Asas Usus Penciptaan Makhluk Jin -

Secara umumnya takrif jin adalah satu makhluk yang termasuk dalam golongan roh yang berakal dan juga diberi taklif iaitu mengerjakan syariat agama seperti manusia. Bezanya mereka tidak diciptakan dalam bentuk fizikal sebagaimana manusia terhalang dari pandangan pancaindera. Mereka tidak dapat dilihat tetapi mereka diberi kuasa untuk menjelmakan diri dalam bentuk tubuh secara kasar. 

Takrif jin mengikut Saiyid Sabiq dalam bukunya Al-Aqaa-idul Islamiyah ialah salah satu makhluk yang termasuk dalam golongan roh yang berakal juga dikenakan perintah taklif untuk menjalankan syafiat agama Allah SWT seperti halnya manusia. Akan tetapi mereka itu tidak mempunyai bahan-bahan kebendaan seperti yang dimiliki oleh manusia dan oleh sebab itu lalu tertutup dari pancaindera. 

ASAL PENCIPTAAN JIN

Allah SWT menjelaskan tentang asal usul penciptaan jin dalam ayat berikut:”Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering, yang berasal dari lumpur hitam. Jin pula Kami jadikan dia sebelum itu dari api yang sangat panas. ” (Surah Al-Hijr:26-27) 

Kedua-dua ayat tersebut menunjukan bahawa:

1 Manusia diciptakan daripada tanah, kemudian dicampurkan dengan air dan diadun sehingga menjadi tanah liat. Ia dibiarkan agan lama sehingga menjadi lumpur hitam. Lumpur ini menjadi kering dan berubah baunya sehingga menjadi tanah liat yang kering. 

2 Jin diciptakan daripada api yang tiada berasap kerana perkataan”samum”bermaksud nyalaan api yang murni. 

3 Jin diciptakan terlebih dahulu sebelum manusia. 

GOLONGAN-GOLONGAN JIN

Jin terbahagi kepada beberapa golongan. Ada di antara mereka yang sempurna istiqamah (berpegang teguh) dan berakhlak mulia. Tetapi banyak juga dikalangan mereka yang bertentangan dengan sifat diatas yang bodoh, lemah akal fikiran dan lalai. Namun golongan yang paling banyak sekali ialah jin kafir. Allah SWT berfirman dengan mengemukakan berbagai kisah mengenai jin dalam Al-Quran:

"Dan sesungguhnya (memang maklum) ada diantara kami golongan yang baik keadaanya dan ada diantara kami yang lain dari itu masing-masing menurut jalan dan cara yang berlainan. ” (Surah Al-Jinn:11) 

Maksud ayat tersebut ialah di antara golongan jin itu ada yang sempurana kebaikannya ada yang tidak baik. Banyak ragamnya sama seperti golongan manusia sendiri. Allah SWT berfirman. 

"Dan sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran nyatalah) ada diantara kami golongan yang beragama islam, ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyelewengkan dari jalan yang benar maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat) , maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakar bagi neraka Jahannam. ” (Surah Al-Jinn:14-15) 

JIN TIDAK MENGETAHUI PERKARA-PERKARA GHAIB. 

Ilmu-ilmu ghaib adalah perkara yang dikhusus oleh Allah SWT untukNya sendiri. Tiada satu perkara ghaib yang ditujukan oleh Allah SWT kepada sesiapa kecuali jika Dia menghendaki untuk disampaikan kepada salah seorang dari rasul pilihanNya. Rasul tersebut perlu menyampaikan kepada manusia. Mengenai perkara-perkara ghaib ini Allah SWT berfirman:

"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana rasul yang diredaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada rasul berkenaan) . ” (Surah Al-Jinn:26-27) 

Maksud ayat tersebut ialah Allah SWT membuat satu penjagaan yang rapat di sekeliling rasul yang hendak diberitahu sebagaimana dari perkara-perkara ghaib yang ada hubungan dengan risalahnya. Penjaga-penjaga itu terdiri daripada malaikat agar terpelihara perkara-perkara ghaib itu dari permainan syaitan yang terkutuk. Dalam Al-Quran dicerikan kisah nabi Nabi Sulaiman AS. 

JIN DITUNDUKKAN UNTUK NABI SULAIMAN

Di dalam Al-Quran ada dikisahkan bahawa Nabi Sulaiman AS memiliki bala tentera yang terdiri daripada pasukan jin, manusia dan burung-burung. Bala tentera Nabi Sulaiman AS adalah sangat banyak sekali sehingga sulit untuk dihitung dengan bilangan angka. Hitungannya hanya hitungan lapangan yang dipakai barisan. Lapangan yang digunakan untuk sebaris ialah lebih kurang 100 km persegi. Yang 25 km persegi untuk manusia, 25 km persegi untuk jin, 25 km persegi untuk binatang buas dan 25 km persegi untuk burung-burung. 

Kisah ini sebagaimana yang dikehendaki dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

"Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka diatur dengan tertib (dalam barisan) . ” (Surah An-Naml:17) 

Ada diceritakan dalam Al-Quran bahawa Allah SWT memerintahkan angin buat Nabi Sulaiman. Sehingga angin itu dapat menuruti apa kehendak Nabi Sulaiman. Begitu pula nabi menundukkan jin-jin dan memerintahkannya. 

Ada jin yang diperintahkan untuk berkerja dengan izin Allah SWT dan jin yang berpaling serta tidak taat kepada Nabi Sulaiman akan diseksa. Para jin berkarya menurut permintaan Sulaiman seperti gedung-gedung dan gambar-gambar serta timba-timba besar dan periuk. 

Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa Nabi Sulaiman mempunyai keistimewaan seperti:

1 Dapat menguasai angin dan boleh berbicara dengan binatang
2 Dapat mengeluarkan sumber tembaga
3 Memiliki tentera dari makhuk halus

Di dalam Al-Quran dinyatakan dalam firman Allah SWT:”Dan Kami (tundukkan) angin bagi Sulaiman yang perjalanan di waktu pagi sama dengan perjalanan sebulan dan perjalanan sebulan (pula) dan Kami alirkan cairan dembaga baginya. Dan sebahagian dari jin ada yang bekerja dihadapannya (di bawah kekuasaannya) dengan izin Tuhannya. Dan siapa yang menyimpang di antara mereka dari peritah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala. Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk yang tetap (berada di atas tungku) . ”

Ringkasnya bahawa Allah SWT menundukkan jin kepada Nabi Sulaiman AS ini tidak ada lagi. Demikianlah yang sepanjang dapat kita ketahui dengan berdasarkan firman Allah SWT dalam Al-Quran. 

"Kemudian Kami tundukkan kepadanya angin yang menghembus dengan baik menurut kemana saja yang dikehendakinya dak Kami tundukkan pula kepadanya syaitan-syaitan (jin-jin) semuanya ahli bangunan dan menyelam dan syaitan yang lain yang terikat dalam belenggu. Inilah anugerah Kami: maka berikanlah kepada orang lain atau tahanlah untuk dirimu sendiri dengan tiada pertanggungjawab. ” (Surah Saad:36-39) 

Di dalam Al-Quran dikisahkan pula bahawa Nabi Sulaiman pernah meminta kepada salah seorang yang ada dalam majlis pertemuan supaya didatangkan kepadanya singgahsana Ratu Balqis sebagaimana yang bercantum dalam firman Allah SWT dalam Surah An-Naml ayat 38-39. Firman Allah SWT tersebut mengandungi pegertian secara ringkas bahawa Nabi Sulaiman mengatakan kepada para pembesar yang sama menghadap kepadanya siapa diantara mereka yang dapat mendatangi aku dengan membawa singgahsana Ratu Balqis?Sebelum Ratu Balqis dan bala tenteranya menyatakan tunduk kepadaku?

Lalu Ifrit dari golongan berkata:”Sayalah yang akan mendatangkan singgahsana Ratu Balqis sebelum tuan berdiri dari tempat duduk tuan ini. Bahawasanya kamilah yag patut memikul singgahsana Ratu Balqis, kami sungguh kuat dan dapat dipercaya"

Ringkasnya bahawa Jin Ifrit sanggup tidak sampai setengah hari singgahsana Ratu Balqis telah berpindah di tangan Nabi Sulaiman. Demikianlah kisah Nabi Sulaiman yang berkenaan dengan jin dan nyatalah berdasarkan firman-firman Allah SWT tersebut tadi jin memang benar-benar dapat ditundukkan oleh Nabi Sulaiman AS. 

IBLIS DAN SYAITAN

IBLIS adalah perkataan Ajam (bukan bahasa Arab) sebab itu menurut kajian bahasa perkataan tersebut tidak boleh ditanwinkan. Dan sesetengah pakar bahasa menyatakan bahawa perkataan iblis adalah salah satu kalimah Arab yang mana berasal perkataan”Iblas”bermaksud putus asa dari rahmad atau kasih sayang Allah SWT atau jauh dari kebaikan. 

SYAITAN adalah bermaksud golongan yang keterlaluan sama ada dari kalangan manusia, jin atau binatang. Namun yang lazim digunakan adalah keterlaluan dari alam jin. Syaitan ialah lafadh mufrad yang jama'nya ialah”Syayaathin". 

IBLIS adalah nenek moyang seluruh syaitan dan tetap hidup sehingga hari kiamat. Ianya dahulunya pernah meminta kepada Allah SWT agar ditungguh (tidak dimatikan sehingga hari kiamat) . Permintaannya dikabulkan oleh Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran dalam Surah Saad:80-81 dan Surah Al-Kahf:50. 

Manakala sebab tidak boleh ditadwinkan adalah kerana tiada lain perkataan yang serupa dengannya juga kerana ia adalah bahasa Ajam. 

Tugas syaitan ialah mengingkari Allah SWT, mengajak ke arah kehancuran, perpecahan dan kebinasaan. Selain itu ia sentiasa menggalakan manusia untuk melanggar segala perintah dan larangan Allah. Semua kejahatan dan kerosakan di bumi ini ada kaitan dengan pengaruh syaitan. Syaitan mengajak manusia membuat maksiat yang pada zahirnya diperlihatkan sebagai satu hiasan dan keindahan. Mereka diajak mendustakan para rasul dan perintahan-perintah Tuhan. Pekerjaan syaitan dari dahulu hingga selama-lamanya. Allah SWT berfirman:

"Demi Allah! Sesungguhnya Kami juga telah memutuskan rasul-rasul kepada umat-umat terdahulu daripadamu (wahai Muhamad) , lalu syaitan memperelokkan pada pandangan mereka ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu. maka dia menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (Surah An-Nahl:63) 

Jelaslah bahawa syaitan mengajak manusia untuk mengubah agama dan ajaran-ajarannya, keluar dari fitrah, mensyirikkan Allah SWT, menghalalkan yang haram dan sebaliknya. Mereka sentiasa berada ditepi-tepi jalan untuk menghalang orang yang hendak menempuh jalan menuju keredhaan Allah SWT, berjuang fi sabilillah serta berusaha menyelewengkannya dari amalan-amalan. Itulah kerja syaitan, menampakkan setiap apa yang lazimnya menjadi keinginan nafsu manusia. Misalnya mencintai kemewahan yang berlebihan, tamak rakus kepada harta dan pangkat, gemarkan kecurangan serta lain-lain perkara yang buruk. Syaitan juga gemar mengusik jiwa penganut agama Islam sehingga orang itu menambah dan pengurangan syariat Allah mengikut kehendak hatinya. 

Syaitan juga menanam kebencian dan permusuhan di kalangan umat manusia. Dia memisahkan antara sesama saudara, suami dan isteri serta di kalangan jemaah. Dia juga melaga-lagakan antara antara umat yang ada pada mulanya bersatu padu dan menyalakan api peperangan hingga mengakibatkan kemusnahan. Selagi syaitan berkuasa memberikan pengaruh kejahatan kepada manusia maka ia akan dianggap terdekat kedudukannya serta lebih tinggi darjatnya di sisi pemimpin mereka iaitu iblis laknatullah. Sebenarnya kerosakkan bangsa, akhlak, polotik, ekonomi dan semua yang alami oleh manusia adalah hasil kerja Iblis dan tentera-tentera yang jahat itu. Laknat Allah SWT tetap atas selamanya. 

MENENTANG SYAITAN

Sebenarnya Allah SWT menyebut dalam Al-Quran tentang nafsu amarah bissu' (jiwa yang ajak kepada kejahatan) dan nafsu lawwamah (jiwa yang menyesali diri) hanya sekali sahaja. Sebaliknya begitu banyak ayat perihal syaitan dan ia kerap diulang untuk mengingatkan kita betapa hebat godaannya itu. Ini difirmankan oleh Allah SWT dengan cara dan gambaran yang berbeza-beza. Tujuan Allah SWT berbuat demikian agar kita benar-benar mengambil perhatian penuh menjauhinya. Ini kerana hanya dengan cara itu dapat menyelamatkan diri daripada kesesatan dan kecelakaan. 

Syaitan ternyata pandai menyusup dalam hati dan jiwa manusia. Tugas syaitan dalam batin manusia sama seperti tugas bakteria atau virus dalam tubuh. Bakteria sentiasa menunggu saat tubuh menjadi lemah. Ketika itu ia akan menyerang seluruh tubuh sekaligus sehingga menjadi lumpuh dan mati. Tubuh tidak mungkin dapat melepaskan diri dari serangan bakteria berbahaya kecuali jika tubuh itu mempunyai antibodi yang kuat. Oleh itu, penting bagi tubuh mempunyai pertahanan untuk mencegah pembiakan bakteria malah jika boleh dapat mengusirnya untuk selama-lamanya. 

Penyakit-penyakit jiwa yang merupakan pintu masuk syaitan aialah semua sifat mazmumah yang lazim tertanam dalam hatinya. Inilah secara mutlak perlu dibersihkan sehingga tidak ada ruang untuk syaitan menyusup masuk. Penyakit-penyakit jiwa pada hakikatnya terdapat dalam sifat-sifat mazmumah di bawah:

1 Lemah jiwa
2 Putus asa
3 Angkuh
4 Curang
5 Menganiaya
6 Tamak
7 Melampaui batas
8 Terpesona dengan kemewahan dunia

Inilah sebahagian penyakit jiwa yang menjadi lubang bagi syaitan untuk memasukkan jarumnya ke dalam batin manusia agar hancur kehidupannya, digoyahkan usahanya pada mulanya ingin menuju kebenaran dan dibelokkan ke arah bertentangan. Tidak ada cara lain untuk mengusirnya kecuali jiwa itu sendiri yang wajib dirawat sebaik-baiknya dengan berusaha untuk melenyapkan bekas-bekas pengaruh syaitan itu. 

Ini wajib dilaksankan secara berterusan dan bersungguh-sungguh sehingga jiwa itu benar-benar bersih dari penyakit tersebut secara keseluruhan. Jika berjaya ditumpaskan penyakit-penyakit tersebut secara menyeluruh akan muncul jiwa yang bersih dan sihat, rela mengerjakan yang hak dan yang baik, mematuhi arahan dan larangan Allah SWT, sentiasa mengigati, mengakui tiada kekuatan kecuali dengan izinNya dan sentiasa bermohon perlingdunganNya yang Maha Esa. 

Semua ini akan mengarah kepada pengukuhan rohani manusia dan mengangkatnya sehingga mencapai darjat yang ditakuti syaitan, walaupun hanya menemui jalan yang dilaluinya. Darjat seperti ini telah dicapai oleh Saidina Umar bin Al-Khattab RA. 

"Wahai Ibnu Khattab, tidak pernah syaitan bertemu engkau pada satu jalan, melainkan syaitan itu mesti mencari jalan lain (lantaran gerun dengan engkau) ". (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim) 

Bahagiannya jika menjadi orang yang digeruni syaitan, apatah lagi enggan bertemu langsung kerana orang seperti ini tidak mungkin lagi akan didekati syaitan. Kebahagiaan manusia tidak mungkin sempurna sekali kecuali dengan cara melawan hawa nafsu dan menundukkannya mengikut wahyu Allah SWT serta memerangi ajakan dan bisikan yang jahat. 

HIKMAH DICIPTAKAN IBLIS

Penciptaan iblis banyak memberi tanda tanya pada seluruh kalangan manusia dan persoalan ini dijawab sendiri oleh sebahagian ulama:

"Telah jelas dan nyata bahawa Allah SWT Maha Kuasa untuk membuat lawan dari apa-apa yang telah diciptaNya. Allah SWT sengaja menciptakan makhluk yang terbutuk dan menjadi punca segala kejahatan, sebagai tandingan dari penciptaan Jibril yang dianggap makhluk yang paling mulia dan terbaik serta sumber segala kebaikan. Maha Suci Allah yang menciptakan segala-galanya, iaitu kebaikan dan keburukan. ”

Penciptaan ini tidak ubah seperti penciptaan siang dan malam, hidup dan mati, penyakit dan ubat dan seumpamanya yang berlawanan. Ini semua merupakan bukti kukuh di atas kekuasaan, kesempurnaan dan kebesaran Allah SWT. Jadi, diciptakan sesuatu dengan lawannya, dijadikan sebagai satu cara dalam mengatur alam semester ini. Jika alam ini tida lawannya pasti tidak akan terlaksana hikmah kebijaksanaan dalam mengatur dalam pemikiran dan kerajaannya. 

Oleh kerana adanya lawan dari segala ciptaannya muncul nama-nama Tuhan yang mengandungi pegertian keagunganNya seperti:

1 Maha Perkasa
2 Maha Pemberi Balasan
3 Maha Adil
4 Maha Pemberi Bencana
5 Maha Pedih SeksaNya
6 Maha Cepat Menghitung Amalan
7 Maha Menurunkan Darjat
8 Maha Mengangkat
9 Maha Memuliakan
10 Maha Merendahkan

Nama-nama tersebut adalah sebagai kesempurnaan yang hanya dimiliki oleh Allah SWT sendiri yang pasti ada hubungan dengan alam semesta ini. 

Seandainya jin dan manusia mempunyai sifat dan watak sebagaimana yang dimiliki oleh malaikat, maka tiada gunanya nama-nama Allah diatas, kerana tidak terlibat kesannya terhadap mana-mana makhluk. Antara hikmah lain ialah munculnya kesan-kesan dari nama-nama Allah SWT yang mengandungi pegertian kasih sayangNya seperti:

1 Maha Pengampun
2 Maha Pelebur Dosa
3 Maha Menutup Kesalahan
4 Maha Melampaui (dalam member hak dan kebebasan hamba-hamba yang dikehendakiNya) 

Sekiranya Allah SWT tidak menciptakan sesuatu yang disukainya yang merupakan sebab-sebab timbul kesan dari benda-benda itu, tentu akan terbiar sahaja hikmahnya dan faedahnya. 

Rasulullah SAW mengisyaratkan hal tersebut dalam sabdanya:”Seandainya kamu semua tidak melakukan dosa, maka pasti kamu semua akan dilenyapkan oleh Allah dan tentu akan dating satu golongan yang berdosa kemudian memohon ampunan dari Allah lalu mereka diampuniNya. ” (Diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah) 

Di antara hikmah lain yang timbulnya nama-nama Allah SWT yang membawa pegertian kebijaksanaan Allah SWT. Maha Bijaksana dan Waspada pasti meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai. Belum pernah terjadi Allah SWT meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang sepatutnya sesuai dengan penetapan kesempurnaan sifat ilmuNya, kebijakkanNya dan ketepatan cara mengaturnya. 

Allah SWT Maha Mengetahui di mana hendak meletakkan risalahNya, siapa yang patut menerimanya dan mensyukuri kurnianNya. Bahkan Dia mengetahui siapa yang tidak layak menerimanya. Risalah tersebut merupakan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Orang inilah yang wajib menjalankan kekuasaan yang dikurniakan oleh Allah SWT sesuai dengan keredhaanNya. 

Sekiranya semua kejahatan itu tiada, berbagai hikmah dan kepentingan juga akan hilang. Akan lenyap juga segala manfaat, kebaikan dan kebenaran yang lebih agung. Sebabnya, sesuatu itu dapat dikatakan baik jika ada bahagian lain yang buruk. Jika tiada bahagian yang buruk, bagaimana pula hendak dikatakan ada bahagian baik. 

Diantara hikmahnya yang lain ialah terlaksananya berbagai ketaatan yang mana sekiranya tiada iblis pasti ketaatan tidak wujud. Contohnya jihad adalah satu ketaatan yang amat disukai oleh Allah SWT. Ini kerana ia dapat menghancurkan musuh dan membinasakan demi cinta pada Allah. Bayangkan jika semua manusia beriman tanpa ada terkecuali seorangpun, sudah tentu tiada ketaatan jihad ini. 

Contoh lain ialah amar ma’aruf dan nahi mungkar. Amar ma’aruf ialah menyuruh orang untuk melakukan kebaikan yang menyebabkan keredhaan Allah SWT. Manakala nahi mungkar ialah melarang manusia daripada melakukan kemungkaran yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Adakah ini terlaksana sebagai satu ketaatan jika semua penghuni dunia memeluk islam dan beriman dengan baik. 

Banyak lagi contoh yang seumpamanya yang akan terbiar tanpa dapat memberikan manfaat sekiranya iblis dan syaitan tidak diciptakan. Seperti menentang hawa nafsu, mengutamakan kebaktian kepada Allah SWT dari yang lain, bertaubat, memohon keampunan, sabar dan tabah hati, memohon perlindungan Allah SWT agar selamat dari musuh dan perbuatan jahatnya serta banyak lagi hikmah yang tidak dapat dicapai oleh akal manusia. 

Disediakan untuk: Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Disediakan oleh: Nurhayati Bt Baharudin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com