Sesusatu benda itu atau perbuatan tidak terlepas dari lima perkara, iaitu halal, haram, syubhat, makruh dan mubah. Kepada barang yang halal secara mutlaknya kita disuruh oleh Allah untuk memakannya; manakala terhadap yang haram kita disuruh supaya menjauhinya. Ini kerana makanan yang halal itu dapat menambah cahaya iman dan membuat terkabulnya doa dan makanan yang haram dapat menggelapkan hari serta terdindingnya doa kita. Allah Ta’ala berfirman”Wahai sekalian manusia! Makanlah sebahagian dari makanan yang ada di muka bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata”. (Surah Al-Baqarah:168)
Dalam Al-Qur’an Surah Mukminin ayat 51, Allah telah befirman”Makanlah olehmu makanan yang baik-baik (halal) , dan kerjakanlah amal soleh”. Ayat di atas bermaksud kita diperintah oleh Allah supaya memakan makanan yang baik-baik (halal) , ini bererti kita disuruh supaya berusaha dan bekerja mencari makanan-makanan yang halal.
Mencari rezeki yang hahal dalam rangka untuk mencukupi keperluan peribadi dan keluarganya, adalah suatu yang sangat terpuji bahkan terampun dosa-dosanya. Rasulullah saw bersabda, ”Barangsiapa yang merasa payah (penat) kerana bekerja sehari suntuk untuk mencari rezeki yang halal, nescaya akan diampuni segala dosanya”. Oleh itu, marilah kita semua giat dalam mencari rezeki yang halal dengan disertai niat untuk memelihara agamanya supaya tidak meminta-minta kepada orang lain, kemudian bila ada kelebihan dari harta itu, kita sedekahkan kepada orang yang memerlukan.
Memakan harta yang halal itu adalah baik, dan juga menghasilkan yang baik. Seseorang yang akan membiasakan memakan harta yang halal akan menambah cahaya dan sinar keimanan pada hati. Juga akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyukan terhadap kebesaran Allah Ta’ala, menggiatkan seluruh anggota badan untuk beribadat dan ta’at, mengurangkan kecenderungan hati kepada dunia serta menambah ingatan terhadap Hari Kiamat. Dengan demikian akan diterimalah amal ibadat serta doa-doa kita.
Untuk menentukan halal haramnya sesuatu perkara adalah Allah. Hanya Allah sajalah yang menentukan segala hukum. Para paderi, pendeta, raja dan sultan tidak berhak menentukan halal dan haram suatu benda. Barangsiapa yang bersikap demikian, ertinya mereka menentukan hokum halal haram terhadap manusia, maka bererti mereka itu melanggar dan menentang hak Allah. Barangsiapa yang menerima serta mengikuti sikap tersebut, bererti dia telah menjadikan mereka itu sebagai sekutu Allah, manakala pengikutnya disebut”musyrik”.
Lawan kepada halal adalah haram. Ianya adalah satu istilah dalam ilmu yang berhubungan dengan ketentuan hukum, iaitu sesuatu yang dilarang oleh syara’. Berdosa jika kita melakukannya dan mendapat pahal a jika kita meninggalkannya. Terhadap sesuatu atau barang-barang yang haram, baik haramnya itu zatnya atau hasil dari yang haram juga kita disuruh oleh Allah untuk menjahui sejauh-jauhnya. Sebab dengan makanan barang/sesuatu yang haram itu mengakibatkan terdindingnya doa kita dan sekali gus akan menggelapkan hati kita untuk cenderung kepada hal-hal yang baik, bahkan dapat mencampakkan diri ke dalam neraka. Dalam surah Al-Baqarah ayat 188 Allah berfirman, ”Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain diantara kamu denagan (jalan) kebathilan”.
Secara ijmal (keseluruhan) benda-benda yang dianggap haram itu dikelompokkan menjadi dua bahagian. Bahagian yang pertama adalah benda yang haram itu memang zat/bendanya sendiri misalnya bangkai, arak, daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah (atau tidak menyebut nama Allah) . Kesemuanya itu dilarang dan tidak halal untuk dimakan, baik sedikit mahupun banyak, kecuali dalam keadaan yang sangat terdesak; iaitu merasa dirinya akan binasa sekiranya ia tidak memakannya, dan makanan yang lain tidak terdapat ketika itu. Maka hanya dalam keadaan terpaksa inilah, baru dibolehkan untuk memakannya. Dalam surah Al-Baqarah ayat 173 Allah berfirman, ”Sesungguhnya Allah hanya mangharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika itu disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang”.
Mengenai benda yang haram kerana benda (zat) nya itu sendiri dapat diperinci secara mendalam, iaitu segala sesuatu yang ada dipermukaan atau di dalam perut bumi ini terdiri dari tiga jenis, iaitu berupa bahan galian, tanaman dan haiwan. Bahan galian adalah merupakan bahagian bumi atau segala sesuatu yang dikeluarkan dari bumi. Benda-benda semacam ini halal untuk dimakannya, kecuali kalau dengan memakannya itu akan mengakibatkan kematian, baik memakan sedikit mahupun banyak, maka dengan demikian maka hukumnya haram. Jangankan bahan galian, roti juga kalau membahayakan jika memakannya, roti tadi menjadi haram hukum memakannya, bahkan lumpur atau tanah liat sekalipun, andai kata ada yang biasa memaknnya, dan tidak memudaratkan jiwanya, maka tidaklah haram. Jadi pengharaman terhadap sesuatu perkara itu kerana adanya kemudaratan dan berbahaya kepada diri sahaja.
Berkenaan tumbuh-tumbuhan pula, tidak ada sama sekali yang diharamkan untuk memakannya, melainkan yang dapat melenyapkan kesedaran atau menghilangkan akal, juga yang dapat memusnahkan kehidupan atau merosakkan kesihatan. Tentang yang melenyapkan akal itu ialah seperti ganja, dadah, arak, dan benda lain yang memabukkan. Yang memusnahkan kehidupan ialah semacam racun, yang merosakkan kesihatan seperti ubat-ubatan yang bukan diminum sesuai dengan keadaan dan resepi. Jadi secara ringkasnya semua itu diharamkan kerana adanya bahaya yang timbul dari benda-benda. Hal ini terkecuali untuk arak atau apa sahaja yang sifatnya memabukkan, sebabdalam persoalan arak atau memabukkan itu, sekalipun bagi seseorang yang mungkin tidak akan mabuk kerananya, hukumnya tetap haram, meskipun hanya sedikit yang dituangkan ke dalamperutnya. Kerana masalah arak ini hukumnya sedah qat’ei (sudah pasti) dari nas al-Quran, tidak boleh diungkit-ungkit lagi.
Mengenai haiwan ini ada yang boleh dimakan dan ada yang tidak boleh. Misalnya kambing, lembu itu halal untuk dimakan apabila disembelih menurut syariat agama, seperti dengan menyebut nama Allah, pisaunya tajam dan sebagainya. Kalau binatang-binatang itu tidak disembelih menurut syariat tertentu atau mati dengan sendirinya, atau ditikamdicekik maka haram memakannya sekalipun haiwan itu pada asalnya halal zatnya. Jadi binatang yang mati dengan sendirinya itu tidak dihalalkan untuk memakannya sekalipun haiwan itu halal zatnya. Kerana sudah menjadi bangkai kecuali ikan dan belalang.
Bahagian kedua pula adalah benda-benda yang haramnya itu dengan sebab cara memperolehnya. Mengenai hal ini dapat dibahagikan menjadi beberapa bahagian. Yang pertama adalah, sesuatu yang diperoleh kerana tiada bahan galian pemiliknya seperti benda tambang, menghidupkan tanah mati (terbiar) , berburu, mencari kayu atau mengalirkan air dari sungai dan juga mencari rumput. Semua ini hukumnya halal dengan syarat bahawa apa yang diambil itu tidak dikhususkan untuk kepentingan umat manusia. Oleh sebab itu mengambil kayu bakar di hutan, jika mengakibatkan kelongsoran tanah, maka haram hukumnya sekalipun kayu-kayu itu tidak ada pemiliknya, sebab dengan kelongsoran tanah itu akan menyebabkan kemudaratan masyarakat atau dengan gondolnya hutan, akan mengakibatkan banjir.
Yang kedua pula, sesuatu yang diambil secara paksaan dari siapa saja yang dianggap tidak ada kehormatan diri baginya, seperti harta rampasan dari peperangan, pembahagian dari rampasan perang itu, dan semua harta milik orang-orang kafir yang mengadakan perlawanan dalam pertempuran. Semua itu hukumnya halal bagi kaum muslimin, apabila telah dilkeluarkan yang sepertinya dan dibahagi-bahgikan kepada yang berhak menerimanya dan tidak lagi diambilnya itu dari orang kafiryang mendapat perlindungan hukum seperti yang menyerah kemudian mengikuti ketentuan hukum agama.
Yang ketiga, sesuatu yang diperoleh dengan jalan redha sama redha, seperti tukar menukar. Inipun halal hukumnya, apabila telah dijaga syarat-syarat yang sesuai dengan tuntutan syariat dan telahdi hindari semua syarat yang merosakkan.
Di dalam ibadah juga terdapat hal-hal yang dilarang dan diharamkan seperti, mendatangi dukun atau bomoh. Allah berfiman, ”Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah”. (An-Naml:65) . Nabi Muhammad saw sebagai utusan Allah pembawa risalah, datang di tengah-tengah masyarakat, di mana dalam masyarakat itu terdapat segolongan yang disebut”kuhhaan” (dukun) dan”arraaf” (tukang ramal) . Mereka itu mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu atau mahupun untuk masa yang akan datang, dengan cara mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya. Jesteru rasulullah saw mengadakan perang dengan kedustaan yang tidak berlandaskan ilmu petunjuk, mahupun dalil syarak. Akhirnya Rasulullah mengajukan di hadapan mereka itu sebuah firman Allah yang merupakan sanggahan dan tentangan terhadap sikap mereka, sebagaimana yang ada di atas itu. Islam tidak membatasi dosa hanya kepada tukang tenung (kahin) dan para pendusta saja, akan tetapi semua orang yang datang dan bertanya serta membenarkan kesilapan dan kesesatan mereka itu akan bersekutu dalam dosa. Sebagaimana sabda Nabi saw, ”barangsiapa yang datang kepada peramal (tukang tenung) , kemudian bertanya tentang sesuatu dan membenarkan apa yang dikatakan, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh hari”. (Riwayat Muslim) .
Menganggap sial kerana adanya sesuatu juga merupakan dilarang dan diharamkan dalam ibadah. Merasa sial (gagal) kerana adanya sesuatu, tempat, waktu burung dan sebagainya adalah termasuk perbuatan tathayyur. Orang yang mempunyai anggapan demikian adalah termasuk kufur kepada Allah, dan hal ini dilarang keras oleh ajaran yang dibawa Rasulullah Muhammad saw. Rasulullah dalam sebuah hadisnya bersabda yang berkenaan dengan masalah tathayyur ini, ”Bukan termasuk golongan kami siapa yang merasa sial, atau minta diramalkan, kesialannya, atau menenung, atau minta ditenungkan, atau mensihir, atau minta disihirkan” (Riwayat Thabrani) .
Selain itu, mencaci angin juga adalah dilarang dan diharamkan. Angin adalah udara yang bergerak, ia diciptakan oleh Allah, berhembus ke mana sahaja menurut kehendak-Nya. Allah berfirman, ”Allah, Dialah yang mengirim angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hamba-Nya tiba-tiba mereka menjadi gembira. (Ar-Rum:48) . Kita sebagai orang mukmin yang mengakui akan kebesaran dan keagungan Allah, hendaknya apabila melihat sesuatu yang tidak disenangi, misalnya berupa angin, mohom perlindungan dan berdoa kepada-Nya. Jangan mencaci dan mencela kepada angin sama halnya menghina dan mencaci kepada yang menciptanya iaitu Allah SWT..
Di dalam akhlak juga terdapat perkara-perkara yang dilarang dan diharamkan. Perkara pertama ialah riak. Dalam masalah riak ini Allah Ta’ala berfirman”Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima) seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia... ” (Al-Baqarah:264) . Riak adalah menunjuk-nunjuk atau memperlihatkan suatu amal ibadat kepada orang lain supaya dihormati dan disanjungi. Misalnya seseorang yang melakukan solat, zakat, haji, bersedekah, berjihad fi sabilillah, membaca al-Quran dengan motif supaya disanjung dan dihormati oleh khalayak ramai, tidak kerana mengharap pahala dari Allah. Amalan yang diiringi dengan riak ini seperti syirik kecil (samar) , dan syirik kecil inilah yang paling ditakuti oleh Rasulullah saw
Perkara yang kedua adalah derhaka kepada kedua orang tua. Allah berfirman”Dan kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepad ibu bapanya, ibunya telah mengandung dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah pula; mengandung dan menyusuinya selama 30 bulan”. (Al-Ahqaf:16) . Kewajipan anak terhadap kedua orang tua ialah berbuat baik, taat dan hormat. Ini sesuai dengan panggilan fitrah yang harus dipenuhi dengan sebaik-baiknya dan yang lebih utama lagi atau lebih berhak untuk ditaati dan dihormati adalah ibu, sebab dialah paling berat menanggung penderitaan waktu mengandung, melahirkan, menyusui, mengasuh dan mendidik. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, bahawa ada seorang lelaki datang kepada Nabi dan bertanya: Siapakah manusia yang lebih berhak saya pergauli dengan baik? Beliau menjawab: Ibumu! Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Beliau menjawab: Ibumu! Dia bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Beliau menjawab: Ibumu! Dia bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Beliau menjawab: Ayahmu! Memandangkan betapa beratnya penderitaan yang ditanggung oleh kedua orang tua, lebih-lebih lagi ibu, maka Allah menempatkan berbuat baik kepada kedua orang tua di tangga kedua selepas berbakti kepada-Nya. Oleh sebab itu Nabi Muhammad saw menganggap derhaka kepada kedua orang tua sebagai dosa besar, sesudah syirik.
Perkara yang ketiga adalah mengumpat (ghibah) . Allah berfirman, ”Wahai orang-orang yang beriman! Jahuilah dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa, dan jnganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahgian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (Al-Hujurat:12) . Mengumpat atau ghibah adalah menybeut-nyebut keburukan orang lain di belakang orangnya yang bersangkutan, yang apabila orang itu mendengar ia menjadi marah. Keburukan yang dibicarakan itu baik tentang keadaan dirinya sendiri atau keluarganya, badannya atau akhlaknya. Oleh kerana itu Islam melarang perbuatan yang demikian itu baik dengan kata-kata, isyarat atau sebagainya, sebab seorang muslim terhadap muslim lainnya adalah bersaudara, yang mana haram darahnya untuk dibunuh: haram hartanya untuk dirampas.
Di dalam makanan juga terdapat hal-hal yang dilarang dan diharamkan. Perkara yang pertama adalah bangkai. Allah berfirman, ”Telah diharamkan atas kamu bangkai, darah, daging babi, binatang yang disembelih bukan kerana Allah, yang (mati) kerana dicekik, yang mati kerana dipukul, yang (mati) kerana jatuh dari atas, yang (mati) kerana dimakan oleh binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih untuk berhala: (Al-Maidah:3) . Al-Munkhaniqah iaitu binatang yang mati kerana dicekik, baik dengan cara menghimpit leher binatang tersebut atau pun meletakkan kepala binatang pada tempat yang sempit dan sebagainya sehingga binatang tersebut mati. Binatang yang demikian ini disebut bangkai. Sekalipun bangkai itu dari binatang yang halal, kalau matinya tercekik maka diharamkan memakannya. Al-Mauquudzah adalah binatang yang mati kerana dipukul dengan tongkat dan sebagainya. Binatang yang mati kerana di pukul dengan tongkat ini dinamakan bangkai. Al-Mutaraddiyah adalah binatang yang jatuh dari tempat yang tinggi sehingga mati. Begitu juga binatang yang mati kerana jatuh ke dalam kolam, tasik, atau telaga. Al-Nathihah adalah binatang yang berlawanan antara satu dengan yang lain, sehingga mati. Binatang an-Nathihah ini adalah termasuk bangkai. Maa Akalas Sabu’u adalah binatang yang diterkam oleh binatang buas kemudian dimakan sebahgian dagingnya sehingga mati. Binatang yang mati kerana dimakan oleh binatang buas ini termasuk bangkai.
Perkara kedua yang adalah daging babi. Daging babi adalah merupakan makanan yang diharamkan dalam Islam. Hasil kajian dari penyelidikan yang dibuat oleh para ilmuan, menunjukkan bahawa terdapat sejenis kuman dalam daging babiyang boleh memudharatkan pemakannya. Selain itu ia juga akan menyebabkan wujudnya sejenis cacing di dalam tubuh pemakannya.
Sebagai umat Islam kita hendaklah melaksanakan perkara-perkara yang halal dan disuruh oleh Allah SWT. dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dan diharamkan. Apabila kita melakukan perkara-perkara tersebut, ia akan memberi kesan positif dalam hidup kita, maka kita akan lebih berasa tenang dan damai dalam menjalani hidup ini. Sesungguhnya Islam itu adalah benar.
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com