Menyigkap Rahsia Alam Syurga -

Sebagai seorang Islam, kita seharusnya berpegang teguh kepada perkara-perkara yang terkandung di dalam Rukun Islam dan juga Rukun Iman. Rukun Islam termasuklah mengucap dua kalimah Syahadah, sembahyang lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, dan menunaikan haji bagi yang berkuasa. Manakala perkara-perkara yang terkandung dalam Rukun Iman pula termasuklah percaya kepada Allah SWT, percaya kepada Malaikat, percaya kepada Nabi dan Rasul, percaya kepada Kitab, percaya kepada Qada’ dan Qadar dan percaya kepada Hari Akhirat. Seorang Islam haruslah berpegang teguh terhadap ajaran al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Allah SWT telah menurunkan kitab al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW untuk disebarkan kepada seluruh umat Islam. Sekiranya hidup berpegang teguh dengan ajaran al-Quran, kehidupan akan menjadi lebih sempurna dan diberkati Allah SWT. Oleh sebab itulah umat Islam perlu percaya kepada ajaran al-Quran. 

Selain itu, sebagai seorang Islam, kita juga haruslah percaya dengan akan adanya hari pembalasan oleh Allah SWT iaitu Hari Akhirat. Apabila kita percaya dengan adanya Hari Akhirat, kita juga haruslah percaya dengan kewujudan syurga dan neraka. Di dalam al-Quran, Allah SWT menjanjikan syurga kepada orang-orang yang beriman serta beramal soleh dan mereka akan hidup buat selama-lamanya di dalam syurga. Manakala Allah juga turut menjanjikan sesuatu kepada orang-orang yang menuruti laranganNya dan mengingkari suruhanNya, iaitu neraka. Para ahli syurga akan memperoleh kemenangan, keuntungan, keselamatan, kemuliaan dan kebahagiaan yang hakiki di dalam akhirat kelak. Sebagaimana dengan apa yang berlaku di dalam kehidupan di dunia yang sementara ini, ramai yang berlumba-lumba untuk manjadi bakal penghuni syurga, dan ramai juga yang berlumba-lumba untuk menjadi bakal penghuni neraka. Bakal penghuni neraka adalah mereka yang terlalu memuja kehidupan yang bahagia di dunia tanpa mengambil berat tentang kehidupan yang bakal dihadapinya kelak. 

Syurga ataupun di dalam bahasa Arabnya dipanggil al-Jannah ialah suatu tempat di alam akhirat yang dipenuhi dengan segala kesenangan dan kenikmatan yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas di dalam hati manusia, yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada semua manusia yang ketika hayatnya di dunia sentiasa berpegang teguh terhadap ajaranNya dan meninggalkan segala laranganNya. Rasulullah SAW banyak memberi peringatan kepada kita supaya memilih jalan hidup yang dapat membawa kepada kesenangan di dunia dan di akhirat dan jangan sampai kita terleka dengan hari pembalasan kelak. Bagi orang yang beriman, berita yang paling menggembirakan hati mereka adalah tentang alam syurga manakala alam neraka adalah berita yang paling menakutkan mereka. Tetapi sebaliknya dengan orang yang tidak beriman. Mereka sentiasa bergembira dengan kesenangan hidup di dunia dan harta kekayaan yang mereka miliki. Mereka lupa dan ada juga dikalangan mereka yang tidak percaya akan adanya hari pembalasan kelak dan juga mereka takut akan kematian kerana mereka teramat mencintai syurga dunia. 

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran supaya manusia segera mengerjakan amal ibadah untuk mendapat keampunan dariNya dan syurga yang bidangnya seluas langit dan Bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Kehidupan di syurga menjanjikan tidak akan berlakunya kebimbangan yang tidak baik dan juda tidak akan berdukacita. Allah juga turut menjanjikan orang-orang yang beriman samada lelaki dan perempuan, akan memperoleh syurga-syurga di mana di bawahnya terdapat beberapa sungai yang mengalir dan mereka akan kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Mereka juga akan memperoleh tempat-tempat yang baik serta keredhaan dari Allah yang lebih besar kemuliaanNya. Penghuni syurga juga akan dihiaskan dengan gelang-gelang tangan emas dan juga memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera yang tebal dan bersulam. Merekan akan berehat di dalam syurga dan berteleku di atas pelamin-pelamin yang berhias. Itulah taman syurga yang akan Allah berikan sebagai warisan pesaka kepada orang-orang yang bertakwa. 

Calon-calon ahli syurga adalah orang-orang yang di dalam al-Quran telah ditegaskan oleh Allah SWT akan dimasukkan ke dalam syurga ketika akhirat kelak setelah mengalami kematian kemudian dibangkitkan, setelah datangnya hari kiamat untuk mengadap pengadilan Allah SWT. Ketika itu, mereka akan diminta bertanggungjawab di atas segala amal perbuatan yang telah dilakukan selama mereka hidup di dunia. Mereka akan dihisab dan ditimbang amalnya serta diberikannya kitab amal dan seterusnya mereka akan dipersilakan untuk masuk ke syurga, sebagai penduduk, penghuni dan ahli syurga buat selama-lamanya. Di dalam syurga, mereka akan memperoleh rezeki dan kesejahteraan, keselamatan dan kebahagiaan, kemuliaan dan kesenangan dan segala kenikmatan yang belum pernah mereka rasakan selama mereka hidup di dunia ini. Di dalam al-Quran juga telah dijelaskan bahawa calon-calon ahli syurga itu antara lain adalah orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT, orang-orang yang beriman dan beramal soleh atau orang-orang yang berkeyakinan terhadap keimanan dan keislamannya. 

Terdapat beberapa ayat di dalam al-Quran yang mengisyaratkan bahawa syurga mempunyai beberapa tingkatan. Di dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman bahawa orang yang sentiasa beriman dan beramal soleh akan menetap di dalam syurga yang tinggi kedudukan dan darjatnya. Abdullah Ibnul Mubarak RA juga turut berkata, maksud tingkatan syurga yang tinggi itu adalah sebahagian daripada mereka lebih diutamakan daripada yang lain. Penghuni yang diberi kelebihan akan menikmati kelebihannya manakala penhuni yang tinggal di tingkatan yang rendah tidak akan dilupakan dan turut mendapat layanan. Nabi Muhammad SAW juga telah bersabda bahawa terdapat seratus tingkat syurga dan sekiranya alam semesta berhimpun pada salah satu tingkat itu, nescaya akan tertampung. Ada juga turut disingkapkan di dalam riwayat bahawasanya di dalam tingkatan syurga yang pertama, kampung, rumah, pintu dan kuncinya diperbuat daripada bahan perak manakala di dalam tingkatan syurga yang kedua diperbuat daripada bahan emas, seterusnya tingkatan syurga yang ketiga pula diperbuat daripada bahan Yakut dan Luk-Luk. 

Di dalam al-Quran, Allah Taala telah berfirman dengan tegas dan jelas bahawa syurga mempunyai beberapa nama dari segi sifat tetapi dari segi zat, ianya adalah satu. Terdapat sepuluh syurga yang Allah sediakan untuk orang-orang yang beramal soleh. Syurga yang tertinggi adalah syurga Firdaus. Kemudian diikuti pula syurga ‘Adn, syurga Na’im, syurga Ma’wa, syurga Darussalam, syurga Darul Muqamah, syurga al-Maqamul Amin, syurga Darul Khuldi, syurga Darul Hayaawan, dan terakhir sekali syurga Maq’ad Shidq. Calon-calon penghuni syurga-syurga ini pula adalah sama, iaitu orang yang melaksanakan perintah Allah Taala dan meninggalkan laranganNya. Akan tetapi, tingkatan syurga yang akan mereka duduki adalah berbeza mengikut jumlah amalan yang mereka lakukan. 

Allah Taala telah berjanji bahawa akan menyediakan syurga seluas langit dan Bumi kepada orang-orang yang sering bertakwa terhadapNya. Rasullah SAW pernah menceritakan tentang keadaan bangunan di dalam syurga yang terdiri daripada batu-bata yang berupa perak dan emas. Tanah pelekat dindingnya dalah kasturi, batu-batanya terdiri daripada mutiara dan yakut, sedangkan debunya terdiri daripada atas za’faran. Baginda juga turut memberitahu bahawa tanah di syurga berupa intan Makkah yang cemerlang. Di dalam al-Quran turut menceritakan bahawa bukan sahaja sungai yang mengalir terdapat di dalam syurga, malah terdapat juga gedung-gedung dan istana. Di dalam syurga juga terdapat perkebunan yang indah, pohon-pohon yang rendang, buah-buahan yang menawan hati. Terdapat juga pohon bidara yang tidak berduri dan pohon pisang yang bersusun buahnya. 

Sungai yang terdapat di dalam syurga mengalirkan air yang tidak akan berubah baud an rasa, air susu yang tidak akan berubah rasa, khamar atau arak yang lazat rasanya dan madu yang bersih. Terdapat hadis Rasulullah yang bersabda bahawa di dalam syurga terdapat satu sungai yang bernama Sungai Rajab, di mana airnya lebih putih daripada air susu dan rasanya lebih manis daripada madu. Sungai ini disediakan sebagai minuman kepada mereka yang selalu membiasakan diri berpuasa di bulan Rejab. Allah juda turut menyediakan pelbagai aneka minuman dan makanan kepada hambaNya yang sentiasa bertakwa kepadaNya. Di dalam al-Quran terdapat ayat yang menunjukkan bahawa minuman ahli syurga ialah minuman yang dicampur dengan air Kafur, campurannya dari Zajabiil, minuman berupa Salsabill dan juga minuman barupa khamar ataupun arak yang tidak memabukkan. Di sana juga, para penghuni akan diberi pakaian yang mewah, yang belum pernah mereka rasakan ketika hidup di dunia. Mereka akan dilengkapi dengan perhiasan seperti gelang-gelang emas, pakaian yang diperbuat daripada sutera halus dan tebal yang berwarna hijau. Di syurga juga terdapat pelayan-pelayan muda yang sebaya umurnya dan tidak akan menjadi tua. Mereka akan melayani ahli syurga dengan layanan yang amat memuaskan hati. 

Ahli-ahli syurga juga akan diberikan isteri yang masih suci dan masih belum disentuh oleh sesiapapun, baik jin mahupun manusia. Mereka sangat cantik dan kecantikan mereka belum pernah dilihat oleh manusia ketika di dunia. Di sana juga terdapat pasar yang akan didatangi oleh ahli syurga pada setiap hari Jumaat dan di dalam syurga juga tidak terdapat dan tidak terdengar perkara-perkara kotor dan keji. Penghuni di dalamnya juga sering kunjung-mengunjungi antara satu sama lain dan tidak pernah berlaku pergaduhan diantara mereka. 

Di dalam syurga, terdapat banyak ayat yang menjelaskan dengan tegas bahawa calon penghuni syurga itu adalah terdiri daripada para muttaqin, iaitu mereka yang sering bertakwa kepada Allah, melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Selain itu, mereka juga sering beriman kepada perkara-perkara ghaib iaitu mengi’tiqadkan adanya sesuatu yang maujud dan tidak dapat ditangkap dengan pancaindera. Mereka juga sering mendirikan solat dan turut menyeru orang lain supaya melakukannya. Mereka sering membelanjakan harta ke jalan Allah, mempercayai setiap isi yang terdapat di dalam al-Quran, percaya kepada kitab-kitab yang diturunkan, sentiasa berserah diri kepada Allah dan lain-lain lagi. Orang-orang inilah yang akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Allah, mendapat keampunan dan rezeki yang mulia serta keuntungan, kebahagiaan, keselamatan, dan kesejahteraan yang baik di dunia mahupun di akhirat. 

Selain daripada nikmat-nikmat seperti pakaian, minuman dan makanan, ahli-ahli syurga juga akan memperoleh nikmat-nikmat yang lain iaitu dapat melihat zat Allah Taala. Seluruh penghuni syurga akan dapat melihat Allah dan hanya golongan ahlul bid’ah dan golongan sesat sahaja tidak dapat melihatNya. Sesungguhnya, Allah Taala tidak dapat dilihat di dalam dunia ini tetapi dapat dilihat oleh golongan-golongan yang bertakwa di akhirat kelak. 

Di dalam al-Quran, telah tertulis bahawa syurga itu bersifat kekal, penghuninya akan kekal buat selama-lamanya dan tidak akan mengalami kematian lagi dan tidak akan kehabisan waktu. Golongan yang terawal akan memasuki syurga ialah dari golongan umat Nabi Muhammad. Golongan yang mati syahid juga merupakan golongan yang terawal akan memasuki syurga. Kaum muslimin yang fakir juga akan memasuki syurga lebih cepat berbanding dengan yang kaya iaitu selama 500 tahun. 

Calon-calon yang dijamin masuk ke syurga adalah golongan yang tidak henti-henti melakukan ibadah di jalan Allah dan sering menjaga tingkah lakunya. Selain itu, golongan yang mati syahid dan berjuang menegakkan agama Islam juga akan dijamin masuk ke syurga. Sesungguhnya, penghuni syurga itu adalah orang yang sering menerima sanjungan kerana kebajikannya. Manakala penghuni neraka pula adalah orang yang sering menjadi bahan percakapan orang lain kerana kejahatan yang telah dilakukannya. Raja ataupun pemimpin yang adil dan orang yang belas kasihan, lunak hati pada sanak saudara atau kerabat dan orang muslimin, dan orang miskin yang bekeluarga yang tetap menjaga kesopanan dan kehormatan diri akan dijamin memasuki syurga Allah. Selain itu, orang yang mengucapkan Laa Ilaha Illallah ketika menghembuskan nafas terakhirnya turut dijamin memasuki syurga. 

Selain itu, orang yang sering mengerjakan solat sunat rawatib, suka menyebarkan salam, suka memberikan makanan, dan suka mengerjakan solat pada waktu malam juga akan diberi jaminan bahawasanya mereka akan dimasukkan ke syurga. Orang yang sering melawat dan menziarahi saudaranya yang uzur juga akan dijamin untuk masuk ke syurga. Rasulullah SAW juga telah bersabda bahawa orang yang menangis kerana Allah Taala tidak akan menjejakkan kaki ke neraka selain daripada orang yang sentiasa sabar dalam menerima dugaan dan cabaran dari Allah. Orang yang dibutakan matanya oleh Allah juga akan dijamin masuk syurga dan Allah akan menggantikan mata mereka ketika di dalam syurga kelak. Umat Islam yang sentiasa taatkan Rasulullah dan mengikut segala ajaran yang disampaikan olehnya juga akan dijamin tidak akan menjejakkan kaki ke neraka. Para isteri yang mati dan diredhai suami, pada hayatnya mereka sangat taatkan suami mereka juga turut dijamin masuk ke syurga Allah. 

Kedudukan yang paling mulia di syurga ialah ketika menemani Nabi Muhammad SAW. Sesiapa sahaja yang taat akan Allah dan rasulnya, mereka akan bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah, seperti para nabi, orang-orang siddiqin, dan orang-orang yang syahid. Demikianlah sesiapa yang mencintai para nabi dan orang-orang yang soleh, mereka akan dibalas dengan nikmat yang belum pernah mereka rasakan sebelum ini. Ramai yang mencintai Rasulullah lebih dari segala-galanya, seperti isteri, suami, anak-anak serta saudara mara dan golongan ini akan diberi penghormatan oleh Allah Taala. Kehidupan di dunia yang hanya untuk sementara tidak memberi apa-apa kesan kepada manusia di akhirat kelak sekiranya mereka tidak menggunakan nikmat-nikmat kurniaan Allah dengan sebaik-baik mungkin. Seperti mata untuk melihat kebesaran Allah, mulut untuk menyebut kalimah-kalimah Allah, telinga untuk mendengar ayat—ayat suci dan pelbagai lagi. Kehidupan yang bahagia di akhirat akan kekal buat selama-lamanya. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com