Bid’ah Dalam Agama -

Orang yang benar-benar mengerti pokok dan furu’iyah (cabang) agama, dalam memandang apa yang dinisbatkan kepada agama, tidak akan tercampur dengan bid’ah sebagai salah satu penyakit yang dapat mengaburkan kesucian agama dan merosak kebenarannya. Justeru bid’ah yang dibuat-buat orang inilah yang dapat menarik otak untuk merenungkannya. 

Timbullah pertanyaan, mengapa mereka berbuat bid’ah. Apakah mereka bermaksud mencampuradukkan agama yang suci ini dengan soal-soal lain? Ataukah kerana mereka beranggapan bahawa pelajaran-pelajaran agama ini masih belum sempurna?

Kalau betul demikian motif mereka dalam berbuat bid’ah, itu bererti menunjukkan kebodohan dan kecerobohannya. Sebabnya Allah SWT dengan pasti telah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksub:
“Pada hari ini Kami telah sempurnakan agama buat kamu dan telah Kami sempurnakan nikmatKu, dan Aku rela Islam sebagai agamamu. ”

Barangsiapa beranggapan bahawa agama Islam ini masih, kurang sempurna dan memerlukan tambahan-tambahan yang layak demi kepentingan diri dan golongan, itu menunjukkan kebodohan mereka dan menutupi kebenaran. 

Namun, kebanyakan anggapan ahli-ahli bid’ah atas perbuatan bid’ahnya itu, bukan kerana kurangnya pengetahuan tentang agama. Tetapi itu disebabkan mereka terlalu berlebih-lebihan dalam beragama. Kerana itu mereka tergelincir. 

Kerana sangat berlebihan, yang hak dibuang, sedangkan yang batil diambil. Tak ubahnya orang-orang Nasrani, kerana keterlaluannya, mereka menjadi musyrik. Bahkan mereka sampai berani mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Allah memerintahkan hamba-hambaNya yang solihinsupaya selalu berpegang teguh pada satu jalan. Dan jangan sekali-kali menyimpang sehujung jari pun. Kerana sedikit sahaja menyimpang, mereka akan hanyut dan tersesat. 

Di samping itu banyak sekali hadith Nabi yang menharuskan kita supaya berpegang teguh kepada Sunah dan mengikuti jejaknya, hadith tersebut antara lain yang bermaksud:

“Dari Jabir bin Abdullah, ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda dalam salah satu khutbahnya: Amma Ba’du! Sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitabullah, sebaik-baik pimpinan ialah pimpinan Muhammad, dan seburuk-buruk perkara agama ialah yang model baru. Tiap-tiap yang baru adalah bid’ah dan tiap-taip bid’ah adalah sesat. ”

Bentuk bid’ah yang dilakukan orang adalah berbeza-beza. Sebabnya, timbulnya dari kebengkokan yang berbeza-beza pula. Para ulama banyak yang tidak menaruh perhatian dalam soal-soal tersebut dan dianggapnya remeh. Dengan begitu, pintu bid’ah terbuka luas baik dibidang aqidah, hukum, ibadah, mahupun akhlak. Padahal, sebesar-besarnya seksaan api neraka adalah kerana menganggap kecil kemaksiatan. 

Seandainya pintu bid’ah ini tetap terbuka lebar, nescaya orang-orang yang fasih dan lincah lisannya akan membuat bacaan yang sangat panjang waktu bersin. Begitu juga waktu menjawabnya. Model-model baru akan terus bertambah sampai tiada batas, yang bermula dari soal yang kecil ini. 

Ahli-ahli bid’ah itu akan menempatkan dirinya sebagai ahli agama. Tetapi, agama tidak mengakuinya. Tidak ada yang berhak membuat peraturan agama, selain Allah. Tetapi mengapa ada saja orang yang berani mencampuradukkan hukum yang dibuat oleh nafsunya dengan hukum yang dibuat oleh Allah. 

Kejadian seperti ini merupakan pengaruh perasaan ketuhanan yang sudah sangat memuncak yang meliputi seluruh tubuh, sehingga melebihi batas. Justeru itu ia suka berperangai seperti perangai Tuhan. Tukang-tukang bid’ah dan para pendukungnya kelak akan menanggung dosanya dan dosa para pengikutnya yang tertipu dan tersesat. 

Tiap amalan dalam ibadah pasti dapat diterima oleh hati dan dia akan bersemayam di dalamnya. Ibadah mempunyai daya yang dapat menggerakkan hati untuk mengamalkannya. 

Seorang tidak mempunyai dua hati dan ia tidak akan mampu melaksanakan sesuatu amalan melebihi kadar persediaan yang ada padanya. Tidak ada jalan lain bagi hati untuk melaksanakan dua hal yang berlawanan dan saling bertentangan, seperti bersungguh-sungguh melaksanakan Sunah dan bersungguh-sungguh pula melaksanakan bid’ah. 

Untuk melintasi jalan yang serba terbuka ini, tergantung kepada penilaian seseorang. Orang yang suka mempermudah berbuat bid’ah bererti membuang sebahagian kebenaran dan kewajipan-kewajipan Islam yang sebanding dengan bid’ah yang mereka lakukan itu. 

Perbuatan bid’ah bukan hanya sebagai kotoran yang dapat menutupi kebenaran. Ia juga merupakan penyakit yang dapat menodai kemurnian agama Islam dan dapat mengurangi nilai pokok dan furu’iyah agama. Kerana itulah Ibnu Mas’ud pernah berkata bahawa sederhana dalam Sunah lebih baik daripada bersungguh-sungguh dalam bid’ah. 

Ada juga sebahagian orang yang mempunyai keinginan yang sangat mendalam untuk mengadakan pembaharuan-pembaharuan. Hal sebegini dalam Islam sangat dihargai, bahkan sangat dipuji. Namun, kemahuan sebegini adalah terbatas dalam soal-soal keduniaan dan perkembangan-perkembangan yang sentiasa menjadi keperluan hidup. 

Dalam hal ini, orang bukan Islam yang mengambil bahagian dengan sebaik-baiknya, ingin mencapai ke tingkat hidup yang tinggi. Sedangkan, kita kaum muslimin sebaliknya dari mereka. Dalam persoalan agama, kita membuat model-model, sedangkan dalam soal keduniaan kita bersikap pasik dan membeku. Akibatnya, keadaan hidup kita di bawah langit ini sentiasa dalam kehinaan. 

Alangkah baiknya kalau semua tuntutan Allah itu kita ikuti dengan semestinya. Sedangkan soal keduniaan, kita ciptakan berbagai model, selaras dengan apa yang dibebankan olehNya kepada akal dan kemampuan kita. Bukankah cara sebegini yang dinamakan bertanggungjawab kepada agama dan dapat menuju kepada kehidupan yang sempurna. 

Kerana itu, tidak seorang pun diperkenankan beranggapan baik terhadap sesuatu amalan (ibadah tanpa alasan) , meskipun orang itu arif sehingga beranggapan bahawa hal tersebut merupakan agama yang datangnya dari Allah SWT, yang barangsiapa mengerjakannya akan diberi ganjaran dan barangsiapa meniggalkannya mendapat seksaan. Hal sebegini tetap”mengada-ada”walaupun penciptanya berniat berbuat baik. 

Pengertian Bid’ah. 

Para ulama mendefinisikan bid’ah ialah satu cara ibadah buatan orang, yang menyerupai syarak (agama) , yang dimaksudkan cara di sini sebagaimana yang dimaksudkan oleh syarak atau sebagaimana yang dilakukan oleh syarak untuk mengabdi kepada Allah tetapi dengan berlebih-lebihan. 

Yang dimaksudkan cara baru (al-ikhtira’) di sini adalah mengada-adakan sesuatu yang baru yang belum pernah dilakukan oleh orang sebelumnya. Kerana itu, sarjana-sarjana barat yang dapat mencipta kapal terbang, bom, radio, dan sebagainya, itu pun dikatakan berbuat bid’ah, kerana mereka membuat apa yang belum pernah dibuat oleh orang sebelumnya. 

Oleh yang demikian, ahli bid’ah ialah orang-orang yang mengada-adakan cara baru baik itu berupa perbuatan mahupun perkataan yang dianggapnya suatu cara agama. Padahal, itu semua hanya bersumber dari dirinya sendiri yang sama sekali tidak pernah diterangkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Asal erti bid’ah ialah membuat sesuatu yang tidak ada contoh sebelumnya. Kerana itu, Allah SWT disebut badi’ (pencipta terbaru) . Sebabnya, Allah membuat alam yang besar dan megah itu tanpa contoh sebelumnya. Ini sebagaimana tersebut dalam firmanNya iaitu surah Al-Baqarah ayat 117 yang bermaksud:

“Dialah yang menciptakan langit dan bumi, maka Ia menetapkan suatu perkara (cukup bagiNya) hanya berkata: Jadilah kamu maka ia pun akan jadi. ”

Orang yang membuat cara baru dalam bentuk apa pun yang disandarkan pada agama (ibadah) , boleh dikatakan sebagai penipu agama. Mereka mengkhayalkan kebatilannya itu untuk diperlihatkan kepada orang lain sebagai barang yang haq. Mereka gemar membuat sesuatu perkara yang nampaknya seolah-olah agama tetapi hakikatnya menyimpang dari tuntutan agama. 

Manusia seperti in tidak ubah seperti orang yang memalsukan mata wang yang sah. Dicarinya kertas yang serupa dengan mata wang itu yang kemudian dilukisi dan diberi nilai yang sama dengan mata wang yang asli itu. Namun, semua itu bersifat sementara. 

Untuk memalsukan wang, mereka tidak begitu mengalami kesukaran, cukup diambil dari bahan yang murni kemudian dicampur dengan bahan yang palsu, kemudian diberinya bentuk, warna, dan nilai yang menyamai mata wang asli. Begitulah kemudian wang palsu itu diedarkan. 

Para pendakwah Islam pada zaman dahulu amat benci dan teliti terhadap perkara bid’ah ini. Ketelitian para ulama itu tak ubah seperti telitinya pemerintah terhadap mata wang palsu. Yang dijadikan pedoman para ulama itubialah sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa mengada-adakan cara baru tentang urusan kami (ibadah) ini, padahal tidak bersumber darinya, dia itu tertolak. ”

“Barangsiapa beramal satu amalan (ibadah) yang tidak ada contoh dari kami, ia tertolak. ” (HR. Muslim) 

Kedua hadith tersebut menentang semua jenis bid’ah. Yang pertama yang ditentang adalah model-model yang dibuatnya dan yang kedua yang mengikutinya. Seandainya bid’ah dalam agama Allah itu mendapat perlawanan sepersepuluh dari perlawanan yang diarahkan pada wang palsu, nescaya agama Allah itu akan tetap murni dan jernih, digemari orang, dan dijadikan pedoman. Tetapi amat dikesali, kerana ramai manusia yang sangat mementingkan urusan hidupnya sehingga mereka membelanya bermati-matian. Sementara itu dalam urusan agama mereka tidak ambil peduli. Akibatnya, bid’ah merajarela dan yang haq hampir sirna. 

Keadaan sebegini merupakan kesempatan bagi musuh-musuh Islam. Dan itu dijadikan alat untuk menghancurkan Islam, dengan menyebarluaskan bid’ah dikalangan pemeluk-pemeluk Islam yang lemah. Sehingga mereka menyangka bid’ah itu agama Allah yang murni. Akibatnya, yang murni menjadi kabur dan rosak. 

Sesetengah pihak juga berpendapat bahawa untuk melumpuhkan kemajuan Islam, harus dibesar-besarkan bid’ah dan khurafat, kerana kedua hal ini merupakan dinding bagi cepatnya perkembangan Islam. 

Mengapa bid’ah dapat melumpuhkan potensi Islam dan dapat menghancurkan pemerintahan? Sebabnya bid’ah merupakan tipuan yang tidak ubah seperti tipuan dalam perdagangan. Barang yang baik dicampur dengan barang yang buruk menjadi satu yang kemudian dibawa ke pasar untuk ditawarkan kepada khalayak ramai seraya dikatakan bahawa barang tersebut adalah baik, tidak cacat, dan tidak ada aib sedikit pun. 

Kerana itu, bid’ah harus dijelaskan, kerana menjelaskannya termasuk salah satu seruan Islam. Sedangkan Islam itu sendiri meliputi soal-soal ibadah, akidah, akhlak, politik, rumah tangga, jenayah, kebudayaan, dan lain-lain. Sedangkan berlebih-lebihan dalam bertaqarrub kepada Allah dapat mengubah arah yang dimaksud taat yang sudah dikenal. Pengubahan itu dengan macam-macam tambahan dan takalluf (memaksa diri) . 

Kadang-kadang bid’ah itu ada juga yang terdapat dalam ajaran-ajaran Islam yang lain, misalnya dengan membuat tradisi-tradisi dan peraturan-peraturan yang dikehendaki manusia intuk selanjutnya dinisbatkan sebagai agama. Padahal, hal baru itu pada hakikatnya tidak lain hanyalah hawa nafsu semata-mata. 

Perbezaan Bid’ah dengan Masalah Mursalah. 

Syeikh Abdul Wahab Khalaf dalam kitab Usul Fiqih menyatakan bahawa barangsiapa yang memperhatikan ayat-ayat Al-Quran yang berhubungan dengan masalah-masalah hukum, dia akan menjumpai bahawa ketentuan ibadah dan ke rumah tanggaan sudah terperinci, misalnya tentang warisan. Pada umumnya, hukum-hukum yang menyangkut persoalan ini bersifat ta’abbudi yang tidak dapat ditentukan oleh akal, dan tidak dapat diubah kerana perubahan keadaan. 

Selain itu, masalah kebudayaan, permodenan, jenayah, undang-undang, ketatanegaraan, dan ekonomi, pada umumnya mengikuti perkembangan masyarakat. Kerana itu, tidak ada ketentuan terperinci, kecuali amat sedikit. 

Kerana permasalahan ini selalu mengikuti perkembagan bid’ah dan untuk kepentingan umum Al-Quran hanya menerangkan tentang garis besarnya sahaja. Sehingga, pemerintah sewaktu dengannya berleluasa dapat membuat peraturan hukum Al-Quran yang bersifat umum ini, dan tidak bertentangan dengan hukum yang sudah terperinci (tafsili) . 

Najmuddin At-Tufi berkata:”Kami berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan maslahah itu adalah dalam urusan mu’amalah, bukan dalam urusan ibadah. Urusan ibadah semata-mata hak Allah dan Rasul, yang tidak mungkin diketahui dengan pasti baik tentang jumlah, waktu, mahupun tempatnya. Kerana itu, setiap orang harus menunaikan kewajipan tersebut menurut apa yang telah ditentukannya. 

Sebagai perbandingan, seorang pelayan tidak dikatakan patuh apabila ia tidak mengikuti ketentuan yang telah ditetapkan oleh majikannya, dan mengerjakan sesuatu pekerjaan yang direstui majikannya. Begitu juga persoalan ini. 

Justeru itu ketika ahli-ahli falsafah mengagung-agungkan rasionalnya dan membuang syariat, bererti mereka itu telah mendapat kemurkaan Allah serta sesat dan menyesatkan. Ini tidak menyangkut hak-hak mukallaf yang pada dasarnya dai itu merupakan ketentuan kebajikan syarak yang justeru dibuat untuk kepentingan mereka. Kepentingan-kepentingan ini yang sentiasa diidamkan. Sedangkan untuk memperolehnya perlu pengembangan. 

Sehubungan dengan permasalahan ini, Imam Izzuddin bin Abdul Salam Al Mishri As Syafi’i mengatakan bahawa untuk mencapai suatu tujuan syarak dalam rangka memperolehi kepentingan dan menghindari kemafsadatan, yang kiranya dapat menimbulkan maslahah, tidak boleh diabaikan. Sedangkan yang kiranya dapat menimbulkan mafsadah, harus dihindarkan, meskipun hal tersebut tidak ada dalam Ijma’, Nas, mahupun Qias. Sebabnya, pengertian syaraklah yang menetukan demikian. 

Dari pendapat-pendapat ini, jelaslah bahawa seluruh pedoman cara-cara beribadah ditentukan oleh syari’, baik yang berkait masalah hakikat, tempat, jumlah, bentuk, mahupun teknik perlaksanaannya. Sebahagiannya ada yang terlepas (mutlaq) , ada yang terikat (muqayyad) , ada yang bersifat global (mujmal) , dan ada yang sudah terperinci (mufasal) . Dan keseluruhannya itu, justeru mengandungi hikmah yang tinggi, yang tidak dapat dijangkau oleh akal manusia. Kita hanya sekadar menerima begitu sahaja. 

Bid’ah Haqiqi dan Bid’ah Idafi. 

Di atas telah dijelaskan bahawa bid’ah merupakan amalan yang merupai ibadah, dan penybabnya kerana berlebih-lebihan dan menambah-nambah dengan cara yang batil. Pengaruh bid’ah itu berperingkat. Kerana itu, bid’ah dapat dibahagi dalam beberapa peringkat. Di antaranya ialah semua amalan yang menyalahi ketentuan syarakbaik bentuk mahupun temanya serta yang jauh bertentangan dengan jiwa agama, selain yang memang ada hubungannya dengan masalah agama kemudian diambilnya dari pelajaran-pelajarannya kerana ada sesuatu sebab tertentu. 

Secara garis besarnya, ulama membahagikan bid’ah kepada dua:
a. Bid’ah Haqiqi
b. Bid’ah Idafi

Bid’ah haqiqi misalnya tawaf di kuburan orang yang sudah meniggal seperti tawaf di Baitullah. Agama mengizinkan berziarah kubur, justeru untuk menyedarkan perilaku kita dengan memperhatikan titik pemergian mereka, yang sudah meniggal, serta akibat selanjutnya yang akan dialami, di samping itu juga untuk menghapus penipun dalam hidup yang justeru banyak menyesatkan umat manusia. 

Dengan membangun kubur, menabuh rebana di atasnya, mendewa-dewakan orang yang sudah mati dan menziarahinya lalu di sana diadakan tawaf dua kali, tiga kali, empat dan seterusnya dengan maksud untuk bertaqarrub kepada Allah SWT, ini jelas termasuk bid’ah. 

Jika terjadi pemujaan orang yang sudah mati dan memberi perhatiannya semata-mata kepada mereka sambil menanti jawapan dari mayat tersebut, perbuatan tersebut jelas termasuk syirik dan menderhakai Allah. 

Semua cara baru yang diada-adakan oleh orang-orang jahil kerana menganggap ada sedikit hubungannya dengan Islam, disebut bid’ah Haqiqi. Misalnya membujang seperti pendeta dengan menganggap dirinya suci, dan berani melanggar yang halal dengan maksud untuk menambah dalam beribadah kepada Allah. 

Contoh lain, misalnya tidak mahu menerima nas dan qias yang sahih, kerana beranggapan sudah cukup dengan hasil pemikirannya dan pendapatnya sendiri. Dengan sombong dia beranggapan bahawa akal tanpa pertolongan wahyu sudah mampu mencapai yang dituju, iaitu keredhaan Allah. 

Ringkasnya, yang dinamakan bid’ah Haqiqi ialah sesuatu amalan yang tidak berlandaskan dalil baik Al-Quran, hadith, Ijma’, mahupun Qias yang dapat dipertanggungjawabkan menurut kaedah-kaedah agama. Bid’ah sebegini terdapat hanya sedikit dikalangan masyarakat. 

Kedua ialah, bid’ah Idafi iitu masalah-masalah yang dapat ditinjau dari berbagai segi, dari satu sudut boleh menjadi sunah tapi dari sudut yang lain boleh menjadi bid’ah. 

Jika dilihat dari satu sudut, kita akan menjumpai bahawa masalah tersebut berlandaskan kaedah yang baik dan nas yang jelas. Tetapi jika dilihat dari sudut yang lain, kita dapati unsur-unsur bid’ah yang jelas pula, seperti membaca tasbih, tahmid, dan takbir sesudah solat. Kesemuanya itu merupakan Sunah, dan seluruh ulama sudah menyepakatinya. Tidak satu pun di antara mereka yang menentangnya, kerana memang ada dalil-dalil dari beberapa hadith sahih. Bahkan Rasulullah SAW dan para sahabatnya selalu berbuat demikian. Namun, mereka melakukannya dengan sendiri-sendiri dan tersembunyi. 

Kemudian ada orang yang sengaja menyusun wirid dan zikir, lantas ada seorang yang bertindak sebagai pemimpin dan kemudian orang ramai dikumpulkan untuk mengikuti bacaannya. Cara-cara tersebut dijadikan kebiasaan stiap kali selesai solat dengan irama yang dibuat-buat lantas orang ramai mengikutinya dan disambutnya dengan bacaan amin. 

Bertasbih, tahmid, dan takbir, setelah solat adalah sunah, tetapi cara yang dibuat-buat inilah yang termasuk bid’ah. Sedangkan mereka sudah mengetahui bahawa landasan yang dipakainya adalah hadith yang datang dari Rasulullah. Tetapi, mereka beranggapan bahawa cara sebegitu adalah salah satu langkah untuk menegakkan Sunah Rasulullah SAW. 

Contoh lain, misalnya tentang membaca surah Al- Kahfi sbelum mengerjakan solat Jumaat. Sedangkan yang biasa dikerjakan Nabi dan para sahabat adalah masuk masjid dengan penuh ketenangan kemudian duduk dengan kusyuk dan tawaduk sampai datang saatnya khatib naik mimbar. Kemudian mereka mendengarkan khutbah dengan penuh perhatian. Tidak ada stu pun riwayat yang menerangkan tentang membaca surah Al-Kahfi sehubungan dengan solat Jumaat, seperti yang dikerjakan kebanyakan orang sekarang ini. 

Kalu dilihat dari pokok permasalahanya, itu memang jelas berdasarkan dalil. Tetapi jika dilihat dari segi cara dan tempatnya, sama sekali tidak ada nas yang jelas. Bid’ah memang kadang-kadang bedasarkan sumber pada nas kerana ada sedikit persamaannya. Tetapi, banyak juga yang sama sekali tidak berpangkal pada suatu dalil apa pun. 

Cara-cara sebeginilah yang merosakkan ibadah. Sebabnya, segala jenis ibadah hanya boleh diterima kalau berdasarkan sumber pada dalil yang semata-mata datangnya dari Allah dan RasulNya. 

Disediakan Untuk: Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Disediakan Oleh: Muhammad Suhaidi Bin Abu Bakar

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com