Iman Anak Kunci Syurga -

Di antara banyak-banyak nikmat yang Allah anugerahkan pada kita, ada satu nikmat yang paling bernilai dan sangat penting iaitu iman. Iman merupakan asas penting yang menjadi tapak tempat berdirinya peribadi mukmin. Jika manusia diibaratkan seperti sepohon pokok, maka iman adalah akar tunjang pokok itu. Jika manusia diibaratkan sebuah rumah, maka iman ialah tapak berdirinya rumah itu. Begitulah pentingnya iman dalam usaha melahirkan seorang manusia yang sempurna lagi diredhai Allah SWT. Tanpa iman, seseorang itu akan sama seperti pokok yang tiada akar tunjang atau rumah yang ketiadaan ‘foundation’. Maknanya seseorang yang tiada iman tidak akan ada kekuatan untuk berdepan dengan hidup. Jadi, iman perlu dicari sebagaimana kita mencari harta benda. Ia tidak mungkin datang sendiri tanpa usaha dan ikhtiar dari kita, sepertilah duit tidak pernah datang sebelum kita berusaha mendapatkannya. 

Makna iman pada loghad (bahasa yang biasa digunakan hari-hari) bererti percaya. Sebab itu orang yang beriman dikatakan orang yang percaya. Sebagaimana yang ada dalam rukun iman yang wajib menjadi pegangan kepada muslimin dan muslimah. Rukun iman ada enam iaitu percaya kepada Allah, percaya kepada Malaikat, percaya kepada Rasul, percaya kepada Nabi, percaya kepada Hari Kiamat dan akhir sekali percaya kepada Qada’ dan Qadar. Siapa yang percaya maka dia dikatakan beriman. Takrif iman menurut istilah syariat Islam ialah membenarkan dengan hati, melafaz dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota badan. 

Iman sebenarnya bukan di mulut. Tidak juga pada akal tapi tersemat kuat di hati dan di jiwa manusia. Iman juga bukan sekadar pada amalan lahir seperti sembahyang, puasa, zakat dan lain-lain walaupun perkara itu diperintah tapi ia ada pada amalan hati. Ini dapat difahami dari sepotong hadith yang bermaksud:”Tidak ada kelebihan Abu Bakar di sisi Allah dengan sebab banyaknya puasa dan banyaknya sembahyang. Tapi yang melebihkan Abu Bakar ialah iman yang tersemat di dada. ”Hadith ini membuktikan bahawa iman adalah ujud tersendiri bebas dari ikatan dan kongkongan luar. Tempatnya di hati manusia dan bertindak sebagai tenaga penggerak yang boleh mengarahkan manusia kepada apa yang dikehendaki. Iman adalah segala-galanya; ketenangan, kekuatan, hiburan, kekayaan, kelapangan dan semuanya yang diidamkan manusia. Malah iman ialah kehidupan kita. Matinya zaman kegemilangan Islam adalah berpunca dari lenyapnya iman dari hati-hati umat Islam. Dan hina dan lemahnya kita hari ini pun adalah kerana tipisnya iman yang kita warisi. Seseorang yang tiada iman tidak akan ada kekuatan untuk berdepan dengan hidup. 

Allah menyebutkan iman dahulu sebagai syarat bahawa amalan yang didahului atau didorong oleh iman saja yang akan dinilai. Rasulullah turut mengingatkan ini dengan sabdanya:”Allah tidak melihat kepada rupamu dan hartamu (gambaran lahir) Tapi Dia melihat hati kamu. ”Hati yang baik ialah hati yang ikhlas dan beriman kepada Allah. Adakah orang yang tinggal sembahyang, mencuri dan mendedah aurat itu diniatkan kerana Allah? Mustahil! Orang-orang yang begitu, kalau tidak bertaubat, di akhirat nanti tahulah dia siapakah dia yang sebenar dan di mana tempatnya. Orang yang mengaku beriman tetapi tidak beramal adalah penipu. Manakala orang yang beramal tetapi tidak beriman adalah tertipu. Sebab itu Rasulullah memberi amaran yang keras pada orang yang tidak beriman di samping menyanjung tinggi orang yang beriman. Sabda baginda:”Dua rakaat sembahyang orang yang beriman adalah lebih baik dari dua ribu rakaat sembahyang orang yang tidak beriman. ”Dengan hadith ini mudah-mudahan sedarlah kita betapa sia-sianya kerja yang tidak didorong oleh iman. Dari itu eloklah bersiap-siap untuk memeriksa hati kita apakah sudah beriman atau belum. 

Mengapa Iman Penting? Mungkin ada orang yang akan berkata orang yang beriman pun nampak resah gelisah dan hilang pertimbangan. Kita hanya boleh katakana iman yang dimiliki oleh orang itu belum benar-benar sempurna. Kita ingat sabda Rasulullah untuk mungukur sejauh mana iman kita dapat menyelamatkan kita. Terdapat tiga jenis sifat yang ada pada orang telah merasakan kelazatan iman iaitu mereka yang tiada sesuatu yang dicintai selain dari Allah dan Rasul-Nya, mereka yang menyintai semua kerana Allah dan mereka yang takut berbalik keimananya seperti mana takut dimasukkan ke dalam api. Selain itu, terdapat tiga perkara yang dapat dirasai oleh orang yang merasa kelazatan iman iaitu tidak membantah semua yang benar, tidak berdusta walau dalam kesulitan, dan yakin apa yang berlaku dari Allah dan tidak boleh dihindarkan. Dengan enam sifat di atas, seseorang manusia akan sentiasa senyum dalam hidupnya. Senyum, sabar dan redha di waktu-waktu senang atau susah. Dia tidak akan takut, tidak dukacita, tidak gelisah dan tidak pernah tahu apa itu putus asa. Apa bila semua itu dimiliki, itulah dia kebahagiaan hidup yang sebenarnya. Dan kalau semua itu tiada, tiadalah kebahagiaan dalam erti yang sebenarnya. Seseorang yang tiada bahagia di dunia, jangan harap dapat bahagia di akhirat. Tidak bahagianya ia di dunia adalah kerana ia tidak menempuh jalan-jalan yang akan membahagiakan dia di akhirat dengan selamat dan sempurna. Ia akan bahagia di dunia, apalagi di akhirat. Kita lihat firman Allah yang menerangkan kebahagiaan orang yang beriman di akhirat nanti dan betapa sengsaranya mereka yang tidak beriman. 

Maksudnya:Hai hamba-hamba-Ku, tiada kekuatiran terhadapmu pada hari ini dan tidak pula kamu bersedih hati. (Iaitu) oran-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami dan adalah mereka dahulu orang-orang yang mengerah diri. Masuklah kamu ke dalam dengan digembirakan. Di edarkan kepada mereka piring-piring dari emas dan piala-piala (dari emas juga) dan di dalam syurga itu terdapat apa yang di ingini oleh hati dan sedap dipandang oleh mata dan kamu kekal di dalamnya. Dan itulah syurga yang diwariskan oleh kepada kamu disebabkan amal soleh yang dahulu kamu kerjakan. Di dalam syurga itu ada buah-buah yang banyak untukmu yang daripadanya kamu makan. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, kekal di dalam azab naraka jahanam. Tidak diringankan azab itu dari mereka dan mereka di dalamnya berputus asa. Dan tiadalah kami menganiaya mereka, tapi merekalah yang manganiaya diri mereka sendiri. Mereka berseru:”Hai Malik, biarlah Tuhanmu membunuh saja kami. ”Dia menjawab:”Kamu tetap akan tinggal di neraka ini. Sesungguhnya Kami telah benar-benar membawa kebenaran kepada kamu tetapi kebanyakan dari kamu benci kepada kebenaran itu. Bahkan mereka telah menetakan satu tipu daya (jahat) , maka sesungguhnya Kami telah menetapkan pula. Apakah mereka mengira bahawa Kami tidak mendengar rahsia serta bisikan-bisikan mereka? Sebenarnya (kami mendengar) dan utusan-utusan (malaikat) Kami selalu mencatat di sisi mereka. (Az Zukhruf: 68-80) 

Sememangnya lain orang lain taraf keimanannya. Iaitu taraf iman seseorang tidak akan sama dengan taraf iman yang dicapai orang lain. Kerana itu Islam membezakan iman kepada lima peringkat iaitu:
1. Iman taqlid (iman ikut-ikut) – Maknanya orang yang memiliki iman ini ialah orang yang beriman dengan semua rukun iman hanya mengikut-ikut orang lain. Pegangan Islamnya tidak kuat, prinsip Islamnya tidak kukuh. 
2. Iman Ilmu (iman yang berdasarkan ilmu) – Ilmu di sini adalah ilmu keimanan yang ada digariskan dalam agama Islam. Ilmu-ilmu lain walau sebanyak mana pun tidaklah boleh menghasilkan iman ilmu. 
3. Iman Ayyan – Iman ayyan akan dapat dicapai bila orang yang mempunyai iman ilmu, kemudian rajin mengerjakan ibadah-ibadah yang boleh menambahkan iman, akan meningkatkan imannya kepada iman ayyan. 
4. Iman Hak (iman sebenar) – Seseorang yang dapat mencapai iman hak ialah seseorang yang dapat melihat Allah dengan mata hatinya dalam sebarang apa yang ia lihat. Maknanya seseorang itu segera terigatkan Allah setiap kali ia memandang atau terpandang apa sahaja ciptaan Allah. 
5. Iman Hakikat – Iman yang kemuncak, iman yang paling tertinggi dan sempurnaIman ini dimiliki oleh rasul-rasul, nabi-nabi dan wali besar. Dengan iman ini Allah akan tempatkan mereka di syurga tertinggi tanpa melalui sebarang hisab. 

Harus disedari bahawa kita dan majoriti umat Islam bukanlah orang muqarrabin. Iman kita paling tinggi baru berada di peringkat iman ilmu. Kita baru setakat tahu akan Allah, tapi masih belum kenal akan Allah. Kita sedar Allah itu ada tapi belum cinta padaNya. Faktor utama dan yang penting yang patut disediakan ialah kesedaran, kemahuan dan kesungguhan kita buat mencapainya. Tanpa factor-faktor ini, syarahan dan ilmu sebanyak mana pun tidak akan mampu mengubah kita. Sebenarnya jalan untuk mendapatkan iman adalah banyak, iaitu setiap sesuatu yang diperintahkan oleh syarak. Ada yang berbentuk fardhu Ain, fardhu kifayah dan segala sunat-sunat. Rasulullah menjelaskan cara mendapatkan iman sabdanya yang mafhumnya ‘Iman itu banyak cabangnya. Yang setinggi-tingginya ialah mengucapkan Lailahaillallah dan yang serendah-rendahnya ialah membuang bahaya di jalan. ’ Maknanya apa saja yang Allah perintahkan untuk dapatkan imanlah tujuannya. Untuk mendapatkan iman Allah memerintahkan kita melawan hawa nafsu. Kerana nafsu yang bersarang di hati kita itu sentiasa mengajak kita supaya menderhakai Allah. 

Dalam usaha melawan hawa nafsu itu kita mestilah menempuh tiga peringkat. Peringkat yang pertama ialah mengosongkan atau membuang. Di peringkat membuang, iaitu peringkat permulaannya kita hendaklah membuang semua kehendak nafsu yang rendah dan dilarang Allah. Selagi kita tidak mahu membenci dan memusuhi dan membuangnya jauh-jauh dari diri kita, maka nafsu itu akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita. Sabda Nabi:“Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua perut engkau”. Apabila nafsu dibiar menguasai hati iman pasti tidak punyai tempat lagi. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah, Tuhan sebenar-benarnya, tapi menyembah hawa nafsu. Oleh itu usaha melawan hawa nafsu janganlah djanggap mudah dan ringan. Dia merupakan jihad akbar. Sabda Nabi kepada sahabat-sahabatnya sewaktu pulang dari perang Badar: Kita baru pulang dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Bila sahabat-sahabat bertanya, ”peperangan apakah itu?”Baginda berkata, ”peperangan melawan hawa nafsu”. Hawa nafsu terbahagi kepada beberapa peringkat seperti nafsu amarah iaitu nafsu yang terendah diikuti nafsu lauwamah, nafsu mulhamah, nafsu mutmainnah, nafsu radhiah, nafsu mardhiyyah dan yang tertinggi nafsu kamilah. Seseorang yang telah berjaya mengalahkan nafsunya yang randahakan meningkat pada taraf nafsu yang lebih baik sedikit. Begitulah seterusnya sehingga nafsu manusia itu benar-benar dapat ditundukkan pada perintah Allah. 

Peringkat kedua ialah mengisi dan menghiasi. Sesudah kita bermujahadah iaitu mengosongkan hati dari sifat mazmumah, segera pula kita menghiasi hati dari sifat-sifat terpuji atau mahmudah. Di antara sifat-sifat mahmudah yang patut menghiasi hati kita ialah jujur, baik sangka, pemurah, amanah, takutkan Allah, pemaaf, taubat, zuhud, tolak ansur dan lain-lainsifat yang disukai Allah. Untuk mengisi hati dengan sifat mahmudah kita perlu sekali lagi mujahadah. Pada peringkat mujahadah kita akan merasa berat dan susah sekali. Iaitu kita belum merasi ketenangan dan kelazzatan yang sebenar. Insya Allah jika kita sungguh-sungguh kita akan merasai kelazatan apabila ia sudah sebati dengan hati. Cara-cara mujahadah dalam peringkat menghiasi samalah seperti mana kita bermujahadah pada peringkat takhali. Misalnya kita ingin menghiasi hati dengan sifat pemurah. Maka kita mujahadahdengan mengeluarkan harta dan barang yang kita sayangi untuk diberikan pada yang memerlukan. Mulanya tentulah terasa berat dan sukar tapi jangan menyerah. Kita mestilah melawan. Ingatkan hati bagaimana orang-orang muqorrabin berebut-rebutuntuk dapat pahala sedekah. Saidatina Aishah RA. di waktu tiada apa untuk dimakan, beliau cuba juga mendapatkan hanya sebelah kurma untuk disedekahkan. Begitu inginnya mereka pada pahala dan rindunya pada syurga. Mereka berlumba-lumba menyahut pertanyaan Allah. 

Peringkat ketiga ialah merasa kebesaran dan kehebatan Allah. Sebagai hasil mujahadah dalam takhalli dan tahali, kita memperolehi tajali iaitusejenis perasaan yang datang sendiri tanpa memerlukan usaha lagi. Tajali secara ringkasnya ialah lapang dada, tenang dan bahagia. Hati seakan-akan celik, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan rindu penuh tertuju kepada Allah. Harapan dan pergantungan tiada pada yang lain lagi selain dari Allah. Seluruh amal bakti adalah kerana Allah semata-mata. Apa saja masalah hidup, dihadapi dengan tenang dan bahagia, tiada kesusahan dalam hidupnya sebab semua itu dirasapemberian dari kekasihnya. jika begitu bagi orang-orang yang beriman, dunia ini terasa bagai syurga. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan sejati dan abadi iaitu kebahagiaan hati. 

Seperkara lagi yang perlu kita tahu ialah tentang perkara-perkara yang boleh merosakkan iman. Tujuannya ialah supaya kita tidak terbuat perkara-perkara yang boleh merosakkan iman kita itu. Terdapat tiga cara bagaimana iman itu boleh terbatal iaitu melalui iktikad, perkataan dan perbuatan. 

Melalui iktikad iman boleh rosak disebabkan kurang yakin atau ragu-ragu dengan qudrat (kekuasaan) Allah. Sebaliknya ia yakin bahawa ada kuasa lain yang boleh memberi bekas selain dari Allah. Selain itu, ragu dengan perkara-perkara ghaib seperti wujudnya malaikat, hari kiamat, alam barzakh dan lain-lain lagi. Ragu dengan satu atau lebih mengenai sifat-sifat rasul dan ragunya tentang mampunya Quran (Islam) sebagai pembawa keselamatan juga antara sebab iman rosak. Secara ringkasnya semua perkara yang disuruh beriman oleh Allah adalah membawa kepada rosaknya iman seseorang jika timbul keraguaan di dalam hati, perkataan dan perbuatannya. Oleh itu amat perlu bagi tiap-tiap individu menilik ke dalam hatinya untuk memastikan bahawa tiada sebarang keraguan olehnya tentang perkara-perkara byang di suruh yakin oleh Allah. 

Iman boleh juga rosak melalui perkataan. Ini berlaku samaada sedar atau tidak. Antara perkataan-perkataan yang boleh merosakkan iman ialah mengatakan Allah zalim, kejam, tidak adil, bodoh dan lain-lain yang mencacatkan kesempurnaan sifat Allah. Selain itu, mengata dan mencaci Rasulullah samaada tentang perkataan, perbuatan dan seluruh ajaran Rasulullah. Menyatakan agama Islam tidak sesuai untuk semua zaman juga merosakkan iman. Tambahan lagi menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Contohnya menghalalkan arak, judi, zina dan lain-lain lagi. Secara ringkas bolehlah dikatakan apa saja perkataan yang dikeluarkan berbentuk cacian dan penghinaan pada kemuliaan dan kebenaran Islam, samaada sedar atau tidak adalah merosakkan ima. Jadi perlulah kita berhati-hati ketika bercakap, di samping itu kita dalami pengetahuaan tentang apakah bentuk perkataan yang boleh membawa kepada rosaknya iman. 

Kerosakan iman boleh juga berlaku kerana perbuatan kita. Di antara perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan iman ialah sujud pada selain dari Allah, samaada pada patung, pokok, kayu, matahari dan lain-lain lagi serta. Selain itu, merai dan membesarkan hari agama bangsa lain. Seseorang yang telah melakukan salah satu dari perkara di atas dalam sedar dan yakin, adalah seseorang yang telah rosak imannya. Dengan kata lain dia telah murtad. Dosa yang tak terampun. 

Firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak mengampun dosa syirik dan Dia mengampunkan dosa-dosa selainnya. 

Seseorang yang telah murtad, wajiblah bertaubat. Syarat-syarat taubat bagi orang murtad ada dua iaitu mengucap dua kalimah syahadah serta memperbaharui dan membetulkan keyakinan tentang apa yang telah diragui, dikatakan dan dilakukan. Hanya dengan memenuhi syarat-syarat ini saja akan diampun dan amal ibadah akan dinilai oleh Allah SWT. 

Iman sesudah diusahakan mencarinya wajib pula diusahakan memagarinya untuk elak serangan musuh. Tanpa pagar yang kebal, iman sentiasa terancamoleh musuhnya seperti nafsu dan syaitan. Kelak kita akan sentiasa kehilangan iman. Waktu itu tidak boleh disalahkan nafsu dan syaitan tetapi salahkan diri sendiri yang cuai untuk membina benteng iman. Maknanya kita orang Islambukan saja disuruh beribadat dan mujahadah untuk mendapatkan iman, tapi diwajibkan kita beribadah untuk memelihara dan mengawal iman. Ibadah yang dimaksudkan dapat mengawal iman ialah dengan mendirikan benteng iman. Benteng iman itu adalah seperti yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah beramal dan bertata susila atau berdisiplin

Masa beredar detik demi detik, tidak pernah berhenti. Satu detik yang ditinggalkan bererti satu detik umur yang kita hilang. Satu detik kita berlalu bermakna satu langkah kita menghampiri kematian. Mati merupakan perpindahan kita dari alam dunia yang fana ini kea lam barzakh yang kekal abadi. Di sana Allah lanjutkan hidup kita. Kehidupan di sana adalah balasan kepada cara hidup di dunia ini. Seandainya kita pilih di dunia ini kehidupan beriman dan beramal baik maka di barzakh kita akan menerima ganjaran kebaikan. Tetapi sekiranya di dunia ini kita kufur dan beramal soleh maka di alam barzakh nanti Allah akan balasi dengan balasan yang setimpal. Akan kekallah kita begitu, hingga tibanya hari kiamat, di mana Allah akan sempurnakan pembalasan pada hamba-hambaNya. Di hari kiamat akan bangkitlah manusia dari barzakh dalam bentuk yang diwarisi sejak di dunia. Orang beriman adalah golongan yang berjaya. Sebaliknya pula orang-orang yang ingkar dan menderhaka pada Allah, adalah golongan yang tercela dan menderita. Di
hari kiamat kelak manusia dikelaskan hanya pada dua kelas; iman atau kafir. Tidak ada kelas ketiga. 

Jika kita tidak mahu menerima azab neraka, hendaklah kita menjadi orang yang beriman. Peluang hidup yang masih ada ini, janganlah kita sia-siakan. Pilihlah jalan hidup beriman dan jalan-jalan orang yang telah hampirkan diri pada Allah seperti para nabi dan solofus soleh. Jalan lurus yang telah direntang oleh Al-Quran dan Sunnah. Jalan itu kehidupan tang diasaskan oleh rasa cinta pada Allah. Rindukan syurga dan takutkan pada nerakaNya. 

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Najihah Bt. Zolkifri

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com