Khusyuk Dalam Solat -

Solat merupakan salah satu dari penawar yang mujarab dalam melahirkan insan cemerlang, insan terbilang. Solat adalah tonggak agama sekiranya kita menyempurnakan dengan penuh keimanan dan kekhusyukan tiada penawar lain yang mampu menandinginya. Kita tidak dapat lari dari menempuhi dugaan dan godaan kerana syaitan sudah bersumpah akan menipu daya umat manusia sehingga manusia lalai dari menjalankan tanggungjawab terhadap Tuhan mereka. Mendirikan solat dengan teguh sempurna dan penuh keikhlasan hati dapat menghindar diri kita dari sebarang bentuk gangguan agar jalan yang dilalui adalah jalan kebaikan dan kebenaran. Solat yang sempurna dan penuh kekusyukan dapat menghindarkan kita daripada melakukan kemungkaran sebagaimana yang dijanjikan Allah. Walaupun solat yang penuh kekhusyukan sukar untuk diperolehi tetapi kita tidak boleh meninggalkan solat semata-mata kerana kurang yakin dapat mengerjakannya dengan sempurna. Justeru itu kita perlu menghayati, memahami dan mengamalkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kekusyukan dalam solat. Walaupun ia sukar dilakukan tetapi apabila diamalkan setiap hari dalam solat fardhu lima waktu sehari semalam di samping solat-solat sunat yang lain nescaya akan dapat melakukannya dengan sempurna dan penuh kekhusyukan. Seseorang yang mendirikan solat yang penuh khusyuk akan dapat merasa kemanisan dalam solatnya. Apabila perkara ini berlaku maka dia dapat menghindarkan dirinya daripada sebarang kemungkaran. Ini kerana semasa dia menghadap Allah SWT dia benar- benar dapat merasakan bahawa Allah SWT melihatnya yang akan menyebabkan merasa takut untuk melanggar sebarang larangan Allah. Kita sedar bahawa syaitan akan sentiasa berusaha untuk mengganggu kita supaya solat yang kita tunaikan itu tidak sempurna dan jauh dari kekhusyukan. Dalam mengkelaskan manusia yang mendirkan solat, terdapat beberapa golongan iaitu yang pertama mereka yang suka berlengah-lengah dalam setiap perbuatan. Golongan ini tidak berwuduk dengan sempurna, tidak segera mengerjakan solat pada waktunya dan menambil mudah dalam perlaksanaan rukun-rukun solat. Golongan yang kedua ialah mereka yang mematuhi waktu solat dan rukun-rukunnya. Akan tetapi golongan ini tidak dapat menepis hawa nafsunya untuk memikirkan perkara-perkara lain dan sengaja membiarkan gangguan syaitan sehingga solatnya tidak sempurna perlaksanaannya. Golongan yang ketiga ialah mereka yang menjaga rukun solat serta menumpukan sepenuh perhatian terhadap solat yang dikerjakan. Golongan ini tidak memikirkan perkara lain kecuali berusaha untuk memberikan sepenuh tumpuan. Namun begitu mereka tidak menjaga pergerakan anggota tubuh badan mereka sehingga banyak melakukan pergerakan yang tidak seharusnya dilakukan. Golongan yang keempat ialah mereka yang melakukan rukun dan pergerakan yang sempurna. Fikiran mereka ditumpukan dan tidak berpaling ke sisi yang lain. Mereka menjaga setiap rukun dan tumpuan fikiran serta pergerakan dengan baik. Tidak ada sesuatu pun yang dapat mengganggu solatnya baik dari segi fizikal mahupun mental. Golongan yang terakhir ialah mereka yang mengerjakan solat sama seperti golongan keempat tetapi mereka menyerahkan diri kepada Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa. Mereka mampu melihat Allah dengan mata hatinya sehingga tiada lagi penghalang antara mereka denggan keesaan Allah SWT. Di hati mereka dipenuhi dengan cinta dan keagungan terhadap Allah. 

Kita mengetahui hukum mendirikan solat lima waktu adalah wajib. Namun begitu mungkin ada yang tidak memikirkan tuntutan kekhusyukan dalam mengerjakan solat sehari-hari. Malahan ada sesetengah kita yang mengerjakan solat secara ala kadar sahaja semata-mata memenuhi tuntutan rukan Islam. Allah SWT dengan jelas mengingatkan manusia bahawa khusyuk dalam mengerjakan solat bukanlah perkara yang boleh diambil mudah melalui firmannya dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi mereka yang khusyuk. Dalam surah al-Mu’minuun ayat 1 hingga 2 Allah SWT berfirman sesungguhnya berjayalah mereka yang beriman iaitu mereka yang kusyuk dalam solatnya. Oleh yang demikian jelaslah kepada kita bahawa seseorang itu wajib mengerjakan solat bukan setakat mengikut rukun sembahyang sahaja tetapi seseorang itu diwajibkan agar khusyuk dalam solatnya kerana mereka itu golongan yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Baginda Rasulullah SAW pernah mengingatkan umat Islam keseluruhannya bahawa kekhusyukan harus diutamakan dalam mengerjakan solat dan orang yang mengalpakannya diberi peringatan keras. Ini berdasarkan hadis baginda iaitu Hadis Riwayat Abu Daud yang bermaksud ada lima solat yang telah Allah wajibkan. Sesiapa yang dalam mendirikan solat itu wuduknya sempurna, mengerjakannya tepat pada waktu dan menyempurnakan rukunnya dan khusyuk maka Allah menjanjikan akan mengampuninya. Dan sesiapa yang tidak mengerjakannya maka Allah tidak mempunyai janji terhadapnya. Jika Dia berkehendak maka Dia akan mengampuninya dan jika Dia berkehendak maka Dia akan memberi azab. 
Allah SWT mewajibkan setiap umat Islam mendirikan solat bukan hanya dengan menyebut dan melakukan pergerakan-pergerakan tertentu saja. Malahan ia mestilah dilakukan dengan setiap pancaindera menyembah kepadanya. Bukan hanya mulut terkumat-kamit dan anggota badan rukuk dan sujud sedangkan hati dan fikiran memikirkan perkara duniawi dan tenggelam dengan masalah-masalah lain. Solat mempunyai banyak kelebihan baik yang tersurat mahupun yang tersirat. Pahala mengerjakan solat tidak ditetapkan dalam jumlah yang tertentu. Ia bergantung kepada bagaimana seseorang itu mengerjakan solat. Pahala mengerjakan solat ditentukan pada tingkat kekhusyukan seseorang itu mengerjakan solatnya. Nilai pahala bergantung kepada bagaimana seseorang itu mengerjakan solat. Solat yang dilakukan dengan sempurna dan khusyuk bukan sahaja mendapat pahala tetapi juga dapat menghapuskan dosa. Oleh itu, tidak hairanlah seseorang yang telah mengerjakan solat dengan sempurna dan penuh kekhusyukan akan tenang jiwanya dan segala masalah serta beban yang ditanggung seharian akan berasa ringan. Solat yang sempurna dan khusyuk melahirkan ketenangan jiwa dan kegembiraan dalam kehidupan. Sekiranya seseorang mengerjakan solat dengan merasakan kehadiran Allah di hadapannya, pasti dia akan menikmati kekhusyukan yang tiada taranya. Dia dapat merasakan bahawa dia sedang berbicara dengan Allah SWT dan yakin segala permintaannya akan dikabulkan. 

Untuk mendapatkan kekhusyukan dalam solat yang akan didirikan persiapan haruslah dilakukan sejak mendengar seruan azan yang dilaungkan muazin. Kita diseru agar mengikut seruan azan yang dilaungkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari yang bermaksud apabila kamu mendengar azan maka hendaklah kamu berkata sebagaimana yang dikatakan oleh muazin. Sebelum mengerjakan solat, diwajibkan berwuduk dengan sempurna mengikut rukun-rukun yang telah ditetapkan hukum berwuduk adalah wajib bagi mereka yang akan mendirikan solat sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 6 yang bermaksud wahai orang-orang beriman apabila kamu hendak menunaikan solat maka hendaklah kamu membasuh muka dan kedua-dua tanganmu hingga kedua-dua siku dan sapulah kepada kepala kamu dan basuhlah kedua-dua kakimu hingga kedua-dua buku lalimu. Selepas berwuduk dengan sempurna disunatkan berdoa. Termasuklah dalam persiapan mendapat kekhusyukan dalam solat haruslah membersihkan mulut kerana dari mulut akan keluar ayat-ayat Al-Quran yang akan dibacakan di dalam solat nanti sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud sucikanlah mulutm untuk al-Quran. Apabila hendak menunaikan solat diharuskan juga mengenakan pakaian bersih dan selesa. Setiap orang sentiasa berkeinginan untuk mengenakan pakaian yang baik. Oleh itu, dalam menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT terutamanya semasa bersolat kita harus mengenakan pakaian yang bersih serta selesa, menutup aurat, memakai haruman serta menunaikan solat di tempat yang bersih atau mengerjakan solat di masjid. Selain dari memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang yang mengerjakan solat juga harus mengenakan pakaian yang sesuai agar tidak mengganggu penumpuan dalam mendapat kekhusyukan. Sebaiknya pakaian yang sesuai ialah pakaian yang polos. Pakaian yang berwarna-warni dan banyak corak boleh menganggu penumpuan seseorang itu dari mendapat kekhusyukan. Oleh yang demikian pemilihan pakaian ketika mengerjakan solat amatlah penting untuk mendapatkan kekhusyukan. Dalam mendapatkan kekhusyukan dalam solat, tempat solat merupakan perkara yang harus diambil kira. Sebaik-baiknya mengerjakan solat berhampiran dengan dinding atau penghadang yang dapat menyempitkan pandangan. Dengan adanya dinding atau penghadang dapat membataskan pandangan dan juga gangguan syaitan serta kemungkinan orang akan lalu-lalang di hadapan kita juga amat kecil sekali. Rasulullah SAW pernah mengingatkan hal ini dalam hadis Riwayat Abu Daud yang bermaksud jika seseorang di antara kamu mengerjakan solat, hendaklah mengerjakan dengan menggunakan penghadang dan hendaklah dia mendekati penghadang itu. Adalah disunatkan jarak antara orang mengerjakan solat dengan penghadang adalah tiga hasta. Rasullullah SAW juga memberi ingatan kepada mereka yang mendirikan solat hendaklah mereka menghalang seseorang yang melintas di hadapan mereka iaitu jarak di antara mereka yang melakukan solat dengan penghadang. Jarak yang sebaik-baiknya adalah berdekatan dengan tempat sujud. Banyak perkara yang boleh menjejaskan penumpuan dan menghilangkan konsentrasi dalam mengerjakan solat dengan penuh kusyuk. Oleh itu perkara-perkara sedemikian hendaklah dihindari sebelum seseorang itu mendirikan solat. Perkara yang dimaksudkan dengan gangguan penumpuan ini termasuk apa saja perkara yang boleh menjejaskan tumpuan seperti sesuatu yang berada di depan tempat solat yang menganggu pandangan, tempat yang terlalu panas atau terlalu sejuk dan sebagainya. 

Tumakninah dalam solat haruslah diamalkan sebagaimana yang menjadi amalan Rasulullah SAW. Tukmakninah yang sempurna akan memberi ketenangan dan kekhusyukan dalam solat. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda dalah Hadis Riwayat Al-Hakim dan Ahmad ynag bermaksud manusia yang paling buruk ialah mereka yang mencuri sebahagian dari solatnya. Seorang sahabat bertanya wahai Rasulallah bagaimana dia mencuri solatnya? Rasulallah menjawab dia tidak menyempurnakan rukuk dan tidak menyempurnakan sujudnya. Orang yang tidak melakukan tumakninah dalam solat mustahil dapat mengerjakan solat dengan khusyuk. Mengerjakan solat dengan tergesa-gesa bukan sahaja akan menghilangkan kekhusyukan tetapi juga akan menghilangkan pahala dari solat itu. Kebanyakan dari kita mengetahui bahawa syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia melalui hasutan dan tipu daya. Syaitan tidak jemu-jemu berusaha untuk memalingkan manusia dari mengingati Allah SWT tidak mengira masa dan tempat. Tidak terkecuali ketika manusia mendirikan solat agar manusia tidak dapat mengerjakan solat dengan sempurna dan khusyuk. Syaitan akan berusaha untuk mengalihkan perhatian dan tumpuan sewaktu mengerjakan solat agar kita memikirkan masalah-masalah lain. Namun begitu kita sebagai manusia sebenarnya telah diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk menepis dan menghalau sebarang godaan syaitan. Solat merupakan perkara yang dibenci oleh syaitan kerana solat mendekatkan manusia kepada Allah SWT. Dalam solat manusia sujud kepada Allah SWT sedangkan syaitan ingkar untuk berbuat sedemikian. Oleh itu syaitan berusaha agar manusia lalai dan tidak mengerjakan solat. Selain itu juga, syaitan tidak pernah putus asa menggoda mereka yang sedang mengerjakan solat dengan berusaha agar mereka itu berasa was-was sehingga kita ragu-ragu dan mengambil mudah setiap bacaan dan perbuatan dalam solat. Syaitan akan menguasai hati dan fikiran agar solat yang dikerjakan tidak sempurna dan kita perlu berusaha untuk menghindarkan jiwa dan fikiran agar tidak terpengaruh. Gangguan syaitan berlaku dalam pelbagai bentuk dan cara. Amatlah penting untuk seseorang yang mendirikan solat memohon perlindungan Allah SWT dari gangguan dan godaan syaitan dengan menetapkan hati dan fikiran dan tidak bersikap was-was serta menumpukan kepada setiap bacaan dan perbuatan dalam solat. Membaca ayat-ayat al-Quran dengan tartiil dan perlahan, menyebutnya satu persatu dapat memberikan kekhusyukan di dalam solat. Rasulallah SAW sewaktu membaca surah di dalam al-Quran akan membacanya secara perlahan-lahan. Membaca dengan tartiil dan perlahan membolehkan kita memahami makna yang terkandung di dalam ayat tersebut dan menjadikan kita lebih khusyuk mengerjakan solat. Selain itu, Rasulullah SAW mengingatkan kita agar memperindahkan suara ketika membaca surah melalui sabdanya yang bermaksud hiasilah Al-Quran dengan suara-suaramu kerana sesungguhnya suara yang baik itu dapat menambah kebaikan Al-Quran. Bacaan yang jelas, terang dan betul mengikut tajwid menjadikan solat yang didirikan sempurna dan penuh dengan kekhusyukan. Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai panduan untuk umat manusia. Oleh yang demikian haruslah kita memahami, memikirkan dan mengerjakan apa diperintahkan Allah. Ramai yang mampu membaca ayat-ayat Al-Quran dan zikir dalam solat dengan baik dan betul sebutannya. Sekiranya kita tidak memahami bagaimana pula kita mampu memikirkannya. Apatah lagi untuk mengerjakannya. Dengan memahami apa yang dibaca kita dapat memikirkan maksud yang terkandung. Oleh itu kita akan dapat kekhusyukan di dalam solat kerana bukan saja mulut yang membaca tetapi hati dan fikiran dapat menyelami apa yang kita baca. Sudah pasti solat yang dikerjakan akan lebih padat dan berisi. Untuk memahami, memikirkan dan mengerjakan bacaan di dalam solat eloklah bacaan itu diulang-ulang dan melihat makna yang terdapat di dalamnya. Kita perlu membaca ayat demi ayat maksud di sini adalah selain memperlahankan bacaan kita haruslah membaca sebaris demi sebaris. Dari satu ayat ke satu ayat yang lain seeloknya kita berhenti seketika dan tidak membaca terus tanpa henti. Meragamkan surah, ayat, zikir dan doa ketika melaksanakan solat merupakan perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan dapat menambahkan kekhusyukan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW meragamkan bacaan surah dalam mengerjakan solat. Diriwayatkan Aisyah, bahawa Rasulullah SAW ketika mengerjakan solat, baginda memandang ke tanah. Sewaktu baginda berada di Kaabah, pandangan baginda tidak pernah beralih dari tempat sujud. Ketika duduk membaca tahiyat pula, seseorang itu hendaklah memandang jarinya yang menunjuk ke arah hadapan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang menggerakkan jari telunjuknya menunjuk ke arah kiblat. Sesetengah dari kita mungkin mengabaikan tentang hal mengerakkan telunjuk kerana tidak mengetahui akan manfaat yang terkandung dan kesan terhadap kekhusyukan. Dalam menjelaskan kepentingan hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda dalam Hadis Riwayat Ahmad yang bermaksud sesungguhnya ia adalah lebih pedih terhadap syaitan daripada besi. Hadis ini menjelaskan bahawa menunjuk dengan menggunakan jari telunjuk sewaktu membaca tahiyat menyakitkan syaitan malahan kesakitan yang dirasai oleh syaitan melebihi jika dipukul dengan besi. Ini kerana menggerakkan jari telunjuk ketika membaca tahiyat menandakan seseorang hamba itu mengakui keesaan Allah SWT dan keikhlasan dalam beribadah dan perkara ini amat dibenci oleh syaitan. Dengan berdoa seseorang itu mendekatkan lagi dirinya kepada Allah SWT dan merupakan suatu ibadah. Dalam solat, Rasulullah SAW selalunya berdoa sewaktu sujud, duduk di antara dua sujud dan setelah tahiyat. Namun begitu berdoa pada waktu sujudlah yang paling diutamakan dan merupakan waktu yang terbaik. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud paling dekatnya seseorang hamba terhadap Tuhannya iaitu pada saat dia sedang sujud maka perbanyakkanlah berdoa pada waktu itu. Melakukan sujud tilawah dapat menambahkan lagi kekhusyukan ketika mengerjakan solat dan dapat menghindarkan diri dari gangguan syaitan. Sujud tilawah adalah sujud ketika membaca ayat-ayat Al-Quran yang di dalamnya ada diperintahkan supaya sujud kepada Allah SWT. Rasulullah SAW pernah mengingatkan umatnya mengenai mengingati kematian dalam solat melalui sabdanya yang bermaksud ingatlah kematian di dalam solatmu. Kerana sesungguhnya seseorang jika mengingati kematian nescaya dia akan bermaksud untuk memperbaiki solatnya. Dan melakukan solat sebagaimaa solat seseorang yang tidak pernah mengira bahawa dia akan dapat melakukan selain solat yang dilakukannya itu. Ajal maut datang tidak mengira usia, muda atau tua. Sekiranya seseorang itu mengingati kematian yang boleh datang pada bila-bila masa di dalam solatnya, pastilah dia dapat mengerjakan solat dengan khusyuk kerana tidak mustahil solat yang sedang didirikan adalah solat yang terakhir dalam hidupnya. Solat yang didirikan dengan penuh kekhusyukan hendaklah disudahi dengan zikir dan wirid yang akan memperkukuhkan kekhusyukan serta mampu memperoleh keberkatan dan manfaat daripada solat yang dikerjakan. Zikir dimulai dengan istighfar sebanyak tiga kali yang membawa erti seseorang itu memohon keampunan atas kesalahan atau kurang khusyuknya dalam mengerjakan solat yang telah dilakukan. Zikir dan wirid merupakan amalan disunatkan dan diharapkan amalan sunat dapat melengkapkan atau menampung kekurangan yang mungkin ada ketika mengerjakan solat. 

Terdapat perkara-perkara yang dicegah dalam solat seperti tidak mengerjakan solat ketika makanan sudah terhidang. Sekiranya ketika seseorang itu hendak mengerjakan solat tetapi telah dihidangkan makanan maka hendaklah dia makan terlebih dahulu. Ini untuk mengelakkan seseorang itu berkemungkinan tidak dapat mengerjakan solat dengan khusyuk kerana dikhuatiri fikirannya akan memikirkan tentang makanan yang sedang terhidang. Seperkara lagi harus dicegah ketika mengerjakan solat ialah menahan keinginan untuk berhadas. Perasaan seperti itu akan menganggu kosentrasi seseorang itu dalam mendirikan solat dan berkemungkinan besar sukar untuk mengerjakan solat dengan khusyuk. Sekiranya perasaan itu muncul sewaktu sedang solat, seseorang itu haruslah keluar dari solat dan menunaikan terlebih dulu keinginannya untuk berhadas. Hal ini termasuk juga dalam masalah adanya dorongan untuk membuang angin. Mengerjakan solat ketika mengantuk adalah perkara yang dicegah dalam solat. Perasaan mengantuk bukan saja mengganggu tumpuan dalam mengerjakan solat dan berkemungkinan juga bacaan dan doa seseorang tidak dibaca dengal betul. Dalam soal ini, Rasulullah SAW melarang seseorang itu mendirikan sembahyang dalam keadaan mengantuk dan menyuruh seseorang itu tidur terlebih dahulu. Namun begitu, bagi solat-solat fardhu seseorang itu haruslah yakin waktu solat masih ada dan masih sempat untuk melakukannya setelah bangun dari tidur. Banyak faktor yang boleh mempengaruhi kekhusyukan dalam mengerjakan solat. Di antaranya adalah gangguan orang yang sedang berbual-bual mahupun yang sedang tidur. Orang yang sedang berbual-bual pasti akan menggangu penumpuan manakala orang yang sedang tidur mungkin melakukan sesuatu di bawah sedar yang menggangu penumpuan seseorang yang mengerjakan solat itu. Sewaktu mengerjakan solat, seseorang itu harus membataskan pergerakan kepada yang perlu dilakukan sahaja kerana apabila terlalu banyak pergerakan akan mempengaruhi kekhusyukan serta menggangu penumpuan. Dalam mengerjakan solat, seseorang itu tidak dibenarkan bersifat mementingkan diri sendiri dan haruslah menghormati orang lain yang mendirikan solat. Oleh yang demikian tidak diperbolehkan seseorang itu meninggikan suara dalam bacaan solat semata-mata kerana ingin mendapatkan kekhusyukan. Syaitan amat menyukai mereka yang menguap sewaktu mengerjakan solat sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud jika seseorang di antara kamu menguap di dalam solatnya, hendaklah dia menahannya sesuai dengan kemampuannya kerana sesungguhnya syaitan akan masuk ke mulutnya yang sedang menguap itu. Setiap bacaan dan pergerakan dalam solat hendaklah dilakukan dengan sempurna dan jangan sekali-kali mengamalkan sikap ambil lewa. Manusia yang diletakkan pada kedudukan yang paling mulia dilarang sama menyerupai haiwan ketika mengerjakan solat. 

Ibadah solat akan mengingatkan seorang hamba kepada penciptanya, Allah. Ingatan kepada Allah ini akan menimbulkan perasaan takut dan tunduk taat kepada-Nya dan juga akan menimbulkan perasaan mengagung dan membesarkan-Nya dengan sepenuh hati tanpa ada tandingan lagi. Solat juga menjadi penghalang kepada perlakuan-perlakuan buruk dan keji. Dengan mengadap Allah sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam akan menimbulkan rasa kehebatan, kebesaran dan keagungan Allah serta merasa gerun dan takut terhadap kemurkaan-Nya. Hal ini sudah cukup untuk menjadi pengawal kepada segala kejahatan dan pencegah semua jenis kemungkaran. Selain itu, ibadah ini mampu melahirkan ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran, hati yang tabah, damai lagi pemurah. Perbuatan dan bacaan dalam solat mampu mendidik dan mengasuh seseorang untuk berakhlak mulia seperti ikhlas, bersopan santun, baik tutur kata dan menjaga maruah diri. Akhlak sebegini secara tidak langsung memberi rasa malu kepada seseorang itu untuk mendedah aurat di khalayak ramai. Dengan demikian akan menghasilkan insan yang berperibadi lurus, merendah diri, tidak angkuh, tidak sombong, mesra, harmoni, taat dan mempunyai sifat-sifat mulia yang lain. Solat melatih diri seseorang supaya sentiasa besih zahir dan batin. Suci dari kekotoran luaran dan suci dari kekotoran dalaman seperti khianat, riak, sombong dan lain-lain lagi. Kemurnian jiwa raga itu adalah diperolehi daripada pembersihan hati dari syirik khafi dan jali serta kewajipan bersuci dari hadas dan najis. Ibadah solat mementingkan penjagaan kebersihan. Ibadah ini juga menghasilkan pergerakan tubuh badan. Gabungan kebersihan dan pergerakan boleh membantu mengekalkan kesihatan, melancarkan perjalanan darah, dan juga menggerakkan serta menyegarkan urat saraf. Hal ini dapat memberi kecergasan kepada tubuh badan. Ibadah solat melatih kehidupan yang berdisiplin dan mengikut peraturan melalui penjagaan waktu solat, berbaris dalam saf dan kewajipan mengikut imam. Melalui solat berjemaah dan solat Jumaat semangat perpaduan, bekerjasama dan muhibbah dapat ditanam dan dipupuk. Semangat sebegini menjadi pemangkin kepada kelahiran sesebuah masyarakat yang kuat, maju, bahagia dan damai. Secara tidak langsung, solat juga akan mengheret umat Islam supaya berkecimpung dalam kegiatan-kegiatan ekonomi. Dalam mendirikan ibadah solat, kita diwajibkan menutup aurat. Kita menutup aurat dengan menggunakan pakaian. Penghasilan pakaian memerlukan kepada penanaman kapas, penyediaan peralatan-peralatan pertanian, kilang-kilang memproses kapas dan sebagainya untuk dijadikan kain. Untuk meningkatkan penghasilan pakaian misalnya, memerlukan kemahiran, ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Begitu juga akan halnya dengan peluang pekerjaan, peluang usahawan yang mana sama-sama menjadi aset kepada kemakmuran rakyat, kestabilan ekonomi umat Islam, serta keutuhan negara. Solat adalah tanda kesyukuran dan tanda keimanan kepada Allah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud setiap sesuatu itu ada tandanya, dan tanda iman itu ialah solat. 

Banyak lagi hikmah-hikmah yang terkandung dalam ibadah solat, sama ada yang dapat kita ketahui atau pun tidak. Matlamat hikmah solat tersebut tidak akan terhasil sekiranya seseorang yang mengerjakan solat itu tidak mengerti, tidak memahami dan tidak berusaha berusaha bersungguh-sungguh untuk menghayati dan merealisasikan hikmah ini dalam kehidupan. Akibatnya jadilah solat sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW dalam Hadis riwayat an-Nasai yang bermaksud, Betapa ramai orang yang mendirikan solat tetapi habuan dari solatnya hanyalah penat lelah dan letih lesu jua. Itulah di antara hikmah-hikmah dan rahsia-rahsia solat. Semoga dengan mengetahui dan mengerti hikmah dan rahsia solat, akan membuatkan kita bertambah cinta terhadap ibadah ini dengan taufiq, hidayah dan inayah Allah SWT dan seterusnya akan menjadikan kita khusyuk dalam menunaikannya. 


Prepared By : Nurul ‘Izzah Bt Muhamad Noh
Prepared For : Ust Abd Aziz Bin Harjin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com