Remaja sering dikaitkan dengan masalah walaupun daripada sifat semula jadi, remaja adalah zaman yang penuh bertenaga dan mempunyai potensi diri yang cemerlang. Masalah sosial dan jenayah yang membabitkan remaja hari ini benar-benar mem-bimbangkan. Ketidakupayaan dan kegagalan mengatasi halangan ini menimbulkan pelbagai masalah. Walaupun terdapat banyak isu yang berlaku, namun bahagian ini hanya membincangkan beberapa isu terpilih yang kerap berlaku di kalangan remaja.
Alam remaja dikatakan sebagai saat yang rapuh kerana pada peringkat ini mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh serta tekanan luar yang kebanyakannya menje-rumuskan kepada perkara negatif. Apabila terpedaya dengan pengaruh negatif yang mengkhayalkan, akhlak remaja mudah rosak sehingga menimbulkan pelbagai masalah seperti salah laku dan juvenil. Keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin remaja boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh pelajar seperti membunuh, mencuri, menyalahgunakan dadah, rogol, samun, senjata api dan lain-lain manakala yang kedua ialah salah laku yang melibatkan kesalahan ringan seperti ponteng termasuk salah laku seperti ponteng sekolah, ponteng kelas dan kerap keluar kelas. Kategori tidak patuh arahan pula mencakupi salah laku seperti tidak memberi perhatian kepada pelajaran, tidak membuat kerja rumah, tidak membawa buku, tidur di dalam kelas dan tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar manakala kategori gangguan pengajaran adalah seperti membuat bising, merosakkan alat bantu mengajar, mengganggu kawan semasa guru mengajar dan mempertikaikan ajaran guru. Tidak sopan pula merupakan salah laku seperti berpakaian tidak kemas dan bercakap kasar dengan guru.
Kes jenayah di kalangan remaja menyebabkan fungsi sekolah dikritik dan di anggap sebagai puca kepada peningktan jenayah dalam masayarakat. Pelbagai masalah juvenil (jenayah yang dilakukan oleh golongan remaja di sekolah) seperti menjadi samseng, menyertai geng motosikal, memeras ugut, menumbuk guru, merosakkan harta sekolah, mencuri, menipu, merogol, berjudi dan mabuk mencerminkan kelemahan institusi sekolah sebagai mekanisme pengawal sosial remaja. Meningkatnya pelbagai gejala sosial dan jenayah remaja ini adalah manifestasi krisis dan keruntuhan moral yang tinggi dalam masyarakat. Jenayah remaja adalah produk sosial dan budaya masyarakat keseluruhannya. Sering juga dikatakan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara. Kenyataan ini tidak dapat dinafikan. Mereka adalah aset kekayaan semula jadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan negara. Namun demikian, masalah akhlak remaja adalah ancaman kepada sumber tenaga manusia yang merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu, segala masalah sosial yang dihadapi oleh remaja perlu dibendung dan diatasi supaya tidak terus mengancam aset yang tidak ternilai ini.
Punca keruntuhan akhlak remaja ini, antaranya ialah mudah terikut-ikut dengan perangai rakan merek. Zaman sekarang, remaja mula terdedah kepada alam yang luas di luar rumah, malah persekitaran ini menjadi rumah kedua mereka. Remaja juga mempelajari banyak perkara daripada persekitaran sosial di mana ia membesar. Dalam tempoh-tempoh ini, remaja mula mengubah tingkah laku, sikap dan nilai. Malahan, mengubah seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa. Zaman remaja adalah tempoh kehidupan yang diselubungi harapan, cabaran dan ketegangan. Mengikut kajian yang dibuat ada tiga faktor yang penyumbang kepada ketegangan dalam zaman remaja iaitu perubahan fizikal yang cepat dan pencapaian kematangan jantina, kedudukan remaja sebagai manusia pinggiran (manusia marginal) dan keperluan menyediakan diri untuk memasuki dunia dewasa.
Perubahan fizikal yang cepat dan kematangan jantina ini boleh menimbulkan beberapa perkara kritikal dalam hidup remaja seperti remaja perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dan kematangan fizikal yang berlaku pada diri mereka. Remaja menjadi sensitif pada rupa dan bentuk badan. Perubahan fizikal dan perkembangan jantina yang dialami dapat menimbulkan rasa tidak selesa, tidak yakin, tidak selamat, malu dan segan. Konsep kendiri remaja kadangkala dipengaruhi oleh perubahan fizikal dan perkembangan jantina. Remaja mungkin menggunakan mekanisme bela diri bagi menjaga maruah.
Keperluan menyediakan diri untuk dunia dewasa. Keadaan ini menimbulkan beberapa perkara kritis dalam hidup remaja iaitu mendapat pendidikan dan latihan bagi mencapai tahap kebebasan ataupun ketidakbergantungan kepada ibu bapa dalam aspek ekonomi dan kewangan. Memilih kerja yang sesuai dengan kebolehan, minat dan keperluan masyarakat.. Bersedia menjalani kehidupan berkeluarga. Remaja mestilah bersedia menghadapi masa depan yang mencabar dan juga mampu mencapai kebebasan pertalian emosi dengan ibu bapa dan orang dewasa lain disamping itu juga dapat berhadapan dengan harapan dan nilai hidup bertentangan yang menimbulkan kekeliruan dan kekecewaan.
Keruntuhan akhlak remaja juga dapat dilihat daripada pelbagai sudut dan banyak puncanya. Langkah mengenal pasti masalah ini penting kerana hanya dengan mengetahui punca-punca, strategi penyelesaian yang berkesan dapat diatur dengan rapi. Faktor yang boleh mengakibatkan berlakunya keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Proses urbanisasi iaitu kegiatan devian atau melencong dan keruntuhan moral di kalangan remaja juga berpunca daripada proses urbanisasi dan industri yang kita alami. Ini kerana kedua-dua proses itu mengendurkan kawalan sosial yang biasanya wujud dalam masyarakat tradisi kita. Akibatnya, anggota masyarakat bebas melakukan apa sahaja sesuka hati. Dalam masyarakat tradisi, hubungan antara anggota masyarakat begitu erat. Di dalam sebuah kampung misalnya, setiap orang saling mengenali, tolong menolong dan mengambil berat antara satu sama lain sehingga budaya ini meresap ke dalam jiwa setiap ahli kampung. Perhubungan ini secara tidak langsung menjadi suatu bentuk kawalan sosial yang dapat memelihara tingkah laku masyarakat. Perbuatan melanggar norma masyarakat kampung itu cuba dielakkan kerana bukan sekadar nama diri sendiri malah nama keluarga juga turut tercemar. Suatu masa dahulu, kempen remaja ‘rukun tetangga’ diadakan bagi menjaga keamanan di kawasan masing-masing. Tetapi malangnya, ramai yang menyalah gunakan kempen ini. Ada yang sekadar menandatangani buku kedatangan ataupun berborak dan bersembang kosong sehingga tiba masa pulang. Antara nilai yang dilihat dalam persekitaran proses urbanisasi dan industrialisasi adalah nilai individualistik dan materialistik yang menyebabkan setiap anggota masyarakat membawa diri masing-masing dan tiada masa mengambil tahu hal orang lain. Sikap individualistik ini menyebabkan tiada hubungan antara satu sama lain di dalam kawasan kediaman. Jika ada sekalipun adalah pada tahap minimum.
Hubungan kekeluargaan juga merupakan factor yang dapat dikaitkan dengan keruntuhan akhlak remaja adalah penglibatan remaja dalam jenayah. Remaja atau pelajar khususnya yang terlibat dengan jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang susah, malah sebilangan signifikan adalah mereka yang mempunyai latar belakang keluarga yang baik dan kaya. Dalam faktor sosial, peranan ibu bapa penting dalam mendidik anak-anak. Kebanyakan ibu bapa bekerja kerana wujudnya perubahan sosial hari ini. Ada kalanya mereka terlalu mementingkan pekerjaan daripada memberi perhatian kepada anak-anak. Mereka cuba memuaskan hati anak-anak dengan hanya memberikan keselesaan dan kemewahan kebendaan tanpa kasih sayang dan masa bersama anak-anak. Mereka lupa anak-anak juga memerlukan perhatian bagi mendapat maklumat dalam kehidupan seharian. Dari sini, anak-anak rasa terbiar tanpa kasih sayang dan jagaan yang sempurna. Mereka bercampur dengan rakan sebaya yang bermasalah dan akhirnya menimbulkan masalah disiplin kepada pihak sekolah. Terdapat juga ibu bapa yang tidak menghiraukan anak-anak walaupun pihak sekolah memberitahu mereka berkenaan masalah disiplin anak-anak di sekolah. Anak-anak ini meng-ambil peluang sikap tidak acuh ibu bapa mereka dengan bertindak lebih buruk lagi di dalam dan luar sekolah. Akhirnya, pihak polis terpaksa campur tangan dalam hal ini. Maka, tidak tepat apabila kita meletakkan masalah disiplin di atas bahu guru sahaja sedangkan ibu bapa melepaskan tangan dalam hal ini.
Mengikut kajian yang dibuat berkaitan dengan faktor keluarga menyimpulkan beberapa perkara yang tidak dititikberatkan oleh ibu bapa iaitu tidak menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak, tidak mengambil berat pencapaian anak-anak, ibu bapa tidak sefahaman di rumah, pendapatan ibu bapa yang rendah menyebabkan anak malu ke sekolah kerana tidak mampu membayar yuran tidak mengambil tahu aktiviti yang dijalankan oleh anak-anak. Berdasarkan pemerhatian, ibu bapa yang berstatus rendah di luar bandar lebih merelakan tindakan guru kerana bagi mereka, tanggungjawab guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga mencorakkan anak mereka supaya lebih bertanggungjawab dan berhemah tinggi. Manakala, ibu bapa berstatus agak tinggi sering mempersoalkan tindakan guru kerana anak mereka terlalu dimanjakan di rumah dan lebih cenderung memberi alasan anak mereka tidak pernah dipukul di rumah. Sepatutnya, mereka menyedari tanggungjawab yang berat perlu dipikul kerana ibu bapa hanya mengawal beberapa orang ataupun seorang anak di rumah sedangkan guru perlu menjaga 40 orang pelajar di dalam setiap kelas. Tambahan pula, terdapat ramai guru muda yang tidak berpengalaman mendidik anak-anak mereka berbanding ibu bapa yang lebih memahami sikap anak-anak mereka. Justeru, dapat diandaikan bahawa punca keruntuhan akhlak adalah kemerosotan asuhan, didikan, bimbingan dan kawalan ibu bapa ataupun penjaga.
Tekanan hidup, kesibukan kerja, mengejar kemewahan serta aktiviti sosial menyebabkan ibu bapa dan anak tidak mempunyai masa ataupun kesempatan bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain, malah jarang mempunyai peluang bersua muka. Ibu bapa tidak dapat memberi asuhan dan didikan. Sementara remaja pula tidak mendapat perhatian, bimbingan dan panduan hidup yang sempurna. Remaja itu cenderung membawa cara hidup bersendiri. Keluarga yang terlalu mewah juga menyebabkan keruntuhan disiplin anak remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang banyak. Ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain supaya bersuka-suka. Pergaulan bebas dan pengaruh rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak memburukkan lagi keadaan. Sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat berkenaan kelakuan dan pergaulan anak remaja mendorong remaja mempunyai akhlak yang rosak. Remaja yang terdedah lebih awal kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan yang cukup daripada ibu bapa juga adalah faktor keruntuhan akhlak remaja. Antara punca lain keruntuhan akhlak remaja yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosioekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tidak tenteram serta ketidakupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh menyebabkan remaja rosak akhlak. Justeru, sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita patut mempunyai kewajipan dan peranan yang besar dalam merancang aktiviti, memberikan peluang dan bimbingan serta menyediakan pelbagai kemudahan supaya golongan remaja mendapat panduan yang cukup bagi menghadapi zaman dewasa.
Pengaruh persekitaran Pengaruh persekitaran luaran dan pengaruh media masa juga sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah. Pelbagai dorongan kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini dan seterusnya menyebabkan remaja terikut-ikut dengan pengaruh berkenaan. Lantaran itu, bagi memenuhi perasaan ingin tahu akibat dedahan persekitaran, mereka merayau-rayau di kompleks-kompleks membeli-belah, pusat snuker, pusat permainan video dan sebagainya. Perbuatan seperti ini selalunya mendorong kepada pergaulan yang kurang sihat. Selain daripada pergaulan kurang sihat, remaja juga turut menuntut kebebasan secara melulu daripada ibu bapa. Tuntutan seperti ini banyak dipengaruhi oleh media massa. Kemajuan dalam komunikasi mengakibatkan remaja terdedah kepada nilai-nilai baru yang belum pasti baik bagi perkembangan diri. Pengaruh negatif ini dapat dilihat daripada majalah-majalah hiburan, buku-buku yang mengandungi unsur-unsur lucah serta radikal, televisyen dan tayangan-tayangan filem barat. Mengikut pemerhatian kebanyakan akhbar mingguan, majalah hiburan dan buku-buku cerita di pasaran kini lebih mengutamakan hiburan, keganasan dan fantasi kosong. Bahan-bahan ini mendorong sikap negatif seperti suka mengelamun, berfoya-foya, boros dan pelbagai perlakuan anti-sosial.
Pengaruh di sekolah dapat dibendung dengan disiplin iaitu asas utama mekanisme pengawalan sekolah. Disiplin sekolah biasanya diasaskan kepada etika, nilai, akhlak dan standard tingkah laku yang mulia. Bagi mencorakkan disiplin sekolah yang berkesan, semua guru perlu menunjukkan komitmen dan diberi tanggungjawab bagi menguatkuasakan disiplin. Kelemahan yang jelas di sekolah yang menjadi punca keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin di kalangan pelajar adalah guru-guru tidak diberi kuasa bertindak mempertahankan disiplin. Disiplin sekolah secara rasmi adalah tanggungjawab guru disiplin, guru besar dan guru penolong kanan. Keadaan ini menyebabkan sebilangan besar guru-guru mengambil sikap lepas tangan dan tidak menunjukkan komitmen bagi menangani masalah disiplin yang dilakukan oleh murid-murid sama ada di sekolah mahupun di luar sekolah. Murid-murid nakal dan suka melanggar disiplin menjadi lebih berani dan bebas melakukan perbuatan yang melanggar peraturan dan undang-undang kerana mereka tahu guru-guru tidak mempunyai kuasa yang boleh dikenakan ke atas mereka. Malah, murid-murid ini berani mencabar kewibawaan guru yang tidak disukai. Bagi guru yang berasa keselamatan mereka terancam mengambil sikap tidak peduli dan membiarkan sahaja apa yang dilakukan oleh murid-murid bermasalah ini. Masyarakat guru terpaksa membodohkan diri sendiri, membutakan mata, membisu suara dan membenamkan rasa kecewa mereka sebagai golongan pendidik yang dayus dan tidak berwibawa. Sekiranya pada ketika dahulu guru mementingkan nilai kasih sayang dalam mendidik pelajar, tetapi hari ini nilai kasih sayang sebegini jarang dapat dilihat dan kadangkala terus hilang disebabkan kepentingan yang bersifat material. Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegur sikap guru yang tidak memberi pengajaran menyeluruh kepada murid dan hanya menumpukan perhatian mengajar mata pelajaran yang ditugaskan kepada mereka. Sehubungan itu, sistem pendidikan tidak boleh dipersalahkan. Tetapi, sikap guru yang sekadar menyampaikan maklumat mata pelajaran yang dipertanggung-jawabkan ke atas mereka perlu dibetulkan.
Di samping itu, ketidakseimbangan nisbah guru wanita dan lelaki yang kian meruncing di sekolah rendah dan menengah menimbulkan isu di mana guru wanita menyebabkan disiplin pelajar kian merosot. Sifat wanita yang lemah-lembut menjadi isu di mana pelajar tidak takut kepada guru wanita. Ketidak-seimbangan bilangan guru ini kian ketara bukan disebabkan Kementerian Pendidikan memberikan lebih tempat kepada guru wanita, tetapi kekurangan golongan lelaki yang memohon. Walau bagaimanapun, adakah semua tindakan disiplin hanya dapat dilakukan dengan tindakan keras seperti merotan? Masyarakat merasa bimbang kerana guru lelaki lebih ber-kemampuan mengambil tindakan tegas dan keras berbanding guru wanita. Guru disiplin dapat mendisiplinkan pelajar dengan menggunakan kelembutan seperti menggunakan pendekatan psikologi dan kaunseling serta mengenal pasti punca masalah sebenar. Keadaan pelajar yang sesak di dalam bilik darjah yang kecil juga boleh mendatangkan masalah tekanan dan disiplin di kalangan mereka. Begitu juga dengan sikap guru yang mempunyai suara garang dan menggunakan kekerasan mengikut perasaan dalam pengajaran harian. Bagi menyelesaikan masalah disiplin pelajar di sekolah, setiap guru perlu meng-gunakan budi bicara yang luhur di samping tatacara disiplin menyeluruh yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.
Masalah remaja juga boleh dikaitkan dengan kerjaya. Kebanyakan pelajar atau remaja hari ini tidak faham hubungan antara pelajaran dan kerjaya. Akibatnya, mereka berada di sekolah semata-mata ingin lulus dalam peperiksaan ataupun sebab ibu bapa mereka mahu mereka ke sekolah. Secara tidak langsung, ramai yang kurang bermotivasi di sekolah. Mereka tidak mempunyai matlamat hidup dan rancangan masa depan. Cadangan mengatasi masalah ini berkisar dengan isu pelajar remaja. Justeru, kebanyakan strategi penyelesaian yang dinyatakan di sini memberi tumpuan pada golongan pelajar remaja. Pendekatan akademik Ini dapat dilakukan dengan menambahkan lagi aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah-sekolah. Begitu juga dengan cara perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar yang baru dan teknik pengajaran luar kelas, ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pembelajaran dan tekanan yang dihadapi oleh pelajar di
sekolah. Strategi ini dapat menarik minat pelajar remaja menghabiskan lebih banyak masa di sekolah daripada di luar sekolah yang tidak memberi manfaat kepada perkembangan mereka.
Aspek perundangan di sekolah perlu diberi tumpuan kerana ia dapat mengurangkan penglibatan pelajar dengan kegiatan disiplin ataupun jenayah di sekolah. Dengan wujudnya aspek perundangan seperti ini, ia dapat menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar di samping dapat mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan ibu bapa dalam mengawasi disiplin. Namun, ia perlu dikaji dengan mendalam kerana cara ini mungkin melibatkan kos yang tinggi dalam menambahkan unit kawalan tambahan. Ia juga mewujudkan tentangan daripada ibu bapa memandangkan langkah hukuman itu mungkin terlalu berat dan tidak adil bagi anak mereka. Perkara yang berhubung dengan aspek perundangan adalah penguatkuasaan undang-undang oleh polis. Ini bermakna, bidang kuasa polis boleh diperluaskan merangkumi kegiatan pelajar di sekolah-sekolah yang difikirkan menghadapi masalah disiplin pelajar. Jawatankuasa tindakan disiplin perlu ditubuhkan pada peringkat daerah, kawasan, negeri mahupun negara supaya segala kegiatan pelajar di dalam dan luar sekolah diawasi.
Khidmat nasihat Kaunseling di sekolah memainkan peranan penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Di samping itu, kaunseling juga dapat dilaksanakan sebagai penunjuk arah kerjaya yang patut dituju oleh remaja. Guru kaunselor di sekolah-sekolah juga boleh menganjurkan kaunseling rakan sebaya di kalangan pelajar-pelajar. Ini adalah jalan yang baik bagi membantu hubungan yang sihat di kalangan remaja dan memupuk rasa tanggungjawab antara satu sama lain. Menurut kajian, remaja lebih mudah meluahkan masalah mereka kepada rakan sebaya. Oleh itu, program ini bermanfaat apabila di-rancang dengan teliti dan mengambil orang yang berpengalaman serta mempunyai asas-asas kaunseling remaja bagi menganjurkan dan memantapkan program ini. Lanjutan daripada itu, golongan remaja perlu dibantu dan diberi perhatian kerana masa remaja adalah zaman pergolakan yang serius. Pertumbuhan jasmani yang berlaku semasa baligh banyak mempengaruhi jiwa, perasaan dan fikiran remaja. Ini menyebabkan mereka menghadapi banyak masalah menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah dan membentuk identiti diri.
Tingkah laku keruntuhan akhlak di kalangan remaja dewasa ini, mempunyai hubungan rapat dengan kemasukan elemen-elemen negatif dari luar yang tidak terkawal ke dalam negara serta masyarakat dan budaya kita. Lantaran itu, kemasukan aliran muzik songsang perlu disekat dengan mengharamkan kemasukan muzik berunsur lucah. Pada masa yang sama, serbuan yang kerap perlu dilakukan ke atas premis-premis yang menjual barangan seperti rokok, pistol dan sebagainya bagi mengesan dalang yang mewujudkan fenomena keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Usaha yang berterusan dapat membanteras jenayah di kalangan remaja hingga ke akar umbi.
Bagi menangani masalah ini, pendekatan yang wajar adalah melalui ceramah-ceramah sivik yang dapat dilakukan pada peringkat sekolah. Walaupun demikian, wajar seandainya program ceramah sivik ini melibatkan ibu bapa. Contohnya, pada ‘Hari Ibu Bapa dan Guru’ yang diadakan setiap tahun, ceramah-ceramah dapat memberikan keterangan yang jelas berkenaan peranan ibu bapa dalam usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan. Di samping itu, pengetahuan agama perlu ditekankan dalam ceramah-ceramah ini kerana lazimnya pengetahuan agama memberi garis panduan kepada individu apabila bertindak. Di samping pengetahuan agama, keterangan diri dan cara-cara bersosial perlu disampaikan kepada remaja dan ibu bapa. Penglibatan ibu bapa penting supaya anak, pendidik dan ibu bapa berada pada gelombang persefahaman yang sama dan dapat mengeratkan lagi hubungan. Sehubungan itu, terdapat banyak surat pekeliling yang bertujuan memberi panduan kepada guru besar dan guru-guru berkenaan pengurusan disiplin pelajar.
Namun begitu, secara umumnya, didapati disiplin pelajar di sekolah-sekolah semakin merosot sejak kebelakangan ini. Mungkin surat-surat panduan ini tidak diberikan perhatian yang serius. Terdapat juga guru-guru yang tidak bekerjasama dalam menguruskan soal-soal yang berkaitan dengan disiplin, kurang rasa tanggungjawab dan hanya mempunyai tanggapan bahawa pelajar adalah punca utama masalah disiplin. Mungkin sikap guru yang negatif juga mempengaruhi sikap dan tanggapan pelajar pada konsep dan pelaksanaan disiplin. Justeru, pentadbiran sekolah perlu me-mastikan sekolah menyalurkan maklumat itu kepada guru-guru menerusi sesi-sesi perbincangan, bengkel dan seumpamanya bagi memastikan mereka faham berkenaan hak-hak dan tanggungjawab mengambil tindakan disiplin yang betul.
Ada kalanya, sistem pendidikan negara dijadikan sasaran utama kerana ia adalah wadah terbaik bagi menetapkan nilai-nilai akhlak dan moral yang baik. Pendidikan moral memberi pengaruh besar dalam mencorakkan sikap dan akhlak remaja dan seterusnya mempengaruhi nilai-nilai sosial. Oleh kerana pendidikan moral disampaikan kepada remaja sejak kecil lagi, ia sedikit sebanyak dapat mewujudkan sikap dan nilai positif kepada diri individu berkenaan. Oleh itu, para pelajar perlu diberi penerangan yang jelas berkenaan alam remaja, masalah dan kesulitan yang mereka hadapi sebelum mencapai dewasa. Ini dapat dilakukan melalui ceramah dan majlis penerangan berkenaan masalah kehidupan remaja serta kempen memupuk kesedaran sivik. Masalah jenayah pelajar bukan sahaja masalah pelajar, ibu bapa dan guru tetapi masalah masyarakat. Dengan itu, pemimpin-pemimpin tempatan seperti penggawa, penghulu, pemimpin politik, pemimpin belia dan orang-orang yang berpengaruh perlu dihubungi bagi membantu dan bekerjasama menyelesaikan kes-kes disiplin. Penglibatan semua pihak dari-pada anggota masyarakat umum kepada ketua masyarakat adalah perlu kerana masalah akhlak remaja ataupun pelajar adalah masalah masyarakat. Kawalan sosial perlu diwujudkan di kalangan penduduk dan sikap ‘tidak apa’ ataupun tidak ambil tahu perlu diubah demi kepentingan masyarakat.
Pusat kegiatan remaja merupakan satu lagi aspek pencegahan yang perlu diberi perhatian adalah penglibatan remaja dalam pusat kegiatan belia di mana semua aktiviti dirancang dengan teliti dan teratur. Dengan ini, program ataupun aktiviti yang diadakan di pusat-pusat latihan belia remaja membekalkan kemahiran-kemahiran supaya remaja dapat menggunakan kemahiran demi kepentingan diri mereka. Di samping kemahiran, pusat-pusat ini juga boleh memberi ceramah-ceramah, kelas-kelas bimbingan agama serta rekreasi-rekreasi sukan yang diperlukan dalam perkembangan sahsiah remaja. Seterusnya, pertukaran belia antara negeri dan negara yang diadakan dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman para remaja. Kerjasama antara agensi Pada masa ini, sudah wujud satu jawatankuasa yang dibentuk antara Polis Di Raja Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memerhati perkembangan aktiviti-aktiviti pelajar dari masa ke semasa dan mengambil langkah-langkah yang perlu sebelum pelajar-pelajar terjebak ke dalam apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang. Namun, keberkesanan jentera ini dapat dipertingkatkan dengan membuat kajian dari semasa ke semasa berkenaan aktiviti, program serta pelaksanaannya dalam menangani masalah keruntuhan akhlak remaja. Program pemulihan dalam komuniti dan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu dikaji dari semasa ke semasa supaya perancangan dan program-programnya selaras dengan kehendak dan persekitaran remaja.
Peranan media juga perlu diberi perhatian yang serius dalam usaha membendung gejala yang tidak sihat ini. Media cetak dan elektronik lebih mudah menganjurkan program berkaitan personaliti remaja berjaya. Remaja yang berjaya dalam lapangannya boleh memberi contoh yang positif kepada remaja secara keseluruhannya. Di samping dapat menjadi daya penarik kepada para pembaca, gambar-gambar remaja berjaya juga dapat merangsang pembaca remaja supaya turut berjaya dalam kegiatan yang mereka ceburi. Oleh itu, pihak penerbit, terutamanya yang mempunyai sasaran pembaca remaja perlu lebih sedar dan peka pada tanggungjawab sosial dengan menerbitkan lebih banyak bahan bacaan bercorak pengetahuan bagi melahirkan golongan remaja yang bertanggungjawab dan mempunyai sifat-sifat yang baik. Kesimpulan Matlamat utama Wawasan 2020 adalah membina sebuah negara maju tanpa mengabaikan nilai agama dan moral.
Namun, apabila dilihat antara idealisme masa depan dengan realiti masa kini, terdapat jurang perbezaan yang besar di mana jumlah kes jenayah di kalangan pelajar ataupun remaja hari ini semakin meningkat. Nampaknya, semakin maju negara, semakin luntur nilai moral masyarakat. Justeru, dalam keghairahan merancang dan merencana pelbagai projek raksasa supaya negara seiring dengan ledakan informasi dan pembangunan industrialisasi yang mantap, kita juga tidak boleh meminggirkan projek raksasa dalam membina insan.
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com