Kewajipan Dan Keperluan Taubat -

Prepared For : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Prepared By : Nooraznita Bt Ab Rashid

Definasi taubat ialah kembali kepada Allah dan pulang ke pangkuanNya serta berada di ambang pintuNya. 

Taubat dari segala dosa yang dilakukan oleh orang yang beriman untuk menuju kepada keredhaan Allah adalah satu kefardhuan agama yang amat perlu. Menurut Sahl Ibn Abdillah, sesiapa yang berkata bahawa taubat bukan perkara fardhu, dia adalah kafir dan sesiapa yang redha dengan kata – katanya itu, dia juga adalah kafir. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa tidak ada sesuatu perkara pun yang wajib ke atas manusia lebih dari taubat dan tiada hukuman yang berat ke atas mereka lebih dari kejahilan tentang taubat, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui tentang ilmu taubat. 

TAUBAT DI DALAM AL – QURAN
Di dalam Al – Quran, Allah menyeru kepada orang – orang yang beriman agar bertaubat kepadaNya dengan taubat nasuha (murni) , tulus ikhlas, dan benar. Orang – orang yang beriman mempunyai dua matlamat yang mahu diraih dalam melakukan taubat iaitu untuk menghapuskan segala kesalahan serta untuk menempatkan diri mereka ke syurga. Setiap orang yang beriman amat memerlukan kepada dua perkara tersebut untuk menghapuskan segala dosanya. Dalam Surah Al- Hujurat ayat 11, Allah berfirman, ”Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka adalah orang – orang yang zalim. ”Berdasarkan ayat ini, orang – orang yang tidak akan memperoleh kejayaan (Surah Yusuf : 23) tidak dikasihi oleh Allah serta tidak diberi petunjuk oleh Allah. Sesungguhnya orang – orang yang zalim itu tidak akan terselamat dari api neraka. Selain itu, terdapat ayat – ayat al –Quran yang menyeru orang – orang kafir agar bertaubat, membuka pintu hati mereka untuk menyertai Islam dan menikmati ikatan persaudaraan keislaman. 

TAUBAT DARI KEMUNAFIKAN
Taubat dari kemunafikan tidak memadai dengan mengisytiharkan keislaman kerana ia telah pun diisytiharkan sebelumnya. Mereka hendaklah bertaubat dari empat sifat yang telah disebutkan di dalam Surah An – Nisa’ iaitu kepatuhan yang mereka berikan kepada orang – orang kafir dan bukan kepada orang – orang beriman, mengintai kelemahan orang –orang yang beriman dengan memegang tongkat di tengah-tengah antara orang-orang beriman dengan orang kafir, sering diselubungi keraguan-keraguan mereka terhadap Allah dan Rasul dan kealpaan mereka dari mengingatiNya. Allah membuka pintu taubat kepada orang-orang munafik dengan beberapa syarat dan tidak menutup peluang bagi mereka. 

TAUBAT DARI DOSA-DOSA BESAR
Selain daripada bertaubat daripada kesyirikan dan kemunafikan, Al-Quran juga menyebut tentang taubat dari dosa-dosa besar. Umpamanya membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan kebenaran dan melakukan perzinaan yang dijadikan oleh Allah sebagai kekejian dan jalan yang buruk. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan tentang keimanan selepas perbicaraan tentang taubat. Dengan melakukan dosa-dosa besar, keimanan akan menjadi runtuh. Oleh itu, taubat adalah satu proses pembinaan semula keimanan. 

TAUBAT DARI DOSA MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN
Antara dosa besar yang disebutkan di dalam yang perlu bertaubat darinya ialah dosa menyembunyikan kebenaran dan tidak menjelaskannya kepada manusia. Ini termasuklah dosa-dosa orang alim yang diwajibkan ke atas mereka agar menyampaikan risalah-risalah Allah, menjelaskan kepada manusia hokum-hukum Allah, berkata benar dan tidak menyembunyikannya dari pengetahuan manusia. Lantaran itu, taubat menjadi tuntutan yang perlu dilakukan oleh golongan ini agar mereka dapat menyelamatkan diri dari seksaan dan laknat dari Allah. Syarat penerimaan taubat mereka ialah dengan membaiki apa yang telah mereka rosakkan dan menjelaskan apa yang telah mereka sembunyikan. Taubat mereka ini tidak sah dengan semata-mata penyesalan dan keazaman. 

KELEBIHAN TAUBAT DAN ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT YANG DISEBUTKAN DI DALAM AL-QURAN
Antara kelebihan – kelebihan bagi orang-orang yang bertaubat ialah Allah memerintahkan para malaikatNya yang hampir denganNya agar beristighfar untuk mereka dan berdoa kepada Allah supaya mereka terpelihara dari azab neraka serta memasukkan mereka ke dalam syurga-syurgayang penuh dengan kenikmatan. 

CIRI – CIRI ASAS TAUBAT
TAUBAT NASUHA

Taubat yang diperintahkan oleh Allah untuk melakukan taubat ialah taubat nasuha. Terdapat beberapa tafsiran terhadap pengertian taubat nasuha. 

Ibnu Kathir di dalam kitabnya menyatakan bahawa taubat nasuha bererti taubat yang benar dan tegas, yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan lalu, menguraikan kekusutan orang yang bertaubat, menghimpunkannya dan menyucikan kekotoran yang dilakukannya. 

Di dalam bahasa Arab perkataan ‘nasaha’ bererti penyucian. ‘Nasuh’ di dalam taubat adalah seperti ‘nasuh’ di dalam ibadat yang bereti bebas dari sebarang kepalsuan, kekurangan dan kerosakan serta melakukannya dengan sesempurna mungkin. 

Ibnu Jarir, Ibnu Kathir dan Ibnu Al-Qayyim menyebutkan dari Umar, Ibnu Mas’ud dan Ubai Ibnu Ka’ab, taubat nasuha bererti bertaubat dari sesuatu dosa serta tidak kembali melakukannya. 

Al- Hassan Al- Bashri menyatakan bahawa ia bererti seseorang hamba yang menyesal terhadap kesilapan lalu dan berazam tidak mengulanginya. 

Sa’id Ibnu Al-Musayyab menyatakan bahawa taubat nasuha bererti kamu menasihati dengannya akan diri kamu. Beliau menjadikannya sebagai penasihat kepada orang yang bertaubat. 

TAUBAT BUKANLAH SEKADAR UNGKAPAN DENGAN LIDAH
Taubat bukan sekadar ungkapan kata-kata dengan lidah seperti yang difahami oleh kebanyakan manusia. Mengungkapkan kata-kata taubat dengan sangkaan bahawa telah bertaubat merupakan kejahilan yang sangat buruk. Taubat bukanlah sekadar ungkapan yang dituturkan oleh lidah sekalipun inilah cara bertaubat yang paling mudah. Taubat adalah perkara yang lebih besar, lebih mendalam dan lebih sukar dari itu. Ungkapan dengan lidah dituntut di dalam taubat setelah mana taubat telah pasti dan ia digunakan untuk mengakui dosa dan memohon keampunan dari Allah. Sementara itu, istighfar atau pengakuan taubat dengan kata-kata lidah tanpa disertai dengan keazaman di dalam hati hanyalah taubat para pendusta. Hakikat taubat yang sebenar ialah amalan akal, hati dan jasad. Taubat dimulakan dengan amalan akal, kemudian diikuti dengan amalan hati dan membuahkan hasil dengan amalan jasad. 

TAFSIRAN TERHADAP UNSUR – UNSUR YANG MEMBENTUK HAKIKAT TAUBAT

 (1) Unsur Ma’rifah (pengetahuan) 
- Unsur ini ialah unsur kepekaan pengetahuan yang terserlah di dalam pengetahuan manusia tentang kesalahan ketika melakukan maksiat. Ia berlaku di saat – saat kesedaran dan pengembalian kepada fitrahnya yang sejahtera. Di sini, mereka akan mengetahui kebesaran Allah, ketinggian kedudukanNya dan keagunganNya. Manusia memerlukan kepada pemusatan pemikirannya, menggerakkan pemikirannya, merenung di dalam dirinya serta perkara-perkara yang berkaitan dengan dirinya. Inilah kesedaran terhadap diri yang merupakan batu asas kepada binaan taubat. 

 (2) Emosi keinginan
- Unsur ini adalah unsur psikologi yang berkaitan dengan emosi dan keinginan. Unsur ini berkaitan dengan perkara lalu dan perkara akan datang. 
- Penyesalan yang mendalam : penyesalan adalah perasaan atau emosi iaitu gambaran terhadap kekecewaan lantaran keterlanjuran seseorang yang melakukan dosa terhadap TuhanNya, atau dirinya sendiri. 
- Keazaman yang tekad : untuk mendapatkan kembali sesuatu yang sudah hilang dan menggantikannya dengan kebaikan memerlukan keazaman yang kuat untuk meninggalkan maksiat serta bertaubat secara menyeluruh dan tidak akan kembali melakukannya. Pentingnya keazaman ini ialah seseorang hendaklah kuat dan tekad di saat bertaubat tanpa disertai keraguan atau keinginan melakukan maksiat, atau terfikir untuk melakukannya sekali lagi. 

 (3) Unsur amali di dalam taubat
- unsur ini ialah berkaitan meninggalkan serta menghindari maksiat serta-merta. Peninggalan adalah dianggap sebagai amali kerana ia adalah menahan diri daripada maksiat yang disukainya kepada ketaatan yang diwajibkan ke atasnya. 
- Isighfar : memohon keampunan dan kemaafan dari Allah s. w. t. Setiap orang yang bertaubat amat memerlukan kepada istighfar seperti yang dituntut di dalam Al-Quran. 
- Mengubah suasana dan sahabat handai : mengubah suasana kemasyarakatan yang terpalit dengan kekotoran melakukan maksiat dan penyelewengan. Seseorang hendaklah mencari suasana yang bersih dan suci yang terhindar dari dosa-dosa, kesalahan dan penyelewengan. Orang yang bertaubat hendaklah menjauhkan diri dari sahabat yang jahat yang menggodanya untuk melakukan maksiat. 
- Menyusuli keburukan dengan kebaikan untuk menghapuskan kesannya serta menyucikan kekotorannya. Setiap muslim yang melakukan maksiat hendaklah segera menyusulkannya dengan perkara ketaatan seperti solat, sedekah, puasa, atau kebaikan istighfar, zikir, tasbih dan pelbagai kebaikan yang lain. 

 (4) Unsur mengikhlaskan taubat kepada Allah
- Bertaubat iaitu dengan membebaskan diri, menyesal serta berazam untuk tidak mengulangi dosa-dosa yang lalu semuanya dilakukan semata-mata kerana Allah, disebabkan tamakkan pahalaNya dan takutkan hukumanNya. 

PENERIMAAN TAUBAT
Bagi sesiapa yang meneliti ayat-ayat Al-Quran dan hadis, dapat dijelaskan bahawa orang yang bertaubat dengan bersungguh – sungguh serta memenuhi syarat-syaratnya, taubatnya pasti akan diterima oleh Allah. Namun begitu, terdapat beberapa orang menyatakan bahawa taubat itu tidak boleh dipastikan penerimaannya, kecuali ia hanya menjadi satu harapan sahaja. Penerimaan taubat hanyalah tertakluk kepada kehendak Allah s. w. t. 

Sekiranya sesuatu taubat itu mencukupi rukun, asas dan syaratnya, ia pasti akan diterima oleh Allah s. w. t. berdasarkan kepada janjiNya serta sunnahNya terhadap makhluk. Setiap taubat hambaNya diliputi oleh dua taubat dari Allah iaitu taubat sebelumnya untuk mendapat hidayat dan taufiq serta taubat selepasnya iaitu untuk penerimaan. 

Taubat pasti diterima berdasarkan sunnah Allah s. w. t. terhadap makhluk serta menurut kaitan antara sebab dan musabab yang terdiri di atasnya di alam ini. Sesiapa yang mengetahui sunnah Allah serta disiplinnya yang tetap, dia akan mengetahui bahawa apabila cahaya taubat terpancar, ia akan menghapuskan kegelapan dosa serta kesan-kesannya di dalam hati. 

TANDA – TANDA TAUBAT DITERIMA

Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan sesuatu taubat itu diterima yang dapat dibezakan dengan taubat-taubat yang ditolak oleh Allah. 
1. Keadaan orang yang bertaubat menjadi lebih baik dari sebelumnya. 
2. Perasaan takut sentiasa menyelubungi sehingga dia merasakan bahawa tidak selamat dari kemurkaan Allah walau sekelip mata. 
3. Hatinya merasa luluh dan hancur kerana penyesalan serta ketakutan bergantung kepada besar atau kecilnya dosanya. 

FAEDAH – FAEDAH TAUBAT

1. Menghapuskan segala kejahatan dan memasukkan ke dalam syurga
2. Memperbaharui keimanan
3. Menukarkan kejahatan dengan kebaikan
4. Mengalahkan musuh tradisi
5. Mengalahkan nafsu yang sentiasa menggalakkan k earah kejahatan
6. Keremukan hati kerana Allah
7. Memperoleh kecintaan Allah
8. Kegembiraan Allah terhadap orang yang bertaubat

PENGHALANG- PENGHALANG TAUBAT

1. Memandang remeh terhadap dosa
2. Angan – angan panjang
3. Terlalu yakin kepada keampunan Allah
4. Dikongkong oleh dosa dan rasa putus asa terhadap keampunan Allah
5. Tidak mengetahui hakikat maksiat (penderhakaan) 
6. Berserah dengan takdir

PENDORONG – PENDORONG TAUBAT

1. Mengetahui kedudukan Allah dan haknya
2. Mengingati mati dan kubur
3. Mengingati akhirat, syurga, dan neraka
4. Mengetahui tentang kesan maksiat di dunia dan di akhirat
- terhalang dari ilmu
- terhalang dari rezeki
- merasa jauh dari Allah
- merasa terpinggir dari manusia
- urusan menjadi sulit atau sukar
- kegelapan hati
- terhalang dari ketaatan
- memendekkan umur
- mengheret kepada kemungkaran yang lain
- melemahkan rangsangan ketaatan
- merasa bangga dengan maksiat
- mendapat kehinaan dari Allah
- menganggap kecil terhadap maksiat kepada Allah
- menyebabkan kehinaan
- melemahkan akal
- menyebabkan hati tertutup
- mengundang laknat
- terhalang dari doa Nabi dan malaikat
- melemahkan perjalanan hati kepada Allah
- menghilangkan nikmat
- mengabaikan diri sendiri
- merasakan kehidupan menjadi sempit

ISTIGHFAR

Istighfar ialah memohon keampunan atau memohon penghapusan dosa, menghilangkan kesannya dan melindungi dari kejahatannya. Al- Quran telah menyebutkan kepada kita bahawa para rasul yang telah diutuskan oleh Allah s. w. t. kepada pelbagai umat telah memerintahkan mereka agar beristighfar sama ada sekadar istighfar atau disertakan dengan taubat. 

Istighfar yang hakiki mengandungi taubat sepertimana taubat mengandungi istighfar. Keperluan manusia kepada keampunan menyebabkan manusia memerlukan kepada istighfar. Manusia tidak dapat lari darinya selama-lamanya sama ada waktu siang atau malam. 

Tidak terdapat kewajipan istighfar yang lebih daripada ketika terjebak di lembah kemaksiatan dan kekotoran dosa. Istighfar dijadikan sebagai alat untuk menjadi penggantung semasa bangun dari ketergelincirannya dan sebagai pembersih yang menyucikannya dari kekotoran dosa. 

Di dalam Al-Quran, Allah telah memuji para nabi lantaran mereka memohon keampunan. Mereka adalah golongan manusia yang paling segera bertaubat dan amat peka dengannya. Di dalam kisah Nabi Adam a. s., beliau terus beristighfar sebaik sahaja beliau dibisikkan oleh syaitan sehingga beliau dan isterinya memakan dari pohon yang dilarang memakannya. Beliau terus bersegera mengetuk pintu keampunan dan bertaubat kepada Allah s. w. t. 

SYARAT – SYARAT ISTIGHFAR

Terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi untuk memastikan sesuatu istighfar itu diterima oleh Allah. 

Syarat yang pertama adalah kesahihan niat dan ikhlas kepada Allah. Allah s. w. t. tidak menerima satu-satu amalan melainkan jika ia dilakukan secara ikhlas kepadaNya. 

Syarat yang kedua pula ialah persamaan anatra hati dan lidah dalam beristighfar. Orang yang memohon ampun terhadap sesuatu dosa sedangkan dia masih tetap melakukannya adalah seumpama orang yang mempermainkan Allah. 

Syarat yang ketiga adalah antara adab pelengkap kepada istighfar ialah berada di dalam keadaan suci sehingga seseorang itu berkeadaan baik zahir dan batin. 

Syarat yang keempat adalah antara adab beristighfar iaitu seseorang itu beristighfar kepada Allah s. w. t. dalam keadaan di antara ketakutan dan harapan. Yang kelima, antara adab beristighfar ialah memilih waktu-waktu yang afdhal. Yang keenam antara adabnya lagi ialah beristighfar sewaktu bersolat iaitu semasa sujud sebelum salam dan selepas salam. Seterusnya ialah berdoa untuk diri sendiri dan orang- orang yang beriman semoga Allah memasukkannya di kalangan mereka dan merahmatinya serta mengampuni dengan keberkatan mereka. Yang kelapan adalah berdoa dan beristighfar menurut ucapan – ucapan yang tersebut di dalam Al-Quran dan hadis. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com