuh puluh dua warna dengan rasa yang berlainan. tidak ada satu warnanya yang menyerupai yang lain. 

Ertinya:Daripada Ibn Abbas, dia berkata:Semasa kami menunaikan sembahyang solat kusuf (gerhana matahari) mereka (sahabat-sahabat berkata:”Wahai Rasulullah kami melihat engkau, di tempatmu ini hendak memegang sesuatu, kemudian kami pula nampak engkau berundur ke belakang. ”Maka baginda bersabda:”Sesungguhnya aku melihat syurga, Maka saya telah pegang tangkai (tandan) buah daripadanya. Sekiranya saya ambil itu sesungguhnya kamu makan daripadanya selama dunia ini masih ada. 

TANAMAN DI SYURGA:

Ertinya:Abu Hurairah berkata:pada suatu hari Rasulullah SAW. sedang bercakap (menceritakan) dan ada pula seorang Badwi di situ. Baginda berkata, ”sesungguhnya seorang lelaki daripada ahli syurga minta izin daripada Allah SWT. untuk bertanam-tanaman. Allah akan berkata padanya adakah tidak ada padamu segala nikmat yang kamu mahukannya. Dia jawab:ya!Wahai Allah tapi saya suka bertanam-tanaman, maka dia bertindak segera menanam biji-bijian, dengan cepat tumbuhannya membesar dan masak dan menuainya, dan hasilnya menjadi seperti bukit. Maka Allah akan katakan kepadanya apa yang ada pada kamu (kamu tanam) , wahai ibnu Adam (anak Adam) , tidak ada sesuatu yang menyenangkan kamu. Orang Badwi itu berkata, ”Wahai Rasulullah orang itu tidak lain (melainkan) orang Quraisy atau orang Ansar (orang Madinah) merekalah mempunyai tabiat suka tanaman. adapun kami tidak mempunyai (kami bukan orang) tanaman, maka Rasulullah SAW. pun ketawa. 

DARJAT DI SYURGA:

Ertinya:Daripada Maz bin Jabal dia berkata:Aku mendengar daripada Rasulullah SAW. baginda bersabda:”Di syurga itu ada seratus darjat yangjaraknya antara satu sama lain adalah sama jaraknya (jauh) antara langit dengan bumi, ”sesungguhnya yang paling tinggi ialah al-Firdaus dan yang ditengah-tengahnya adalah al-Firdaus. Sesungguhnya Arshur –Rahman terletak di atas al-Firdaus dan daripadanya terkeluar (terpancar) sungai-sungai syurga. apabila kamu meminta daripada Allah SWT. maka kamu mintalah daripada-Nya al-Firdaus. 

Ertinya:Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW. berkata:Sesungguhnya di syurga ada seratus darjat, sekiranya seluruh alam itu (manusia dan jin) berkumpul di salah satu darjatnya, ia pasti akan memuatkannya. 

Ertinya:Dan dia juga berkata:Rasulullah SAW. bersabda:Akan dikatakan kepada pembaca al-Quran (penghafal) apabila dia masuk syurga:Bacalah dan naik (darjat) . maka dia akan membaca dan dia naik satu darjat dengan bacaan tiap-tiap ayat sehingga dia membaca ayat yang akhir sekali yang ada padanya. 

Ertinya:Daripada Abdullah bin Umar dia berkata:Rasulullah SAW. bersabda:akan dikatakan kepada pembaca al- Quran (penghafal) bacalah al-Quran dan naik, dan bacalah (dengan tartil) seperti mana kamu membaca di dunia dengan tartil. Sesungguhnya darjat kamu, pada ayat yang akhir kamu akan membacanya. 

BILIK DI SYURGA:

Firman Allah SWT. :Ertinya:tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada tuhan mereka mendapat bilik-bilik yang di atasnya dibangunkan pula bilik-bilik (tempat-tempa tertinggi di syurga) . (surah al-Zumar:20) 

Ertinya:melainkan orang-orang yang beriman dan mengamalkan amal-amal soleh, mereka itulah yang memperolehi balasan yang belipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka aman ditempatkan di bilik (dalam syurga yang tinggi) . (surah al-Saba’:37) 

Ertinya:mereka itulah akan dibalasi dengan martabat yang tinggi (di bilik syurga yang tinggi) (surah al-Furqan:75) 

Ertinya:riwayat daripada Sahl bin Saad:Rasulullah SAW. bersabda:Sesungguhnya ahli syurga akan melihat ahli-ahli bilik yang disebut di dalam ayat al-Quran di atas mereka seperti kamu melihat bintang berkilat yang ditempatkan di kaki langit sama ada di sebelah timur ataupun di arah barat. Sesungguhnya di kalangan mereka ada kelebihan antara satu sama lain. mereka berkata:Wahai Rasulullah, adakah kediaman itu kepunyaan nabi-nabi, tidak akan sampai ke tempat itu selain daripada para nabi-nabi. Baginda bersabda:Begitu! (ya) demi Allah SWT yang jiwaku ditangan-Nya, ada orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dan mereka mempercayakan para nabi-nabi. 

Ertinya:Maka Rasulullah SAW. bersabda:Al-Ghurfatu (bilik) dibina daripada batu permata yaqut merah, atau batu permata zabarjat hijau atau mutiara putih yang tidak ada kesan pecahan (pisah) dan kesan sambung (yakni al-Ghurfatu atau bilik itu tidak dibina daripada batu-bata yangmempunya kesan sambung dan pisah) . Dan sesungguhnya ahli syurga melihat bilik itu daripadanya seperti kamu melihat bintang di kaki langit sama ada ia di sebelah timur atau barat, dan sesungguhnya Abu Bakar dan Umar adalah antara mereka berdua akan menikmati. 

SAMBUNGAN:

Ertinya:Rasulullah SAW. bersabda, ada bilik-bilik di syurga yang bahagian luarnya boleh dilihat dari dalamnya dan bahagian dalamnya dia nampak dari luar. Maka seorang Badwi telah bangun dan dia bertanya bilik untuk siapa, wahai Rasulullah?Baginda bersabda:Kepada yang membaiki percakapannya dan memberikan (membelanjakan) makanan dan dia sentiasa berpuasa dan sembahyang kerana Allah SWT. pada waktu malam, sedangkan orang lain sedang tidur. 


Disediakan untuk: Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Nama:Norhazreen Bt Fuad

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com