Ketentuan Allah SWT (Qada' dan Qadar) -

Segala-galanya ditentukan Allah SWT.. Apa yang bergerak dan barangan apa yang diam, semuanya dalam ketentuan Allah SWT.. Hatta sehelai daun tidak akan jatuh melainkan dengan keizinan Allah SWT.. Manakala jikalau daun itu jatuh, maka Allah SWT. Maha Mengetahui tempat daun itu jatuh dan pada masa bila ia jatuh. Ulat-ulat yang berada di dalam buah-buahan dan serangga-serangga yang melata semuanya dalam ilmu Allah SWT.. Justeru itu, makhluk adalah tertakhluk kepada Allah SWT.. Sama ada dalam diamnya mahupun dalam geraknya. 

Firman Allah SWT. yang bermaksud:“Setiap golongan manusia mempunyai batas waktu. Maka apabila batas waktunya telah datang, mereka tidaklah dapat mengundur atau memajukannya sesaatpun. ” (Al-Araf: 34 ) 

“Ketentuan Allah tidak dapat diubah”. Ungkapan ini sememangnya mempunyai keajaibannya tersendiri. Jika gula rasanya manis, jika garam rasanya masin, jika ubat rasanya pahit dan jika luka rasanya sakit. Itu semua adalah bukti ketentuan Allah SWT.. Sesungguhnya hanya Allah yang maha mengetahui segala-galanya. Tiada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk mengubahnya. Ketentuan Allah SWT. itu adalah takdir. Orang yang ingin kaya tanpa berusaha, ingin pandai tanpa belajar, ingin merdeka tanpa berjuang, adalah orang yang menunggu takdir. Semua ini tidak akan berhasil kerana ia bertentangan dengan sunnah Allah SWT.. Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan bahawa sesuatu hasil itu harus datang dengan usaha. 

Firman Allah SWT. yang bermaksud:”Tegakkanlah dirimu untuk agama ini, dengan keinginan sendiri. Pertahankanlah pembawaan-Nya (naluri ciptaan Allah) yang manusia telah diciptakan-Nya di atas itu. Janganlah diganti fitrah Allah itu. Agama ini (yang dibawa oleh Muhammad) , adalah agama yang lurus. Hanya kebanyakan manusia tidaklah mengetahuinya. ” (Ar-Rum: 30 ) 

Firman Allah SWT. yang bermaksud:”Sebahagian orang-orang mukmin itu ada yang sampai ajalnya (mati syahid) di tengah-tengah perjuangan dan ada pula yang harus menunggu. Mereka tidak dapat mengganti dan mengubahnya. ” (Al-Ahzab: 23 ) 

Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya, setiap manusia ada jalan ceritanya tersendiri kerana manusia itu umpama pelakon cerita di muka bumi ini. Sesungguhnya takdir itu berlaku dengan kehendak-Nya. 

Setiap kebolehan, kepandaian dan kebijaksanaan manusia bukan lah milik mereka, sebaliknya ianya adalah kudrat Allah. Sepertimana al-kisah Nabi Musa AS. yang memukul tongkatnya kepada sebuah batu, tiba-tiba terpancarlah daripadanya dua belas mata air, dipukulnya tongkat kepada laut, tiba-tiba terbentanglah di tengah-tengah nya dua belas jalan, dan di lemparkan tongkat nya, tiba-tiba menjalarlah seekor ular besar. Peristiwa-peristiwa aneh ini, pada mulanya merupakan perbuatan manusia, akan tetapi keajaibannya berlaku dengan izin Allah dan kehendak-Nya. 

D. U. I. T. yang membawa maksud Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal adalah penting untuk menemui hasil mereka. Jika anda”Do it”dan Jika anda mengamalkan D. U. I. T., insya-Allah dengan izin-Nya, segala hasil yang halal itu menjadi milik anda. Dalam segala hal dan usaha itu, kita di perintahkan oleh Allah SWT. supaya memilih yang baik dalam segala tindakan, sebagaimana Allah SWT. telah memerintahkan umatnya menunaikan solat, berpuasa, membaca Al-Quran sebagai petunjuk dan menutup aurat. Sesungguhnya Allah itu melarang hamba-Nya daripada melakukan kejahatan. 

Manusia dengan fitrahnya suka menurut, mentaati dan meniru yang baik. Manusia yang tidak suka mentaati yang baik itu atau suka melakukan kejahatan bererti ia telah kehilangan fitrahnya yang suci bersih itu. Fitrah, ikhtiar dan iraadat iaitu keinginan sendiri itu adalah ciptaan Allah SWT yang telah ditakdirkan pada setiap benda yang bernyawa. 

Bisikan jiwa yang baik adalah dari Allah SWT., sementara bisikan buruk itu adalah dari syaitan. Sedangkan melaksanakan bisikan tersebut bergantung kepada ikhtiar dan iraadat kita sendiri. Orang yang jiwanya penuh dengan ketakwaan akan kuat dan teguh daripada gangguan syaitan, laksana suatu tubuh orang yang sihat, tentu akan terhindar daripada penyakit. 

Seorang alim yang salih telah menceritakan satu pengalamannya ketika remajanya. Pada suatu ketika masuklah ia ke dalam sebuah kebun di Tripoli. Dalam kebun tersebut ada gadis-gadis Lebanon yang sedang bekerja. Di suatu tempat yang sunyi, ia telah bertemu dengan seorang gadis yang cantik yang beragama Nusrani, iaitu seorang kenalan lamanya yang sudah saling cinta-mencintai. Setelah syaitan hampir berjaya menggoda kedua remaja itu untuk melakukan kenistaan, maka dalam hati pemuda mukmin tersebut membaca:”Wa laa taqrobuz zinaa innahau kaana faahisyatan wa saa a-saabiilaa”. Maka ketika itu ia terus lari dari tempat tersebut dengan cemas dan sedih kerana ia terselamat dari pekerjaan yang terkutuk. 

Hadis riwayat Imam Bukhari:”Seorang penzina tidak akan melakukan zina apabila di waktu akan zinanya ia (benar-benar) beriman. Seorang pencuri tidak akan melakukan pencurian, apabila di kala akan mencuri ia (benar-benar) beriman. Seorang peminum, tidak akan meminum apabila di waktu akan meminumnya benar-benar ia beriman. ”

Inilah gambaran bahawa ketakwaan dan iman yang benar itu merupakan suatu benteng dan dengan ketakwaan ini, ikhtiar dan keinginan itu akan sentiasa cenderung kepada yang baik. 

Perasaan sombong dan angkuh terhadap agama akan menimbulkan buta hati sehingga hati dan jiwanya menjadi gelap terhadap yang benar, seperti mata yang sakit tidak mahu melihat cahaya matahari atau tubuh yang sedang sakit tidak mahu makan makanan yang lazat. 

Sebagai umat islam kita dalam memegang agama dan kepercayaan tidak cukup dengan menyerah, mengakui, dan percaya semata-mata, akan tetapi harus dengan pemikiran yang sampai kepada yakin. Keyakinan itu lah yang akan membawa kepada kepastian. Janganlah kita mudah patah hati atau berputus asa kerana rahmat dan pertolongan Allah sentiasa terbuka dan sesaatpun tidak akan tertutup. Pada hakikatnya ramai dikalangan kita yang tidak tahu akan maksud putus asa yang seterusnya akan menjajah kehidupan mereka tanpa disedari. 

Sebenarnya, putus asa membawa maksud kegelapan dalam fikiran yang seterusnya menyekat seseorang itu untuk menemui jalan penyelesaian mereka. Ketika itu mata hati mereka buta dan fikirannya tidak dapat melihat bahawa rahmat, kasih sayang, dan pertolongan Allah. Dunia fikiran mereka menjadi menjadi sempit yang mengakibatkan ia tidak mahu melakukan pekerjaan harian dan tidak mahu teruskan usaha mereka. Namun, walau apa pun yang berlaku, semua itu adalah ujian dari Allah SWT. semata-mata yang mahukan hamba-Nya terus berusaha untuk mendapatkan rahmat dan hidayah-Nya dan sedar bahawa Allah itu maha berkuasa. 

Apabila hidup senang, manusia mudah lupa kepada Tuhan, dan jika ditimpa kesusahan mereka akan menangis dan meratap kepada-Nya. Inilah perbuatan manusia yang tidak beriman atau iman nya lemah sehingga tidak dapat mengawal perbuatan mereka. Manusia itu sekalipun imannya sempurna, tidak akan terlepas hatinya daripada perasaan susah apabila mendapat cubaan. Oleh itu, kerelaannya ketika menghadapi kepahitan hidup itu agak kurang sebagaimana apabila ia mendapat kesenangan, hatinya tidak kosong daripada kebanggaan dan kelalaian daripada bersyukur kepada Allah SWT.. 

Orang yang mahu kaya akan terus berusaha untuk menghasilkan kekayaan itu, menurut cara yang biasa, halal, dan dengan mengharapkan pertolongan Allah. 

Orang yang menginginkan sesuatu, akan tetapi tidak mahu berusaha atau ia berusaha akan tetapi tidak menurut cara yang biasa, seperti orang sakit yang mahu sembuh pergi berjumpa dukun-dukun, atau orang yang mahu kaya pergi memuja-muja di kubur-kubur. Itulah kesesatan dan kedunguan yang tidak menurut sunah Allah dan tidak bertawakal. 

Jadi amal dan usaha menurut sunnah Allah, itulah syarat pokok untuk tawakal. Misalnya, seorang yang mahu makan, tetapi tidak mencari makanan, lalu menyerah diri kepada Allah, mungkin ia akan mati kelaparan. Seorang yang sakit, tidak mahu berubat dan hanya menyerah diri kepada Allah, mungkin akan bertambah sakitnya. Kita sebagai manusia biasa seharusnya sentiasa ingat pada Allah dan bersyukur atas pemberian-Nya. 

Semua dugaan yang Allah SWT turunkan adalah semata-mata mahu hamba-Nya mengetahui tentang kewujudannya dan seterusnya terus mensyukuri nikmat dan hidayahnya. Hidayah Allah adalah sesuatu yang paling berharga bagi kita sebagai hamba-Nya. 

Perkataan syukur ertinya berterima kasih, baik dengan ucapan mahupun dengan cara-cara yang lainnya. Dengan kata lain, bersyukur itu ertinya menghargai kebaikan, pemberian, nikmat dan menghargai jasa. Bersyukur menjadi syarat mutlak pembangunan untuk membangun suatu masyarakat atau sesebuah negara. Allah SWT sentiasa adil terhadap hamba-hambaNya. 

Penghargaan di atas jasa orang tentu akan membangkitkan semangat. Misalnya, golongan pekerja akan berlumba-lumba dalam meningkatkan hasil produksinya kerana tertarik oleh penghargaan baik dari majikannya. Majikan akan berlumba-lumba meningkatkan upahnya, kerana tertarik oleh semangat bekerja yang ditunjukkan oleh para pekerjanya. 

Si anak kalau terus bersyukur dan sentiasa menghargai jasa-jasa orang tuanya, tentu orang tuanya tidak akan jemu-jemu, bahkan akan menambah kebaikan terhadap anaknya. Kalau sesebuah pemerintahan suka mensyukuri tenaga rakyatnya, si rakyat akan tetap dan terus berjuang membela pemerintahnya. Inilah dinamakan ketentuan Allah. 

Kalau sikap bersyukur itu sudah hilang dari tiap-tiap golongan yang bersangkutan, maka akibatnya semangat bekerja dan berjuang akan hilang dari jiwa manusia dan bererti pembangunan akan tergendala. Nikmat Allah SWT kalau disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya nescaya akan bertambah. 

Firman Allah SWT. yang bermaksud:”Tuhanmu telah memaklumkan:Sungguh kalau kamu bersyukur, nescaya Aku akan benar-benar memberikan tambahan kepadamu, dan sungguh kalau kamu menolak (tidak suka mensyukuri kurniaan Allah SWT. itu, bukan pada tempatnya) , maka sesungguhnya siksaKu benar-benar sangat pedih. ” (Ibrahim: 7 ) 

Pengalaman dan peristiwa telah menunjukkan bahawa setiap anggota badan kita kalau digunakan pada tempatnya dengan ukurannya, misalnya tangan, kaki dan sebagainya, tentu akan bertambah kuat dan apabila didiamkan nescaya akan kaku dan lemah. 

Orang yang cerdas otaknya kerana ia sudah dibiasakan dengan suka berfikir dan membaca. Akhirnya otaknya akan bertambah tajam dan cerdas. Jika otaknya didiamkan, nescaya akan beku. Seorang yang telah menerima kurniaan Allah dengan kekayaan tanah dan wang dan umpamanya, kalau kekayaan-kekayaan tersebut disyukuri, digunakan dan diusahakan sebagaimana mestinya nescaya kekayaannya akan bertambah. Jika tidak Allah akan menarik balik kurniaan-Nya itu. 

Orang yang diilhamkan Allah SWT dengan suka bersyukur, ia tidak akan menghalang mereka dari menerima tambahan. Selain itu, Allah akan memperlipat ganda kan pahalanya dengan tanpa batas untuk setiap orang yang beramal baik, iaitu baik dalam segala urusan dari segi usahanya, niat, dan tujuannya. 

Bukanlah mudah bagi manusia pada hari ini untuk berbuat baik dan bersyukur dengan ikhlasnya. Keikhlasan ini harus datang dari hati masing-masing bersama ketulusan. Perkara inilah yang sukar didapati dalam hati setiap insan. Bagi melakukan kebaikan itu memang mudah, tetapi bukan semua kebaikan diterima Allah kerana hati yang menentukan sama ada keikhlasan itu wujud atau pun sebaliknya. 

Tambahan pula kehidupan sekarang banyak dipengaruhi oleh kehidupan barat dan tiada perasaan berperikemanusiaan. Bila dilihat remaja hari ini yang semakin lincah di sana sini tanpa memikirkan kesan disebalik perbuatan mereka itu. Sayangnya mereka jika tidak menghargai peluang yang ada untuk mengenal dunia yang penuh keunikannya pada hari ini. 

Kehidupan di dunia ini hanya lah sementara dan bukan untuk selama-lamanya. Kisah kehidupan di dunia ini telah tertulis sebagai satu takdir yang dating tetap akan pergi manakala yang hidup tetap akan mati. Semua ini adalah suratan takdir iaitu ketentuan Allah SWT.. Setiap perkara yang berlaku pada hari ini ada hikmah disebaliknya. Allah SWT. Maha Adil dan Allah akan membalas setiap perbuatan makhluknya di muka bumi ini. 

Banyak contoh-contoh manusia pada hari ini yang jelas menampakkan kebodohannya sendiri yang tidak tahu membezakan yang baik dari yang buruk dan yang betul dari yang salah. Itulah kejahilan manusia. Bila sesama umat islam bersaing dalam perniagaan mahupun dalam pelajaran bagi merebut mendapatkan ilmu Allah, mereka di pengaruhi oleh syaitan, mula timbul perasaan hasad dengki dan seterusnya memusuhi sesama sendiri. Mereka tidak pernah bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah kepadanya. Malah mereka seolah-olah tidak yakin dengan pemberian Allah kepadanya. 

Sebenarnya, mereka tidak sedar Allah itu sentiasa ada dengan hambanya, dan Allah akan menarik sedikit demi sedikit nikmat yang telah diberi jika mereka angkuh dengan apa yang ada. Kita sebagai generasi pada hari ini haruslah berusaha untuk memperbaiki persepsi masyarakat islam pada hari ini dan sedaya upaya menyatukan mereka sekali gus membina satu ukhwah yang membawa kepada perpaduan. Perpaduan umat islam adalah senjata yang paling kuat untuk melawan musuh. Musuh-musuh kita sentiasa mahu melihat kejatuhan umat islam. Allah SWT. sentiasa menyayangi umatnya dan sentiasa akan memberi perlindungan kepada yang memerlukannya. 

Dalam tubuh manusia ada seketul daging dimana jika ia baik, maka keseluruhan amalan yang akan dikerjakan oleh anggota tubuh yang lain akan baik juga. Sebaliknya, jika ia rosak maka segala amalan yang dikerjakan oleh anggota tubuh yang lain turut rosak. Seketul daging itu ialah hati. Hati adalah penentu segala amalan dan perbuatan. Akidah yang tertanam kuat di dalam hati akan menentukan rupa dan mutu amalan yang dikerjakan oleh si pemiliknya. 

Keyakinan kepada Allah SWT. dan segala sifatnya mestilah di usahakan agar sentiasa mantap dan menjadi sukar untuk di ganggu gugat oleh sesiapa pun. Akidah yang kuat di dalam hati pasti membuahkan insan mukmin yang cemerlang dan memiliki cirri-ciri mukmin sejati, beriman, beramal soleh dan bertaqwa. Inilah keajaiban akidah yang merupakan penerang jalan kecemerlangan insan mukmin. 

Tiada seorang pun yang dapat mengetahui sejauh mana kebenaran yang dikeluarkan dari seseorang, melainkan hanya hati yang mengetahuinya. Kebaikan, keburukan, dan kejahatan sentiasa wujud dalam diri seorang manusia, mereka lah yang akan mengadili setiap perkara dengan menggunakan nikmat akal dan firasat yang telah dianugerahkan kepadanya untuk membezakan baik buruknya sesuatu perkara. Jika seseorang itu sentiasa ingat kepada Allah dan sering kali mengadu nasibnya kepada Allah tanpa berserah dan menagih simpati orang lain serta yakin akan kekuasaan-Nya, nescaya kehidupannya akan dilindungi sentiasa. 

Orang yang tidak menghayati makna islam, maka dia tidak akan boleh menjunjung tinggi ukhuwah islamiyah. Padahal ukhuwah islamiyah itu merupakan kekuatan iman dan semangat yang boleh membangkitkan perasaan yang dalam terhadap kasih sayang, kemuliaan dan rasa saling percaya terhadap sesama mukmin yang terikat pada ketakwaan dan akidah islam. 

Name : Nornabila Fathin Bt Mustama
Lecturer Name : Ustaz Abd. Aziz Bin Harjin

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com