Menghadapi Kematian -

Nama Pensyarah: Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Nama Pelajar: Farah Farhana Binti Mohd Nazri

1. 0 ALAM YANG DI LALUI OLEH MANUSIA

Setiap jiwa dan roh akan melalui empat alam. Alam yang dilalui oleh manusia ialah alam kandungan, alam dunia, alam kubur (barzakh) dan alam akhirat. 

1. 1 ALAM KANDUNGAN

Allah menciptakan manusia berasal daripada tanah, dan dari air mani disimpan dalam rahim. Dari air mani itu Allah menciptakan segumpal darah, dari segumpal darah menjadi segumpal daging lalu dijadikan tulang dan di baluti oleh daging lalu terciptalah makhluk yang digelar manusia. Alam pertama yang manusia lalui ialah alam kandungan. 

Dalam kandungan ibu, Allah telah mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh kedalam badannya dan diperintahkan empat perkara iaitu menuliskan rezekinya, ajalnya, amalnya dan menjadi orang yang celaka atau bahagia. Allah telah tetapkan masa dan tempat ajal setiap manusia. 

Manusia akan berada selama lebih kurang sembilan bulan dalam alam kandungan. Hidup di alam kandungan adalah kehidupan di alam sempit. Selepas itu lahirlah manusia yang lemah dan kecil yang akan melalui kehidupan di alam dunia. 

1. 2 ALAM DUNIA

Manusia akan tinggal di alam dunia sehinggalah sampainya ajal. Di alam dunia inilah dari manusia menjadi bayi membesar menjadi kanak-kanak, remaja, dewasa dan kemudian mejadi tua. Tetapi tidak semua yang akan mengalami kehidupan sehingga tua. Manusia tidak akan tahu bila ajalnya akan tiba. 

Kehidupan di dunia inilah manusia belajar mencari ilmu dan harta. Manusia dapat berfikir sama mahu menjadi seorang yang baik atau pun menjadi seorang yang jahat. Tetapi bagi orang yang berakal akan melalui kehidupan ini dengan amalan yang baik untuk bekalan kehidupan di akhirat kelak. Mereka sedar kehidupan di dunia hanyalah sementara jika di bandingkan kehidupan di akhirat. Bagi mereka yang yang tidak berakal, mereka akan sayangkan kehidupan di dunia. Mereka itulah orang yang celaka. 

Kehidupan dunia adalah merupakan senda gurau dan main-main sahaja. Kehidupan dunia jika dibandingkan dengan akhirat hanyalah sedikit. Kehidupan orang kafir di dunia merupakan hiasan yang indah. ”Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan pula penipu syaitan memperdayakan kamu dalam mentaati Allah”. (surah Luqman : 33) 

1. 3 ALAM KUBUR (BARZAKH) 

Setiap manusia akan meninggal dunia. Apabila manusia itu meninggal dunia, roh

keluar dari tubuhnya dan akan tinggal di alam kubur. Roh akan tinggal di alam kubur sehingga datangnya hari kiamat. Di alam kubur ini merupakan tahap pertama sebelum datangnya hari akhirat. Jika seseorang itu selamat menghadapi alam kubur, maka tahap-tahap seterusnya akan lebih ringan. Tetapi jika seseorang itu tidak selamat dalam alam kubur untuk tahap-tahap seterusnya akan lebih dahsyat. 

Setelah matinya manusia, ada tiga perkara yang akan mengikuti mayat ke kubur iaitu keluarganya, harta benda dan amalannya. Tetapi yang akan tinggal bersamanya adalah amalan. Yang pulang hanyalah keluarga dan harta benda. Ini jelas tidak ada perkara yang lebih penting melainkan amalan. 

Bagi manusia yang tidak taat pada perintah Allah, akan mendapat siksaan kubur seperti orang-orang kafir, munafik, ahli maksiat dan termasuk juga orang mukmin. Seksaan kubur seperti kuburnya disempit sehingga tulangnya hancur, kubur menjadi gelap gelita, api di dalam kubur, adanya binatang yang berbisa dan lain-lain lagi yang amat pedih. Bagi manusia yang taat pada perintah Allah, akan terhindar dari seksaan kubur. Sesungguhnya janji Allah adalah benar. 

1. 4 ALAM AKHIRAT

Alam akhirat merupakan alam yang terakhir yang akan dilalui oleh setiap manusia. 

Alam akhirat merupakan alam yang kekal abadi. Dan tidak akan wujud alam yang lain selepas alam akhirat. Di alam akhirat adanya syurga dan neraka yang akan menepatkan manusia mengikut amalan yang telah dilakukan. Percaya kepada kehidupan diakhirat adalah ciri-ciri orang yang sempurna iman dan bertakwa kepada Allah. Dengan adanya alam akhirat maka terjadilah hari kiamat, di mana semua manusia dimatikan oleh Allah dengan tiupan sengkala Israfil yang pertama. Tiupan yang kedua kalinya sebagai tanda kehidupan setelah mati. 

Itulah hari pembangkitan semua manusia dari Nabi Adam sehingga manusia yang terakhir dari kuburnya akan dibangkitkan. Amalan yang dilakukan di dunia akan di hitung. Semua manusia akan dihadapkan ke mahkamah yang akan diadili oleh Hakim yang seadil-adilnya iaitu Allah swt, yang Maha Adil. Pada masa itu manusia akan menerima kitab perbuatan amalnya ketika didunia. Segala perbuatan di dunia yang telah dilakukannya ada tercatit sama ada kebaikan, ketaatan dan kejahatan. 

Setelah amalannya ditimbang, manusia akan diperintahkan melintasi Ash-Shirath di mana jambatan yang tajam dan lincin yang melintang ke atas neraka menuju ke syurga. Bagi manusia yang selamat melintasi Ash-Shirath akan menuju ke syurga dan mereka tinggal di dalamnya. Sebaliknya bagi orang yang celaka akan terjerumus kedalam neraka yang apinya menjulang-julang. Itulah kehidupan akan kekal selama-lamanya. Hal ini benar-benar akan berlaku, sesungguhnya janji Allah adalah benar. 


2. 0 HIDUP DAN MATI

Hidup adalah sesuatu yang terus bernyawa dan bernafas. Mati adalah sesuatu yang tidak dapat hidup lagi. ”Hidup”dan”Mati”adalah sesuatu yang pasti bagi setiap makhluk yang bernyawa. Ini dapat dilihat dalam firman Allah yang bermaksud”Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya”. (surah Al-Mulk : 1-2) 

2. 1 KEUTAMAAN MENGINGAT KEMATIAN

Mengingati mati dapat memberi kesedaran kepada kita bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara. Orang yang banyak mengingat mati merupakan orang yang paling bijak. Seperti dalam sabda Nabi saw”Secerdik-cerdik manusia adalah yang terbanyak ingatnya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat”. (HR. Ibnu Majah dan Ibnu Abiddunya) 

Mengingati mati juga menjadi penasihat kepada diri kita sendiri. Ia dapat menghapuskan dosa dan menyebabkannya timbul berzuhud di dunia. Ini adalah kerana hidup di dunia penuh dengan kenikmatan kemewahan dunia yang dapat kita lihat. Orang yang mencintai dunia pasti akan melupai kematian. Ini kerana dia telah tertipu dengan keindahan, kemewahan, kesenangan dunia. Dia tidak sedar kematian akan menghampirinya. Manusia yang mencintai dunia amatlah rugi kerana hidup di dunia tidak akan kekal. 

2. 2 CARA MENGINGATI MATI

Mengingati kembali orang yang kita sayang telah meninggal dunia. Mengimbas kenangan sewaktu bersama dan kemudian bagaimana kematian mereka itu dan akhirnya kembali ke tanah seorang diri. Sewaktu mereka hidup, kedudukan mereka di kalangan masyarakat dan bayangkanlah keadaannya sekarang yang semua itu telah ditutupi oleh tanah. Apa yang dialami oleh orang yang telah meninggal dunia adalah sama yang akan berlaku keatas kita di kemudian hari. Kita akan berada dalam tanah seorang diri yang tidak berteman, yang bertemankan kita hanyalah amalan. Jika amalan kita baik maka selamatlah jika amalan kita buruk maka binatang-binatang yang berbisa akan menemankan kita dalam suasana yang amat mengerikan. 

Bersegeralah melakukan amal kebaikan. Kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita. Nikmat yang Allah berikan kepada kita seperti umur hendaklah kita guna dengan sebaik-baiknya. Ingatlah lima perkara sebelum lima perkara berlaku iaitu muda sebelum datangnya tua, sihat sebelum datangnya sakit, senang sebelum datangnya sempit, kaya sebelum datangnya miskin dan hidup sebelum mati. 

Ketika kita muda sihat, kita masih kuat untuk melakukan ibadah. Kebanyakkan manusia lalai dengan masa muda mereka. Mereka suka menangguh-nangguhkan waktu untuk beramal sehinggalah mereka leka dan lalai bahawa umur semakin hari semakin tua. Oleh itu setiasalah mengingati mati kerana belum tentu kita akan hidup keesokkan harinya. 

Apabila mengingati mati, kita akan sentiasa berlumba-lumba untuk melakukkan kebaikan kerana kita tidak tahu amalan kita diterima oleh Allah atau pun tidak. Kita takut dengan azab Allah yang amat pedih. Kematian tidak akan memilih kasih. Sewaktu datangnya ajal, malaikat akan mencabut nyawa tanpa melewat atau mempercepat masa walau sesaat. 

2. 3 MENCITA – CITAKAN KEMATIAN

Bolehkah kita mencita – citakan kematian? Sebagai seorang muslim kita tidak boleh mengharapkan kematian hanya kerana susah, miskin atau ditimpa musibah. Umur yang diberi oleh Allah hendaklah dilengkapi dengan amalan yang membawa kebaikkan. Riwayat daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasullullah saw bersabda”Janganlah kamu mencita – citakan kematian! Kalau dia orang yang baik semoga Allah menambah kebaikannya, dan kalau orang yang jahat supaya diampuni dosanya”. (H. R Bukhari dan Muslim) 

2. 4 MEMPERTEBALKAN RASA TAKUT

Kita hendaklah mempertebalkan perasaan takut kerana ajal akan menghampiri kita. Takut apabila bertemu dengan Allah Taala. Kita semua akan berpindah alam yang lain selepas alam dunia, kubur akan menghimpit kita, kiamat akan mengumpulkan kita semua dan Allah pasti akan menghukum kita sebab itulah kita mesti takut dengan perjalanan yang akan kita tempuhi ini. 

Kita melakukan ini supaya hati kita tidak menjadi keras. Hati yang jauh mengingati Allah adalah hati yang keras, hitam. Sewaktu kita mula hidup di dunia pun kita sudah berjanji bahawa kita hidup atas bumi ini kerana Allah. Walaupun semua orang tahu dia akan mati, hanya segelintir sahaja yang berusaha melakukan ibadat kerana takut kepada Allah. Seandainya maut menjemput manusia ketika leka hal duniawi dengan tidak cukup bekalan untuk bertemu dengan Allah, dia pasti akan menyesal. Hal ini kerana manusia tidak dapat berpatah balik masa kedunia. Alangkah ruginya manusia yang tidak mengingati mati. Orang – orang yang tidak berakal dan tidak percaya kepada maut beranggapan tidak ada lagi hisab selepas kematiaan. Seolah – olah tidak ada pembalasan dan seksaan. 

Rasullullah saw membaca hadis Qudsi yang beliau terima daripada Allah swt :”Demi kemuliaan-Ku, Aku tidak mengumpulkan dua ketakutan dan dua kegembiraan pada hamba-Ku. Apabila dia sudah takut kepada-Ku semasa di dunia, maka Aku tenteramkan dia pada hari kiamat. Dan apabila dia merasa aman terhadap Aku pada waktu di dunia, maka Aku berikan ketakutan kepadanya pada hari kiamat”. (Mafhum hadis riwayat Ibnu Hibban dalam Sahihnya) 

3. 0 ROH KELUAR DARI TUBUH

Apabila roh keluar dari tubuh, maka matilah manusia itu. Roh yang keluar dari tubuh manusia amatlah sakit dan pedih. Bagi orang yang beriman roh yang keluar dari tubuh amatlah pelan. Walaupun pelan, tetap merasakan sakit. Tetapi bagi orang-orang yang kafir, musyrik roh yang keluar dari tubuhnya amatlah keras. Malaikat yang mencabut nyawa adalah malaikat ‘Izrail as. 

Malaikat akan mencabut nyawa apabila ruh itu sampai kerongkong. Ada manusia yang rohnya ditarik dengan satu tarikan nyawa, ada juga yang dilepaskan nyawanya dengan satu lepasan dan ada yang dilolos dengan satu lolosan. Jika dia orang yang bahagia, malaikat rahmat memanggilnya dan jika dia orang yang celaka akan dipanggil oleh malaikat ‘azab. 

Roh akan dikembalikan ke dalam tubuh. Dan kedua malaikat datang kepadanya dan berkata”Siapakah Tuhanmu ?.............. sampai akhir”. Kemudian datanglah seorang lelaki yang bagus rupanya dengan berpakaian yang baik dan wangi dan berkata kepada mayat”Bergembiralah kamu”. Mayat bertanya”siapakah kamu? Tidak pernah melihat di dunia yang lebih bagus dari kamu”. Ia berkata”Akulah amalanmu yang salih”. 

Jika orang yang celaka, apabila rohnya keluar dari badan seluruh di langit dan di bumi melaknatinya. Hanya manusia dan jin sahaja yang tidak dapat mendengar. Apabila roh itu kembali ke tubuhnya, kedua malaikat pun bertanyakan kepadanya siapa tuhan kamu sehingga akhir. Dan datanglah seorang lelaki dengan rupa yang buruk hina dengan berbau busuk. Mayat bertanya”siapakah kamu? Tidak pernah melihat di dunia yang sehina kamu”ia berkata”Akulah amal perbuatan mu yang jahat”. Lalu dibukakan pintu neraka, ia melihat tempat duduknya didalam neraka sehinggalah datangnya hari kiamat. 

4. 0 KEMATIAN

Kematian dapat dibahagikan kepada dua iaitu sama ada mati dalam keadaan baik atau pun jelek. Mati dalam keadaan jelek adalah pengakhiran hidup tanpa iman. Mati dalam dalam keadaan kufur, musyrik, murtad, fasik dan sebangsanya. Walaupun dulu ia seorang yang beriman, rajin beribadah tetapi di saat kematiannya dia telah menghabiskan masa mengikut godaan dan pujuk rajuan iblis dan syaitan sehingga dia telah menutup dosanya dengan kejahatan. 

Mati dalam keadaan baik adalah pengakhiran hidup dengan iman dan islam. Tidak semua manusia yang dapat mengakhiri kehidupan dengan baik apalagi dengan mengucapkan dua kalimah”LAA ILAAHA ILLALLAAH”. Ini tidak mudah dilakukan. Oleh itu, yang lebih penting bagi seseorang ialah semasa hidupnya di dunia hendaklah meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah serta memperbanyakkan ibadat dan amal soleh semasa hidupnya di dunia. 

Alangkah baiknya jika kita renung dan berfikir tentang kematian. Bagaimana maut menjemput kita dan kesulitan yang akan kita temui. Bagaimana pula apabila kita berada didalam kubur. Adakah di dalam kubur gelap serta ulat-ulat dan bagaimana kita menghadapi malaikat Munkar dan Nakir mengenai pertanyaan yang akan diajukan untuk kita. Kematian akan datang kepada kita tidak kira dimana saja berada. 

Oleh itu, kita hendaklah membuat persediaan menghadapi mati. Mengingati mati akan mendorong kita supaya sentiasa melakukan kebaikan. Kita hendaklah ingat bahawa kita hidup atas muka bumi Allah. Kehidupan di muka bumi ini ibarat apabila tangan di celup ke dalam air laut dan diangkat tangan itu yang tinggal air di tangan itulah kehidupan dunia. Yang selebihnya air yang tinggal di lautan itu di ibaratkan kehidupan di akhirat. Betapa singkatnya kehidupan di dunia ini jika di bandingkan kehidupan di akhirat. 

Nabi saw bersabda :”Bila mana Allah menghendaki kebaikan seseorang, diberinya kedudukan yang baik”. Salah seorang bertanya kepada Rasulullah :”Bagaimana caranya memberi kedudukan ?”Rasulullah bersabda :”Ditunjukkannya kearah perbuatan yang baik sebelum meninggal, dan setelah itu baru dicabut nyawanya”. (HR. Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Al-Hakim dari Anas) 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com